BASRI
ABD GAFAR, DARI KAMPUNG MANAKAYAN , BERJALAN SAMPAI OHIO
MUNGKIN
tiada siapa yang menyangka, anak kampung yang berjalan kaki setiap pagi sejauh
kira-kira 8 kilometer dari Tulibas ke SRK Dengan Tungku, lebih 45 tahun yang
lalu, kini menjadi Timbalan Pengurus Besar (Pemasaran) Cement Industries
(Sabah) Sdn.Bhd, sebuah anak syarikat SEDCO.
Kegigihan
dan ketabahan serta semangat yang tidak mengenal putus asa untuk belajar hingga
ke peringkat yang lebih tinggi, membolehkan Datuk Mohd.Basri Abd Gafar menjadi
antara orang pertama dari Tungku yang berjaya menjejakkan kakinya ke
universiti.
Datuk
Mohd. Basri Abd Gafar lahir pada 14 April 1956 di Kampung Manakayan, Tungku
Lahad Datu. Beliau mendapat pendidikan
awal di SRK Dengan, Tungku (1965-1967) kemudian melanjutkan pelajaran menengah
di SM St Dominic Lahad Datu (1968-1973) dari Kelas Peralihan hingga Tingkatan
Lima. Selepas itu, beliau ke Kota Kinabalu untuk melanjutkan pelajaran
dalam Tingkatan Enam di Maktab Sabah (
1974-1975).Kemudian beliau mengikuti pengajian Diploma dalam Perakaunan (DIA)
di ITM Kota Kinabalu dan ITM Shah Alam
(1977-1979). Tidak lama kemudian, beliau mendapat biasiswa Kerajaan Negeri
untuk melanjutkan pelajaran ke Ohio University, Athens, Ohio di Amerika
Syarikat dan berjaya memperolehi ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan
(BBA) pada tahun 1981-1982 dan Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) 1983-1984.
Anak
kedua dari sepuluh adik beradik ini lahir dari keluarga petani. Ayahnya, Haji
Abdul Gapar Kullama, selain menjadi imam di kampung Bangingod juga seorang
pekedai runcit manakala ibunya, Hajah Inning Panglima Iddeh, selain menjadi
seorang suri rumah juga adalah seorang guru mengaji.
Kerjaya
Mohd.Basri bermula apabila dilantik sebagai
Pegawai Kira-Kira di Jabatan Bendahari Negeri Sabah pada tahun 1979 dan pada
tahun berikutnya dilantik pula sebagai Pegawai Kira Kira di Jabatan Kesihatan
Negeri Sabah sebelum beliau melanjutkan pelajaran di Ohio,Amerika Syarikat.
Sekembalinya ke tanah air, beliau
bertugas sebagai Pegawai Kira-Kira Kanan di Jabatan Ketua Menteri Sabah
(1984-1985).
Selepas
itu ,beliau bertugas sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan di Perkasa
Trading Sdn.Bhd, sebuah anak syarikat SEDCO. Sepanjang berkhidmat di sana,
beliau pernah ditugaskan sebagai Eksekutif Pemasaran di Sandakan dan seterusnya
menjawat jawatan Pengurus Cawangan di Lahad Datu selama dua tahun 1980-1990.
Jawatan terakhirnya di syarikat itu ialah
Pengurus Kumpulan di Kota Kinabalu 1991-1994.
Pada
tahun 1995, beliau mula bertugas sebagai Penolong Pengurus Pemasaran dan
menaiki tangga demi tangga sehingga dilantik sebagai Timbalan Pengurus Besar Pemasaran di Cement
Industries (Sabah) Sdn.Bhd, juga sebuah anak Syarikat SEDCO. Selain itu, beliau
juga dalah ahli Lembaga Pengarah Palmarina Sdn.Bhd (2001-2005) dan MB Ventures
Sdn Bhd (2005 hingga kini) selain pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah
(Alternate) Pembangunan Sumber Manusia Bhd (2007-2009). Beliau juga adalah
Timbalan Presiden Persatuan Pengilang-Pengilang Sabah (Federation of Sabah
Manufacturers) dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia.
