Ahad, 26 Ogos 2012

Pertemuan singkat dengan penyair Brunei-Salmi Mesra

Tags




PERTEMUAN SINGKAT DENGAN PENYAIR BRUNEI, SALMI MESRA

DALAM kunjungan singkat ke Negara Brunei Darussalam, kira-kira seminggu sebelum Aidil Fitri, salah satu agenda penting ialah bertemu dengan penyair Salmi Mesra.
Kami cuba memberikan kejutan kepadanya. Setibanya di Kuala Lurah itu sebaik keluar dari sempadan Limbang, kami menghubunginya tanpa memberitahu kampi sedang berada di Brunei ketika itu. Rumahnya di Sengkurong. Beliau telah beberapa kali mengajak kami ke rumahnya di Brunei tetapi waktu tidak mengizinkan untuk kami bertamu lama-lama.

Saya mulai mengenali Salmi Mesra melalui antologi puisinya Garis-garis Hitam yang terbit tahun 1979. Boleh dikatakan ia adalah antara kumpulan puisi pertama dari Brunei yang pernah saya baca. Berpuluh tahun kemudian, kami sama-sama diundang ke Universiti Prince of Songkhla di Pattani untuk membentangkan kertas kerja dalm Seminar Pengajian Melayu Nusantara yang pertama kali diadakan di universiti itu.

Dari sana, kami berkenalan lebih dekat lagi. Salmi mengajak kami untuk berkunjung ke Brunei tetapi kami tidak dapat memenuhi beberapa jemputan ke negara itu sehinggalah pada minggu terakhir Ramadan apabila kami tiba-tiba memutuskan untuk berkunjung ke salah satu negara Asean itu.

Salmi Mesra atau nama sebenarnya Haji Abdul Hamid bin Tamat dilahirkan di Kampung Sengkurong, Brunei Darussalam pada 28 Ogos 1942. Beliau menerima pendidikan awal di kampungnya pada tahun 1948 kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Arab Al-Junied Singapura pada tahun 1954-1961. Selepas itu, beliau memasuki Kolej Islam Kelang pada tahun 1962.Kemudian beliau belajar bahasa Inggerisw di Maktab SOAS, Brunei.

Beliau seorang yang aktif dalam dunia kesusasteraan sejak masih di bangku sekolah lagi. Salmi Mesra adalah salah seorang penyair Brunei yang terkenal di Nusantara. Aktif dalam pelbagai persatuan penulis, belia dan budaya, beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu Singapura (4PM) pada tahun 1960. Sekembalinya ke Brunei, beliau terus aktif dalam Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) sebagai Setiausaha II (1982/83). Beliau pernah memimpin belia di kampungnya, di samping pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Brunei (1966). Beliau juga pernah menjadi Penolong Setiausaha Persatuan Gasing Kebangsaan Brunei Darussalam (PERGAB) Daerah Brunei Muara.

Salmi telah berkhidmat dengan Kerajaan Brunei dengan menduduki berbagai jawatan yang berkaitan dengan agama Islam, antaranya Guru Agama, Kerani Menaip Jawi, Penolong Setiausaha Penerangan dan tabligh, Pegawai Perpustakaan, Penolong Pengarang, Pengarang, Pegawai Perhubungan Haji Negara Brunei (1981,1985,1987), Penolong Pegawai Perkembangan Ugama (Ketua Bahagian Dakwah dan Tabligh Daerah Tutung dan Belait) di Jabatan Hal Ehwal Ugama, Penyelia Banci Penduduk dan Perumahan (1971,1981,1985,1991) dan terakhir sebagai Penolong Pegawai Perkembangan Ugama di Bahagian Pentadbiran dalam perkara-perkara perumahan sehingga bersara pada tahun 1994.

Bagi mengenang jasanya yang tekah berkhidmat selama 31 tahun dengan Kerajaan Brunei Darussalam, Sultan Brunei telah menganugerahkan bintang jasa Pingat Kerja Lama (PKL) dan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Keempat (SUB) dan Pingat Jubli Perak (PJP).

Beliau juga menerima ijazah Doktor Kehormat dalam Kesusasteraan Melayu dari Philippine islamic University dan Darjah dato Paduka Utama Diraja Yang Amat Berhormat Darjah Utama (DPUM) dari Sultan Haji Mohammad Ali Ashgar bin Sultan Sani pada 3 Julai 2004.

Dalam bidang kesusasteraan, beliau telah banyak menghasilkan karya dalam bentuk rencana, puisi, kritikan sastera. Salmi Mesra juga telah menghasilkan antologi puisi persendirian, antaranya Garis-Garis Hitam, Sentuhan Jiwa dan Dalam Perjalanan. Puisi-puisinya juga termuat dalam pelbagai antologi penulis sama ada di Brunei dan negara-negara Asean. Beliau juga pernah menjadi Fellow atau Penulis Tamu di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (2004-2005)

Salmi mula menulis pada tahun 1956. Sajak pertamanya tersiar dalam Utusan Kanak-Kanak (Singapura) pada 13 November 1956. Puisi beliau tersiar dalam media di Brunei, Singapura dan Malaysia. Antara akhbar yang pernah menyiarkan puisinya ialah Utusan Kanak-Kanak, Utusan Pemuda. Muda-Mudi, Suara Belia, Berita Brunei, Sinaran Suci, Bintang Harian, Borneo Bulletin, Al-Huda, Karya dan Bahana

Dalam dunia kesusasteraan di Brunei, Salmi merupakan salah seorang penyair penting. Beliau tergolong ke dalam angkatan 50-an hingga 60-an dan seangkatan dengan penyair-penyair seperti Yahya M.S, Adi Rumi, Badaruddin H.O, Adi Marhaen, A.S Isma dan K.Manis.

Pada pagi Isnin 13 Ogos itu, kami menghubunginya lagi. Ternyata beliau tidak ada di rumah. Kami berusaha mencarinya, dan kemudian apabila berjaya bercakap dengannya, kami berjumpa di satu tempat sebelum berangkat pulang. Beliau agak terkejut tetapi gembira. Cuma beliau agak hampa kerana kami tidak dapat bermalam di rumahnya. Dalam pertemuan singkat itu, beliau menghadiahkan saya beberapa buah antologi puisi hasil karyanya sebagai oleh-oleh.





1 comments so far