Ahad, 26 Ogos 2012

Isu luar bandar, petani dan nelayan-temu bual dengan Baintin Adun

Tags



ISU LUAR BANDAR, MASYARAKAT PETANI DAN NELAYAN YANG PERLUKAN PERHATIAN

ISU-ISU berkaitan masyarakat luar bandar sering menarik perhatian untuk didiskusikan. Antaranya isu kemiskinan, isu pembangunan, kemudahan infrastruktur, perumahan,sistem penyampaian dan isu lain tidak luput dari perbincangan, bermula dari kedai kopi hinggalah ke sidang DUN dan parlimen. Minggu ini, Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemui BAINTIN ADUN @ ABD.HALIM yang juga merupakan Presiden Persatuan Kimaragang Sabah Bersatu (PKSB) mendapatkan pandangannya mengenai permasalahan rakyat di peringkat akar umbi terutamanya di kawasan luar bandar, atau  lebih khusus lagi di kawasan Utara Sabah.

Baintin Adun lahir di Kampung Tanjung Batu Darat, Kota Marudu pada 5 Januari 1961. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Tanjung Batu dan pendidikan menengah di SMK Kota Marudu. Sebagai seorang pemimpin yang banyak berdamping dengan masyarakat akar umbi, Baintin boleh bertutur dalam beberapa bahasa tempatan seperti Suluk, Bajau, Sungai di samping bahasa ibundanya, bahasa Kimaragang.

Selepas zaman persekolahannya, beliau menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Dalam bidang politik, Baintin memiliki pengalaman yang berwarna-warni. Beliau pernah bergiat dalam parti Berjaya sebagai Setiausaha Bahagian N.5 Tandek (1981-1986), iaitu ketika pemerintahan parti Berjaya.  Beliau pernah bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya umum 1994 tetapi kurang bernasib baik. Selepas itu, beliau menjadi Ketua Bahagian PBRS Kota Marudu (1994-1997), salah satu parti komponen BN. Pada tahun 1997,beliau menyertai parti UMNO namun dipecat kerana bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya 1999. Bagaimanapun, beliau diterima semula sebagai ahli UMNO pada tahun 2002, kemudian dilantik sebagai Bendahari UMNO Bahagian Kota Marudu ketika dipimpin oleh Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia. Selepas menghadapi pelbagai suka duka dalam politik, Baintin kemudian terpilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu sejak 2009 hingga kini.

Ikuti petikan temubual bersama beliau yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.

UTUSAN BORNEO (UB):          Apa pandangan tuan mengenai tahap pembangunan di kawasan luar bandar di negeri ini khususnya di kawasan utara Sabah?
BAINTIN ADUN (BA):             Apa yang saya lihat, di kawasan luar bandar juga kini telah banyak menikmati pembangunan. Cuma apa yang saya perhatikan, proses pembangunan itu agak perlahan.Dari aspek cara pelaksanaannya , cara pelaksanaan pembangunan di luar bandar tidak berapa pantas.Bagaimanapun, kita lihat kerajaan telah banyak membawa pembangunan kepada rakyat khususnya di luar bandar, di kampung dan desa terpencil, atau ceruk-ceruk yang sebelum ini tidak terjangkau.  Pada pandangan saya, pembangunan perlu dipercepatkan lagi. Kita sedar bahawa keadaan geografi dan topografi Sabah adalah antara faktor yang menjadi penyebab kelewatan pelaksanaan pembangunan tetapi semua pihak perlu mengambil langkah untuk menanganinya.

UB:       Apa masalah utama yang dihadapi rakyat di kawasan luar bandar?
BA:       Rakyat di kawasan luar bandar, masih menghadapi masalah infrastruktur asas. Antaranya masalah bekalan air, bekalan elektrik, kemudahan jalan raya, jambatan gantung dan sebagainya. Kadang-kadang, kemudahan seperti perhentian bas (bus stop) walaupun satu perkara kecil tetapi penting bagi masyarakat luar bandar. Walaupun, perkara ini, kadang-kadang terlepas pandang, tetapi ia penting bagi mereka. Malah kita dapati, perhentian kereta yang sedia ada itu, sudah terlalu uzur dan perlu dibaiki.


UB:       Menurut pandangan tuan, bagaimanakah caranya untuk menangani permasalahan itu?
BA:       Perbaiki sistem penyampaian. Masalah delivery system (sistem penyampaian) yang lambat itu , menyebabkan pembangunan kawasan luar bandar yang majoriti penduduknya masih hidup dalam tahap kemiskinan tetap ketinggalan. Ini sudah tentu memerlukan perhatian daripada kerajaan. Kebanyakan penduduk di luar bandar terdiri daripada golongan petani.Majoritinya bergantung hidup kepada sumber tanah. Di sini, saya melihat akan perlunya kerajaan membantu petani tradisional seperti petani yang menanam padi bukit, kerana mereka juga petani.