Mohd
Basri berumahtangga dengan Sithi Fareeda Hj Mohd Razi , dan dikurniakan empat
anak, Fareena Ihsan, 29, Zareeda, 27, Fazila 24 dan Akmal Fitri 13.
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual DATUK MOHD.BASRI HJ.ABD
GAFAR (DMBHAG) di salah sebuah restoran
terkemuka di Jalan Gaya bagi berkongsi sedikit pengalamannya sejak dari bangku
sekolah sehingga kini.
UTUSAN
BORNEO: Boleh Datuk ceritakan
pengalaman sewaktu bersekolah di Tungku dahulu?
DMBHAG: Ketika bersekolah dahulu, kami terpaksa
berjalan kaki sejauh kira-kira 8 kilometer. Kami menyusuri tepi laut untuk ke
sekolah. Bangun pagi-pagi lagi. Jam 4.00 pagi sudah terbangun dan selepas Subuh
sudah mula berjalan kaki bersama rakan-rakan untuk ke sekolah rendah yang
terletak di Dengan.
UB: Jam berapa pulang dari sekolah?
DMBHAG: Pulang dari sekolah kira-kira jam 12.30
tengahari dan sampai di rumah kira-kira jam 2.30 petang. Ketika Darjah 1 hingga
darjah 4, saya tinggal dengan Nenek di Tulibas. Kami tinggal beramai-ramai di
sana dari Isnin hingga Jumaat. Hari Jumaat petang kami pulang kampung di
Bangingod hingga balik semula tempat nenek pada hari Ahad petang. Bagaimanapun,
bermula dari 5 hingga darjah 6, saya berulang alik dari Bangingod kerana
dianggap sudah semakin besar. Sebaik pulang rumah, saya membantu bapa yang
berniaga kedai runcit, bantu beli ikan untuk dibuat ikan masin dan sebagainya.
UB: Tentu banyak pengalaman. Mungkin Datuk ada kenangan yang tidak dapat dilupakan?
DMBHAG: Pengalaman waktu itu memang banyak.
Saya ingat ketika kecil dahulu, saya takut dikejar anjing. Kebetulan kami perlu
melalui kebun orang Cina yang memelihara anjing. Selain memelihara anjing, dia
juga memelihara itik. Kami takut kalau melalui kebunnya yang terletak dekat
sungai kerana anjingnya garang. Itiknya pula bertelur dan kami sering menjumpai
telur itiknya. Tapi kerana takut digigit anjingnya, kami tidak mengambil telur
itiknya.
Kalau
kami haus dalam perjalanan pulang itu, ramai ramai kami panjat kelapa yang
banyak terdapat di pesisir pantai.
UB: Selepas itu, Datuk sekolah dimana pula?
DMBHAG: Selepas itu saya bersekolah di SM
St.Dominic Lahad Datu.Mulanya dalam Bridge Class atau kelas peralihan sebelum
bersekolah tingkatan satu hingga 5 di sekolah itu.
UB: Dulu dari Tungku ke Lahad Datu berapa
jauh? Waktu itu masih belum ada jalan kan?
DMBHAG: Dulu tiada jalan.Hanya melalui laut
dengan perahu layar yang akan mengambil masa hingga dua hari.Kemudian pakai
enjin sangkut mengambil masa hingga 12 jam dan kemudian dengan `motor’ yang
mengambil masa 6 hingga 8 jam. Antara rakan sekolah saya ialah Dr.Baitun
Pisingan, Tuan Haji Kayum Haji Omar, KAN Haji Malik Aidala.
UB: Di mana Datuk tinggal waktu itu?
DMBHAG: Saya tinggal tempat keluarga di Kampung
Singgahmata, Lahad Datu. Kami masak sendiri, cuci kain sendiri dan sebagainya.
UB: Tamat tingkatan 5 dan setelah lulus
peperiksaan MCE, Datuk terus bekerja?
