BERMULA
DARI SEBUAH SUNGAI;MENYINGKAP SEJARAH PERKEMBANGAN ISLAM DI PUTATAN
Entah
kenapa tiba-tiba saya ingat sungai itu. Sungai yang mungkin kini telah tiada.
Padahal, menurut sejarah di sungai inilah, peradaban Islam pernah mudik di
kualanya melalui tokoh-tokoh pendakwah, peniaga dan pengembara.
"Sungai
yang mengalir dari Moyog melalui Kampung Tarawi hinggalah ke muara sungainya di
Tanjung Dumpil, ianya disebut Sungai Putatan," demikian pernah dicatatkan
oleh seorang tokoh pendakwah yang telah berpulang, Datuk Haji Awang Sahari Haji
Abdul Latiff.
Sungai
Putatan itu dahulunya memang terkenal sebagai pelabuhan dan persinggahan
kapal-kapal, tulisnya dalam makalah "Sejarah Gerakan Islam dan Perjuangan
Ulama di Daerah Putatan". Menurutnya, kedudukan Putatan sebagai pelabuhan
dan tempat persinggahan tongkang-tongkang dan perahu layar yang datangnya dari
berbagai tempat di seluruh Nusantara seperti Kepulauan Sulu, Kalimantan,
Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak, Brunei, Singapura dan lain-lain.
Menurut
Allahyarham, keistimewaan Putatan satu ketika dahulu bukan semata-mata terletak
pada kehijauan sawah padi atau pada anak anak bukit yang dikatakan indah itu.
Ia bukan juga terletak pada banyaknya pokok-pokok kayu putat sehingga tempat
itu mendapat namanya Putatan. Keistimewaan Putatan sebenarnya terletak pada
kedudukannya yang amat strategik sebagai pelabuhan dan tempat persinggahan
tongkang-tongkang dan perahu layar.
Ada
di antara pengembara dan peniaga itu tertarik dengan gadis-gadis tempatan.
Akhirnya mereka tidak pulang lagi ke tempat asal mereka sebaliknya bermastautin
di daerah Putatan. Mereka menetap di Putan sejak turun temurun hingga ke hari
ini.
"Di
antara peniaga yang datang pada abad ke-19 itu, terdapat mereka yang memiliki
sedikit sebanyak ilmu asas-asas agama seperti mengaji muqaddam al-Quran, kitab
perukunan, berzanji dan apa saja ilmu agama yang ada pada mereka lalu
diperturunkan pada orang-orang tempatan," kata Allayharham yang juga
merupakan Tokoh Maal Hijrah 2003 ini.
Menurut
beliau, para peniaga dan pengembara ini menjadikan diri mereka sebagai aktivis
agama dengan mengajar atau menjadi guru sukarela dan tidak berdaftar di rumah
masing-masing, di masjid-masjid dan juga secara sukarela bergilir-gilir menjadi
imam masyarakat dan imam rawatib di masjid.
Antara
yang disebut-sebut sebagai aktivis agama secara sukarela itu ialah Imam Haji
Ismail Nakhoda Ibrahim yang berasal dari Sibu Sarawak dan Imam Haji Ahmad
Buntal yang berasal dari Melaka.
"Imam
Haji Ismail bin Nakhoda Ibrahim berasal dari Sibu. Pada mulanya beliau
berkahwin dengan gadis tempatan dan terus menetap dan bermastautin di Putatan.
Beliau telah mewakafkan sebidang tanahnya sebagai tapak masjid di Kampung
Teguli, Putatan./Beliau juga telah berusaha mendatangkan dua batang tiang
berukir indah dari Sarawak melalui jalan laut pada masa itu. Tiang yang berukir
indah itu masih ada sehingga ke hari ini di bangunan masjid lama," tulisnya.
"Sementara
itu, Haji Ahmad Buntal berasal dari Melaka dan berkahwin dengan gadis tempatan
dari Tuaran. Cucu cicitnya masih ramai yang bermastautin di Putatan ketika ini.
Mulanya, Haji Ahmad berkhidmat sebagai salah seorang pegawai pentadbir di Pejabat
Daerah Putatan yang terletak Kampung Lok Bunu ketika itu di antara tahun 1892
hingga 1901.
