YB JEREMY UTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT
SELEPAS memikirkan dengan semasak-masaknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Jeremy Malajad yang menang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihanraya ke-13 pada Mei lalu mengambil keputusan meninggalkan parti itu.
"Segalanya kerana saya lebih memikirkan kesejahteraan rakyat di kawasan saya yang masih dahagakan pembangunan infrastruktur seperti jalanraya, bekalan air dan prasarana pendidikan yang masih jauh ketinggalan," katanya kepada Utusan Borneo.
Jeremy Malajad dilahirkan di Kampung Tengkurus Kota Belud pada tahun 1966. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Tengkurus dari darjah satu hingga darjah enam. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran menengah di SMK Arshad hingga tingkatan lima. Kemudian beliau meneruskan pengajian di peringkat diploma Pengurusan Sains Sukan di di bawah Persatuan Pendidikan Jasmani dan Sukan Malaysia di Universiti Malaysia Sabah (UMS).Beliau mendirikan rumahtangga dengan Zaiti Yalam dan dikurniakan tiga orang anak.
Beliau pernah menjadi pemaju mukim, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) sebelum menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.
Dalam kegiatan politik, Jeremy pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda PBS Bahagian, Ketua Pemuda UPKO Bahagian, Setiausaha Pemuda UPKO Negeri, Ahli Jawatankuasa Pemuda Barisan Nasional (BN) Pusat. Selepas itu, beliau pernah menjadi Setiausaha Cabang PKR Kota Belud dan Ketua Penerangan PKR Negeri sebelum mengambil keputusan keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas Pro-Bn.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berkesempatan untuk menemubual beliau di Inanam di celah-celah kesibukannya sebagai wakil rakyat.Ikuti petikan temu ramah bersama beliau.
UTUSAN BORNEO: Bilakah YB mula menceburkan diri dalam bidang politik?
YB JEREMY: Saya menceburkan diri dalam politik kira-kira pada penghujung tahun 80-an. Pada tahun 1985, saya menjadi AhliJawatankuasa Pemuda PBS Bahagian. Saya juga pernah dilantik sebagai Pemaju Mukim pada 80-an. Pada tahun 1997, saya dilantik sebagai CDO Kadamaian hingga tahun 2000. Kemudian saya menyertai PDS apabila ADUN Kadamaian pada waktu itu, Mendiang Datuk Baggai Basirun meninggalkan PBS dan ikut menubuhkan PDS. PDS menyertai Barisan Nasional (BN) bertukar namanya kepada UPKO.
Selepas itu, saya dilantik sebagai Ketua Pemuda UPKO Bahagian dan Setiausaha Pemuda UPKO Negeri tahun 2002/2003.
Selepas itu, saya bertanding Exco Pemuda UPKO Negeri kemudian terpilih sebagai Naib 1 Pemuda. Menang pemilihan. Selain itu dilantik Setiausaha Kerja parti.
Dalam pemilihan semula parti, saya tidak bertanding. Setiausaha Pemuda UPKO Negeri tahun 2006. Sebagai Setiausaha Pemuda, saya automatik jadi AJK Pemuda BN Pusat.
UB: Bila YB menyertai PKR?
YB JEREMY: Tahun 2010, saya menyertai Parti Keadilan Rakyat, lebih kerana saya ingin melihat perubahan di kawasan saya di Kadamaian. Dalam PKR, Saya dilantik sebagai Setiausaha Cabang PKR Kota Belud. Sempat juga dilantik sebagai Ketua Penerangan PKR Negeri.Kemudian dalam pilihan raya umum PRU ke13, saya terpilih sebagai calon bertanding di DUN Kadamaian. Syukurlah kerana rakyat khususnya pengundi di Kadamaian memberi undi dan sokongan mereka bagi membolehkan saya terpilih sebagai wakil rakyat untuk mewakili kawasan itu
UB: Apakah YB terkejut kerana menang sebagai ADUN Kadamaian mengalahkan tokoh yang bukan telah lama berkhidmat sebagai wakil rakyat?