DMBHAG: Tidak. Saya melanjutkan pelajaran di
Sabah College, kini Maktab Sabah dalam tingkatan 6. Di Maktab Sabah, kami
tinggal di asrama. Jadi tidak ada banyak masalah dalam pembelajaran kerana
tinggal di asrama. Selepas itu, barulah saya melanjutkan pelajaran lagi di
peringkat diploma iaitu Diploma in Accounting (DIA) di ITM Kota Kinabalu
selanjutnya ke ITM Shah Alam. Selepas itu, barulah saya bekerja di Jabatan
Bendahari Negeri sebagai Pegawai Kira-Kira.
UB: Kemudian Datuk terus belajar di Amerika?
DMBHAG: Selepas itu saya mendapat peluang
belajar di peringkat Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBA) di Ohio
University, Athens di Ohio. Kemudian saya meneruskan pengajian di peringkat MBA
di universiti yang sama.
UB: Selepas itu?
DMBHAG: Selepas berjaya memperolehi MBA, saya
kembali ke tanahair dan kemudian dilantik sebagai Pegawai Kira-Kira Kanan dan
ditempatkan di Jabatan Ketua Menteri sebelum menyertai Perkasa sebagai
Eksekutif Pemasaran dan selepas itu berpindah ke Cement Industries (Sabah)
Sdn.Bhd, sebuah anak syarikat SEDCO.
UB: Apa kunci kejayaan Datuk? Siapa yang
paling banyak beri dorongan hingga maju dalam pelajaran?
DMBHAG: Saya fikir kegigihan dan ketabahan
serta semangat ingin belajar. Sebagai anak kampung dari sebuah desa yang
terpencil ketika itu, mendorong saya untuk belajar lebih tinggi. Apatah lagi
ketika melihat keadaan sekeliling, masyarakat saya yang kebanyakannya masih
berada dalam tahap kemiskinan. Saya yakin hanya dengan memiliki pelajaran saja
yang mampu mengubah dan membasmi kemiskinan.
UB: Bagaimana Datuk melihat generasi muda
sekarang?
DMBHAG: Saya fikir mereka perlu mengubah minda
mereka.Jangan terlalu memilih kerja.Sebaliknya mereka boleh menceburi bidang
perniagaan dan bidang pertanian juga berpotensi untuk dikembangkan. Malah
pertanian boleh menjadi perniagaan yang membawa keuntungan yang lumayan. Hidup
masyarakat kini semakin berubah kerana mereka menceburi bidang pertanian dengan
tekun seperti menanam kelapa sawit, buah-buahan dan sebagainya. Saya fikir
generasi muda sekarang perlu mengambil peluang untuk menceburi perniagaan dalam
bidang pertanian. Agriculture is business, kata orang. Walaupun mereka harus
bermula secara kecil-kecilan dahulu. Sekarang, generasi belia di luar Bandar
tidak perlu lagi mengharapkan untuk bekerja di pejabat-pejabat kerajaan
sebaliknya mereka boleh terus menceburi bidang perniagaan, yang mampu pulangan
tanpa had kepada mereka. Bidang perniagaan mampu membawa pulangan yang lumayan.
UB: Oh ya, apa pendapat Datuk mengenai Bajet
2013 yang baru dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman di
Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam sidangnya baru-baru ini?
DMBHAG: Bajet 2013 itu adalah bajet yang
terbesar dalam sejarah.Sebanyak RM4.8 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan
pembangunan. Ini sesuatu yang menarik. Bagaimanapun, bajet 2013 itu haruslah
dipastikan agar sampai ke kelompok sasaran. Jabatan dan agensi berkaitan
hendaklah memastikan bajet 2013 sampai ke sasaran. Kalau tidak, tentulah ia
tidak mencapai apa yang diharapkan oleh kerajaan. Kerajaan hendaklah memastikaSupaya
semua pihak dapat menikmatinya dan ini mampu mengurangkan jurang ekonomi. Di
negara kita, sungguhpun tidak banyak golongan milyuner atau jutawan, tetapi
lebih banyak golongan kelas menengah. Jurang antara yang miskin dan yang kaya
juga tidak terlalu ketara. Kita tidak mahu jurang ekonomi yang besar, kita mahu
menjurus kepada pembahagian kek ekonomi yang sama rata.