Setelah
berkhidmat selama sembilan tahun, beliau terus melibatkan diri dalam apa jua
kerja amal berkaitan agama Islam, tulisnya.
Bagaimanapun,
pada awal abad ke-20, masyarakat Putatan mulai sedar betapa perlunya pelajaran
dan pengajian agama Islam terus diperkembangkan.
"Bermula
dari kesedaran tersebut, maka bangkitlah aktivis-aktivis agama yang lainnya
sebagai pernyambung tenaga aktivis awal seperti Imam Awang Salleh berasal dari
Banjar, Imam Haji Taip juga berasal dari Banjar,Imam Jalil bin Lamit orang
tempatan, Imam Haji Dahlan berasal dari Riau, Imam Haji Gadur berasal dari
Riau, Imam Haji Shukur berasal dari Banjar, Imam Siso berasal dari Kelantan dan
Imam Haji Momin, orang tempatan," .Disamping menjadi guru kepada anak-anak
di sekeliling rumah dan menjadi imam rawatib di masjid secara bergilir-gilir.
Namun
demikian, Imam Haji Momin, tidak berpuas hati sekiranya masyarakat Islam di
Putatan dibiarkan berterusan begitu saja tanpa sebarang usaha untuk mencari
imam yang benar-benar berkermampuan menangani masalah agama di Putatan.
"Oleh
yang demikian, beliau telah dipilih sebagai mewakili masyarakatnya mengunjungi
Haji Yaakub bin Ali yang ketika itu, berada di Brunei untuk menjadi imam di
Putatan, Alhamdulillah setelah hasrat itu disampaikan kepadanya, ia mendapat
respons yang baik daripada Haji Yaakub.
Kemudian,
Haji Yaakub Haji Ali, yang berasal dari Kampung Chetok Pasir Mas Kelantan
dilantik menjadi imam berdaftar di Putatan dari tahun 1914 hingga 1930.
Selepas
itu, Imam Jilun bin Jilang pula dilantik sebagai Imam bermula dari tahun 1930
hingga 1934. Pada tahun 1934, Imam Abd.Latif Mohd. Taha berasal dari Brunei
dilantik sebagai imam Putatan bagi menggantikan tempat Imam Jilun bermula dari
1 April 1934 hingga 11 Oktober 1934. Bagaimanapun, Imam Abd.Latiff kemudian
dilantik sebagai imam di Tuaran dan tempatnya, diambil alih oleh Imam Suhaili
Haji Yaakub pada 12 Oktober 1934 hingga 11 Februari 1940.Imam Ahmad Mus Haji
Ismail yang merupakan murid Haji Yaakub dan Imam Suhaili telah dilantik sebagai
imam Putatan bermula dari tahun 1940 hingga tahun 1953.
Dalam tahun 1953
sehingga 1961, berlaku sedikit insiden berhubung dengan masalah kepimpinan di
daerah tersebut sehingga menjadikan pengajian agama Islam tergendala seketika
dan kurang mendapat bimbingan. Maka mulai dari peristiwa itulah jawatan imam
saling bertukar ganti.
Antara mereka yang
bertukar ganti dalam insiden itu ialah Imam Milin bin Jeratil,. Imam Harun bin
Pakir, Imam Mohd. Said bin Hashim dan Imam Satur. Peristiwa itu berklarutan
sehingga ke tahun 1961 apabila imam Satur berhenti dari jawatan imam Putatan
dan telah digantikan oleh Imam Milin Jeratil hingga kini.
Imam Milin bin
Jeratil telah dilantik menjadi imam Putatan bermula dari tahun 1961 hingga
pertengahan lama berkhidmat dalam sejarah daerah Putatan.
Bermula
dari tahun 1950, Agama Islam di Putatan dan sekitarnya terus berkembang. Jumlah
masjid dan surau terus bertambah kepada 13 buah.
Dalam
pada itu, semangat berpersatuan mula
timbul pada tahun 1958 apabila Persatuan Islam Putatan ditubuhkan pada 25
Oktober tahun itu.Oleh kerana kedudukan Putatan tidak begitu jauh dari
Jesselton (kota Kinabalu) iaitu kurang 13 km sahaja, walaupun ketika itu jalan
perhubungan hanyalah menggunakan landasan keretapi tetapi Putatan boleh
dianggap memiliki masyarakat yang berpendidikan.Oleh yang demikian, berbagai
kegiatan dilaksanakan demi untuk menyesuaikan kedudukan masyarakat Islam di
Putatan supaya terus maju dan tidak ketinggalan zaman.
