Sabtu, 26 Mac 2011

Makan tak ada rasa, kalau tak ada lada

Tags

MAKAN TAK ADA RASA,KALAU TAK ADA LADA

Sambil menikmati makan malam di Kedai Kopi Pak Din di Sinsuran, banyak perkara yang menjadi bahan percakapan kami, dari harga lada atau cili padi yang melambung tinggi, generasi mall vs generasi masjid, nilai manusia yang dikomodotikan dan dianggap sebagai benda, lelaki Y dan betapa peristiwa pendedahan video oleh Datuk T itu mampu menggeserkan makna perkataan `kawan baik'.

Sepupu saya, Abd.Nazir yang lebih mesra dipanggil Asam membawa khabar yang agak mengejutkan bagi kami, yang dibesarkan sebagai anak petani. Apa tidaknya, sebiji lada berharga sepuluh sen di kedai di Seri Maju di Sepanggar. Di Bundusan, sepuluh biji cili padi RM1.50 sen. Betapa mahal harganya, padahal dulu setompok cili padi yang mengandungi dua puluh ke tiga puluh biji berharga paling mahalpun 50 sen.

Taraf hidup di bandar semakin meningkat dari hari ke hari. Harga barangan naik dan membebankan hidup bagi mereka yang malas menanam cili di belakang rumah. Bagi mereka yang suka menanam cili padi, terung, timun dan sebagainya di belakang rumah mungkin tidak menghadapi banyak masalah. Bagaimana pula bagi mereka yang tinggal di flat atau apartment? tanya Asam. Tidak semua mereka boleh bertanam di dalam pasu.

Harga cili padi yang agak mahal itu menarik banyak perhatian ketika isu itu dibincangkan di ruang facebook. Ada informasi yang menyatakan bahawa sekilogram cili padi berharga antara RM25 hingga RM56 sekilo. Ini bermakna berita baik bagi pengusaha tanaman lada.

Namun ada yang memberitahu, yang paling diuntungkan dalam perniagaan cili padi ini ialah orang tengah kerana mereka membeli lada dari petani antara RM12.00 hingga RM15.00 sekilo, kata seorang rakan dari Keningau. Seorang anak saudara yang pernah tinggal lama di Australia menyatakan bahawa harga cili padi di sana AUS40 dollar sekilo, dan ternyata harga cili padi di Sabah masih dianggap murah.

Sebenarnya jika kita mengusahakan tanah terbiar dengan pelbagai tanaman seperti lada, terung, timun, petola, bayam, kacang panjang dan sebagainya, ia boleh mendatangkan pulangan yang lumayan. Memang betul, sambil mengangguk kepala itu, saya memakan sebiji terung bakar yang berharga RM3.00.

Belia kita lebih suka melepak dan membuang masa mereka di mall dan supermarket. Jika dipertentangkan antara generasi mall dan generasi masjid, sudah tentulah kita mendapati lebih ramai mereka yang lebih suka ke mall berbanding mereka yang suka ke masjid.

Anak-anak mall dan supermarket inilah yang mencorakkan rupa bentuk bangsa 1Malaysia pada masa akan datang. Kerana itu, cabaran yang akan kita hadapi nanti ialah bagaimana kita berdepan dengan kemungkinan akan lahirnya generasi yang lebih mendewakan benda-benda dan mengukur nilai manusia berdasarkan benda.

Saya teringat kata-kata Dr.Siddiq Fadhil yang mengkritik masyarakat kini, yang menilai manusia berdasarkan apa yang mereka pakai, apa jenis kereta yang mereka gunakan, dimana tempat tinggal mereka dan apa benda yang mereka beli. Memang terdapat pergeseran nilai dimana orang lebih menilai aspek material sesorang sehingga apabila manusia sekarang dinilai dengan benda, maka ia dinilai kualitinya sebagai barangan dan bukan nilai-nilai kemanusiannya.

