PROF
MADYA DR.MAHMUD, PERINTIS PENDIDIKAN PERHUTANAN DI SABAH
BIAR
kepala di bawah, kaki ke atas, teruslah berusaha, jangan berputus asa. Beliau
teringat kata-kata semangat yang diberikan oleh ayahnya. Sejak kecil lagi, anak
peneroka ini telah membuktikan kegigihannya sehingga menjadi salah seorang
pelajar terbaik di sekolahnya. Prof.Madya Dr.Mahmud Sudin, adalah seorang pakar
fatologi hutan yang terkemuka bukan saja di negeri ini malah sering diundang
untuk membentangkan makalah ke negara-negara Asia dan Eropah. Beliau kini
adalah Dekan Sekolah Pertanian Lestari UMS.
Prof.Madya
Dr.Mahmud Haji Sudin dilahirkan di Sim-Sim pada 15.10 1962. Beliau dibesarkan
di Rancangan Penempatan Sungai Manila, Sandakan. Ayahnya Sudin Ingal, berbangsa
Dusun manakala ibunya Sapariah Liman orang Sungai. Anak sulung dari lima adik
beradik ini mendapat pendidikan awal
di GEPS (Government English Primary
School ) Sandakan, dan SRK Sungai
Manila, Sandakan. Beliau melanjutkan pelajaran menengah di SMK Sandakan
sehingga Tingkatan Tiga. Selepas mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan
Sijil Rendah Pelajaran (SRP), anak pekebun sawit ini meneruskan pelajaran di SMK Menggatal
pada tahun 1978, yang merupakan antara sekolah terbaik di negeri ini ketika
itu.Selepas lulus SPM, beliau memasuki Matrikulasi UKM dan kemudian melanjutkan
pengajian dalam bidang zoologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1982-1986.
Beliau
memasuki perkhidmatan awam pada 1987 sebagai Pegawai Penyelidik di Jabatan
Perhutanan dan ditempatkan di Bahagian Hidupan Liar. Apabila Bahagian Hidupan Liar menjadi sebuah jabatan
tersendiri di bawah kementerian Alam Sekitar, beliau menubuhkan Bahagian Perhutanan Bandar dan
Rekreasi di jabatan itu.Tidak lama kemudian beliau dipinjamkan ke Jabatan
Hidupan Liar dan dipertanggungjawabkan untuk menubuhkan Jabatan Hidupan Liar
Sandakan. Selepas itu, beliau kembali semula bertugas di Jabatan Perhutanan dan
diamanahkan untuk mengasaskan Seksyen Fatologi Hutan. Pada tahun 1996, beliau
berpindah ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan diberi tanggungjawab untuk
menubuhkan Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa UMS. Kemudian Dr.Mahmud dilantik sebagai Dekan di Sekolah Pertanian
Lestari UMS apabila sekolah itu dibuka di Sandakan. Beliau mendirikan
rumahtangga dengan Rosnah Haji Abdul Rahman dan dikurnia dua orang anak.
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN bersama wartawan pelatih, MOHD.NURAZWAN
AUGUSTINE sempat menemuramah beliau pada satu petang di salah sebuah café di
ibu negeri.
UTUSAN
BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar
belakang Prof?
PROF.MADYA
DR.MAHMUD SUDIN: Saya dilahirkan di Sandakan, di Kampung Sim-Sim sebuah
perkampungan atas air pada tahun 1962. Apabila Skim Perancangan Pekebun Kecil
Rancangan Penempatan Sungai Manila dibuka pada tahun 1966, ibu bapa saya turut
berpindah ke sana. Di sanalah saya bersekolah rendah iaitu di SRK Sungai Manila
dari darjah satu hingga enam.Kemudian saya melanjutkan pelajaran di SMK
Sandakan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3 pada tahun 1975-1977. Apabila saya
mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SRP, saya terpilih untuk
memasuki sekolah aliran sains di SMK Menggatal, salah sebuah sekolah terbaik di
negeri ini pada ketika itu. Tahun 1978.
UB: Apakah pelajar yang terpilih ke SMK
Menggatal , pelajar yang terbaik saja?
