Khamis, 8 April 2010

Catatan Perjalanan ke Minanga A Marampayan

Tags


Tiga minit sebelum jam 9.00, pagi Khamis lalu, kami berangkat ke Kota Belud yang terletak kira-kira 78 kilometer dari ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu. Kaka Alih, wartawan penyiaran dari Bandar Upi, Maguindanao teringin untuk berkunjung ke kampung halaman saudara sebangsanya-Iranun- dan melihat dengan matanya sendiri mengenai kehidupan masyarakat Iranun di negeri ini.
Kaka Alih atau nama sebenarnya Alih S.Anso singgah tiga hari di Kota Kinabalu dalam perjalanan pulang ke Mindanao selepas menghadiri Program Kepimpinan Islam Asian Institute of Management (AIM) selama sepuluh hari di Kuala Lumpur. Beliau memberitahukan kedatangannya melalui facebook dan kerana itu ketika dia menelefon bahawa dia sudah berada di ibu negeri, saya tidaklah begitu terkejut. Selepas pertemuan kami di Rainforest Cafe petang Rabu, kami mengatur perjalanan ke Minanga A Marampayan (Rampayan Laut) dan dari sana menyusuri kampung-kampung Iranun yang berdekatan.
Kami amat bernasib baik kerana Saudara Aliasgar Haji Basri, salah seorang peserta ILP AIM dari Malaysia, sudi menemankan kami dalam perjalanan mencari bangsa itu.Aliasgar bukan calang-calang orang kerana beliau merupakan Pengarah Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) dan juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tuaran.
Sepanjang perjalanan itu, Kaka Alih yang dipanggil `sangai' oleh Aliasgar dan begitu sebaliknya kerana persamaan nama mereka, tidak habis-habisnya merakam gambar. Beliau begitu tertarik dengan landskap alam di negeri ini. Demi melihat rumah-rumah kampung di sepanjang perjalanan ke KB itu beliau memberitahu, rumah-rumah itu mempunyai persamaan yang agak tipikal dengan ciri-ciri rumah-rumah orang Iranun di Mindanao.
Rumah-rumahnya separas muka, dibuat kebanyakannya menghadap matahari dan sebagainya, dan setiap ciri itu diperjelaskan maknanya oleh Kaka Alih yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang pembinaan.
Sebelum menjadi wartawan secara kebetulan, kata Kaka Alih yang sering menekankan kata `secara kebetulan' itu, beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan terdidik dalam bidang kejuruteraan. Beliau memilih menjadi orang media-sebagai wartawan penyiaran di DXUP FM 105.5 MHz di Barangay Upi kerana alasan perjuangan iaitu ingin melihat bangsa setaraf dengan bangsa lain di Mindanao. Katanya orang Iranun sering menerima tekanan di Filipina dan oleh itu, sebagai orang media, beliau mahu memperjuangkan mengenai kedudukan bangsa Iranun dan isu-isu yang berlegar di Mindanao supaya orang luar menerima informasi yang betul dan tepat mengenai apa yang terjadi di wilayah selatan itu. Setibanya di Kota Belud, kami minum di Mayang Sari. Tidak lama kemudian, Haji Asmad Ruddin, salah seorang pemimpin masyarakat Iranun datang untuk dipertemukan dengan Kaka Alih. Mereka berbicara dalam bahasa Iranun dan Kaka Alih agak gembira dengan pertemuan itu kerana ia membincangkan mengenai sejarah, adat dan budaya Iranun. Pertemuan itu agak singkat, memang, tetapi ia dapat memberi sedikit maklumat mengenai masyarakat Iranun yang mendiami 22 kampung di Kota Belud, Satu kampung di Kudat iaitu Kampung Indarasen Laut, Tiga Kampung di Tungku Lahad Datu iaitu Kampung Nala, Kampung Bakolod dan Kampung Barigas, manakala ramai komuniti Iranun boleh ditemui di Kampung Likas dan Kampung Warisan Inanam.
Kaka Alih menyatakan bahawa orang Iranun sangat mementingkan persaudaraan dan maratabat (dignity). Beliau menyebut sebait bayuk iaitu Madenden su limu, na panunden su maratabat yang antara lain maksudnya,martabat atau maruah lebih penting dan mustahak daripada kasih sayang.
