Hanya pada awal pagi itu, saya disms oleh Sdr Abdul Nassir Said yang meminta saya agar memakai baju yang lawa lawa tetapi ketika itu saya sudah berada di tengah perjalanan ke DBP Sabah.
Fikiran saya tidak tenteram pagi itu selepas mendapati kamera saya tidak ada dalam beg. Saya fikir hilang tetapi rupanya tertinggal di pejabat. Hari itu, saya memang berhasrat untuk ke DBP menghadiri pelancaran majalah etnik dan sidang media Hadiah sastera Sabah.
Saya tidak tahu pula bahawa pada hari itu 16 Dis 2008, ada majlis penyampaian watikah pelantikan sebagai editor bersekutu Majalah Etnik terbitan DBP Sabah. Majalah itu diharapkan menjadi wadah untuk memulihara, memelihara dan melestarikan bahasa sukuan di sabah.
Kebetulan saya hadir ketika idea menerbitkan majalah itu dilontarkan oleh Pengarah DBP sabah, Zubaidi Abas, kalau tak silap selepas satu bengkel di Tang Dynasty. Kemudian kami mengadakan mesyuarat untuk membentuk jawatankuasa editorial. Saya dilantik sebagai mewakili masyarakat Iranun dan kebetulan pula saya mempunyai latar belakang dalam dunia penerbitan.
Tetapi di antara kami, orang yang paling banyak memainkan peranan sehingga lahirnya majalah etnik itu ialah Abdul Nassir said. Saya hanya datang untuk melihat-lihat kulit muka depan dan artikel-artikel yang dimuatkan. Saudara Nassir lah yang banyak memerah fikirannya sehingga majalah itu dilancarkan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Bolkiah Haji Ismail di Dewan Besar DBP kelmarin. Zubaidi bertindak sebagai Ketua Editor, Nassir sebagai editor dan saya dan Sitti Rahmah dan Puan Rita Lasimbang sebagai editor bersekutu.
Kehadiran majalah Etnik ini diharapkan dapat memberi manfaat ke arah perjuangan mengangkat imej dan martabat bahasa sukuan sebagai khazanah budaya dan bahasa yang begitu berharga.