Kita tidak perlu menulis sejarah baru, kata Haji Mohammad Sabu.
Apa yang perlu ialah kita mengetengahkan peranan yang dimainkan oleh tokoh pejuang kemerdekaan yang lain seperti Dr.Burhanuddin Al Helmy, Ahmad Boestamam, dan sebagainya, dan bukan setakat peranan Datuk Onn Jaafar atau Almarhum Tunku Abdul Rahman.
"Itu sebabnya rakyat negara kita kurang semangat patriotiknya kerana hanya disajikan dengan satu versi sejarah semata-mata," kata Timbalan Presiden PAS itu.
Menurutnya, rakyat haruslah diberikan gambaran yang tepat dan lengkap mengenai peristiwa sejarah di negara ini dan bukan setakat satu versi sejarah dengan mengetepikan sumbangan dan peranan yang diberikan oleh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain.
Saya fikir beliau benar.
Sebenarnya saya agak jarang membuat liputan program Mat Sabu. Walaupun pernah menemuramah tokoh-tokoh Pas yang lain seperti Tuan Guru Haji Hadi Awang, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Husam Musa, Tuan Ibrahim Tuan Man,Mahfuz Omar,Salahudin Ayub, Ir Khalid Samad,Mazlan Aliman, Nasrudin Tantawi, tetapi saya jarang sekali berkesempatan menemuramah Mat Sabu.
Mat Sabu adalah antara nama yang mewarnai politik negara. Bahkan jika tidak silap,beliau pernah bertanding melawan DSAI di Permatang Pauh ketika DSAI berada dalam UMNO.
Beliau seorang tokoh yang bersahaja. Berani dan lantang dalam ucapannya dan suka juga melucu, berjenaka membuat kita tertawa.
Selepas sidang media di Pejabat PAS Putatan di Asia City itu, beliau mendekati kami. Bercakap mengenai nilai patriotik di kalangan rakyat yang rendah.Sehingga mereka juga kurang semangat untuk mengibarkan bendera.
"Bila agaknya PRU-13 diadakan, kalau menurut pandangan pemberita?" tanya Mat Sabu kepada kami.
Saya balik bertanya kepadanya, kalau menurut beliau, bila agaknya pilihanraya akan diadakan?
Mungkin Dato' Najib perlu memulihkan imejnya kerana popularitinya menurut 6 peratus, katanya.
Tapi dengan pengumuman pemansuhan ISA, imej beliau meningkat, kata saya. Menurut Mat Sabu banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh kepimpinan Dato' Najib terlebih dahulu.
Kita mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi berharap ia bukan gimik politik semata-mata, katanya dalam Sidang Media sebelum itu.
Katanya, pemansuhan Akta ISA itu telah lama diperjuangkan oleh PAS dan menyifatkan pengumuman itu sebagai kemenangan rakyat.
"Walau bagaimanapun, kami masih lagi menunggu bagaimana bentuk akta baru yang dibuat untuk menggantikan ISA," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling, Setiausaha Perhubungan PAS Sabah, Ustaz Haji Awang Laiman Haji Ekin dan Ahli Jawatankuasa PAS Negeri, Haji Norbin Haji Abdul Wahab.
Mohammad Sabu yang juga mantan tahanan ISA berharap agar pemansuhan ISA itu benar-benar dilakukan dan bukan sekadar gimik politik menjelang pilihan raya.
"Kita masih menunggu apakah akta baru yang akan diperkenalkan itu serupa dengan ISA...Kita harap ia bukan gimik politik semata-mata.
Beliau berada di Sabah untuk menghadiri beberapa program ceramah PAS dan menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat di Kota Kinabalu.
Ditanya mengenai sambutan rakyat terhadap program-program ceramah PAS, Mohamad Sabu berkata, sambutan rakyat semakin bertambah walaupun beliau difitnah selama `16 hari 16 malam' tanpa diberi peluang untuk membela diri.
Beliau menyifatkan kebebasan media di negara ini setaraf dengan Myanmar dan negeri-negeri lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina malah Singapura kini semakin mengamalkan kebebasan media.
"kita harap para wartawan melaporkan berita yang seimbang" katanya sambil menambah, akses kepada media adalah salah satu tuntutan Bersih 2.0 baru-baru ini.
Selepas sidang media itu, beliau mempersilakan wartawan untuk menikmati jamuan mee goreng yang disediakan.
Sebenarnya, ketika beliau datang itu, sebilangan rakan media terpaksa meletakkan pinggan berisi mee kerana tak sedaplah makan di depan beliau.
Sidang media itu agak singkat. Beliau hanya memberi komen mengenai pengumuman PM terhadap pemansuhan ISA. Selepas satu dua soalan, katanya kalau tak ada soalan lagi, beliau mengucapkan terima kasih dan menjemput media untuk menjamu selera.
Saya memperkenalkan Gary Louis, wartawan yang mewakili Malaysiakini, juga Rashid dari Utusan Malaysia. Mat Sabu berkata, beliau tidak boleh komen lagi mengenai Mat Indera kerana perkara itu telah dibawa ke mahkamah, tapi katanya kepada Rashid, orang lain boleh komen.
Secara umumnya, rakan-rakan media agak selesa dengan karakter Mat Sabu, tidak seperti yang selalu digambarkan dalam media dan TV.
Selepas PC itu, kami pun turun dan saya, rashid, suzy, suraidah, dary menyambung minum di Sri Sempelang.
1 comments so far
Benar Tuan, pihak media seharusnya seimbang dlm melaporkan sesuatu berita.. pling mustahak sumber kesahihannya mesti diteliti dgn sbaik2nya...