YB JEREMY: Kami bekerja lama sebelum itu. Saya ada keyakinan menang dari awal lagi. Jadi saya tidak begitu terkejut bila diisytiharkan menang. Keyakinan ini berdasarkan respon yang diterima kerana kebanyakan rakyat mahukan perubahan. Ada sentimen mahukan tranformasi calon, dan ini memberi kelebihan kepada saya.
UB: Apa perasaan YB ketika mula-mula mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri?
YB JEREMY: Sedikit gugup tetapi mengambil masa yang tidak lama untuk menyesuaikan diri sebagai Adun
UB: Sebelum ini, pernahkah YB bercita-cita menjadi calon?
YB JEREMY: Sebenarnya saya tidak bercita-cita menjadi calon. Apa yang menjadi matlamat saya ialah perubahan untuk kawasan saya iaitu Kadamaian. Bila kita bandingkan DUN Kadamaian dengan DUN Tempasuk dan DUN Usukan, kita lihat DUN Kadamaian agak tertinggal dari aspek kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air sebagainya.
Saya berasal dari Tengkurus, sebuah kampung yang kebanyakan penduduknya adalah penyokong kuat BN tetapi kita lihat belum ada pengaspalan jalan raya untuk dinaik taraf. Sebagai seorang pemimpin, orang kampung selalu bertanya, "apa yang kamu mahu buat tentang ini jalan?" .Bila soalan ini diajukan, bila kita sering ditanya kita rasa malu. Ini kawasan kubu kuat BN, setiap kali pilihanraya, hampir 7000 mengundi tetapi tidak sampai 100 undi pembangkang. Tapi sungguhpun begitu, mengapa tidak boleh buat apa-apa.
Jadi dalam pilihanraya yang lepas saya menang di kawasan itu. Sebenarnya ia bukanlah kerana pembangkang kuat tetapi lebih banyak kepada kekuatan inginkan perubahan. Bukan kekuatan PKR sebaliknya protes kerana rakyat inginkan kemajuan.
UB: Mungkin YB boleh jelaskan sedikit apa isu-isu yang digunakan dulu sehingga menambat hati rakyat untuk memilih YB sebagai wakil rakyat mereka?
YB JEREMY: Ketika berkempen itu, saya berkempen menggunakan slide.Kita highlight jalan-jalan yang belum diturap.Kita buat perbandingan berbanding Usukan dan Tempasuk. dalam kempen itu saya highlight keadaan fizikal sekolah, dibandingkan kawasan lain.Nampak betul perbezaannya agak ketara. Kalau kita ke kawasan jiran kita iaitu Usukan dan Tempasuk, kita nampak sekolah SK Sembirai, Timbang Dayang, SK Pekan, SK Taun Gusi, bangunan sekolahnya agak tersergam berbanding dengan kebanyakan sekolah di Kadamaian yang kebanyakan binaannya masih berdinding papan.
Kalau boleh prasarana sekolah di Kadamaian ditingkatkan lagi.
SK Tengkurus tempat saya belajar dulu masih berdinding papan. Walaupun berbeza dengan zaman kami dulu bersekolah di Balai Raya tetapi keadaannya tidak banyak berubah.
Kemudahan infrastruktur seperti jalanraya , selalu kita bandingkan dengan Tempasuk dan Usukan yang terletak berhampiran, perbezaannya begitu ketara.
UB: Bagaimana mengenai kemudahan asas seperti bekalan air?
YB JEREMY: Kemudahan asas seperti bekalan air memang jauh ketinggalan. 90 peratus masih menggunakan air graviti, yang tidak terjamin dari keselamatan pengguna. Kalau ada loji rawatan air sekurang-kurangnya penduduk mendapat bekalan air bersih.