Orang Iranun memilih martabat berbanding cinta atau kasih sayang kepada seseorang, walaupun perkataan Iranun itu sendiri berasal dari perkataan Ranun yang membawa maksud kasih sayang. Jadi orang Iranun mengutamakan rasa kasih, rasa sayang, saling mengasihi, saling bantu antara satu sama lain tetapi apabila tiba kepada soal martabat, maka yang lebih dipentingkan ialah soal martabat dan harga diri.
Selepas bersalaman, kami meninggalkan Restoran Mayang Sari untuk meneruskan perjalanan menghala ke Rampayan Laut. Ketika ternampak banyaknya sapi dan kambing berkeliaran di sepanjang perjalanan itu, Kaka Alih berkata "that is another sign of Iranun villages". Katanya, penduduk membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran tanpa mengikatnya. Jika dahulu bentuk rumah mereka agak tinggi, ia disebabkan kerana penduduk mengikat karabau (kerbau) mereka di bawah rumah.
"Tetapi kini, ia diganti dengan kereta," katanya yang kagum kerana hampir semua rumah orang Iranun memiliki kereta. Tiba di simpang Rampayan Laut , saya memberitahu, bahawa kami mula memasuki kawasan perkampungan Iranun.
Tiba-tiba saja Kaka Alih meminta supaya Zul, pemandu kami memperlahankan kereta apabila ternampak tempat jemuran. "Itu salah satu lagi tanda orang Iranun," katanya. Kalau di Mindanao, orang dengan mudah dapat membezakan mana rumah Iranun dan mana rumah orang Visaya kerana orang Iranun tidak atau tidak pernah menjemur pakaian dalam mereka di jemuran sebaliknya menyembunyikannya.
Kami sampai di Minanga ketika waktu tengahari iaitu ketika `panalang-talang su sinang' -ketika matahari tegak di atas kepala. Saya sempat menanyakan konsep waktu dalam masyarakat Iranun di Mindanao.
Waktu Subuh dipanggil Subu, waktu pagi biasanya dipanggil Katibuas manakala waktu antara jam 7.00 hingga jam 8.00 disebut sebagai `tengah naik'. jam sepuluh hingga sebelas disebut sebagai mapuru a tengah naik. Selain kagabi iaitu waktu petang, senja disebut sukirep.
Ketika memasuki kawasan tanah perkuburan, beliau berkata tanah perkuburan tak ada banyak bezanya dengan tanah perkuburan Islam di sana. saya bertanya kepadanya bagaimana orang Iranun di Mindanao menyebut orang yang meninggal dunia. Kalau di Kota Belud, ia selalu disebut sebagai `nyapantag'. Saya secara bergurau menghuraikan bahawa ia membawa maksud orang yang meninggal itu telah sampai di tempat malaikalmaut menunggu. Di kalangan masyarakat Iranun di Nala, Tungku,pula mengistilahkannya sebagai `nyasaut atau nyaraut'. Mereka mungkin membayangkan bahawa mereka berjaya dikejar malaikalmaut.
"Oh kami menyebutnya nyauma yang bererti bahawa si mati telah tiba masanya mendapat kasih sayang Allah SWT" . Sesampainya di kuala Rampayan kami sempat bergambar kenangan sambil bercerita mengenai perkampungan Iranun dengan penuh minat. Banyak perkara lucu, sehingga membuat kami, saya ,Ali, Shaibih Hj Jaafar geli hati.
Aliasgar mengisahkan pertemuan mereka di Manila. Are You Iranun? tanyanya yang dijawab oleh Kaka Alih dengan "How do you know?" Bagaimana awak tahu? katanya. Sebenarnya, kata Kaka Alih teramat jarang orang Iranun bertanya sedemikian kepada orang Iranun yang lain. Biasanya jika ditanya "Iranun ka?" ia selalu dijawab "Kainu? " Kenapa,Apa kamu mahu?"
Jawapan yang paling bijak selepas menerima jawapan yang kasar itu iaitu ialah " kainu pun ku pangilaien su bangsa ku" yang bermaksud "kenapa jika saya mahu mencari bangsa saya".
Kami kemudian sempat singgah di salah sebuah rumah di jeti itu. Kaka Alih sempat berbual dengan Junaidi dan beberapa anak kecil dalam bahasa Iranun. Adakah anak-anak itu bercakap bahasa Iranun? Anak-anak itu boleh bercakap bahasa Iranun walaupun ada juga yang mengajak anak-anak mereka berbual dalam bahasa Melayu.
Selepas itu, kami ke bengkel kraftangan Hajah Pandian tetapi sayangnya beliau tiada di rumah.Kami diberitahu suaminya Haji Sabana Jalal sedang sedang di sebuah gerai tidak jauh dari rumah itu.
