Rabu, 15 Disember 2010

Rakaman perjalanan ke Mempawah

Tags

RAKAMAN PERJALANAN KE MEMPAWAH
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
Sejak pagi lagi, kami berangkat menuju Mempawah yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Pontianak. Hari itu tahun baru Hijrah 1432. Suasana awal Muharam di kota itu tidak begitu terasa walaupun sekali sekala kami ternampak pawai perbarisan belia-belia Islam menyusuri jalan raya, mungkin atas inisiatif mereka sendiri.
Disember basah di kota yang dijuluki dengan nama Kota Khatulhistiwa itu. Petang kelmarin hujan tetapi perjalanan ke Mempawah dirasakan amat perlu untuk berkunjung ke makam salah seorang tokoh penting alam Melayu Nusantara pada abad ke-17 iaitu Opu Daeng Menambun, yang mendirikan kerajaan di Sebukit Rama, dan menjadi Raja Mempawah yang pertama.
Kami memutuskan untuk menyambut awal tahun baru dalam Kalendar Islam di Mempawah. Untuk pertama kalinya berada di negeri orang pada awal Muharam tentu merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Kunjungan ke Makam Opu Daeng Menambun, yang merupakan salah seorang daripada 5 anak raja Bugis dari Kerajaan Luwuk, Sulawesi adalah antara tokoh yang banyak mewarnai dunia Nusantara kira-kira tiga abad yang lalu.
Mempawah yang terletak di jalur perdagangan antara Pontianak, Singkawang dan Sambas memiliki kedudukan penting sebagai sebuah kerajaan dan pusat perdagangan yang terkenal ratusan tahun lalu. Tetapi kini Mempawah hanyalah sebuah kota di Kalimantan Barat, wilayah yang digelar wilayah seribu sungai kerana banyak sungainya malah sungai terpanjang di Indonesia, Sungai Kapuas, sepanjang 1,143 km terletak di Kalimantan Barat.
Sebelum jam 11.00 kami sudah tiba di Mempawah, sebuah bandar yang cantik. Di sepanjang jalan di tanam pokok-pokok yang cantik menghiasi bandar yang digelar Bumi Galahherang dengan keluasan 254,40 km. Selain Makam Opu Daeng Menambun, ia memiliki banyak destinasi pelancongan seperti Masjid Keraton Jamiatur Khair, Keraton Amantubillah,Pantai Kijing, Teluk Paku Pulau Temajo,Pantai Jungkat dan sebagainya.
Selepas menghirup kopi di sebuah kedai di pinggir jalan, kami menuju Desa Pasir. Makam Opu Daeng Menambun terletak kira-kira 9.7 kilometer dari jalan utama. Perjalanan terasa agak jauh kerana jalanraya sepanjang lebih 1 km dinaiki air. Tetapi kami memberanikan diri untuk berziarah ke Makam Opu Daeng Menambun, untuk sekadar membacakan al-fatihah dan merenung betapa beraninya mereka sebagai pahlawan yang menentang penjajahan Belanda.
Terlintas di fikiran kami, persoalan mengapa Daeng Menambun memilih Sebukit Rama untuk mendirikan kerajaan. Kemungkinan besar kerana tempat itu agak jauh, boleh dimudiki menggunakan laluan sungai manakala kerajaan terletak di tempat yang tinggi, agak mudah memerhati pergerakan musuh.
Terdapat 265 anak tangga yang dibina menuju makam. Saya tidak ingat tahun berapa Opu Daeng Menambun dilahirkan tetapi beliau wafat pada 26 Safar 1175 iaitu kira-kira 257 tahun yang lampau.
Tidak ada istana yang ditinggalkan, kecuali makam-makam. Mungkinkah pusat kerajaan didirikan di tempat lain dan tempat yang kami kunjungi ini hanya menempatkan tanah perkuburan?
Setelah mengambil wuduk, kami ikut mengaminkan doa yang dipanjatkan untuk almarhum. Terfikir juga bagaimana kuatnya karisma tokoh ini kerana walaupun setelah ratusan tahun ia masih menerima kunjungan ratusan orang setiap hari dari pelbagai bangsa, pelbagai agama.
Selain mereka yang datang dari tempat yang jauh, seperti Kota Pontianak, Sambas terdapat juga beberapa keluarga dari etnik tionghua yang berkunjung ke makam itu.
Barangkali kepimpinan Daeng Menambun mampu menembus batas perbezaan bangsa sehingga ia diterima sebagai tokoh yang dikeramatkan dan patut dimuliakan.Barangkali kerana semangat juang dan keikhlasan yang dimiliki Opu telah menarik ramai orang berziarah ke makam beliau.
Mungkin ada di antara mereka yang meminta berkat, membayar nazar dan sebagainya. Tetapi ziarah kami ke makam Opu Daeng Menambun itu adalah untuk menyusuri jejak sejarah yang banyak dirakamkan dalam sejarah Melayu.
Selepas berziarah, kami mula turun tangga demi tangga. Saya teringat satu ketika apabila mantan Presiden Indonesia, KH Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur ditanya mengapa beliau sering berkunjung ke makam-makam.
Secara berjenaka beliau berkata, beliau berkunjung ke makam kerana mereka sudah tidak mempunyai kepentingan-kepentingan dunia.
Tetapi saya merasakan ziarah ke makam Opu Daeng Menambun itu memberikan banyak pengajaran. Betapa keikhlasan sebuah perjuangan tetapi diingati sampai sekarang. Betapa pemimpin-pemimpin dahulu berjuang menentang penjajah,mengetepikan kepentingan diri dan menyusun gerakan melawan penjajahan.
Walaupun lokasinya agak jauh tetapi tapak bersejarah itu tetap diperhatikan masyarakat. Saya kurang pasti sama ada kerajaan turut memberikan bantuan untuk memelihara tapak bersejarah itu tetapi yang pasti, jasa Opu Daeng Menambun dalam sejarah Melayu tetap diingati.
Tidak lama kemudian kami meninggalkan kawasan makam dan pulang semula ke Kota Pontianak. Tetapi sebelum itu, kami sempat mengelilingi bandar bersejarah itu dan menjamu selesa di sebuah restoran di tepi sungai Mempawah yang terletak berhadapan jambatan Entibar.