Rabu, 15 Disember 2010

Catatan di sekitar dunia penulisan kita

Tags

CATATAN DI SEKITAR DUNIA PENULISAN KITA
MAHA SABAH MENGHASILKAN KUMPULAN PUISI
KUNJUNGAN Haji Mastun Abas ke pejabat Utusan Borneo sangat menyenangkan. Beliau yang popular dengan nama pena Maha Sabah adalah seorang penulis veteran yang telah berkarya sejak tahun-tahun 60-an lagi. Sebelum ini, sebagai seorang penulis berpengalaman yang rajin menulis, beliau telah menghasilkan novel bersiri bertajuk `Rambutnya Ikal Mayang' yang pernah disiarkan setiap Ahad di suratkhabar Utusan Borneo.
Kedatangannya kali ini membawa berita yang menggembirakan apabila kumpulan puisinya `Bayu Lama Angin Baru' diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Kumpulan puisi itu memuatkan 101 buah puisi terbaru, yang dihasilkan oleh penulis yang berasal dari Kota Belud ini.
Haji Mastun lahir di Kampung Taun Gusi pada tahun 1940. Pada tahun 1952 hingga tahun 1962, beliau menjadi guru sekolah di Tandek. Ketika itu, dengan menunggang kuda dari Kota Belud beliau mendidik anak bangsa yang dahagakan pendidikan. Tidak lama kemudian, beliau ditugaskan di Kelawat,dan kemudian menjadi Guru Besar di GPS Tamparuli.
Pada tahun 1963 hingga 1964, beliau memasuki Maktab Kent Tuaran. Lima tahun kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di New Zealand. Pada tahun 1973, beliau memasuki Maktab Perguruan Ilmu Khas. Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Penolong Pegawai Daerah Kota Belud pada tahun 1974-1976. Pada tahun 1976 beliau dilantik semua ke Jabatan Pelajaran bagi mengajar Junior Secondary School di SMK Taun Gusi.Haji Mastun kemudian dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Pelajaran pada tahun 1976, Setahun selepas Berjaya Memerintah, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan.
Kelahiran kumpulan puisi Maha sabah ini sudah tentu amat menarik. Apatah lagi kebetulan kebanyakan puisinya itu pernah disiarkan di Utusan Borneo. Banyak puisinya yang menarik antaranya ialah puisi bertajuk Utusan Borneo. Puisi Utusan Borneo itu seperti berikut:
UTUSAN BORNEO
Betapa gembira para karyawandemi diberikan hamparan halamandunia bahasa kebangsaan mampu melangkah ke hadapankemunculan penulis-penulis muda bak cendawan mengutarakan aneka kisah dongeng malah cerita rekaankalungan bunga layak diberi kepada warga utusan!
Betapa berani nakhoda utusan membina pangkalantempat para juragan bahasa bertolak menuju pelabuhanmenghidang aneka plot pelbagai bentuk kiasanmenggalas erti kebertanggungjawaban kepada insanagar warga yang mendiami bumi merdeka celik penglihatantegak bermaruah, menjulang keperkasaan bahasa kebanggaan
Utusan Borneo, utusan negeri di bawah bayupenghidang pelbagai berita gembira mahpun yang sayu piluketerbukaan, kemesraan, kededikasian, kesopanan memikat kalbumalah mesra layanan kalian wartawan menjadi tarikan ayufiil mendahulukan ketinggian martabat harta, bangsa, agamamengemudiankan warga yang tidak bernama jangan menjadi tugu.
Saya tertarik dengan puisi ditujukan kepada warga Utusan Borneo ini. Sesungguhnya ia membawa pesan yang mendalam kepada warga dan pengamal media. Kumpulan puisi Bayu Lama Angin baru sesungguhnya merupakan satu sumbangan berharga untuk khazanah sastera negara. Usaha DBP Sabah layak diberikan pujian kerana berusaha mengumpul karya-karya penulis lama yang telah banyak berjasa kepada sastera tanahair. Cuma, barangkali pada cetakan yang akan datang, biodata penulis dapat disertakan, kerana pembaca juga ingin mengetahui dunia kepengarangan Maha Sabah yang telahpun terlibat dalam dunia kesusasteraan Sabah sejak tahun-tahun 60-an lagi.
Maha Sabah juga kini sedang berusaha untuk menerbitkan novel Air Telaga Zam-Zam dan satu lagi novel bertajuk Rambiada. Ini merupakan satu berita menarik dalam dunia sastera kita kerana sungguhpun sudah melewati angka 70, Haji Mastun Abas terus berkarya.
Sesungguhnya,Penerbitan kumpulan puisi Bayu Lama Angin Baru ini sudah tentu akan merangsang penulis-penulis lama dan baru untuk terus berkarya dan menyumbangkan ke arah usaha memartabatkan kesusasteraan kita.
KAK JANAH BERTANYA KHABAR
Kehadiran tanpa di duga penyair Norjanah Mohd.Adnan (Norjanah MA) ke pejabat Utusan Borneo pada petang Sabtu bersama kak Syidah (Rasyidah Mohd.Adnan) dan penyair Reyna Manja (Bakri Lumundaya) dan isteri merupakan satu kunjungan yang akan sentiasa tercatat dalam memori. Betapa tidak Norjanah, penyair yang dulu merupakan ahli Ikatan Penulis Sabah (IPS) telah lama bermastautin di Pulau Pinang dan agak lama juga menyepi dalam dunia kesusasteraan kita. Kak Janah datang bersama anaknya Aiman dan Hafiz ternyata agak terkejut juga melihat saya yang dulunya kurus tapi sekarang agak berisi.
Ia mengembalikan nostalgia dulu ketika tahun-tahun awal IPS tertatih-tatih dalam dunia kesusasteraan Sabah. Paling akhir kami berjumpa dengan Kak Janah ialah ketika Perkampungan Sasterawan di Labuan tahun 1990. Waktu yang cukup lama untuk menyatakan bahawa memang kunjungan itu sangat bermakna. Apatah lagi, penulis Reyna Manja, yang sudah lama juga tidak menulis. Inilah antara orang-orang yang menggalakkan saya menulis ketika mula terlibat dalam dunia sastera. Ketika itu, penulis Reyna manja merupakan AJK Biro Penulisan PISBA, yang mengajurkan beberpa bengkel penulisan. Beliau banyak menghadiri kegiatan-kegiatan sastera seperti Hari Puisi Nasional, Hari sastera, Bengkel Kewartawanan dan sebagainya. Ketika itu Bakri masih berkhidmat di Jabatan Ukur dan Topografi. Sekembalinya dari melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat, beliau menjadi pegawai Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM). Semoga beliau akan kembali menulis selepas ini.
Kunjungan mereka ke Utusan Borneo, pada petang Sabtu, sesungguhnya merupakan satu kejutan yang membahagiakan.