Salah satu kebiasaan orang Iranun ialah tidak bertanya nama seseorang itu secara direct atau langsung kepada orangnya. Biasanya ia akan berbisik kepada raknnya yang lain. Atau jika bertanya, orang yang ditanya itu biasanya meminta rakannya untuk memberitahu akan namanya. Jika terpaksa bertanya, orang Iranun akan meminta maaf sebesar-besarnya kerana terpaksa bertanya nama orang itu, yang dianggap sebagai kurang sopan atau kurang Iranunnya.
Haji Sabana menceritakan mengenai ukit a Iranun juga. Mengenai kedatangan bagu a Iranun di Rampayan. Seingatnya, Haji Awliya (Amai Dalomabi) datang ke Minanga ketika beliau masih kecil lagi.
Kaka Alih sempat menceritakan tugasnya sebagai penyampai radio Iranun di Mindanao. Rakan saya ini, katanya kepada saya bekerja di Lakitan atau newspaper. Saya tertarik dengan perkataan Lakitan itu.Lakitan-news sebenarnya berasal dari perkataan lakit iaitu sejenis burung yang terbang membawa berita.
Oleh kerana beliau selalu menyebut `for example' saya tertanya-tanya juga apa padanannya dalam bahasa Iranun. Dalam bahasa Melayu, For Example bermaksud, sebagai contoh. Kaka Alih mengatakan bahawa for example dalam bahasa Iranun ialah saparati. Saya yakin ia berasal dari perkataan seperti dalam bahasa Melayu tetapi seperti membawa maksud `sagit a' dalam bahasa Iranun. Menarik sekali untuk diteliti. Katanya, dulu Kirim ditulis dalam huruf jawi, tetapi sekarang masih ada lagikah yang mengamalkan bayuk dalam bahasa Iranun.
Banyak istilah Iranun, contohnya untuk halaman rumah yang kecil dipanggil `lama-lama' manakala untuk yang besar `lama lama legawan," katanya merujuk bahasa Iranun di Mindanao. Memang ada sedikit perbezaan antara bahasa Iranun di Sabah dengan bahasa Iranun di Mindanao. Contohnya perkataan `besar' di sebut Mala' dalam bahasa Iranun di Sabah khususnya di kawasan Kota Belud dan Kudat. Masela dalam bahasa Iranun di Tungku. Tetapi bahasa Iranun di Mindanao menyebut Masela (besar) namun orang maranao menyebutnya Mala.Komuniti Iranun di Mindanao terdapat di Matanog, Buldon, Parang , Barira dalam wilayah Maguindanao, Sultan Kudarat, Malabang-Sultan Guimander, Balabagan, Kapatagan Dalam Wilayah Lanao del Sur. Selain itu bahasa Iranun di Subpangan, biasanya di ucapkan dengan lembuit oleh penuturnya.
Sungguhpun demikian, bangsa Maranao, Maguindanao dan Iranun sebenarnya menggunakan bahasa dan tradisi yang sama. Sumber bahasa mereka adalah bahasa Iranun sendiri. Namun ratusan tahun yang dahulu, orang yang menetap di Ranao (Lanao del Sur) disebut Maranao manakala mereka yang tinggal di sepanjang sungai Pulangi dipanggil Maguindanao manakala mereka yang berada di tengah-tengah antara Maranao dan Maguindanao itu masih dipanggil dengan sebutan Iranun walaupun mereka pada hakikatnya sama. Bahkan sering terjadi orang Iranun yang tinggal di Lanao del sur menyebut dirinya Maranao manakala orang Iranun yang tinggal di wilayah Maguindanao menyebut diri mereka Maguindanao.
Ramai ahli sejarah dan linguistik yang mempunyai pendapat berbeza mengenai perkara ini. Kerana faktor lokaliti, memang terdapat perbezaan sebutan dialek, antaranya Padi disebut Ilaw dalam bahasa Iranun manakala orang Maguindanao menyebutnya palai.
Saya fikir wajar juga bahasa Iranun, bahasa maranao dan bahasa magunidanao dijelaskan melalui peribahasa ini. Sekadar contoh yang saya temui di internet.
He who does not (know how to) look back at his past (where he came from) will not reach his destination. (English)
Su manga taw adi mataw milai sa pibpuunan, ai di makauma sa pedsuungan (Iranun)
Su taw a di makatadem sa nabpunan nin na di makasampay sa ebpawangan nin. (Magindanaon)
So mama a di nian katawan so poonan nian na di pakaoma ko sungan nian. (Maranao)

