Jumaat, 29 Jun 2012

catatan kecil khamis 28 jun

Tags

Menerima panggilan Ibu Dayang adalah antara perkara menggembirakan hari ini.Penulis yang dianggap wartawan wanita melayu pertama di Sabah menelefon untuk bertanya khabar. Rindu mendengar suara, katanya.Sewaktu sambutan ulang tahun ke-56 DBP Sabah tempohari, beliau yang hadir dalam majlis itu mencari-cari kami yang tak dapat datang kerana kesibukan masing-masing.
Alhamdulillah, ibu Dayang sihat-sihat saja, ketika beliau menelefon dari Tanaki.Di sana agak selesa beliau bergerak kerana agak luas. Rumah itu di kakit bukit. Payau-payau pun semakin membesar. Sekarang ada kira-kira 100 ekor, kebanyakannya payau betina kerana payau jantan tak boleh banyak. Kami tertawa mendengar leluconnya itu.
Apa karya terbaru? Saya bertanya. Ibu Dayang mengatakan beliau belum ada karya terbaru, yang terakhir ialah karya yang diberikannya kepada Jasni. Saya tak jelas sama ada yang dimaksudkannya itu JM atau JY.
Setelah bertanya khabar keluarga, beliau menitipkan salam buat isteri saya dan dengan kata-kata itu, kami menutup perbualan kami pada pagi itu.Semoga ibu Dayang terus sihat dan dilindungi Allah selalu.

2.Saya bergegas ke KK kerana mad sakiran memberitahu beliau ada di ibu negeri. Saya meminta Azwan menemuramahnya untuk ruangan Sekadar Bertanya. Penulis dari Semporna ini seorang penulis yang selalu menggambarkan keadaan sosio budaya di daerahnya.

3. Sebelum waktu yang dijanjikan tiba, saya duduk dengan rakanrakan pemimpin masyarakat dari Pitas.Mereka menyampaikan keluhan mengenai waibi mereka, yang menurut mereka prestasinya agak menurun.Pertama kerana kalau merasmi majlis pun, beliau buru buru balik KK,selain kurang prihatin untuk membantu orang-orang yang dulu membantunya.Selain itu, kami bicara mengenai isu-isu terkini, rakyat yang perlukan perhatian dan sebagainya.

4.Selepas makan ikan rebus di gerai biasa dekat pasar malam ikan todak itu, saya mengajak sepupu saya Asam untuk menunggu sahabat saya yang baru balik dari Perancis.Namanya MNA.Beliau kini sedang menyiapkan tesis PhD di Besancon, daerah di selatan Perancis.
Sambil makan kacang rebus, jagung dan kelapa muda di Pantai Tanjung Aru, saya bertanya pengalamannya di Perancis.
Beliau baru saja balik kerana membentangkan kertas kerja dalam satu seminar antarabangsa di UNIMAS. MNA membentangkan makalah mengenai pengajaran bahasa melayu mengikut Sistem Perancis.
Beliau melalui pelbagai pengalaman di sana. Saya bertanya mengenai sistem pengangkutan awam, katanya di negara  itu, sistem pengangkutan awamnya teratur. bas penumpang punya lorong sendiri dan sebagainya.
Selain itu, beliau menceritakan betapa Perancis memastikan supaya semua kanak-kanak tak kira orang tempatan atau orang asing, menikmati pendidikan percuma.Semua kanak-kanak diwajibkan untuk ke sekolah, dan sikap guru-guru yang amat prihatin terhadap tanggungjawab mereka sebagai ibubapa.
Pelayanan doktor di klinik atau hospital juga amat luar biasa. Mereka amat komitmen terhadap pesakit yang memerlukan rawatan. Banyak yang dapat dicontohi dari perancis.Etika kerja dan semangat yang selalu mendahulukan perikemanusiaan.MNA juga menceritakan mengenai proses pergantian kepimpinan antara sarkozy dan penggantinya yang berjalan dengan agak lancar.
Banyak perkara baik yang boleh dicontohi, katanya.Saya bertanya kepada beliau berapa lama yang dipeerlukan oleh negara sehingga mencapai satu tahap dimana masyarakatnya peduli, prihatin, beretika, mengutamakan kepentingan orang ramai dan sebagainya. Kata MNA, ada tiga pihak yang dapat membantu membimbing, mendidik yakni ibu bapa, guru di sekolah termasuk sistem pendidikan dan juga pihak berkuasa yang menguatkuasakan undang-undang. Banyak juga cerita menarik kami malam itu, maklumlah lama tak jumpa dengan pensyarah yang minat lagu alleycats itu.

5.Sebelum sampai ke rumah, saya singgah tempat jiran yang sudah menunggu minta saya membantu mengedit suratnya.
Hari sudah jauh malam.Jam satu. Selepas mengambil wuduk dan menyemnpurnakan perintahnya, saya menulis entri ini.
Masih laratkah saya menonton perlawan bola antara Jerman dan Itali?