UB: Dalam bajet 2013, banyak bertumpu kepada
kakitangan awam.Bagaimana pula sektor swasta? Apa pendapat Datuk ya?
DMBHAG: Dalam bajet ini, golongan penjawat awam
bertuah kerana mendapat bonus. Tetapi saya fikir, kerajaan juga harus
memikirkan nasib kakitangan dalam sektor swasta. Gaji kakitangan swasta ada
yang lebih rendah. Kaji semula struktur gaji swasta supaya kakitangan swasta
juga menikmati faedah seperti yang dinikmati oleh kakitangan kerajaan.
UB: Baru-baru ini, Malaysia telah menjadi
fasilitator yang telah berjaya membawa Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan
Islam Moro (MILF) untuk menamatkan sengketa mereka selama kira-kira 40 tahun.
Bagi pendapat Datuk, apakah kerangka perjanjian damai yang ditandatangani itu
member manfaat kepada kita?
DMBHAG: Sudah pasti, jika perdamaian dapat
dicapai di Mindanao, banyak peluang baru akan tercipta dan memberi kesan kepada
Sabah khususnya kawasan Pantai Timur Sabah yang bersempadanan dengan Filipina.
Kawasan Sandakan, Semporna, Tungku akan meningkat dari segi ekonominya. Kita
harus mengambil kesempatan dan bersedia merebut peluang perniagaan yang akan
wujud. Selain itu, pelarian Filipina yang ada di Sabah pasti akan balik ke
negara asal mereka kerana perdamaian tercipta di sana.
Perdamaian
yang tercapai ini mampu memberi kesan positif terutamanya di kawasan BIMP-EAGA.
Saya yakin , golongan peniaga khususnya boleh memanfaatkan peluang yang
tercipta ekoran perjanjian damai itu. Mereka
boleh mengambil bahagian dalam pembangunan yang dijangka meningkat di kawasan
BIMP-EAGA.
UB: Khabarnya
Datuk aktif dalam kegiatan sosial?
DMBAG:
Sebenarnya, sejak di bangku sekolah lagi saya sudah terlibat aktif dalam
kegiatan di bidang sosial. Saya pernah menjadi Presiden Badan Dakwah Islamiah
YS-ITM (1976-1977) Naib Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar ITM 1978-1979,
Presiden Kesatuan Pelajar Sabah dan Sarawak Ohio Universiti,Athen, Presiden
Kelab Sukan dan Rekreasi Perkasa Trading Sdn.Bhd 1986-1985, Presiden Kelab
Kumpulan SEDCO 1995-2008, Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Cement Industries
(Sabah) Sdn.Bhd, AJK Persatuan Pelajar Maktab Sabah (OSCA) 1996-2008 dan Ahli
Majlis Daerah Lahad Datu 1991-2001.
Sekarang
pun saya juga masih aktif dalam majlis-majlis amal, membantu anak-anak yatim,
golongan miskin dan sebagainya.
UB: Tentu Datuk punya banyak pengalaman ke
luar negara. Apa negara yang pernah dilawati?
DMBHAG:
Ada jugalah. Saya kerapkali
mewakili syarikat, kumpulan atau persatuan dalam persidangan-persidangan
antarabangsa yang diadakan di luar negeri seperti UAE,Taiwan,Korea Selatan,
China, Australia,Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei dan
lain-lain. Selain itu, saya selalu menghadiri Forum dan Seminar dalam bidang
ekonomi dan perniagaan baik di peringkat negeri, kebangsaan.
UB: Boleh
ceritakan penglibatan dalam politik?
DMBHAG:
Saya mengikuti perkembangan politik sejak kecil lagi. Lahir dalam keluarga yang aktif dalam
politik. Nenek saya, Pg Iddeh bin
Panglima Baning adalah seorang politik tempatan di zaman Usno. Walaupun berminat dalam politik tetapi tidak
menyertai apa-apa parti politik sehinggalah UMNO masuk ke Sabah.
UB: Bila menyertai UMNO?
