Sabtu, 6 Oktober 2012

Temubual dengan Timbalan Presiden PBS, Datuk Almudin Kaida

Tags





ALMUDIN, KOMITED DAN KONSISTEN DALAM PERJUANGAN

KOMITED DAN KONSISTEN, mungkin itulah dua perkataan yang boleh menggambarkan keperibadian Datuk Almudin Kaida, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS). Sebagai seorang tokoh yang teruji dalam parti berbilang kaum di negeri ini,  Almudin mendaki tangga demi tangga bermula dari Ahli Jawatankuasa Pemuda PBS Bahagian hingga menjadi salah seorang Timbalan Presiden PBS sejak 2009.

Datuk Almudin Kaida lahir di Kampung Nanamun, Kota Belud pada 8 Oktober 1963. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Nanamun (1971-1975), pendidikan menengah Tingkatan 1 hingga 3 di SMK Taun Gusi Kota Belud (1976-1978), Tingkatan 4 hingga 5 di SMK Likas Kota Kinabalu (1979-1980), Tingkatan 6 bawah hingga tingkatan 6 atas  (1981-1982). Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan lulus ijazah Sarjana Muda Psikologi Kaunseling pada tahun 2004.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru sukarela selama tiga tahun sebelum berkhidmat di Jabatan Audit Negara Cawangan Sabah selama 21 tahun iaitu sejak Januari 1983 hingga bersara secara pilihan pada Februari 2004 untuk berkecimpung sepenuh masa dalam kegiatan kemasyarakatan dan dunia politik.

Almudin pernah menjadi Pengerusi Persatuan Bahasa dan Budaya, Maktab Sabah (1981-1982), Pengerusi Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Maktab Sabah (1981-1982), Pengerusi SANYA Cawangan Seroja Likas (1985-1987), AJK Persatuan Bumiputera Iranun Sabah (PISBA) 1994-1999, AJK Persatuan Kakitangan Audit Sabah (1994-2004), Pengerusi JKKK Kampung Nanamun (1988-1994), Ahli Majlis Daerah Kota Belud selama dua penggal (2002-2004) dan Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar SRK Nanamun 2004 hingga kini, dan Presiden Persatuan Iranun Kota Belud Sabah (PERISA) 2010-2012.

Dalam bidang politik, Almudin bermula sebagai AJK Pemuda PBS Bahagian Tempasuk pada 1987-1990, Naib Ketua Bahagian PBS  N.6 Tempasuk, (1990-1993),Timbalan Ketua Bahagian PBS N6 Tempasuk (1993-1996), dan Ketua Bahagian PBS Tempasuk selama enam penggal sejak 1996.

Di peringkat Negeri, beliau menjawat Exco Pemuda PBS Pusat (1996-1997), Timbalan Ketua Pemuda Pusat (1997-2000), Ketua Pemuda PBS Pusat selama dua penggal (2000-2003, 2003-2006), Penolong Ketua Penerangan PBS Pusat (2006-2009) dan kini menjawat jawatan Timbalan Presiden PBS sejak 2009.

Almudin juga pernah menjadi Naib Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Kebangsaan (2002-2006), Naib Ketua Pemuda BN Negeri (2002-2006), AJK BN P.169 Kota Belud (2006-2008), Pengerusi Biro Sukan BN Kota Belud (2006-2008) dan Naib Pengerusi BN Kawasan P1.69 Kota Belud (2010-2011). Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Superpanel Sdn.Bhd (Anak Syarikat Lembaga Perumahan dan Bandar Sabah sejak Mei 2010).

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Siti Raisah Bungsu (kini Penolong Pengarah Bahagian Peperiksaan Jabatan Pendidikan)  dan dikurniakan tiga anak, Hafeez Almudin,24, Hafezzah Almudin,23, dan Hafeezudin Almudin,7. Atas jasa baktinya, Almudin dikurniakan pingat Bintang Kinabalu (BK) 1992, Ahli Darjah Kinabalu (ADK) 1997, Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) 2008. Beliau dianugerahkan pingat kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk pada 2011, iaitu tepat pada hari jadinya ke-48.

