Ahad, 1 Februari 2009

Terminal, orang-orang berebut penumpang dan cuti panjang

Tags

i-Pernahkah anda menaiki bas dari Tawau ke Kota Kinabalu? Saya pernah bahkan bukan sekali malah berkali-kali. Tetapi peristiwa yang saya alami pada petang 27 Januari itu, amat menggelikan hati.

Sebaik-baik teksi yang kami tumpangi tiba di Terminal Bas, kami dikerumuni ramai perayu atau calo. Jumlah mereka mungkin puluhan. Masing-masing meneriakkan nama bas, menanyakan berapa orang dan merayu supaya penumpang menaiki bas mereka.

Saya agak lambat memberi jawapan kerana ketika itu sedang membayar tambang. Seorang perayu kemudian tiba-tiba saja masuk dan mengangkat sebiji nangka, entah berapa kilo untuk dimasukkan ke dalam bas. Mereka menyangkakan buah nangka itu milik saya. Saya agak marah juga melihat ulah mereka kerana mengambil barang tanpa menanyakan barang itu milik siapa.

Saya berteriak supaya mereka mengembalikan buah nangka itu kerana ia bukan milik saya sebaliknya milik pemandu teksi, yang saya ingat anak Haji Marsus, kalau tak silap namanya Nasir, yang bermurah hati menghantar kami ke Terminal walaupun dia baru tiba dari kebunnya di Batu 15.

Nasir tenang saja walaupun buah nangkanya dilarikan orang, saya pula rasa tegang kerana khuatir nangkanya hilang kerana rasa bersalah melihat tingkah orang-orang di terminal itu, yang sama sekali tidak menghiraukan orang sebaliknya berlumba-lumba mencari penumpang.

Saya pernah berhadapan dengan orang-orang yang berebut penumpang di KK, di Tawau, malah di Tarakan tetapi inilah pertama kali saya berasa marah, sekaligus gelihati kerana mereka melarikan nangka yang begitu berat, walaupun kemudian mereka terpaksa mengembalikannya.

ii-Akhirnya kami memilih bas Tung Ma atas beberapa pertimbangan. Antaranya bas Tung Ma bertolak paling awal dari iaitu jam 7 pagi dan tiba di batu 32 Sandakan jam 11.00 pagi dan kita sudah boleh menghirup kopi jam 4.00 petang di Terminal Bas Inanam.

Pada pagi 28 Januari, saya dan dua anak saya, Sitti Mehran Yasmine dan Ahmad Fawzan menaiki bas ke KK sementara isteri saya, Fauziyah, dan seorang lagi anak saya, Ahmad Aliff Farhan menaiki pesawat Air Asia jam 9.40 malam dari Tawau.

iii.Sebenarnya pada hari-hari akhir bulan Januari, saya mengambil kesempatan untuk bercuti. Sebelum itu pada 24 haribulan, saya menyertai Dr.James Alin, Dr. Anthony Tibok, Alai dan Unus, untuk ke Sandakan seterusnya ke Kinabatangan untuk meninjau potensi perdagangan kayu gaharu dan usaha-usaha pemuliharaan hutan kita dari pencerobohan orang luar terutamanya orang Siam dan Kemboja juga dari Indonesia untuk mencuri pokok gaharu di hutan-hutan simpan kita. Kebetulan Utusan Borneo, akhbar tempat saya bekerja tidak beroperasi pada 25-27 Jan kerana menyambut Tahun baru Cina. Saya menggunakan kesempatan itu untuk pulang ke Tawau. Kemudian saya bercuti lagi hingga 1 Februari kerana balik kampung di Kampung Tamau Kota Belud kerana adik lelaki saya, Abd.Jamdin melangsungkan perkahwinan pada 31 Januari.

Ramai yang menghantar mesej menanyakan mengapa blog saya tidak dikemaskini. Sebenarnya saya lebih seminggu menikmati cuti.