MS: Kebanyakan yang terpilih untuk melanjutkan
pelajaran ke SMK Menggatal adalah pelajar yang terbaik di sekolah
masing-masing.Ramai pelajar yang `top’ dari seluruh Sabah belajar di SMK
Menggatal ketika itu. Antaranya Datuk Rahim (Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan
Menteri Pengangkutan), Prof Madya Datuk Dr.Kassim Haji Mansor (Timbalan Naib
Canselor), Haji Sairin Ibrahim (Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri
Pengangkutan), Musli Haji Oli (penulis), Kibin Haji Samad (mantan Pengarah Open
University di Tawau, Itu antara alumni
SMK Menggatal
UB: Selepas itu?
MS: Selepas lulus SPM, saya mengikuti program
matrikulasi UKM. Kemudian saya meneruskan
pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang
perubatan. Tetapi kerana pencapaian saya dalam pengajian perubatan, tidak juga
terlampau buruk tetapi tidak juga terlampau baik, saya beralih ke bidang
zoologi pada tahun 1982-1986. Bidang zoologi ini luas. Kami belajar mengenai pelanduk, rusa, payau,
segala penyakit cirit birit, cacing, haiwan, penyakit, nyamuk dan semua yang
berkaitan zoologi.Memang seronok.
UB: Dimana Prof kerja selepas itu?
MS: Saya memasuki Jabatan Perhutanan pada 1987
sebagai Pegawai Penyelidik, tetapi diminta juga menjalankan tugas sebagai
Pegawai Pentadbir. Waktu itu, saya dilantik sebagai timbalan ketua di Bahagian
Hidupan Liar yang diketuai oleh Allahyarham Mahedi Andau. Apabila Kerajaan PBS
memerintah, Bahagian Hidupan Liar dikeluarkan dari Jabatan Hutan dan diletakkan dibawah Kementerian Pembangunan
Alam Sekitar dan menjadi Jabatan Hidupan Liar. Oleh kerana lantikan saya di bawah
Jabatan Hutan, saya tidak dapat ikut serta. Selepas itu, kami menubuhkan
Bahagian Perhutanan Bandar dan Rekreasi dan saya menjadi ketuanya yang pertama.
Tidak lama selepas itu, Jabatan Hidupan Liar memerlukan bantuan dan mereka
memohon kepada Jabatan Hutan agar saya dipinjamkan di Jabatan Hidupan Liar.
UB: Apa tugas di Jabatan Hidupan Liar?
MS: Jabatan Hidupan Liar ini mempunyai bidang
tanggungjawab yang besar iaitu Pusat Pemuliharaan Orang utan di Sepilok, Sarang
Burung di Gua Gumantong dan sebagainya. Sebenarnya ada kisahnya ni. Arwah
Mahedi kata kepada saya bahawa saya akan diserapkan ke Jabatan Hidupan Liar
sebagai timbalannya. Dengan syarat saya dipinjamkan dulu ke Jabatan Hidupan
Liar dari Jabatan Hutan dari Januari hingga Jun. Bagaimanapun, pada Julai
hingga Disember, saya ditugaskan pula membuka Jabatan Hidupan Liar di Sandakan.
UB: Kenapa prof pindah dari Jabatan Hidupan
Liar?
MS: Ketika itu jawatan saya di Jabatan Hidupan
Liar masih bertaraf sementara manakala di Jabatan Hutan, jawatan saya sudah
diserap kepada Tetap dan Berpencen.Lagi pula ketika itu pengaruh orang politik
sudah masuk.Kebetulan, banyak kebetulan ni,waktu itu Jabatan Hutan
mengadakan program kerjasama Sustainable
Forest Management selama sepuluh tahun dengan sebuah agensi, GTZ dari Jerman.
Jadi saya ditugaskan untuk terlibat dalam projek itu. Selain itu saya juga
mengasaskan Seksyen Fatologi Hutan di Jabatan Hutan.
UB: Fatologi Hutan? Apa tu Prof? Boleh tolong
jelaskan?
MS: Fatologi hutan adalah satu seksyen yang
ditubuhkan untuk mengenal penyakit tumbuhan hutan, penyakit pokok-pokokKita
tidak tahu bahawa sebenarnya kayu yang ditanam itu cepat sakit kerana terkena
penyakit. Walaupun ia tegak berdiri , cantik tetapi mutunya kurang baik kerana
berpenyakit. Tidak guna kita buat ladang berjuta-juta ringgit, tetapi bila
dituai kita mendapati ia terkena penyakit, terdegradasi. Turun harga, kerana
dimakan serangga, kerana adalah kulat makan dan sebagainya.
