Sabtu, 16 Januari 2010

Catatan kenangan mengenai banjir

Tags

Banjir di Kota Belud selalu mengingatkan saya kawanan kambing yang berpuluh-puluh ekor jumlahnya.
Kalau tidak kerana banjir, mungkin saya sekarang menjadi antara pemilik kambing yang paling banyak di kampung kami.
Peristiwa ini berlalu lebih 30 tahun yang lalu.
Kambing itu sebenarnya bermula dari duit RM10 ringgit yang diberikan untuk saya yang masih kecil ketika ayah dan ibu saya bertandang ke rumah arwah pakcik Iping di Kampung Likas.
Mengikut tradisi keluarga, setiap kali kita menerima tetamu terutamanya menerima tetamu khususnya bayi atau kanak-kanak yang baru pertama kali datang ke rumah kita, kita hendaklah memberikan hadiah apa saja bentuknya kepada si kecil itu.
Dan pakcik saya memberikan duit sepuluh ringgit untuk saya.
Kemudian dengan duit sepuluh ringgit itu, ibubapa saya membelikan saya seekor kambing.
Kambing itu akhirnya beranak pinak dan menjadi kambing kambing yang tak terkira jumlahnya.Setiap kali ada majlis akikah atau apa saja, selalu kambing saya yang memenuhi jalanraya di kampung Merabau itulah yang dijadikan korban,
Tetapi bukan itu yang menyebabkan kambing kambing saya pupus.Kambing-kambing itu mati selepas peristiwa banjir teruk yang melanda kampung merabau dan kotabungan. Abang-abang sepupu menyeberangkan kambing kambing yang kesejukan itu dengan bangkar iaitu rakit pisang ke Kampung Bubung Tamau iaitu tempat kami sekarang ini.
Banjir besar itu mengakibatkan kambing-kambing itu itu akhirnya mati satu demi satu.Maka saya yang dahulunya memiliki kambing kacang yang berpuluh puluh jumlahnya akhirnya tidak lagi memiliki kambing, walaupun seekor.
Peristiwa banjir besar itu meninggalkan kesan juga terhadap perjuangan kami. Ketika banjir besar itu melanda maka kerajaan ketika itu mengagih-agihkan bantuan makanan berupa sardin, minyak dan lain-lain.
Saya dapat bantuan itu kerana bapa saya penyokong USNO.
Tetapi kakak sepupu saya tidak diberi bantuan hanya kerana pakcik saya menyokong Pekemas.
Peristiwa itulah yang memperkenalkan saya kepada politik diskriminasi.Walaupun sama sama terkena musibah banjir, pakcik saya tidak mendapat bantuan hanya kerana dia tidak menyokong kerajaan.
Alangkah sedihnya. Satu ketika orang kampung tidak diberi bantuan banjir jikalau dia tidak menyokong kerajaan. Kerana dia penyokong pembangkang maka kita kehilangan rasa kemanusiaan terhadap mereka. Peristiwa ini berlaku tahun 75, kalau tak silap ingatan saya.
2.Hujan turun tidak berhenti sejak tiga hari lepas. Abang sepupu saya menelefon jam 11 malam kelmarin kerana tidak dapat pulang ke rumahnya di Rampayan Ulu disebabkan air di Timbang naik hingga satu meter.
Hujang lebat sejak petang tadi, katanya kepada saya kelmarin. banjir teruk melanda Kota Belud, Kota Marudu dan Tongod. Bahkan ramai orang sudah dipindahkan kerana khuatir paras air akan naik lagi.
Saya menelefon ke kampung dan ibu saya memberitahu bahawa rumah kami tidak terkena banjir kerana terletak di tanah yang tinggi.
Air naik hanya satu kaki dan menenggelamkan pangkal pokok mempelam.Syukur, Alhamdulillah.