UB:       Maksudnya? bantuan subsidi kepafa petani tanah tinggi?
BA:       Jika selama ini, kerajaan hanya memberikan subsidi kepada petani yang mengusahakan sawah padi, suka saya mencadangkan supaya kerajaan juga memberikan subsidi kepada petani yang menanam padi huma. Walapun, status mereka selalu berpindah-randah tetapi mereka tetap golongan petani tanah tinggi yang memerlukan perhatian kerajaan, memerlukan bantuan subsidi yang dinikmati oleh petani lain. Kerajaan harus membantu petani tanah tinggi ini khususnya golongan penanam padi bukit, yang menjadikan pertanian sebagai sumber kehidupan mereka. Mereka patut mendapat bantuan subsidi seperti yang dinikmati pesawah padi.

UB:       Tetapi tidak semua menanam padi bukit. Saya nampak ramai juga yang menanam getah. Apa komen tuan?
BA:       Nah, inipun satu masalah yang memerlukan pertimbangan daripada kerajaan atau agensi yang berkaitan. Sudah sampai masanya Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) memikirkan untuk menaikkan harga getah, atau menyeragamkan harga getah antara Sabah dan Semenanjung. saya difahamkan harga getah di Sabah lebih rendah berbanding di Semenanjung. Ini antara permasalahan yang dihadapi petani. Kerajaan atau pihak berkaitan perlu mencari jalan untuk menyeragamkan harga getah antara Sabah dan Semenanjung, apatah lagi kos sara hidup di Sabah lebih tinggi berbanding Semenanjung.

UB:       Selain itu, apa isu lain yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar di utara Sabah?
BA:       Saya fikir antara masalah yang perlu ditangani dengan bijak ialah masalah tanah.  Isu tanah ini sangat sensitif bagi masyarakat Kimaragang. Sumber kehidupan mereka perolehi daripada tanah yang mereka usahakan. Masalah tanah, antaranya yang melibatkan pertikaian tanah antara syarikat besar dengan rakyat perlu ditangani dengan baik. Hak rakyat perlu dipelihara. Barangkali kerajaan boleh memikirkan untuk mengembalikan kos perbelanjaan yang telah digunakan oleh syarikat besar untuk membangunkan tanah itu dan pada masa yang sama mengembalikan tanha itu kepada penduduk terlibat, supaya ia dapat mendatangkan hasil untuk meningkatkan lagi ekonomi masyarakat kampung. Saya penuh yakin kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Musa Haji Aman selaku Ketua Menteri akan membantu menyelesaikan masalah rakyat sesuai dengan konsep 1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

UB:       Seringkali dalam pertemuan dengan pemimpin atau program tertentu, saya perhatikan tuan sering menyenaraikan keperluan rakyat untuk disampaikan kepada pemimpin. Apa sebenarnya yang tuan harapkan?
BA:       Bagi saya, saya akan menyampaikan keperluan masyarakat untuk dipertimbangkan oleh kerajaan. Saya akan suarakan tidak kira dimana supaya pemimpin mengambil perhatian. Jika saya diberi tips atau informasi mengenai masalah kemudahan asas, seperti kemudahan dewan serbaguna, jalan raya, rumah ibadat, masalah penduduk dan sebagainya, saya akan menyuarakan permasalahan itu bagi pihak mereka, dengan harapan ia dapat diberikan perhatian oleh kerajaan.Saya bercakap untuk semua, dan saya akan  bercakap sehinggalah permasalahan yang mereka hadapi itu selesai. Bahkan  saya sendiri, kalau ada rakyat yang memerlukan pertolongan segera, akan memberikan bantuan jika ada kelebihan. Malah kadang sanggup berhutang apabila rakyat memerlukan pertolongan saya.

UB:       Bagaimana tuan melihat tahap pendidikan di kalangan masyarakat di luar bandar?
BA:       Banyak peningkatan. Tahap pendidikan boleh dikatakan baik. Cuma apa yang saya lihat, prasarana pendidikan perlu dipertingkatkan lagi. Selain itu, kemudahan infrastrukur seperti jalan raya perlu ditingkatkan lagi bagi memudahkan perhubungan. Terdapat sekolah-sekolah yang leraknya jauh terpencil dan sukar dihubungi, sebagai contoh SK Magandai, SK Tagibang dan ada lagi banyak sekolah lain.  Pembinaan jalan raya yang kondusif perlu diberikan perhatian kerana ketiadaan kemudahan jalan raya yang baik, amat menyukarkan perhubungan. Akibatnya anak-anak di kawasan luar bandar tidak dapat menikmati kemudahan pendidikan yang baik.