UB: Kenapa terjadi begitu ya?
MS: Perkara ini terjadi kerana cara kita
membalak.Oleh itu jangan sebarangan membalak.Jangan kasar sampai pokok
luka.Kelukaan itu akan membawa pereputan tisu.Kadang kita Nampak pokoknya
cantik tetapi banyak pereputan di dalamnya.Kita mesti amalkan cara pembalakan
yang mapan, kalau kita mahu hutan kita berkekalan.Cara pembalakan yang baik
yang mapan akan mengurangkan impak membalak dan menjamin pengurusan
hutan.Melalui kemahiran dalam bidang ini (dalam bidang fatologi hutan), saya
dijemput ke Jepun, Ke United Kingdom, ke berbagai negara luar untuk berkongsi
pengalaman dan pengetahuan mengenai fatologi hutan.
UB: Selepas mengasaskan Seksyen Fatologi
Hutan, ke mana Prof selepas itu?
MS: Kemudian saya mendapat anugerah biasiswa
dari Kerjasama Teknikal British di
University of Wales dalam Pengurusan Penyakit Tumbuhan sehingga mendapat ijazah
MSc. Di sana saya mengkaji Pengurusan Penyakit Tumbuhan dan kemudian
memantapkan penyelidikan. Berikutan itu, saya dipanggil untuk membentangkan
kertas kerja di Eropah seperti Sweden, Finland, di negara Asia Tenggara seperti
Filipina, Indonesia sebagai pakar penyakit tumbuhan pokok perladangan di Sabah.
UB: Bagaimana pula ceritanya Prof berkhidmat
di UMS?
MS: Ketika itu, saya sering diminta oleh ketua
saya untuk mewakilinya bagi memberikan taklimat jika ada pelawat. Pihak UMS pun
ada melawat bahagian Seksyen fatologi hutan, jadi mereka sering berhadapan
dengan saya. Selain itu, bila ada seminar saya sering membentang ketas kerja
sehingga rupanya UMS tertarik. Ketika itu pengurusan hutan diiktiraf di seluruh
dunia. Jadi kita diberi sijil kerana pengurusan hutan terbaik untuk Hutan Simpan Dermakot. Sijil itu
disampaikan oleh Perdana Menteri ketika , Datuk Seri Dr.Mahathir Mohammad (kini
Tun). Ketika itu beliau memberitahu akan ada bidang perhutanan di UMS. Masa
itu, Menteri Pelajaran ialah Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kemudian
UMS menubuhkan Sekolah Perhutanan pada 1995. "Kenapa nda join kami"
tanya mereka.Bukan senang meninggalkan kerja lama kerana ada kemudahan, ada driver
.Mengambil masa juga .Tetapi tugas memang sama sebagai pegawai penyelidik, buat
penyelidikan juga.Ilmu boleh dikembangkan, dan dikongsikan dengan ramai orang
secara meluas.
Sebelum
datang menerima tawaran UMS, saya mendapatkan izin dari Setiausaha Kerajaan
Negeri (SKN). Setelah mendapat keizinan, saya melaporkan diri di UMS pada 1997.
Kemudian saya diamanahkan untuk mengurus penubuhan Sekolah Perhutanan Tropika
Antarabangsa.Waktu itu, hanya saya satu
orang saja mengurus satu fakulti, satu bidang pengajian baru yang
diperkenalkan.
Sayalah
pengasas Sekolah Perhutanan Tropika antarabangsa.Sayalah juga yang jadi kerani,
mengepos surat.sayalah bos, sayalah kuli.
Kerana waktu, belum ada kakitangan lagi. Saya menjadi perintis. Pada
1998, barulah saya ada staff, ada pensyarah. Waktu itu, untuk mengajar di
sekolah itu, kita lantik pensyarah
terbang.
UB: Rupanya Prof menjadi perintis di banyak
tempat ya. Menarik pengalaman prof. Pernah terfikir begitu?
MS: Semuanya garis kehidupan yang telah
ditentukan oleh yang Maha Kuasa. Agak kebetulan saya mempelopori penubuhan
Bahagian Perhutanan Bandar dan Rekreasi, membuka Jabatan Hidupan Liar di
Sandakan, Membuka Seksyen Penyelidikan Fatologi Hutan dan kemudian mempelopori
penubuhan Sekolah Perhutanan Tropika dan sekarang Sekolah Pertanian.
