Selasa, 15 Julai 2014

ROBERT FOO, MASIH BERJUANG MESKIPUN SUDAH LAMA BERSARA

Tags



ROBERT FOO, MASIH BERJUANG MESKIPUN SUDAH LAMA BERSARA

Dalam usianya yang meningkat senja, Robert Foo, Mantan Presiden Majlis Persatuan Warga Tua Sabah (COSCA) masih tetap bersuara memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan golongan warga tua di negeri ini. Bagi Robert,aktivis sosial yang gemar bersenam dan menunggang motosikal ini, perjuangan harus diteruskan tanpa noktah. Bagi mencapai sesuatu cita-cita, tiada sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

Robert Foo Vui Tsun dilahirkan di Pekan Beaufort pada 21 Disember 1943. Ayahnya, Foo Patt Yin adalah Kapitan Cina yang terkenal di Beaufort. Beliau memulakan persekolahan di daerah kelahirannya sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Menengah La Salle, Kota Kinabalu.

Selepas tamat pengajian di peringkat sekolah menengah, Robert berkhidmat sebagai seorang guru pada tahun 1964. Bagaimanapun, pada penghujung tahun itu, beliau menceburkan diri dalam bidang kewartawanan. Beliau antara orang tempatan pertama menjadi wartawan. Tidak lama kemudian, beliau dipelawa menyertai pasukan polis. Pada tahun 1966, Robert dilantik sebagai inspektor percubaan sebelum menghadiri kursus selama sepuluh bulan di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1973, beliau terpilih sebagai Pengerusi pertama Persatuan Inspektor Pantai Barat Sabah. Kemdian beliau dipilih sebagai AJK Persatuan Inspektor Polis Negeri dan seterusnya menjadi Setiausaha Agung sehingga dinaikkan pangkat kepada ASP pada tahun 1978.

Robertjuga pernah dilantik sebagai Penolong Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Mes Pegawai-Pegawai Polis pada tahun 1976 seterusnya menganggotai Koperasi Perumahan Perkhidmatan Awam Sabah Sdn Bhd yang membangunkan perumahan di Taman Likas Jaya. dan beliau berada dalam jawatankuasa itu sehingga tahun 1976.

Selama berkhidmat di Jabatan Polis, beliau menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang. Beliau pernah menyandang jawatan Asisten Suprintenden iaitu satu jawatan tingkatan kanan dalam perkhidmatan polis.

Selepas berkhidmat dalam jabatan polis selama 26 tahun beliau bersara pilihan pada Februari 1992.

Bagi menghargai jasa baktinya, Robert dianugerahkan pingat kebesaran negeri Ahli Darjah Kinabalu (ADK) dan Surat Penghargaan dari Pesuruhjaya Polis Sabah.Beliau juga turut menerima surat penghargaan dari Pesuruhjaya Polis Tuan Goodsir, Datuk Haji Ahmad Maulana SM Babjee pada 1987, penghargaan dari Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Haji Yahya Yeop Ishak. Pada 3 Julai lepas , beliau dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah , Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau ketika berkunjung ke pejabat Utusan Borneo, awal minggu ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai cebisan pengalamannya sejak kecil dan kegiatannya selepas bersara.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.Tuan kelihatan masih sihat walaupun berusia di atas angka 70. Apa rahsianya?

ROBERT FOO: Setiap pagi jika tidak kemana-mana, saya selalu bersenam, berlari jogging selepas bangun pagi. Saya juga masih aktif dalam olahraga. Tahun lepas saya menang acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter dalam Kejohanan Olahraga Sabah Masters kategori 70-74 tahun.

UB: Luar biasa. Patutlah tuan kelihatan sihat dan masih bergaya. Mungkinkah itu sebabnya tuan kelihatan ceria?

ROBERT: Untuk kekal sihat, kita mesti berjiwa muda. Sampai sekarang , jika ada masa, saya selalu menunggang motosikal untuk merasai panorama sekitar ibu kota.

UB: Apa kegiatan lain selepas bersara?