"Apa
yang ada pada pemikiran pemuda Islam Putatan pada masa itu diantaranya ialah
bagaimana mengwujudkan sebuah sekolah agama Islam di Putatan supaya anak-anak
mereka dapat belajar melalui sistem sekolah moden," tulisnya.
Ekoran
daripada itu, pada 25 Oktober 1959, satu mesyuarat diadakan di Masjid Jamek
Kampung Teguli Putatan dan dihadiri oleh lebih dari 100 orang dari seluruh
kampung di sekitar daerah itu. Mesyuarat itu telah dipengerusikan sendiri oleh
Awang Sahari Abd.Latiff dan dibantu oleh Mohd.Jad Pandikar. Hasil persetujuan
dalam mesyuarat itu maka mereka bersetuju mewujudkan Persatuan Islam Putatan
(PIP).
Mesyuarat
telah memilih seramai 21 orang jawatankuasa yang terdiri daripada N.C. Asai bin
Ghani (Pengerusi), Mohd.Salleh Everwein (Naib Pengerusi) Sahari Abd.Latiff
(Setiausaha) Mohd.Zain Simamah (Penolong Setiausaha),Imam Harun bin
Pakir(Bendahari) manakala ahli jawatankuasa terdiri daripada Mahali Abu Bakar,
OT Ismail Rajab, OT Ag.Jaya, Pg.Abd.Razak Pg.Ahmad, Haji Omar bin Japar, OT
Arshet Ghani, OT Wahid Sulai, Pg.Abd.Wahab Pg. Ahmad. Mandor Minoh. OT Serati.
Feruz Mahmun Miralan dan Mohd Seh Stapa. Imam Jalil dilantik sebagai penasihat
1 dan Imam Ahmad Mus dilantik penasihat 2 manakala Hamzah Mohd.Amin dan
Mohd.Zain Simamah dilantik sebagai pemeriksa kira-kira.
Apabila
persatuan Islam sudah wujud, maka agenda utama yang diusahakan ialah
membangunkan sekolah agama rakyat yang diberi nama Madrasah Tahzibiah.
Bangunan madarash
tersebut telah mula didirikan pada awal tahun 1964 namun ia belum dapat
digunakan sepenuhnya sebagai sekolah agama sebagaimana yang dicita-citakan
kerana belum siap sepenuhnya dan belum mendapat permit kebenaran dari pihak
berkuasa. Oleh yang demikian, bangunan sekolah itu telah digunakan sementara
untuk mengajar kelas dewasa dan tenaga pengajarnya Cikgu Mohd.Din Sulai.
Walaupun kelas pengajian agama tidak dapat dilaksanakan dengan segera tetapi
persiapan perabot sekolah seperti kerusi, meja dan lain-lain telah dapat
diadakan.
Pada
awal 1966 sekolah agama tersebut telah beroperasi dengan bilangan muridnya
seramai 140 orang. Guru pertama yang mengajar di sekolah itu ialah Ustazah
Azizah Mohamad dan adiknya Hayatun Mohammad berasal dari Kg.Lalang, Padang
Rengas Perak.
Madrasah
Tahzibiah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Haji
Mustapha Datu Harun pada 27 November 1966. Pada masa itu madrasah ini
dipengerusikan Mohd.Din Sulai.Pada tahun 1971, Madrasah Tahzibiah telah ditukar
menjadi Sekolah Agama Islam dan pentadbirannya telah dipindah daripada Badan
Persekolahan PIP kepada Jabatan Pendidikan Islam,. Majlis Ugama Islam Sabah.
Tidak
syak lagi, Putatan pernah menjadi pusat pengembangan Islam yang terkemuka satu
ketika dahulu. Kini, Putatan yang semakin berkembang pesat itu, sebentar lagi
akan menjadi sebuah kota metropolitan. Kita berharap Putatan tidak melupakan
sejarah kewujudannya. Bermula dari sebuah sungai, iaitu Sungai Putatan, yang
kini makin lenyap dalam sejarah.