UB: Majoriti penduduk Kadamaian bekerja sebagai apa?
YB JEREMY: Kebanyakan penduduk Kadamaian terdiri daripada petani, pekebun getah dan sebagainya.
UB: Mungkin YB boleh jelaskan alasan di sebalik keputusan YB meninggalkan pembangkang.Ada yang berpendapat ia dibuat secara terburu-buru?
YB JEREMY:Bukan terburu-buru. Sebelum itu kita telah membuat tinjauan dan berdasarkan feedback rakyat, kita mengambil keputusan untuk menjadi wakil rakyat pro-BN. Kita meneliti respon rakyat.Ketua-ketua daerah mengundi berkumpul dan membuat pengundian secara sulit tanpa kehadiran saya. Keputusannya mereka mahukan saya bersama BN. Ada dua tiga orang yang berkecuali , satu dua orang tidak bersetuju, tetapi majoriti mahukan saya berjuang demi rakyat.
UB: Apa yang muncul dalam minda YB ketika mengambil keputusan itu?
YB JEREMY: Banyak yang kita fikirkan.Isu pertama ialah pembangunan infrastruktur. Ini membuat saya befikir masak-masak. Isu kedua ialah pendidikan maksudnya prasarana sekolah yang masih jauh ketinggalan.
UB: Teruskan...
YB JEREMY: Sejak merdeka, semua wakil rakyat Kadamaian terdiri dari kerajaan walaupun PBS pernah berada di luar BN. Dalam konteks ini sebagai wakil rakyat kita kena beri pengikhtirafan terhadap jasa-jasa wakil rakyat yang terdahulu. Datuk Haji Ismail Gimbad memperkenalkan banyak skim pertanian seperti penanaman kelapa. Era kepimpinan Datuk Yapin Gimpoton memberi tumpuan kepada infrastruktur. Banyak jalan perhubungan di bina.Jalan Lahanas, Melangkap, Sayap dan banyak lagi jalan dibina
Zaman Datuk Baggai, saya terlibat langsung sebagai CDO. Yang nampak jelas pada masa itu peruntukan banyak diberikan kepada pembinaan dewan -dewan mini, bekalan paip dan sebagainya.Zaman Datuk Herbert Timbon Lagadan pula, perancangan sudah banyak tetapi belum terlaksana sepenuhnya. Tugas saya ialah melanjutkan beberapa yang sudah dlaksanakan sebelum ini, dirancang tetapi belum sempat dilaksanakan. Antara jasa Datuk Herbert ialah Skim Kebun Getah berkelompok dan sebagainya.
Yang memungkinkan wakil rakyat dapat menyumbang ialah apabila ia berada dalam kerajaan. Kalau saya bertahan sebagai Adun Pembangkang , tidak banyak yang dapat dilakukan.Kemampuan agak terhad. Saya mahu menggunakan masa yang terhad ini untuk meninggalkan kesan yang baik terhadap kehidupan dan kesejahteraan rakyat. Kita mahu melihat DUN Kadamaian sekurang-kurangnya sebaris dengan kawasan lain dari segi infrastruktur dan pendidikan. Kita mahu perjuangkan soal pembangunan infrastruktur dan soal pendidikan di Kadamaian. Soal penghidupan dan kehidupan kurang lebih saja.
UB: Apa langkah seterusnya setelah meninggalkan pembangkang? Masuk parti apa?
YB JEREMY: Kita sedang memikirkan platform terbaik untuk berjuang dalam BN demi kesejahteraan rakyat. Bila sampai masanya kita akan beritahu nanti perkembangan seterusnya.
UB: Oh ya, Difahamkan sekarang pekebun getah menghadapi masalah kerana harga getah turun. Apa komen YB?