UB:       Tadi kita banyak menyentuh soal golongan petani. Bagaimana pula taraf kehidupan nelayan?
BA:       Kebanyakan nelayan di pesisir pantai Teluk Marudu, seperti Tanjung Batu Laut, Taritipan, Ongkilan dan sebagainya, masih dalam kategori miskin. Perlu bantuan kerajaan untuk meningkatkan atau menaiktaraf kehidupan mereka. .Bagaimanapun, saya fikir cadangan kerajaan untuk mewujudkan taman marin di Teluk Marudu untuk perlindungan sumber marin, perlu mengambil kira kehidupan masyarakat di kawasan itu. Hak-hak penduduk nelayan perlu dijaga, dan tanah mereka jangan diambil dengan sewenang-wenangnya, untuk tujuan pelancongan dan sebagainya.

UB:       Banyak program yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan. Bagi pendapat tuan apa lagi yang perlu diberikan perhatian?
BA:       Kita mengucapkan banyak terima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa memberikan bantuan melalui pelbagai program untuk membantu rakyat di kawasan luar bandar. Namun untuk memastikan soal berkaitan kemiskinan ini dapat diatasi dengan baik, salah satu yang perlu diperbanyakkan lagi Program Bantuan Rumah (PBR). Program ini sangat baik untuk membantu membanteras kemiskinan dan memastikan setiap rakyat memiliki rumah. Program ini perlu diteruskan kerana ia membawa impak yang baik. Kalaupun ada hasrat untuk menghentikan bantuan PBR itu, satu program lain perlu dirangka, yang tujuan dan matlamatnya sama untuk membantu menangani masalah perumahan di kalangan rakyat miskin kerana setengahnya, khususnya yang tinggal di kawasan yang jauh terpencil, masih tinggal di rumah yang daif dan sebagainya.

Selain itu, saya ingin menyarankan juga agar lebih banyak Kedai Rakyat   1Malaysia (KRIM) dibuka di kawasan luar bandar kerana masih ramai penduduk miskin.Saya cadangkan supaya KRIM di perbanyak lagi untuk memberikan peluang kepada rakyat luar bandar untuk mendapatkan barangan lebih murah dan sebagainya. Kalau boleh satu untuk satu daerah atau satu DUN. Satu lagi yang saya cadangkan ialah supaya kerajaan memikirkan jalan untuk membolehkan rakyat menggunakan gas LPG untuk kereta kerana ia lebih murah berbanding petrol.Jika ada kemudahan LPG seperti yang ada di Semenanjung, sudah tentu ia mengurangkan pencemaran selain ia menggunakan kos yang lebih murah dan lebih mesra rakyat. Di Semenanjung, rakyat sudah menikmati kemudahan LPG. Kita menyarankan kerajaan agar mempertimbangkan cadangan ini,

UB:       Oh ya, terdapat desakan supaya pemimpin dari suku Kimaragang diberi peluang bertanding dalam PRU-13 akan datang. Apa komen tuan?
BA:       Ya, sudah 15 tahun tiada wakil dari suku Kimaragang di peringkat DUN iaitu selepas Datuk Saibol Supu. Kalau di peringkat Parlimen, sudah sepuluh tahun sejak Datuk George Sangkin menjadi Ahli Parlimen. Padahal ramai pemimpin berpengaruh dari suku kaum ini yang boleh diketengahkan. Malah tidak kurang juga ramai yang bergelar doktor, jurutera, profesor dan sebagainya.Kita harap dalam PRU ke-13, akan ada wakil. Walaupun saya menganggap bangsa Kimaragang masih tidak diketepikan dalam arus pembangunan, tetapi lebih baik jika mereka ada wakil di peringkat DUN dan di peringkat pusat. Sebelum ini, kita tidak ketandusan pemimpin. Kawasan kita pernah diwakili oleh Haji Fauzi Rahman, Haji Madina Unggot, Haji Omar Majun, Wilson Malingka, Datuk Saibul Supu, Datuk George Sangkin dan sebagainya. Di kalangan masyarakat Kimaragang sendiri, yang merupakan penduduk majoriti di kawasan utara khususnya Kota Marudu dan Tandek, banyak pemimpin yang boleh diketengahkan..

UB:       Akhir sekali apa harapan tuan?
BA:       Saya menggesa agar masyarakat luar bandar melibatkan diri, merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan dalam pelbagai bidang, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagai ya. Apa yang kita lihat peluang -peluang yang disediakan kerajaan tidak dimanfaatkan. Saya juga menggesa agar masyarakat luar bandar tidak terpengaruh dengan dakyah negatif yang dibawa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memesongkan pemikiran mereka. Mereka haruslah terus menyokong kerajaan yang sentiasa membela dan memelihara kepentingan dan kesejahteraan rakyat.












1 comments so far

assalam, saya nak minta izin ambil sedikit isi dari entry anda untuk karangan saya . syukran