UB: Sejak bila Prof dilantik sebagai Dekan
Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa?
MS: Pada 1997, saya dilantik pemangku dekan
Sekolah Perhutanan Tropika. Pada 1997, saya belajar ambil PhD di Aberdeen
Scotland dalam bidang Penyakit Tumbuhan. Apbila balik pada 2005, saya dilantik
lagi sebagai pemangku Dekan. Selain menjadi dekan penuh, penyelidikan saya juga
mendatbir. Kampus Sekolah Perhutanan itu
dibina, dari tiada bangunan kepada ada bangunan, dari pelajar berjumlah 14
orang kepada 400 hingga 500 orang sekarang ini. kini Sekolah perhutanan
mempunyai alumni hingga 1,000 orang. Sekali lagi ada kerjasama dengan pihak
antarabangsa GTZ, dalam Projek Pembangunan Perhutanan Pendidikan.
Kemudian,
apabila Sekolah Pertanian Lestari UMS dibuka di Sungai Batang, saya diminta
untuk mengetuainya.
UB: Seperti sirih pulang ke gagang pula Prof.
Akhirnya dapat berkhidmat di kampung halaman sendiri. Mungkin ada perbezaan
antara kehidupan dulu dan sekarang?
MS: Memang banyak perbezaan.Dahulu kelapa
sawit belum ada ada hasil. Peneroka
hidup hanya berbekal kecekalan. Ada juga yang kemudian meninggalkan kebun
mereka, kerana waktu itu kehidupan peneroka agak susah.Ada yang keluar makan
gaji, tidak balik lagi.Kebun terbiar.Kebanyakan orang lari kerana situasi
kehidupan peneroka pada masa itu memang agak sengsara jika dibandingkan
sekarang.
UB: Mungkin ada pesan bapa yang masih
diingati?
MS: Beliau banyak berpesan untuk mengharungi
hidup ini berbekal ilmu pengetahuan.Apa pesan bapa? Anak kau belajar rajin
rajin, jangan fikir yang lain.Belajarlah, yang lain biar bapa buat.Tugas
mencari rezeki sesuap nasi, memang tugas bapa, katanya. Walaupun bapa orang
kampung, pelajaran pun tiada, tetapi beliau selalu mengingatkan betapa
pentingnya pelajaran, jangan abaikan pelajaran dan sebagainya. Bahkan beliau
pernah berkata, biar kepala ke bawah, kaki ke atas, beliau akan terus berusaha
asalkan untuk pelajaran.
UB: Prof
beruntung mempunyai orang tua yang mementingkan pelajaran?
MS: Saya pernah terdengar dia bercakap sendiri
perlahan-lahan. Saya dengar dia berkata, umur sekian anakku masuk belajar,
anakku sekarang umur sekian, dia kena masuk sekolah, begitu begini. Waktu itu
dia kata, dia mahu anakknya belajar tinggi. Katanya, lapan tahun saja lagi, dia
membanting tulang. Barulah sekarang, aku faham, apa yang dikatakannya itu satu
wawasan. Bapa mengutamakan betul pendidikan.Kerana katanya, hanya pendidikan
yang boleh ubah kehidupan kepada yang lebih baik.
UB: Selain itu, apa lagi pesan beliau?
MS: Satu lagi yang beliau selalu cakap ialah
tidak boleh putus asa. Terus belajar, terus berusaha hingga berjaya. Kalau ada
satu perkara yang beliau tidak suka, misalnya kita tidak hormat kalau jumpa orang. Selepas itu,
bila sampai di rumah, beliau memberitahu kita, bapa tidak suka begitu, kita
mesti hormati orang tua.Itulah antara pesannya yang saya ingat.
UB: Terima kasih Prof kerana sudi memberi
ruang kepada kami untuk sesi temuramah ini.
MS: Terima kasih.Saya tidak sangka ditemuramah
dalam keadaan seperti ini. Tapi tak apalah, sekadar berkongsi pengalaman,
semoga bermanfaat adanya.
4 comments
Tumpang gembira kerana mengenali Prof yang hebat ini
25 yroar
Saya turut kagum dengan pencapaian Profesor Madya Dr. Mahmud Sudin.
Kenal, Prof ni, sejak 1978 di SMK Bandaraya, belia seorang yang hebat..