Sabtu, 22 September 2012

AK ALIUDDIN, TOKOH WARTAWAN YANG BANYAK BERJASA

Tags




AK ALIUDDIN, TOKOH WARTAWAN YANG BANYAK BERJASA

SECARA tidak sengaja, ketika membuka laman buku wajah, seawal pagi, saya terserempak dengan Datuk Pg. A.K Aliuddin Datuk Pg .Haji Mohd Tahir yang sedang berada dalam talian ketika itu. Saya sudah lama tidak bertemu dengan tokoh veteran ini. Walaupun beliau terkenal dalam dunia politik, pernah menjadi Ahli Parlimen Kimanis dari tahun 1977-1981 dan pernah menjadi Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) , namun peranan dan sumbangan dalam dunia persuratkhabaran di negeri ini tidak boleh diketepikan.

Sebelum menceburi bidang politik, beliau merupakan seorang guru. Selepas itu, ketika menjadi seorang pengamal media, AK Aliuddin telah memberi sumbangan yang bukan sedikit kepada pembangunan minda di negeri ini. Pada awal 70-an, sebagai pejuang bahasa, beliau bergerak aktif memperjuangkan bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan. Hasil-hasil tulisannya tajam dan bernas. Beliau pernah menjadi Timbalan Yang Di Pertua Badan Bahasa Sabah (BAHASA).

AK Aliuddin dilahirkan pada 30 Ogos 1944. Sebagai menghargai sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan, beliau telah dianugerahkan bintang Ahli Darjah Kinabalu (ADK) oleh Tuan Yang terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah pada tahun 1979, dan Johan Mangku Negara (JMN) oleh Duli Yang Maha Mulia  Yang Di Pertuan Agong pada tahun 2004. Beliau juga telah diikurniakan bintang Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) oleh TYT Yang Di Pertua Negeri pada 16 September 2005 yang membawa gelaran "Datuk".

Sebagai seorang tokoh yang berpengalaman, sama ada dalam bidang media dan politik, barangkali sudah sampai masanya bagi beliau untuk menulis memoir atau karya autobiografi. AK Aliuddin memiliki segudang pengalaman dan menjadi saksi sejarah kepada banyak peristiwa yang sudah pasti memberi manfaat kepada generasi muda seandainya di bukukan. Beliau salah seorang tokoh dari negeri Sabah yang terkenal dalam bidang persuratkhabaran dan media sejak tahun 70-an lagi. Selain itu, ketika menjadi Ahli Parlimen Kimanis dari tahun 1977-1981, beliau banyak mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Salah satu kisahnya yang menarik ialah pengalamannya bergaul dengan kalangan wartawan dan sasterawan negara, yang banyak mencorak pemikiran bangsa. Dalam laman buku wajah, beliau mencatatkan kenangannya.

"Apabila A Samad Ismail (Allahyarham Tan Sri) tokoh wartawan dan sasterawan negara ditahan polis atas dakwaan berfahaman komunis, hati saya berdebar. Pak Samad bukan sahaja merupakan seorang sahabat tetapi juga sebagai seorang guru kepada saya walaupun usia saya ketika itu jauh lebih muda dari beliau yang sudah  menjangkau lima-puluhan.

Pak Samad sangat mesra dengan saya dan setiap kali berkunjung ke Kuala Lumpur, saya pasti akan menemui Pak Samad samada di kantornya (istilah Pak Samad merujuk kepada pejabat) di Balai Berita atau menjemputnya makan-makan di hotel penginapan saya. Semasa di kantornyalah Pak Samad, yang ketika itu menjadi Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times, memperkenalkan saya kepada Pak Samad Said yang ketika itu menjadi Pengarang akhbar Berita Harian, Samani, Pengarang Berita akhbar BH dan Ahmad Sebi yang mengelolakan ruangan sastera Berita Minggu dan yang lain-lain. Saya benar-benar  kagum melihat kebolehan Pak Samad menjalankan tugasnya terutama sekali ketika menulis cerita dengan menggunakan mesin typewritter (masa itu belum ada komputer). Beliau begitu pantas sekali mengetuk mesin taip samada yang ditulis itu didalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris. Sambil jari-jemarinya mengetuk mesin sambil itu dia akan bercerita dengan saya. Amat luar luar biasa. Sikap Pak Samad yang suka berkawan dan merendah diri itu sangat disenangi oleh kaum wartawan walaupun "bahasa" yang beliau gunakan kadang-kadang  dianggap sensitif oleh rakan-rakan wartawan yang lain. Tetapi apabila berada di kantor Pak Samad sangat digeruni oleh anak-buahnya....".

Demikian antara cebisan pengalaman beliau yang menarik dibaca. Walaupun lama tidak berjumpa beliau, saya tetap gembira kerana beliau berjanji untuk terus menuliskan kisah-kisah pengalaman dan kenangan hidupnya yang sangat berharga itu.