Sabtu, 9 Januari 2010

dari sungai darau,melihat hutan bakau dan sampah yang memukau

Tags


Saya fikir bukan kerana komplen ikan julung-julung dan surat daripada masyarakat ikan dan monyet yang membuat kami begitu bersemangat menyertai tinjauan pencemaran sungai Likas dan Inanam itu.Masalah pencemaran sungai dan sampah sudah seringkali disebut oleh Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Haji Idris.
Ucapannya di kampung bangka-bangka pada 3 Januari yang mengatakan beliau menerima tiga surat komplen dari masyarakat ikan, monyet dan ikan jukung-julung,walaupun sesuatu yang penuh jenaka tetapi menarik perhatian.
Kerana itu, apabila Zek menyampaikan undangan Cif, begitu kami menyapa Ketua Bahagian UMNO Sepanggar itu, undangan itu segera mendapat respon.
Jam 10.00 kami sudah sampai di pengkalan nelayan Kampung Darau yang kecil.Salam sudah menunggu tetapi mungkin juga terkejut melihat bilangan kami yang ramai.Ada Utusan Borneo, Ada Daily Express, ada Utusan Malaysia, Ada Borneo Post dan wartawan dan krew RTM dan TV3.
Kami terpaksa menaiki dua perahu nelayan menyusuri sungai Darau.Pada mulanya kami melihat hutan-hutan bakau dan seekor dua burung bangau.Ada yang hinggap dan terbang.
Monyet-monyet tak ada ketika ini, kata Mad Jakar, pesara pos yang mengiringi kami.
Selepas melihat pemandangan yang cantik, melihat bangunan IBorneo, UMS dan bangunan Mini Putrajaya dari celah-celah pohon bakau, menyapa nelayan yang sedang memukat, kami melalui jambatan king fisher dan terkejut melihat ada orang yang tinggal di bawah jambatan.Kononnya keluarga itu dihanyutkan arus dari semporna, perahu mereka pecah dan tak dapat pulang.
Sesampainya di kawasan Likas, kami melihat jajaran rumah setinggan, dengan sampah di bawah rumah mereka, dengan ampaian pakaian dan kutang, dan ibu ibu yang sedang memasak, anak anak gadis yang sedang mandi dan anak-anak yang riang melambai kami.
Masalah petempatan setinggan itu sudah tentu memeningkan kepala, dan rambut Ketua Bahagian yang sudah putih itu akan bertambah putih lagi dengan masalah pencemaran alam sekitar, masalah penyusunan semula sepanggar, dan idea untuk mewujudkan pasar terapung dan mempromosi pelancongan sungai di kawasan itu.


"Kira-kira 70 peratus kawasan sungai di Likas, Inanam dan Menggatal mengalami masalah pencemaran yang agak teruk dan pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi menangani masalah pencemaran itu, kata Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Haji Idris.
Pencemaran sungai yang kini dipenuhi sampah sarap menjadi satu isu yang perlu diselesaikan untuk memastikan alam sekitar sentiasa cantik dan bersih.
Keadaan itu bertambah teruk lagi dengan kewujudan penempatan setinggan yang menyebabkan sungai bertambah sempit manakala sampah bertimbun di sebalik kesedaran penduduk yang semakin hilang terhadap kepentingan alam sekitar.
"Semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing bagi menangani masalah pencemaran sungai yang semakin teruk itu," katanya selepas membuat tinjauan bersama wartawan media cetak dan elektronik selama lebih dua jam menyusuri kira-kira 10 km sungai yang merentangi beberapa buah kampung seperti Kampung Darau, Kampung Cempaka, Kampung Cenderamata Dua, Kampung Lembaga Padi, Kampung Kalansanan, Kampung Bangka Bangka.
Sungai-sungai yang mengalir di kawasan Sepanggar bukan saja kaya dengan flora dan fauna tetapi cantik dan penuh sejarah.
Sungai Likas, Sungai Inanam dan Sungai Darau, yang bersambungan satu sama lain merupakan sungai yang pernah ditelusuri oleh Pahlawan Sabah, Datu Paduka Mat Salleh ketika melancarkan serangan ke atas penjajah di Pulau Gaya pada awal 1900.
Tetapi sungai yang satu ketika dahulu menjadi kebanggaan masyarakatnya kini menghadapi pencemaran yang agak teruk akibat masalah sampah sarap yang terhimpun sejak berpuluh tahun lalu.
Masalah itu memang memeningkan kepala kerana ia bukan saja sampai ke tahap yang kronik tetapi keadaan sungai semakin sempit akibat tumbuhnya rumah-rumah setinggan.
Jumat juga menggesa pihak pemaju dan kontraktor di kawasan Sepanggar supaya memberi kerjasama ke arah pemuliharaan sungai supaya tidak membuang sisa kumbahan terus ke dalam sungai yang menjadi salah satu punca pencemaran.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana kilang bebola ikan boleh diluluskan di kawasan yang padat penduduk yang mengakibatkan sungai bertambah tercemar kerana sisa buangannya di buang ke dalam sungai yang turut merumitikan keadaan.
Masalah pencemaran itu juga bukan saja menjejaskan sumber pendapatan nelayan bahkan membahayakan mereka.
Katanya, pelbagai potensi telah dikenalpasti menjadi tarikan pelancong di sungai itu seperti kelip kelip yang boleh disaksikan setiap malam di kampung Darau.
Menurutnya, pihaknya sedang pelbagai langkah untuk menangani masalah pencemaran sungai termasuk memperkenalkan pasar terapung, pelancongan sungai dan sebagainya.