Ikuti petikan temubual wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dengan DATUK ALMUDIN KAIDA pada satu pagi yang jernih di pejabatnya di Alam Mesra.

UTUSAN BORNEO:      Mungkin banyak liku-liku yang ditempuhi sepanjang perjuangan ini.Tetapi bolehkah Datuk ceritakan sedikit pengalaman semasa kecil dahulu?
ALMUDIN:       Masa dulu memang teruk. Saya antara pelajar paling susah pada masa itu. Awal pagi sudah berjalan kaki beberapa batu ke sekolah. Pulang rumah sekitar pukul 2.00 atau pukul 3.00 petang. Sampai di rumah mandi dan makan apa yang ada. Selepas itu, menolong bapa  memikul pukat untuk keluar ke laut. Naik perahu `bangawan' ikut sungai. Sampai  Kuala Rampayan Laut, bapa singgah  beli minyak.  Tapi saya tidak ikut turun. Hanya tinggal dalam perahu. Kalau ada rakan-rakan sekolah, saya berselimut, sembunyi.Soalnya rakan-rakan di sana suka mengusik, makakudi, dalam bahasa Iranun. Selepas itu turunlah kami ke laut, semalaman. Kadang dapat ikan, kadang tidak. Kadang dapat ikan gaguk atau tenggiri. Esok paginya, agak-agak dekat kampung, saya diturunkan di tepi pantai. Berenang dan kemudian berjalan kaki ke rumah supaya dapat ke sekolah. Kalau tidak begitu, pasti terlambat ke sekolah.
Di sekolah, saya ada juga jual gula-gula. Setiap hari untuk dapat pendapatan.Maklumlah anak orang Miskin.Paling sengsara waktu itu.

UB:       Tak ada masa rehat?
ALMUDIN: Masa rehat hanyalah kalau musim ribut. Kalau musim angin kuat, gelombang besar.Nelayan tak dapat turun ke laut. Masa itulah digunakan oleh kanak-kanak seperti kami, main gasing, main guli, main ridi (sejenis permainan tradisi Iranun) dan sebagainya. Itu sewaktu sekolah rendah. Kemudian ketika di sekolah menengah, dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga di SMK Taun Gusi, saya tinggal bersama sepupu, Sitilian, yang terletak berdekatan sekolah. Setiap hari Jumaat pulang kampung untuk cari peluang tolong bapa. Kalau tak ada kereta terpaksa berjalan kaki berpuluh batu. Ketika itu, hanya terdapat sebuah kereta iaitu land rover NC Datu Okar.

UB:       Selepas tingkatan tiga kemana pula?
ALMUDIN:       Selepas perperiksaan SRP, saya bekerja sebagai buruh kasar, kerja memotong besi, dan bermacam kerja lain.Salah satu bekas tangan kami ialah pembinaan Kompleks Sukan Likas yang baru dibina pada ketika itu. Selepas itu, saya bersekolah lagi dalam Tingkatan 4 hingga 5 di SMK Likas. Ketika menunggu keputusan itu, saya bekerja sementara di Jabatan Arkib Negara selama enam bulan. Kerja membersihkan fail fail dan kertas-kertas. Maklumlah ketika itu, keputusan peperiksaan SPM agak lambat diumumkan. Sebenarnya ketika ditawarkan kerja itu, saya mengikuti kelas bahasa Inggeris yang dibimbing oleh Anwar Sullivan.Beliau yang menawarkan kerja sementara itu. Selepas mendapat keputusan yang agak baik dalam SPM, saya melanjutkan pelajaran di Maktab Sabah hingga tingkatan enam atas.