ROBERT: Saya banyak terlibat dalam kegiatan NGO. Malah ketika berkhidmat dalam polis dulu, saya sudah terlibat dalam banyak persatuan. Sejak tahun 1963 sehinggalah sekarang, saya pernah terlibat secara aktif dalam sebanyak 21 pertubuhan NGO termasuk memegang jawatan penting dan sebagai ahli biasa.

UB: Boleh ceritakan sedikit, apa antara jawatan yang pernah disandang?

ROBERT: Kalau mahu cerita banyak ni. Saya pernah menjadi Pengerusi Persatuan Bekas Polis Cawangan Kota Kinabalu pada tahun 1996. Selepas itu saya pernah menjadi Timbalan Pengerus Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Sabah dalam tahun 1998.

Sebelum itu, pada tahun 1994, saya menjadi Ahli Persatuan Warganegara Tertua Sabah dan kemudian dilantik sebagai Penolong Setiausaha Kehormat dan seterusnya Naib Ketua Persatuan Warganegara Tertua Sabah.

Kemudian pada tahun 2000, saya dipilih menganggotai Majlis Gabungan Persatuan Warga Tua Sabah (COSCA). Tahun 2002, saya menjadi setiausaha kehormat Cosca hingga 2004. Saya terpilih sebagai presiden Cosca pada Me 2004 hingga 2008. Saya juga pernah menjadi Naib Presiden Majlis Persatuan Warga Tua Kebangsaan (Nacscom)

UB: Persatuan lain yang pernah dianggotai?

ROBERT: Antaranya CASH iaitu Persatuan Pengguna-Pengguna Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.Saya pernah jadi Timbalan Presiden dari tahun 2002 hingga 2006. Selain itu, saya menjadi Ketua Perhubungan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM) sejak Mei 2003 hingga sekarang, ahli SUSDEN atau Sustainable Development Network Malaysia KK Working Group.

UB: Saya tertarik dengan kejayaan tuan jadi juara Kejohanan Olahraga Sabah Masters walaupun sudah berusia diatas 70 tahun. Hebat. Sejak bila terlibat dalam bidang sukan?

ROBERT: Sejak dulu lagi semasa di bangku sekolah, saya pernah juara dalam olahraga seperti lari pecut 100, 200 dan 400 meter. Saya mula terlibat dalam sukan sejak 1958 dan bergiat aktifdalam bidang sukan pada tahun 1960 semasa menjadi pelajar di SM La Salle Kota Kinabalu.

UB: Pernah jadi wakil sekolah?

ROBERT: Saya bukan saja wakil sekolah malah pernah mewakili Sabah, ketika itu namanya North Borneo dalam Kejohanan Sukan Borneo pada tahun 1961.

UB: Mungkin ada pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan sewaktu zaman persekolahan? Boleh tuan ceritakan?

ROBERT: Salah satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika kami merayakan tahun baru 1 Januari 1960 di puncak gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara. Ia merupakan satu sejarah tersendiri bagi kami.

UB: Siapa rakan-rakan tuan yang ikut mendaki gunung masa itu?

ROBERT: Antaranya Datuk Haji Mohd Noor Mansoor, mantan Menteri Kewangan Sabah, Michael John, seorang pesara polis, Felix Lee, seorang doktor, kini di Amerika, Stephen Wong. Itu antara yang saya ingat.Mereka ini dulu rakan sekolah saya di La Salle.

UB: Ada lagi yang jadi kenangan manis?

ROBERT: Saya pernah mengetuai satu kumpulan menaiki basikal ke Lawas bermula dari Beaufort. Saya bersama-sama rakan-rakan anak-anak bumiputera. Sayang sekali saya tidak berapa ingat nama-nama mereka.

UB: Bagaimana keadaan jalan raya pada masa itu?

ROBERT: Jalanraya pada masa itu tidaklah sebaik sekarang.Dulu agak teruk. Perjalanan memang mencabar.Namun demikian kerana semangat kami yang begitu kental, akhirnya kami berjaya menamatkan aktiviti itu walaupun dengan biaya kami sendiri.