Sebab itu, ada rakan rakan yang tidak tahu menahu tetapi ikut-ikutan menunjukkan perasaan mereka kepada orang ramai menuntut agar lelaki Y menyerahkan DNAnya. Akhirnya perkara yang berkaitan undang-undang dan integriti itu memasuki ranah politik yang lebih menghuruharakan keadaan. Barangkali sukar untuk kita menafikan bahawa terdapat muatan politik disebalik poster-poster yang diacungkan di masjid masjid selepas Jumaat lepas.

Persoalan hidup rakyat, kenaikan harga barang, bebanan kehidupan, isu dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang, atau mereka yang bebas, atau mereka yang tidak menyatakan pendirian seperti dilupakan dan terlupakan kerana pemimpin-pemimpin disibukkan dengan sepak terajang politik yang tak habis-habisnya.

Bayangkan sejak pilihanraya 2008, hampir setiap hari dalam ruangan media atau forum-forum tidak rasmi di kedai-kedai kopi, ditumpukan kepada diskusi politik, dari soal-soal peribadi sehinggalah kepada soal-soal pemilihan calon akan datang.

Siapa kira-kira Datuk T itu?, tanya Asam.Semua orang sudah tahu kerana Datuk T yang dimaksudkan itu sudahpun mengaku. Tetapi yang menarik bagi saya ialah istilah `kawan baik' yang digunakannya itu.

Kelihatan ada usaha untuk menggeser makna `kawan baik' iaitu tidak seperti yang kita fahami. Seorang kawan baik tentulah seorang yang setia, akrab, mesra dan menjaga rahsia kawannya. Seorang kawan baik adalah sahabat, teman, rakan dan sebagainya. Tetapi kini makna `kawan baik' tidak lagi membawa maksud akrab, sekurang-kurangnya jika berdasarkan pengakuan Datuk T, sebaliknya makna kawan baik itu ialah musuh dalam selimut atau musang berbulu ayam.

Istilah kawan baik sekarang mengalami rekonstruksi makna. Pada masa akan datang, barangkali agak sukar untuk kita mengatakan ayat seperti `dia kawan baik saya'. Apabila kita menyebut `kawan baik' ia boleh membawa maksud seseorang yang dicurigai. "Kalau dia sebut, kawan baik, jangan main-main,". saya teringat ucapan Amai Happy yang menyatakan perubahan makna itu mungkin berlaku apabila seseorang yang kita anggap kawan baik, kita khianati.

Tajuk percakapan kami yang bermula dari harga cili padi itu meleret-leret ke soal-soal lain. Sambil makan itu, kami bersembang juga mengenai bagaimana dalam sesetengah etnik di Sabah tidak boleh dipisahkan dengan lada padi. Ada orang yang tidak dapat makan, sekiranya lauknya tidak berlada. Bahkan cili padi menjadi bahan yang sangat perlu bagi para tukang masak.

Bagaimana kita dapat memastikan cili padi yang kita tanam itu pedas? Siapa yang boleh mengesahkannya? Apakah cili padi itu mengetahui sifatnya yang pedas? Bukankah yang merasakan pedas adalah orang yang memakan lada padi atau cili padi? Saya teringat pula Haji Hussain, yang berkata, kalau ditanyakan kepada lada apakah ia merasa pedas? mungkin dia tidak dapat menjawabnya kerana pedas lada hanya dapat dirasakan oleh mereka yang memakan lada.

Kalau tak makan lada, apakah kita dapat mengenal istilah pedas? Bagaimana kita membezakan antara pedas dengan tawar jika kita tidak pernah merasa pedas? Sungguh satu percakapan yang membuat kami lupa persoalan sebenar mengenai rungutan pengguna mengenai kenaikan harga lada padi.

Makan tak ada rasa, kalau tak ada lada. Kenyataan ini mungkin benar bagi sebilangan orang, mungkin tak benar bagi yang lain.Tapi kalau tak ada lada, mungkin makan malam kami pada hari itu, tidaklah sesedap mana.