Rabu, 9 Mac 2011

Kebakaran di Ice Box, dan cerita cerita yang dituturkan

Tags

Petang setelah kebakaran itu, kami menziarahi Cingbol.

Rumahnya yang terletak di Blok 9 terlibat dalam tragedi pada tengahari 8 Mac itu bersama puluhan rumah- ada yang mengatakan 60 rumah, ada pula yang mengatakan lebih dari itu-di Kampung Titingan, yang terbakar kali ketiga tahun ini dan kali keempat sejak Disember lepas.

Api terlalu cepat menyambar, dibantu tiupan angin, dalam sekejap Blok 9, hampir seluruhnya ranap menyembah bumi.Hampir tak ada yang dapat diselamatkan.Mujurlah Cingbol tak ada di rumah sewaktu kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu kerana menghantar bini si Doyan yang sedang sarat mengandung ke hospital Tawau.

Nek Dok-nama sebenarnya Jubaidah Abu Bakar yang berada di rumah, diselamatkan oleh adik ipar abang Yan ke Tawau Lama. Nek Dok, usianya mungkin 100 atau lebih, dilarikan menyeberangi jambatan. Sebaik-baik dia melewati satu-satunya jambatan yang menghubungkan Icebox dengan Tawau Lama, jambatan itupun runtuh.

Kak Saol pula agak terpukul kerana tidak dapat menyelamatkan sijil-sijil dan dokumen penting. Beliau berasa lemah kerana tak dapat menyelamatkan walau sekeping gambar kenang-kenangan bersama arwah suaminya yang meninggal beberapa tahun lalu. Itulah yang membuatnya terharu dan khabarnya sempat tidak sedarkan diri.

Ramai orang yang mencari nek Sangkui, yang berkerusi roda dan tinggal sendiri dalam salah sebuah rumah di blok itu. Tapi dia sendiri pun tidak tahu siapakah gerangan orang yang telah membantu mengangkatnya dan menyelamatkan nyawanya. Nek Sangkui tidak mengenal orang yang telah menolongnya.

Yak Antong yang sewaktu mudanya agak perkasa, turut berada di sana mencari cucu-cucunya dan marahkan orang yang dianggapnya penyebab kepada peristiwa itu. Mujurlah dapat dileraikan.

Blok 9, merupakan salah satu blok kediaman paling padat di Kampung Titingan. Pada mulanya, blok itu hanya ditempati oleh pekerja-pekerja kongsi Teck Guan. Lama-lama kelamaan rumah bertambah, orang makin ramai mendiami kampung itu. Ada di antaranya agak terkenal seperti Haji Murah, salah seorang yang agak dipandang oleh masyarakat di sekitar Ice Box.

Sebelum mendapat nama Kampung Titingan, kawasan itu dikenali sebagai Ice Box, kerana menurut cerita ada sebuah ice box yang digunakan untuk memuatkan ikan-ikan untuk eksport.

Pada mulanya hanya terdapat kira-kira tujuh buah rumah di kampung itu, ketika ia mula-mula diduduki dulu. Menurut Hajah Jamilah Jamal, pasir kampung Titingan itu memutih dan menjadi sumber kehidupan masyarakat yang mencari hasil hasil laut untuk dijual. Bahkan, masih menurut beliau, pantai Titingan satu ketiga dahulu pernah dikagumi Seniman Agung Tan Sri P.Ramlie yang pernah melawat Tawau sekitar 60 an.


Adapun cadangan untuk menamakan kampung itu dengan nama Kampung Titingan timbul setelah Datuk Haji Abu Bakar Titingan merasmikan satu majlis di kampung itu. Cadangan nama itu dicadangkan oleh guru mengaji kami, Imam Hamat, kata Hajah Jamilah. Imam Hamat dikenali sebagai Haji Asasmulia Arifin. Dialah orangnya yang mula-mula mencadangkan nama Kampung Titingan itu, yang kemudian diterima oleh penduduk kampung sehinggalah sekarang.

Penduduk kampung itu semakin ramai seiring dengan berkembangnya proses pembangunan dan urbanisasi.Dari tujuh buah rumah, kebanyakan mereka nelayan yang hidup dengan menangkap ikan, setengah memiliki `keelong', kampung itu berkembang. Mertua saya sendiri menebang pokok pokok bakau untuk membina rumah.Kemudian, ketika beliau bekerja di MPT, beliau sempat membuat permohonan ke atas tanah tempatnya membuat rumah, tetapi permohonan itu kemudian ditolak dengan alasan tanah itu merupakan rezab simpanan sungai.