UB:       Jadi lepas tu, Datuk terus cari kerja?
ALMUDIN:       Sebelum lulus STPM, saya telah memohon kerja di Jabatan Ketua Menteri (JKM). Waktu itu kerja agak mudah diperolehi. Saya ditawarkan bekerja di Jabatan Audit atau di Jabatan Kastam. Akhirnya saya memilih Jabatan Audit. Sebenarnya, waktu memohon itu, saya tidak beritahu, yang saya sedang belajar. Kami adalah penuntut pertama yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) aliran Melayu. Semua orang memohon biasiswa dan berjaya melanjutkan pelajaran. Saya tidak memohon kerana terpaksa bekerja. Saya mahu membantu bapa kerana ada lagi tiga orang adik yang masih sekolah.

UB:       Siapa antara rakan sekelas yang Datuk masih ingat?
ALMUDIN: Ramai. Antaranya Datin Salwa, Dr.Kassim Ibrahim dan ramai lagi.

UB:       Berapa lama Datuk berkhidmat di Jabatan Audit Negara?
ALMUDIN:       Saya berkhidmat di Jabatan Audit Negara selama 21 tahun sebelum pencen muda pada tahun 2004 ketika usia 40 tahun.

UB:       Boleh ceritakan sedikit pengalaman dalam politik khususnya dalam PBS?
ALMUDIN: Saya rasa saya pernah memegang jawatan paling banyak dalam PBS iaitu sejak di peringkat bahagian lagi. Di peringkat bahagian, saya pernah menjawat jawatan  AJK Pemuda Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Ketua Bahagian. Di peringkat Pusat, saya pernah memegang jawatan Exco Pemuda PBS Pusat, Timbalan Ketua Pemuda PBS Pusat, Ketua Pemuda PBS Pusat, Penolong Ketua Penerangan PBS Pusat, dan kini diamanahkan sebagai Timbalan Presiden PBS sejak tahun 2009.

UB:       Setelah mengikuti perjalanan hidup Datuk, yang tidak jemu untuk mendapatkan ilmu, apa pendapat Datuk mengenai pentingnya pendidikan dalam kehidupan?
ALMUDIN:       Pelajaran sangat penting. Sekarang ada pembelajaran seumur hidup Kita yang berada di usia yang lanjut juga berpeluang untuk belajar dan memiliki ijazah. Bagi saya secara peribadi, ini boleh menjadi contoh kepada anak-anak kita. Sebagaimana yang kita semua yakini, pelajaran mampu mengubah kehidupan. Hanya ilmu pengetahuan, hanya dengan memiliki pelajaran kita mampu keluar dari belenggu kemiskinan. Saya sendiri, sebagai anak nelayan, pendidikanlah yang sedikit sebanyak merubah kehidupan saya, daripada anak seorang nelayan yang miskin hingga ke tahap yang ada sekarang.Alhamdulillah.
Pelajaran amatlah penting terutamanya sekarang ketika cabaran dan persaingan semakin sengit. Sebab itu saya selalu ingatkan anak-anak supaya lulus dulu dalam pelajaran sebelum cari pasangan hidup.

UB:       Oh ya, mungkin Datuk bersetuju kalau saya katakan, di kampung-kampung, jauh beza keadaan dulu dan sekarang?
ALMUDIN:       Memang terdapat perubahan yang jelas. Memang keadaan dulu berbeza dengan sekarang. Contohnya dulu di kampung kita, tiada jalan raya, kereta pun tiada. Masa itu kalau kita nampak kereta, kita bilang itu kereta pengait, kerana memang jarang orang yang ada kereta.  Tapi sekarang keadaan jauh berbeza. Hampir semua kampung ada jalan rauya, malah jalan ke kuburan pun bertar. Dulu orang belajar pakai lilin, pakai tanglung kerana tiada letrik, sekarang semua ada. Cuma yang kita hadapi kialah masalah air bersih. Belum sampai walaupun batang paipnya ada.  Walau bagaimanapun, masih banyak lagi yang perlu ditingkatkan.
Selain itu, kerajaan juga memberikan bantuan kepada warga emas, kepada balu,OKU, orang miskin, petani, nelayan dan hampir semua sektor kehidupan mendapat bantuan daripada kerajaan. Banyak kemajuan dan pembangunan. Cuma banyak lagi yang perlu diperbaiki.Kita yakin kerajaan sekarang mampu memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

