Selasa, 9 Ogos 2011

Masih banyak `rumah aspalela' di Semporna, kata haji rahman

Tags



Jika banyak agensi kerajaan prihatin terhadap usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat di pulau-pulau di Semporna seperti pulau Larapan, sudah tentu tidak lama lagi kita tidak akan melihat lagi `rumah aspalela'.

Apa `rumah Aspalela' tu tuan haji?. Saya bertanya begitu kepada Haji Abdul Rahman Labatan seorang kontraktor terkenal di Semporna.

Beliau tersenyum. Katanya sebutan `rumah aspalela' itu sekarang popular di Semporna. `Rumah Aspalela' itu maksudnya rumah yang dindingnya nipah, atapnya nipah.
Oh begitu!. Bagaimana pula asal muasal hingga ia disebut `rumah aspalela'?.


Pernah tengok filem `Duyung?". Saya sebenarnya hanya menonton sekilas filem yang diarahkan A.Razak Mohaideen itu. Saya lebih tertarik kerana sebahagian filem itu menggambil latar penggambaran di Pulau Sipadan,Mataking, Bohey Dulang dan Tampi-Tampi.

Ya, Saiful Apek terjumpa duyung yang dilakonkan si cantik jelita Maya Karin.Filem tahun 2008 itu bercerita mengenai kehidupan Jimmy (Saiful) menghabiskan masanya membersihkan sampah di kampung mereka. Beliau mencintai Aspalela separuh mati tetapi Wan Pagek , bapa Aspalela (yasmin hani) enggan merestui kecuali kalau dia memiliki tanah.

Kerana kecewa, beliau membuat pulau terapung dengan mengumpul segala macam sampah sehingga membuat penduduk kampung hairan.

Perbuatan Jimmy mengumpul sampah-sampah itu diperhatikan oleh Puteri (Maya Karin)..Bagaimanapun setelah kampung heboh kerana Jimmy mengatakan terjumpa sang duyung, Puteri tidak muncul lagi.

Saya tak begitu ingat lagi apa ceritanya. Puteri muncul kemudian dengan mengingatkan bahawa persahabatan mereka itu mestilah dirahsiakan. Jimmy dibawa ke kedalaman lautan untuk melihat khazanah harta yang kaya. Jimmy mengatakan bahawa memang dia mencintai Aspalela tetapi kerana tidak mempunyai wang, beliau gagal mendapatkan cinta Aspalela.

Cerita berlanjut dengan Jimmy yang enggan menerima pemberian harta Puteri, terbangun keesokan paginya dengan mendapati peti yang penuh berisi harta. Jimmy mendadak kaya.

Kordi (Awie) yang keheranan, kemudian berjaya menangkap duyung dan serta merta mengutip bayaran daripada orang-orang yang ingin melihat Puteri. Pada saat itulah,penduduk kampung percayakan cerita Jimmy yang sebelum itu dianggap hanya cakap kosong.

Kisah berlanjut dengan Jimmy, Orix, Apalela, keluarganya dan keluarga Jimmy berusaha melepaskan si puteri duyung yang malang itu. Setelah terlepas dari bencana, Puteri mengharapkan Jimmy bahagia dengan Aspalela sebelum menghilangkan diri dalam birunya lautan.

Mengikut Haji Rahman, sejak itu entah kerana teringatkan filem itu, atau ada sebab lain, semua rumah yang atapnya nipah dan dindingnya nipah, selalu disebut sebagai `rumah aspalela'.

Masih banyak rumah aspalela di Semporna tuan haji? Kata haji Rahman, masih banyak lagi rumah sebegitu di kampung-kampung tradisi di Semporna.

Tapi kalau semua jabatan dan agensi kerajaan bekerjasama dan memberikan bantuan, semua `rumah aspalela' ini diyakini boleh diperbaiki dan dibina yang baru dan masyarakat menikmati tarah hidup yang lebih selesa di daerah itu.

2 comments

Kadang-kadang keindahan itu terletak pada nilai estetikanya. Bukan yang terlihat zahirnya. Mungkin 'rumah aspalela' ini boleh dikomersilkan sebagai satu tarikan pelancongan...