DMBHAG: Saya mula menjadi ahli Umno di UMNO
Cawangan Kampung Pulau Terusan tahun 1995, Mendapat undi yang kedua terbanyak
dalam pemilihan wakil 10 Bahagian Silam tahun 1996, mendapat undi ketiga terbanyak
dalam pemilihan wakil 10 bahagian tahun
1997, menjadi Ketua Cawangan Kampung Bangingod tahun 1998, Bertanding Naib
Ketua Bahagian tahun 1998, dilantik AJK Bahagian tahun 2000, menang undikedua
terbanyak dalam pemilihan AJK dan wakil 7 tahun 2001, menjadi Pengerusi Biro
Ekonomi dan Ketua Daerah Mengundi Zon Tanjung Labian Tungku tahun 2002,
mendapat undi terbanyak wakil 7 bahagian Silam tahun 2003. Bertanding Naib Ketua
Bahagian tetapi kalah tahun 2004. Kemudian
dilantik sebagai Bendahari Bahagian UMNO Silam tahun 2005, dilantik
Ketua Daerah Mengundi Zon Tungku, menang
dalam pemilihan bahagian dan Wakil 7 tahun 2007. Tanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian
tahun 2008 tetapi kalah, menang dalam pemiliha wakil 7 dengan mendapat undi
kedua terbanyak tetapi pada 2010, tidak bertanding dalam pemilihan wakil 7
bahagian. Itulah sedikit sebanyak turun naik penglibatan dalam politik.
UB: Siapa yang selalu memberi dorongan kepada
Datuk?
DMBHAG: Ibu bapa yang kuat memberi semangat.
Cikgu-cikgu saya juga selalu memberi semangat. Antara yang saya ingat Cikgu
Asing, Cikgu Simon, Cikgu Adama dan lain-lain. Sewaktu masih di SM St Dominic
antara cikgu yang saya ingat, Fr Celemente, Orang Itali kerana disiplin yang
diterapkannya, Miss Capili, guru bahasa Inggeris dan sebagainya. Di Maktab
Sabah, antara cikgu saya ialah Datuk Vincent Chia, Haji Mohd.Arifin Haji Isa,
Pengarah Urusan SEBOR dulu.
UB:
Masih ingat rakan-rakan sekolah yang telah berjaya?
DMBHAG: Antaranya ialah Dr Baitun Pisingan,
Doktor Haiwan, Abd.Rahim Hakim, ADO Tungku, Haji Mohd Akhir
Tikok dan sebagainya. Ini sewaktu di St Dominic. Sewaktu di Sabah College pula,
antara rakan sekolah saya ialah Dr Kasim Samsuri, Tan Sri Gani Patail dan
lain-lain.
UB: Kalau boleh tahu, siapa idola Datuk ?
DMBHAG:
Saya meminati ketokohan Allahyarham Tun Dr.Ismail, mantan Timbalan Perdana
Menteri dulu. Saya meminatinya kerana dia seorang yang tegas, `straight forward’
dan sebagainya. Banyak juga tokoh-tokoh lain yang saya minati tetapi Tun
Dr.Ismail adalah yang paling saya minati.
UB: Biasanya jika ada masa lapang, apa yang
Datuk lakukan?
DMBHAG: Saya terlibat dalam banyak persatuan.
Banyak terlibat dalam kegiatan masyarakat. Selain itu, saya selalu balik ke
kampung untuk membuat kerja-kerja sosial, yang saya minati sejak dulu
lagi.Kalau ada waktu saya selalu bersenam dan sebagainya.
UB: Terima kasih banyak Datuk kerana memberi
kesempatan untuk sesi temubual untuk ruang Sembang Sabtu ini.
DMBHAG: Terima kasih juga kerana sudi
menemubual saya. Sebenarnya tak ada yang perlu dibanggakan tetapi saya berharap
lebih ramai lagi generasi muda kita terutamanya di luar bandar berjaya dalam
kehidupan mereka. Bagi saya pendidikan adalah sesuatu yang penting dan perlu
diberikan keutamaan. Hanya melalui pendidikan yang mampu mengubah kehidupan
kita kea rah sesuatu yang lebih baik.