Sabtu, 6 Oktober 2012

Temubual dengan Hajah Musliati Muslimin, Ketua Puteri UMNO Sabah

Tags



PUTERI UMNO SABAH MILIKI AHLI TERAMAI DI MALAYSIA

“MULA-MULA sukar mencari ahli.Masuk kampung keluar kampung, buka kaunter di mall dan kompleks membeli belah, buat kempen keahlian. Tapi orang selalu bertanya apa manfaatnya jadi ahli Puteri, apa yang kami dapat, selalu mereka bertanya begitu. Tapi cabaran ini tidak pernah mematahkan semangat kami”, kata Ketua Puteri UMNO Sabah, Hajah Musliati Muslimin. Bermula dengan ahli yang sedikit itu, kini Puteri UMNO Sabah mempunyai ahli yang teramai di Malaysia iaitu 54,933 orang.

Hajah Musliati Muslimin lahir di Sandakan pada 4 April 1973 tetapi membesar di Kampung Likas. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK St Agnes, Likas sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SM All Saints Likas. Pemegang dua diploma ini, Diploma Kesetiausahaan dan Diploma Perisian Komputer, kini masih lagi menuntut untuk ijazah Sarjana Muda di Open University Malaysia.

Beliau menyertai UMNO pada tahun 1991 dalam bergiat dalam pergerakan wanita. Bagaimanapun apabila Pergerakan Puteri UMNO ditubuhkan pada tahun 2001, Hajah Musliati dilantik sebagai Bendahari Puteri UMNO Sabah. Kemudian beliau menjadi Naib ketua Puteri UMNO Kota Kinabalu dan seterusnya menjadi Ketua Puteri Bahagian Kota Kinabalu. Selepas itu, beliau menjadi Naib Ketua Puteri UMNO Negeri pada 2004-2007 sebelum dilantik sebagai Ketua Puteri UMNO Sabah sejak 2008.

Hajah Musliati telah mendirikan rumah tangga dengan Mohd.Nizam Nazib dan dikurniakan anak perempuan, Normaisarah Humairah, 6 bulan.

Ikuti petikan temubual Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dengan Ketua Puteri UMNO Sabah,HAJAH MUSLIATI MUSLIMIN  di kedainya di Chili Padi, Alam Mesra


UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit pengalaman sewaktu mula-mula penubuhan Pergerakan Puteri UMNO di Sabah?
HAJAH MUSLIATI: Sewaktu mula dulu, mencari ahli bukan mudah. Waktu itu saya bergiat dalam pergerakan wanita. Apabila kita beralih kepada pergerakan Puteri, memang banyaklah cabaran. Untuk menambahkan ahli, kita terpaksa masuk kampung keluar kampung...Buka kaunter di kompleks membeli belah dan sebagainya. Untuk mencari ahli di kampung, cabarannya lebih besar lagi. Kita terpaksa memperkenalkan Puteri agar mereka diterima. Banyak kekangan dan cabaran. Kita selalu ditanya, apa dia orang dapat. Apa manfaat yang mereka perolehi jika masuk Puteri, itu yang selalu mereka tanya.

UB:       Ramai juga yang masuk ahli?
HMM:   Akhirnya segala rintangan itu dapat diharungi. Ketika itu, Pergerakan Puteri UMNO Sabah dipimpin oleh  Datuk Rosnah Rashid Shirlin (kini Timbalan Menteri Kesihatan dan Ketua Puteri UMNO Malaysia), telah bertungkus lumus untuk memperkenalkan Puteri sebagai entiti baru dalam parti. Ramai juga yang excited mahu masuk Puteri dan bangga dipanggil Puteri.

UB:       Di peringkat awal, apa program yang diberikan tumpuan oleh Puteri?
HMM:   Ketika itu kita menumpukan kepada program-program kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan. Di peringkat awal penubuhan Puteri, programnya tidak terlalu politik sebaliknya lebih kepada kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan.Itu yang kita berikan tumpuan.

UB:       Bagaimana sambutan terhadap Puteri sekarang?
HMM:   Syukur alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan. Daripada ahli pertama Puteri iaitu Datuk Rosnah, kini Puteri UMNO Sabah mempunyai hampir 55,000 ahli. Jumlah keahlian Puteri UMNO Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia.Malah sejak beberapa tahun kebelakangan, kita mencatat pertambahan ahli yang paling ramai. Bayangkan, pada mulanya kita hanya mempunyai Exco di peringkat negeri.  Terdapat seramai 20 orang Exco Puteri di seluruh Sabah. Waktu itu belum masuk ke UMNO Bahagian lagi. Kini semua 25 UMNO Bahagian di Sabah mempunyai sayap Puteri masing-masing. Kedudukan Puteri adalah sama dengan sayap-sayap UMNO yang lain seperti Wanita dan Pemuda.

UB:       Apa peranan yang dimainkan Puteri sebagai sayap parti?
HMM:   Puteri telah memainkan peranan penting untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya umum (PRU) 2004 dan 2008. Kita juga banyak membantu dalam pilihanraya-pilihanraya kecil (PRK) di seluruh negara termasuk di Sarawak. Kita berusaha menjangkau pengundi-pengundi muda khususnya golongan belia untuk memastikan mereka  terus memberi sokongan kepada kerajaan yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional.

