Isnin, 9 Mei 2011

antara buah cempedak, buah keranji dan pisang emas-mencari makna pantun

Tags

Katakanlah ada sebuah pulau musnah terbakar dimakan api, kata rakan penulis dari Labuan. Tetapi ada tiga jenis buah tidak dijilat api. Sebutkan tiga jenis buah itu? Ans Suili Bakar bertanya setengah berteka teki setengah berjenaka.
Saya pernah dengar teka teki seperti ini sewaktu kecil dahulu.
Apa ya?
Tiga jenis buah itu ialah buah cempedak, buah keranji dan pisang emas, kata Ans Suili, penulis yang telah menulis sejak 60-an lagi tetapi agak terlambat melibatkan diri dalam Perwila. Tapi kami tidak berada di pulau Labuan ketika itu, tetapi di City Park, berdepan DBKK, minum sambil bersembang sembang tanpa tajuk tertentu, hanya kerana kami lama tidak berjumpa.
Memang betul tiga jenis buah itu terselamat kerana buah cempedak diluar pagar, buah keranji dalam perahu manakala pisang emas dibawa belayar.

Tiga jenis buah itu sebenarnya agak signifikan dalam budaya masyarakat kita sekarang.
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan. Buah cempedak di luar pagar, tidak di dalam pagar. Tentu ada beza di dalam pagar dan di luar pagar. Pokok yang tumbuh atau ditanam di dalam pagar tentulah milik perseorangan, tentu ada pemiliknya tetapi buah cempedak itu berada di luar pagar. Kemudian,walaupun sudah berada di luar pagar,masih juga kita meminta orang untuk tolong menjolok buah itu. Tidak dinyatakan untuk siapa buah cempedak itu.Untuk kita atau untuk orang lain. Tapi yang jelas, kita minta orang mengambil galah untuk tolong menjolok, mungkin kerana kita tidak tahu menjoloknya sendiri atau kita telanjur menganggap diri kita sebagai tuan, sehingga membiarkan orang lain menjolokkan buah untuk kita.Kita tahu bahawa buah cempedak di luar pagar, yang bermakna buah itu bukan milik mutlak kita.
Namun itu semua sekadar pembayang, kerana maksudnya sebenarnya ialah bahawa `saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan'. Ini perakuan kita sebagai orang yang baru belajar dan meminta petunjuk agar jika ada kesalahan tolonglag perbetulkan. Pantun ini dengan jelas menggambarkan kedudukan ilmu, dalam pemikiran Melayu, bukan milik perseorangan, yakni tidak berada di dalam pagar, tetapi ia boleh dijolok atau dituntut oleh semua kerana ia berada di luar pagar, yang bermakna sesuatu yang dimiliki oleh umum.

Buah keranji dalam perahu, itulah bunyi sebait pembayang pantun. Saya perlu mengakui bahawa saya belum pernah makan buah keranji, saya hanya pernah melihat gambarnya. Tetapi buah keranji itu berada dalam perahu. Setelah sorong papan tarik papan, mungkin menyebabkan kita keletihan.Tapi jangan risau kerana ada buah keranji dalam perahu.Perahu identik dengan perjalanan, tidak kira jauh atau dekat, perahu sangatlah penting untuk digunakan bagi menyeberangi sungai, tak peduli sama ada sungai yang lebar atau yang dalam, yang deras arusnya atau yang tenang airnya.

Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu. Suruh makan engkau makan, suruh mengaji engkau tak tahu, atau suruh mengaji engkau tak mahu.Suruh mengaji, pada ketika itu ertinya mengaji quran, yang mengandungi segala macam ilmu di dalamnya.Jangan hanya tahu mengisi perut, mengisi hati dan jiwa dengan sikap qurani kita tak mengetahui bagaimana caranya.Mengaji, maknanya membaca, mempelajari, memahami, menghayati dan sebagainya.Tapi itulah, orang tua kita selalu menemukan cara untuk menyindir kita yang pemalas dan tak tahu diri.Hanya tahu makan, hanya tahu soal perut yang kelaparan, hanya tahu nafsu nafsi tapi tak tahu mengisi soal hati nurani.

Walaupun sekadar pembayang, entah kenapa dalam banyak-banyak bekal, hanya pisang emas dibawa belayar.Syukurlah dalam pelayaran itu-pelayaran sudah tentu memakan masa yang panjang , pisang emas masak sebiji demi sebiji.Kalau ia masak sekaligus, sudah tentu ia cepat habis tapi kerana masak sebiji di atas peti, maka yang sebji pisang emas itulah yang dibahagi-bahagi, dimakan berdikit dikit agar tidak kelaparan sepanjang perjalanan.Tapi kenapa pisang emas itu masak di atas peti, tidak di dalam peti. Apa yang disimpan dalam peti itu? Saya tak sempat bertanya pencipta pantun ini, kerana yang pertama saya tidak tahu siapa yang menciptanya kerana ia telah dicipta beratus tahun lamanya walaupun pantun itu tetap diucapkan hingga kini.Kalaupun saya bertanya, tentu hanya orang yang ikut berlayar saja yang mengetahui isi peti. Jadi kalau mahu tahu apa yang disimpan di dalam peti itu, maka marilah sama-sama kita berlayar.

Hutang emas boleh dibayar.Betapa mahal emas, betapapun sukar bagi kita untuk mendapatkan emas, tetapi ia tetap boleh dibayar, kecuali kalau kita melupakan bahawa kita pernah berhutang. Hutang emas, ialah hutang yang paling tinggi kerana emas adalah barang yang paling berharga.Sungguhpun begitu, kita masih tetap sanggup untuk membayarnya. Namun hutang budi dibawa mati. Jika kita berhutang budi, tak dapat kita membayarnya kerana apabila kita berbudi kepada seseorang misalnya, tentulah kita melakukannya dengan ikhlas.Dan kita tak mahu dibayar, dan selamanya hutang budi dibawa mati.

Betapa dalamnya pemikiran orang dulu-dulu.Mencipta sesuatu tanpa ingin menyebut nama.Mereka sekadar mencipta untuk jadi teladan, untuk jadi ingatan, jadi panduan bagi kita generasi sekarang.
Buah cempedak di luar pagar menunjukkan betapa kita suka berbudi dan memanfaatkan tanah, bertanam bukan saja dalam pagar tapi juga di luar pagar, sungguh rajin orang-orang dulu kala tidak seperti sekarang, banyak tanah terbiar.Kerana kerajinan itu, buah keranji dalam perahu. Hasil mahsul itu dimuatkan dalam perahu untuk diperdagangkan dan diniagakan untuk meningkatkan ekonomi negeri. Jika permintaan dalam negeri mencukupi maka pisang emas bawalah belayar. Terokai suatu wilayah yang baru, pasaran yang baru, dunia yang baru, kerana kalau kita tidak berlayar, dan hanya duduk diam di kampung sendiri dan tidak cuba menerokai dunia luar, sudah tentulah serba serbi ketinggalan.

Nasib baik ada buah cempedak di luar pagar, buah keranji dalam perahu dan pisang emas dibawa belayar kerana kalau tidak tentulah kita selama-lamanya berada di dalam pagar, masih tidak menaiki perahu untuk memulakan pelayaran yang jauh.

2 comments

Saudara, lebih baik tiga patah perkataan terakhir dalam tajuk itu digugurkan. Wallahuaklam. Wassalam.

terima kasih cikgu.dah diubah tajuknya