YB JEREMY: Kita berharap kerajaan juga membantu pekebun getah, sama seperti skim bantuan yang dinikmati oleh golongan nelayan. Kehidupan rakyat terutamanya pekebun getah agak sengsara sekarang kerana harga getah jatuh merudum. Jadi kita mahu kerajaan memberikan bantuan. . sangat sangat sengsara ada getah ditoreh. kita ahu apa yang dinikmati golongan nelayan turut dinikmatipekebun getah
UB: Mungkin ada kaedah yang dilakukan untuk mengadakan pendekatan baru kepada rakyat?
YB JEREMY: Kita adakan pendekatan baru iaitu mengadakan dialog rakyat.Cara kita ialah mengadakan dialog, membawa semua agensi yang berkaitan dalam dialog rakyat. Program yang terdekat akan diadakan di Dewan Tamu Darat yang akan dihadiri oleh Ahli Parlimen, Datuk Haji Abdul Rahman Dahlan. Tujuan untuk mendekatkan rakyat kepada pemimpin.Sebelum ini perhubungan hanya satu hala sahaja iaitu pemimpin bersama rakyat. Kita adakan dialog,dengan hanya sedikit ucapan.Ruang yang ada digunakan untuk dialog dan kita beri peluang kepada rakyat untuk bercakap.Kita mahu rakyat berinteraksi dan meluahkan permasalahan mereka
UB: Apa kegiatan YB kalau ada masa lapang?
YB JEREMY: Selalunya tidak banyak masa lapang. Saya tinggal di kampung bersama rakyat. Jadi banyak masa bersama mereka. Sekarang saya tidak lagi dapat melakukan aktiviti seperti merambat atau menjala ikan, menyuluh ikan dan sebagainya kerana lebih sering bersama orang-orang yang telah memberi kepercayaan kepada saya sebagai wakil rakyat mereka.
UB: YB masih main bola?
YB JEREMY: Kalau ada masa barulah saya ikut main badminton, bolasepak. Saya dulu ahli sukan. Saya pernah mewakili daerah dan Pantai Barat Utara dalam Kejohanan Bola sepak. saya lebih dulu daripada Matlan marjan. Saya senior dia dalam bolasepak. Tapi Saidun Sungit lebih senior daripada saya.
UB: Tentu ramai orang yang datang ke rumah berjumpa YB?
YB JEREMY: Ya. Ada juga yang datang ke rumah mengadukan masalahnya. Berbagai bagai masalah rakyat yang perlukan perhatian dan keprihatinan kerajaan.
Selain itu, saya sudah membuka Pejabat Perhubungan Parlimen di Pekan Kota Belud untuk memudahkan rakyat berurusan dengan pihak wakil rakyat.
UB: Apa yang jadi pegangan YB dalam hidup?
YB JEREMY: Percaya kepada Tuhan.Itulah yang beri inspirasi.Dialah segalanya yang memberi kekuatan.
UB: Apa harapan YB?
YB JEREMY: Saya bersyukur dan amat berbangga kerana baru-baru ini YB Datuk Abdul Rahman Dahlan selaku Menteri dan Ahli Parlimen Kota Belud telah melancarkan NBOS yang bermatlamat menaiktarafkan pekan Kota Belud, menjadikan Kota Belud berubah wajah dari segi prasarana lanskap serta banyak lagi kemudahan seperti letak kereta, pasar rakyat bertingkat, mengurangkan kesesakan dan sebagainya, yang saya yakin sudah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Kota Belud.
Ini membuktikan bahawa Ahli Parlimen kami adalah seorang pemimpin yang berwawasan dan berkomitmen tinggi.
Sebagai pelengkap kepada usaha murni ini, saya berharap seluruh rangkaian di jalan raya Kadamaian dapat dinaiktaraf, begitu juga kemudahan bekalan air terawat, naik taraf bangunan sekolah rendah dan kemudahan klinik-kliniik desa. Inilah wawasan dan harapan saya.
Rabu, 26 Februari 2014
YB Jeremy, utamakan kesejahteraan rakyat
✔
abd naddin
Diterbitkan 9:58 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)