Ahad, 18 Januari 2009

Penyair Sabah berkongsi duka di Gaza

Tags










PENYAIR SABAH BERKONGSI DUKA DI GAZA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN


MESKIPUN Gaza terletak ribuan kilometer jauhnya dari Sabah tetapi suara tembakan, raungan kepedihan,ratapan kesedihan, jeritan kemarahan di wilayah itu terdengar hingga ke Kota Kinabalu dan penyair dari seluruh pelusuk negeri berhimpun untuk menyatakan respon mereka terhadap kekejaman dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan Israel terhadap warga Palestin.

Penyair dan penulis dari seluruh Sabah yang menyertai Majlis Baca Puisi Amal Gaza di Jalan Pantai bermula jam 10.00 pagi hingga jam 1.00 petang, 18 Januari, tidak melepaskan peluang untuk melontarkan perasaan mereka dalam bentuk puisi-puisi yang tajam, yang mengharukan, yang berisi kritikan dan luahan rasa marah terhadap tragedi yang menimpa Palestin, yang kini memasuki hari ke 23 kelmarin.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 1,203 warga Palestin mati termasuk 410 kanak-kanak manakala 5,300 orang yang lain tercedera dalam tragedi kemanusiaan itu.

Ahli Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut menegaskan bahawa tidak ada sesiapa yang berhak mencabul nilai-nilai kemanusiaan yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia.

Katanya, program itu sangat bermanfaat kerana ia membuktikan keprihatinan dan rasa luka yang dirasai penyair melihat apa yang berlaku di Palestin itu.

"Tragedi yang berlaku di Palestin pasti melukakan insan tanpa mengira anutan, kaum dan keturunan. Rasa kemanusiaan kita sama. Semua insan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan.

"Tetapi apabila manusia hilang kewarasan, hilang persepakatan, hilang perpaduan, hilang rasa permuafakatan,maka terjadilah apa yang berlaku di Gaza.

"Dan tidak mustahil jika kita sentiasa berpecah belah, bercakaran, bertelingkah dan bersengketa, apa yang terjadi di Gaza boleh berlaku dimana-mana," katanya ketika merasmikan program itu.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Jasni Matlani, Timbalan Pengarah DBP Sabah, Hajah Asmiah Haji Ajamain, penulis-penulis dan penyair serta peminat sastera dari seluruh Sabah.

Majlis itu dianjurkan oleh BAHASA, Ikatan Penulis Sabah (IPS),Kelab Rekreasi Penerangan Sabah (KERPEN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

"Golongan penulis boleh menjadi pejuang dengan tinta kata untuk menentang ketidakadilan dan kezaliman. Apa yang dilakukan oleh kalangan penulis dan sasteawan di negeri ini dalam membantu rakyat Palestin yang jauh.

" Tetapi walaupun jauh, sesungguhnya, bagi saya ia bukan penghalang untuk mereka membantu dan menyatakan simpati terhadap segala penderitaan yang dialami, kerana tiada batas untuk nilai kemanusiaan sejagat yang mulia dan murni," katanya.
Beliau juga memuji usaha BAHASA dan IPS menerbitkan Antologi Puisi Luka Gaza yang berjaya disiapkan dalam tempoh empat hari, yang bukan sahaja menunjukkan simpati dan keprihatinan penulis dan sasterawan di negeri ini, terhadap penderitaan rakyat palestin tetapi juga menunjukkan bahawa sasterawan dan penulis juga peka terhadap persekitaran terutama yang berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar hukuman yang setimpal terhadap segala kekejaman yang dilakukan rezim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Jika kita tidak dapat mengubah kekejaman dan kezaliman mereka dengan senjata, dan tenaga kudrat empat kerat, tidak mampu meghantar senjata dan bala tentera untuk membebaskan mereka, maka doa dan apa juga yang dilakukan akan dapat membantu meringankan beban dan penderitaan mereka.

Penyair Jasni Matlani, yang juga Yang Di Pertua BAHASA menyebut peristiwa Gaza uitu sebagai malapetaka kemanusiaan dan kehadiran penulis dari seluruh Sabah, antaranya dari Sandakan, Kudat, Kota Belud, Pitas, Beaufort dan sebagainya membuktikan keprihatian penulis. "Kalau dulu saya mentgatakan penulis tak perlu jadi pejuang tetapi sekarang, saya menyatakan penulis adalah pejuang kemanusiaan".

Antara penyair yang sempat melantunkan suara dalam majlis itu ialah Awang Karim Kadir, Brahim Abdul Samad, Nandra Hitong, Mohd.Nor Makbul, Hajah Asmiah Haji Ajamain, Mohd.Almiey Md.Ali, Alfazli HMS, Yusuf Nur, Syafie Muhamad,Mohd.Daud Insun, Mohd.Fuad Bebit,Ony Latifah Osman, Jair Sulai dan lain-lain lagi. Selain itu, Mabulmaddin Haji Shaiddin menyanyikan lagu puisi, Gadis Kecil itu dan penyanyi Norizs dan persembahan menarik dari BAHASA Cawangan Sandakan.

Paling menarik ialah persembahan baca puisi Luka Gaza Dua oleh Datuk Haji Mohd.Arifin Arif berduet dengan isterinya, Datin Hajah Lenny Natasha.

Sambil menonton persembahan puisi dan lagu-lagu puisi, program yang dihoskan oleh penyair Jasni Yakub, Karim Gullam dan Ony Latifah Osman berjaya menarik perhatian orang ramai yang turut mengambil bahagian dengan menderma untuk Tabung Kemanusiaan untuk Gaza.