UB:       Kalau dibandingkan cabaran dahulu dan sekarang, apa bezanya?
HMM:   Sekarang cabaran lebih besar. Bukan mudah untuk merekrut ahli baru. Golongam muda sekarang lebih terdedah kepada lalu lintas informasi. Cuma yang dikesalkan ialah mereka mudah dipengaruhi oleh tohmahan-tohmahan yang dibuat pembangkang. Alhamdulillah, sungguhpun cabaran yang diterima lebih besar tetapi masih ramai lagi golongan muda yang dapat berfikir rasional dan memberikan sokongan kepada UMNO dan BN. Kerajaan juga, sejak lama telah menunjukkan komitmen untuk menghargai sumbangan golongan muda ini.

UB:       Sejauh mana keyakinan puan terhadap komitmen kerajaan membantu golongan muda?
HMM:   Kita yakin bahawa hanya kerajaan yang ada sekarang, mempunyai kemampuan untuk membantu golongan muda. sebab itu kita sentiasa berusaha memberikan kesedaran dan kefahaman kepada golongan muda. Kita menekankan betapa pentingnya penyertaan golongan muda dan memastikan mereka maju dalam bidang pendidikan dan ekonomi.  Bagaimanapun, program-program kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan dan sebagainya, tidak pernah kita abaikan. Kita sentiasa berusaha untuk memastikan golongan muda memberikan sokongan supaya kerajaan yang ada sekarang kekal memerintah.

UB:       Apa perlunya golongan muda menyokong kerajaan BN?
HMM:   Sebab masih banyak lagi misi dan visi kerajaan belum terlaksana. Kerajaan BN menyediakan pelbagai program, juga pelbagi skim bantuan untuk membantu golongan muda. Selain itu, banyak misi kerajaan membantu golongan muda dari aspek pendidikan dan ekonomi masih belum tercapai lagi. Golongan muda akan rugi sekiranya program-program kerajaan yang membawa banyak faedah dan manfaat kepada mereka tidak dapat diteruskan. Golongan muda perlu banyak pembelaan.kita lihat kerajaan serius membantu golongan belia dengan menwujudkan dana belia 1malaysia, Skim Rumah pertamaku, Kad  Diskaun Siswa 1Malaysia dan banyak lagi. Kita yakin dalam pembentangan Bajet 2013, lebih banyak peruntukan diberikan kepada golongan belia. Kita bberterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin terhadap nasib golongan belia. Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat, prihatin kepada kehendak dan aspirasi rakyat. Malah di peringkat negeri juga, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman berusaha untuk membantu golongan kaum belia, wanita dan sebagainya. Kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri telah membanyak banyak pelabur, yang sudah tentu mampu memberikan banyak peluang pekerjaan kepada belia misalnya projek pembangunan Terminal Minyak dan Gas di Sabah (SOGT) di Kimanis dan sebagainya.


UB:       Pernahkah juga Puteri UMNO Sabah menyertai misi antarabangsa?
HMM:   Puteri pernah menyertai misi bantuan ke Aceh selepas tragedi tsunami melanda wilayah itu. Kita ikut membantu mangsa. Selain itu, kita juga menghantar wakil Puteri UMNO untuk misi membantu mangsa perang di Afghanistan.

UB:       Ada pengalaman tertentu sewaktu di sana?
HMM:   Memang banyak pengalaman yang mengharukan sewaktu menyertai misi antarabangsa. Ketika berada di Aceh, kita lihat bagaimana rumah ranap, bagaimana orang-orang kehilangan keluarga, suami kehilangan isteri, isteri kehilangan suami, anak kecil menjadi yatim piatu. Kita dapat merasakan kesedihan yang mereka alami.Kita dapat melihat bagaimana keperitan hidup yang dialami, trauma dan sebagainya. Kita lihat betapa mereka tabah menjalani kehidupan tanpa orang tersayang dan sebagainya. Kini keadaannya sudah berbeza. Wilayah Nanggroe Aceh Darussalam itu mulai membangun dari puing-puing runtuhan tsunami.

UB:       Oh ya, apa agaknya kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika dalam Puteri?
HMM:   Salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika menyertai kempen untuk memastikan Datuk Rosnah menang dalam pertandingan untuk Ketua Puteri UMNO Malaysia. Kita turun padang bukan saja ke seluruh negara untuk memastikan beliau menang.Kita mahu wakil Sabah menang dalam pertandingan Ketua Puteri itu untuk membuktikan bahawa kepimpinan orang Sabah juga boleh diterima.Kita keliling satu Malaysia, satu Sabah untuk  memastikan beliau diterima.Kita mahu memastikan pemimpin kita diterima sebagai pemimpin negara.Kita mahu meyakinkan mereka supaya menerima pemimpin Sabah sebagai pemimpin di peringkat pusat.

UB:       Di tengah kesibukan sebagai ahli politik, ahli perniagaan, keluarga dan pelajar, bagaimana puan dapat membahagikan masa?
HMM:   Kita sudah biasa. Keutamaan kepada keluarga.Kena ada persefahaman antara suami isteri. Bila ada saling faham memhaami, tiada masalah. Memang ada masa untuk mengadakan program puteri, ada masa untuk menjalankan perniagaan dan masa untuk belajar, masa untuk keluarga dan sebagainya.Yang penting kita pandai membahagikan masa.

UB:       Apa hobi masa lapang?
HMM:   Bila ada masa, saya selalu membawa keluarga bercuti. Cuma tidak tentu, kalau ada kelapangan, saya selalu bersama keluarga.

UB:       Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk Sembang Sabtu Utusan Borneo.
HMM:   Terima kasih banyak.