Bagaimanapun, Kampung Titingan berkembang menjadi sebuah perkampungan yang mempunyai penduduk yang ramai. Pernah juga beberapa kali kebakaran berlaku di kampung itu, menyebabkan sebahagian penduduk asalnya berpindah, membeli rumah dan meninggalkan Kampung Titingan yang semakin sesak dengan orang ramai. Kampung itu didiami pelbagai etnik antaranya Bulungan, Tidong, Bugis, Bajau, Suluk dan para imigran lain yang berpindah ke Tawau untuk mencari penghidupan sejak sebelum pembentukan Malaysia lagi.

Kebakaran itu, menurut mangsa yang terlibat, berpunca dari api dari belakang rumah kak Seri. Tidak siapa dapat memastikannya, tapi anak Kak Saol berlari memberitahu emaknya bahawa ada api sedang marak.

Api marak dengan cepat. Shaari dan kawan-kawannya yang datang untuk membantu hanya dapat mengeluarkan beberapa barangan kak Ol tapi kemudian tak dapat kerana api berlaku dengan cepat.

Di sana terdapat sungai, dan kerana tidak mahir berenang, mereka tak dapat membantu. Anggota bomba yang datang jam 12.08 minit, akhirnya berjaya memadamkan kebakaran jam 1.08 petang.

Di tengah-tengah api yang menjulang itu, mangsa-mangsa menangis dan tidak dapat menyembunyikan kesedihan. Ada yang menyalahkan bomba kerana menurut mereka kononnya bomba lambat datang. Tekanan air pula rendah. Selepas itu timbul juga kehebohan kerana dua kanak-kanak hilang dan mujurlah selepas itu dapat ditemui ibubapa mereka.

Sekolah Menengah Titingan yang terletak berhampiran sedikit lagi terkena api. Tetapi jambatan yang menjadi jalan penghubung anak-anak sekolah runtuh dan terbakar.

Hanya selang satu rumah, api itu boleh merebak ke Sekolah Pasti. Mujurlah ia dapat dipadamkan pasukan bomba.

Ketika kami tiba di balai raya, KAN Majid Jamal sedang sibuk memanggil nama-nama mangsa untuk didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang datang cepat untuk membantu. Beliau juga sempat mengumumkan bahawa pada malam itu, ada makanan disediakan untuk mangsa dan Datuk Tawfiq sendiri akan datang untuk menziarahi mangsa-mangsa yang terlibat.

Kebakaran itu yang merupakan kali keempat, yang pertama di Blok 5, yang kedua di Ice Box Tengah, yang ketiga di dekat laut dan yang keempat, meluluhlantakkan Blok 9. Di kampung itu, terdapat hingga Blok 10.Itulah yang menyebabkan ada orang yang menyatakan kebakaran sudah agak sinonim dengan Kampung Titingan.

Kerajaan memang mempunyai perancangan untuk memindahkan penduduk-penduduk setinggan yang menempati Kampung Titingan. Terdapat beberapa projek perumahan, antaranya Flat Sri Titingan, dan flat di Batu Lapan untuk menjadi tempat bagi penduduk kampung Titingan itu berpindah.

Banyak masalah yang timbul kerana rumah itu dirikan agak rapat antara satu sama lain, dan isu-isu seperti penyambungan haram dan sebagainya menjadi isu bagi menyelesaikan masalah kampung Titingan.

Sebelum itu, menurut penduduk kampung memang terdapat tanda-tanda kampung itu akan ditimpa musibah.Malah pada pagi sebelum kejadian itu, penduduk ternampak seekor ular sawa sepanjang tiga meter, berteritip di badannya menyusuri kolong rumah . Ramai yang nampak, kata Cingbol. Mereka percaya kehadiran ular itu memberi petanda akan adanya bencana. Mungkin peristiwa ternampak ularsawa itu hanya sekedar penyedap cerita, tetapi penduduk yang sempat melihatnya yakin ia merupakan isyarat akan adanya sesuatu yang buruk berlaku.

Kami sempat merakamkan gambar orang-orang yang mengais di bawah runtuhan puing-puing, berharap akan terjumpa barang berharga yang masih boleh diselamatkan.

Cingbol yakin kejadian itu pasti ada hikmahnya. Ujian-ujian yang diberikan oleh Tuhan kepada hambanya agar mereka mensyukuri nikmat dan rahmat yang diberikanNya. Dalam sekelip mata, anugerah yang diberikan kepada kita boleh direnggut begitu saja, dan dalam sekelip mata juga, kita diberikan rezeki berlimpah tanpa kita sangka. Semua itu adalah bentuk ujian yang diberikan oleh Yang Maha Kuasa, Yang Maha Kekal, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Terdapat bekas tangis di pelupuk matanya.Bersyukur kerana masih ada peluang yang diberikan untuk mereka merasakan manis kasihNya.