UB:       Sebagai salah seorang Timbalan Presiden PBS kouta kuning, ada yang ingin tahu bagaimana kedudukan Islam dalam PBS ? (PBS mempunyai tiga Tiga Timbalan Presiden iaitu Datuk Dr.Maximus Ongkili (kouta biru- Bumiputera Bukan Islam)dan Datuk Dr.Yee Moh Chai  untuk kouta Merah untuk Cina) dan Datuk Almudin Kaida).

ALMUDIN:       Kedudukan Islam dalam PBS, dari dulu lagi sangat bagus. Sebagai contoh kecil, setiap kali mesyuarat majlis Tertinggi  mesti dimulakan dengan doa. Malah Tan Sri Pairin Kitingan sendiri menekankan apapun perkara mesti dimulakan dengan doa. Selain itu, setiap kali tibanya hari raya, PBS juga menyediakan sumbangan hari raya.Setiap tahun ada majlis bernuka puasa.

PBS ada 61 bahagian termasuk Labuan, 20 bahagian di antaranya diketuai oleh pemimpin beragama Islam. Tiada diskriminasi. Misalnya dalam jawatan bagi Ketua Pemuda, siapa pun   boleh tanding.Kita lihat pemuda sebelum ini dipimpin oleh Datuk Wilfred Mojilip Bumburing, Daniel Kinsik, Anthony Liew, Almudin dan sekarang Datuk Jahid Jahim. Siapapun boleh tanding. Begitu juga bagi jawatan Presiden, Ketua Wanita, Ketua Bahagian, siapapun boleh tanding tanpa mengira kaum dan agama. Ini tradisi kita. Sebenarnya, tradisi  tiga Timbalan ketua Menteri  yang memulakan ialah PBS.
Satu ketika dahulu juga, ketika PBS memerintah,  setiap tahun ada 5 kouta haji untk satu bahagian. Waktu itu ada 48 bahagian, jadi satu tahun kita menghantar jemaah haji sebanyak 240 orang. Ini sudah dimasukkan dalam Bajet.

UB:       Apa hobi datuk ya di masa lapang?
ALMUDIN:       Sekarang tidak banyak masa lapang.Kalau ada masa lapang, saya  berkebun. Di kampung, saya menternak kambing dan sapi, ada juga sedikit kebun kelapa sawit.

UB:       Selama 27 tahun dalam parti, pernah mengalami jatuh bangun, kalah menang dalam pemilihan, apa yang membuat Datuk konsisten dalam perjuangan?
ALMUDIN:       Kalah menang memang adat dalam pertandingan. Tapi kita tidak boleh berkecil hati atau patah semangat dalam perjuangan. Saya pernah bertanding Exco Pemuda dan menang, Timbalan ketua Pemuda juga menang, Ketua Pemuda sebanyak dua kali menang menentang Datuk Johnny Mositun.Ketika menentang Datuk Jahid, saya kalah.Kemudian saya dilantik Timbalan Ketua Penerangan. Pada tahun 2009, dalam pertandingan Timbalan Presiden saya bernasib baik menang dengan sepuluh undi melawan Datuk Pengiran AK Aliuddin Mohd.Tahir.Beliau mendapat 304 undi, saya mendapat 314 undi. Saya bertanding enam kali dalam PBS. Tapi bagi saya kesetiaan kepada parti lebih penting.Saya yakin parti yang saya sertai mampu membela kepentingan dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.Itu yang membuat saya konsisten dalam perjuangan.