Sabtu, 9 Januari 2010

denyut kehidupan di bawah jambatan

Tags

Ternyata terdapat denyut kehidupan di bawah jambatan itu. Sebuah keluarga, mungkin lebih, berlindung di bawah hujan dan panas matahari dan meneruskan kehidupan mereka. Kami melihatnya secara tidak sengaja ketika menyusuri sebatang sungai di Sepanggar. Barangkali tidak perlu saya memberitahu dimana tempatnya, demi keselamatan dan keamanan mereka.
Saya melihat ada unggun, ada periuk dan peti tv, yang entah bisa dihidupkan atau tidak.
Mungkinkah mereka berbahagia?
Saya tidak tahu. Orang-orang ini, kononnya orang yang tidak punya negara. Mereka orang pala'u.Entah benar, entah tidak, saya kurang pasti kerana bahasa mereka saya tidak mengerti. Seluruh kehidupan mereka tidak dapat dipisahkan dengan lautan.Menangkap ikan, mengeringkannya dan kemudian menjualnya kepada orang di daratan. Mereka bercengkerama dan melahirkan anak dalam perahu. Sepanjang hidup mereka.
Konon suatu hari, perahu mereka pecah entah di laut mana. Kemudian mereka terdampar di pantai. dan tidak dapat berlayar lagi.Mereka hidup dengan mengumpul tin tin kosong, kertas kertas dan sebagainya lalu menjualnya.
Pernah juga mereka mengemis. Waktu itu saya pernah cuba menemuramah salah seorang dari mereka, dan ternyata mereka tidak memahami pertanyaan saya. Mereka bercakap dalam bahasa yang juga saya tidak fahami.Tetapi saya dapat menangkap maksud bahawa satu ketika dahulu, mereka pernah mendapat bantuan, entah dari siapa, iaitu bantuan ikan sardin dan gula. Namun selepas itu bantuan itu tidak datang lagi.
Saya melihat anak-anak yang rambut yang warnanya hampir kuning dan keriting sedang menangkap ikan. Mereka meneruskan kehidupan di bawah jambatan.
Jangan ganggu mereka.Bantu mereka. Tapi saya tidak tahu bagaimana caranya.Berikan kehidupan baru kepada mereka tapi jangan pisahkan mereka dengan laut kerana mereka tidak bisa hidup tanpa bertarung dengan ombak dan badai.

1 comments so far

Salam perkenalan pagari...

Di mana ini pagari?

Maklumlah orang kampung macam saya ini tidak tahu apa-apa bah!