Selasa, 15 Julai 2014

DARI SOAL BOLA, NAZI, ZIONISME HINGGA PUISI MAHMOUD DARWISH

Tags

 

 

DARI SOAL BOLA, NAZI, ZIONISME HINGGA PUISI MAHMOUD DARWISH

TIDAK siapa menyangka, pasukan Brazil kalah dengan amat menghibakan. Brazil bertekuk di kaki pasukan Jerman 1-7 iaitu catatan paling buruk dalam sejarah bolasepak pasukan Brazil.

Kehilangan Neymar yang cedera di bahagian serangan dan Thiago Silva sebagai tonggak pertahanan jelas meruntuhkan semangat pasukan. Selepas kekalahan mereka terhadap Uruguay 0-6 pada tahun 1920, Brazil tidak pernah kalah seteruk itu.

Brutal Massacre,saya tidak ingat siapa yang berkata begitu dalam tweetnya. Tetapi seorang bergelar pemimpin kita tiba-tiba menghantar tweet kegembiraan "Well done...bravo...long live Hitler".

Sungguh satu yang tidak dapat diterima.Menyamakan kemenangan Jerman dengan Adolf Hitler. Serta merta orang teringat mengenai kekejaman Nazi Hitler dalam Perang Dunia ke-2.

Jika dunia menilai Nazi sebagai penjahat kemanusiaan, Zionisme jauh lebih brutal dan biadab dibanding Nazi Hitler.

Ini pernyataan Gilad Atzmon, seorang yahudi tulen dan cucu kepada tokoh sayap kanan organisasi pengganas Israel. Kini Gilad Atzmon, pemuzik terkenal di London itu adalah pembela Palestin, dan anti zionis.

"Hai, Israel! Kalian sebenarnya hidup di tanah curian, kalian lebih baik mulai berkemas kerana waktu kalian telah habis, kalia telah menguras kesabaran kami.Kami rakyat palestin tidak mahu kehilangan lagi," katanya.

Sebenarnya saya membaca mengenai perjuangan Gilad Atzmon yang sanggup diusir dari Israel ini daripada sebuah buku karangan Ahmad Syafii Maarif, mantan Ketua Muhammadiyah dan pemimpin Islam terkenal di Indonesia bertajuk Gilad Atzmon, Catatan Kritikal tentang Palestina dan Masa depan Zionisme.

Beliau sempat berhubung dengan Gilad Atzmon, pemuzik papan atas di London. Gilad menceritakan kepada dunia mengenai kepalsuan zionisme dan membela hak kemerdekaan Palestin ditengah bantahan keras Isreal yang dibantu negara-negara Barat pada awal abad ke 21.

Walaupun nyawanya terancam, Gilad tidak pernah berganjak dengan pendiriannya. Palestin harus merdeka dan Israel harus angkat kaki dari tanah yang mereka duduki itu.

Gilad Atzmon hanyalah salah satu dari banyak keturunan Yahudi yang makin sedar bahawa eksistensi dan perilaku rezim Israel di Tanah Palestin melanggar semua hukum moral, kemanusiaan, antarabangsa dan bahkan hukum agama mereka, kata Abdillah Toha, seorang pemerhati politik timur tengah dalam kata pengantar buku.

Setakat kelmarin, serangan tentera Israel itu merenggut 63 orang termasuk kanak-kanak. Sehingga kelmarin, Zionis Israel sudah menjatuhkan tidak kurang 447 roket ke atas kota Gaza, melancarkan 374 serangan udara dan menjatuhkan 34 bom. marine.

Akibat serangan itu 111 rumah menjadi sasaran, 17 diantara rata dengan tanah, 95 rosak teruk, dua masjid hancur, satu hospital rosak terkena bom manakala satu ambulan remuk hingga tidak berfungsi lagi.

Penjajah Zionis terus melakukan serangan ke atas jalur Gaza. Pesawat tempur zonis melancarkan serangan udara tanpa henti di seluruh penjuru Jalur Gaza. Akibatnya ia memakan banyak korban nyawa, hospital pula kehabisan ubat manakala penduduk memerlukan bantuan makanan.

Kita rasa sedih dan marah atas perlakuan keterlaluan terhadap kemanusiaan itu. Kita melihat kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman Israel.

Saya teringat petikan sajak Mahmoud Darwish, seorang penyair palestin yang terkenal dalam salah satu puisinya.

"Apakah kamu akan marah?
Leluhurku
Telah ada sebelum lahirnya zaman
Dan sebelum munculnya masa
Sebelum pinus dan zaitun
Sebelum tumbuhnya padang rumput
Kau curi ladang bapaku
Dan tanah tempat kami bercocok tanam
Aku dan seluruh anak-anakku
Dan untukku dan cucu-cucuku
Tak satu pun yang kau sisakan
Kecuali batu-batu
Akankah penguasa kalian merebutnya juga dari kami?".