Bagaimana orang Iranun disini memanggil ship? tanya Kaka Alih.
Kalau disini dipanggil kapal, kata Haji Sabana.Kalau disana ia disebut sebagai kapal apoi darimbang. kapal apoi maksudnya kapal api manakala darimbang bermakud besar tanpa tanpa tandingan.
Saya menjelaskan mengapa orang Iranun memilih minanga a marampayan sebagai tempat tinggal mereka, salah satu sebabnya ialah ia merupakan satu tempat yang terlindung daripada tiupan angin.Dan yang keduanya, musuih sangat sukar untuk merapat ke pantai. Marampayan bermaksud tempat yang dituju, destinasi yang dituju berasal daripada perkataan rampai yang bermaksud sampai. Dari sini terbit perkataan Marampayan, Makarampai, Minirampai dan sebagainya.
Kami sempat singgah di Ostrich Resort. Saya berkata kepada Kaka Alih bahawa beliau bolehlah memberitahu bahawa beliau telah sampai ke tempat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Muliam yang sempat ditemuinya di Kuala Lumpur minggu lalu. Kami menunaikan solat zohor di masjid, pagari Aliasgar yang menjadi imam, sebelum meneruskan perjalanan ke kampung Tamau.
Setibanya di rumah kami di Tamau, beliau tertarik dengan seni bina rumah kami, yang katanya mengingatkanya kepada arwah bapa mertuanya. Kalau isteri saya ikut serta sudah tentu dia `maka gurauk', yang bermakna menangis terharu. Kaka Alih juga menyaksikan mengenai ibu yang masih makan sirih pinang. "mbama', katanya sambil memberitahu wanita Iranun di sana juga ramai yang `mbama'. Beliau sempat bertanya mengenai karier Amai Shafiq. Orang yang berniaga di pasar dalam bahasa Iranun pendagang.
Kaka Alih agak tertarik dengan mesin tebu. Beliau teringat mengenai tandasan yang dahulunya ditarik menggunakan kerbau. Kini tandasan digantikan dengan mesin tebu untuk menghasilkan gula tebu.
Dalam perjalanan pulang itu, kami sengaja melalui Kampung Merabau, Kota Peladuk sebelum kereta meluncur laju ke Kota Kinabalu. Kaka Alih berkata beliau akan menyiarkan artikel mengenai Iranun di Sabah untuk siaran radionya di radio di Upi Maguindanao.



























6 comments

Tulisan yang sangat panjang.. namun terlalu singkat terasa semasa membacanya. TAHNIAH

Terima kasih atas komen.Saya harap dapat menulis yang lebih baik lagi dimasa akan datang

SANGAT MENARIK....HARAP BANYAK LAGI INFO BERKENAAN SAUDARA SERUMPUN KITA DI MINDANAO.

Tahniahh..........................!
sangat menarik,harap banyak lagi info tentang saudara serumpun kita

betul kata si mrakunman tulisan yang panjang tapi mcm tak puas membacanya. saya teringin sangat dapat berkumpul dengan saudara-saudara se iranun saya.

Assallamu Alaikum WW.. brother Abd Naddin, please translate this in English..

I tried the googles translator, but most of the important message translated lacking..

Sukran..

So pagaring ka sa inged a Bangsamoro homeland.. Kaka Alih