UB: Saya nampak tuan masih aktif memperjuangkan isu warga tua walaupun dah lama bersara. Apa lagi isu yang masih diperjuangkan?

ROBERT: Bagi saya perjuangan belum selesai lagi. Kita memohon kepada Kerajaan supaya membantu golongan warga tua, asalkan berusia 60 tahun ke atas layak menerima bantuan yang disediakan kerajaan.

UB: Isu lain yang tuan rasa perlu disuarakan?

ROBERT: Kita juga berharap kerajaan memberi bantuan untuk pengurusan jenazah warga tua. Ini berkaitan terutamanya kepada keluarga kaum Cina.Kadang-kadang untuk pengurusan jenazah saja memakan belanja yang tinggi. Kos keranda mencecah RM4,000. Jadi belanja menguruskan kematian bagi sebuah keluarga boleh mencecah RM10,000.Warga tua di kalangan kaum Cina yang miskin perlu bantuan kerana belanja sebegini adalah agak mahal bagi mereka. Saya mencadangkan supaya kerajaan membantu meringankan bebanan yang ditanggung keluarga.

UB: Bagaimana pula mengenai Skim Bantuan Warga Tua?

ROBERT: Kita juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menaikkan kadar skim bantuan warga tua daripada RM60 ketika zaman pemerintahan Berjaya, naik lagi kepada RM90,kemudian naik lagi kepada RM300, ini adalah satu yang amat baik dan amat kita hargai.

UB: Tuan juga pernah membangkitkan masalah bayaran untuk permohonan pasport di kalangan warga tua? bagaimana perkembangannya?

ROBERT: Kita sudah beberapa kali kita bangkitkan dan kita bersyukur kerana ia telah diluluskan tahun lalu. Kini warga tua hanya perlu membayar RM150 untuk bayaran pasort bagi tempoh lima tahun. Ini amat baik sekali. Bayaran biasa untuk pasport lima tahun ialah RM300.

UB: Dulu tuan banyak membangkitkan mengenai kos tambang bas untuk warga tua. Mengenai potongan harga 50 peratus untuk warga tua, apa cerita?

ROBERT: Memang sudah banyak syarikat yang mengenakan diskaun tambang bas untuk warga tua. Sehubungan ini, kita juga meminta agar Lembaga Pelesenan Kenderaan Pengangkutan (LPKP) memberikan syarat kepada mereka yang memohon lesen pengangkutan awam supaya memberikan potongan 50 peratus tambang kepada warga tua.

Kita ambil contoh di Hong Kong. Saya ada melawat ke sana baru-baru ini. Disana kalau kita naik bas, warga tuan hanya perlu membayar 2 dollar HK atau 80 sen jika bepergian kemana-mana tempat di Hong Kong. Semua warga tua tidak kita tempatan atau asing layak untuk menikmati kemudahan ini di Hong Kong. Jadi kita merayu supaya kalau dapat ia juga dibuat di negara kita.

Satu lagi isu yang perlu diberikan perhatian ialah kita minta supaya pihak berkuasa menjawab sesuatu permohonan dalam satu tempoh masa tertentu supaya pemohon tidak terlalu lama menunggu.

UB: Kaunter khas untuk warga tua?

ROBERT: Kita sentiasa prihatin mengenai isu ini. Kita meminta agar pihak bank atau hospital dapat menyediakan kaunter khas untuk warga tua sehingga mereka tidak perlu berbaris terlampau lama. Sekarang sudah ada tetapi kita mahu ia diperluaskan lagi.

UB: Nampaknya perjuangan belum selesai?

ROBERT: Kita akan sentiasa perjuangkan banyak lagi isu-isu lain untuk memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan golongan warga tua di negeri ini.

 

1 comments so far

Dear Mr Abd Naddin, we are very glad to contact with Mr Robert Foo. Reading your article is great!! Do you have Mr Robert Foo contact? We might want to invite him for talk in our programme one day.

Best Regards,
Ezone Constantine
0168059987
Founder Ultimate Superstar
ezoneconstantine@gmail.com