Catatan deasoka.....Tentang Haji J, perjuangan dan misteri beg berisi batu
i. Khamis lepas saya berkenalan dengan seseorang, yang buat sementara waktu biarlah saya menyebutnya Haji J. Dia bukan orang sastera, dia seorang yang kepakaran sebenarnya juru ukur tetapi ditugaskan dalam bidang yang orientasinya pemasaran. Dia baru saya kenal tetapi pertama kali mendengar dia berucap, membuat saya kagum.
Ucapannya tidaklah berapi-api atau penuh gaya bahasa yang memukau, segala ungkapannya biasa saja tak ada yang istimewa tetapi ia satu ucapan yang berasal dari hati dan sampai ke hati mereka yang mendengarnya.
Dia seorang tokoh yang berani, sekurang-kurangnya buat kesatuan sekerja yang diketuainya. Sehingga akibat dari keberaniannya mengambil tindakan demi kepentingan kakitangan, beliau dipindahkan ke pedalaman. Yang lebih membuat saya `tabik' kepada orang ini ialah keupayaannya untuk tidak melihat pertukaran itu secara positif, dan tanpa menyimpan sebarang dendam kepada majikan yang memindahkannya, beliau berazam untuk terus berjuang walau dimana berada.
Yang membuat saya terharu ialah kesediaannya untuk memberi laluan dan ruang kepada rakan seperjuangan untuk menerajui kesatuan kerana beliau merasa tidak dapat memikul amanah dengan baik setelah dipindah ke pedalaman. Mesyuarat yang diadakan berlangsung dengan tertib dan lancar dengan semangat musyawarah yang tinggi.
Melihat orang ini, saya sempat teringat kepada seorang rakan saya. Mungkin ada kaitan kerana saya perhatikan ada iras wajah antara kedua orang ini. Ketika minum di Kantin Pertanian, saya sempat bertanya kepada orang ini. "Haji berasal dari Keningau?"
"Saya berasal dari Ranau,". Saya menyebut satu nama. "Oh itu, kakak saya. Kenal dia?" Tidak saya lebih kenal dengan seorang lagi. " Oh itu adik bungsu saya" Dari sana percakapan kami tambah akrab dan mesra. "Saya ceritakan bahawa saya dan kami-kami juga pernah pernah makan di rumah adik bungsunya itu untuk aktiviti sastera.
Tapi bukan kerana adiknya saya kenal, saya memuji orang ini, tetapi memang pada perkiraan saya, beliau- Haji J- telah berjuang dengan penuh keberanian dan kejujuran memperjuangkan kepentingan ahli-ahlinya. Air yang mengalir, jika dihalang, akhirnya akan melimpah juga, saya teringat akan kata-katanya
ii. Bila bercerita tentang perjuangan ini, ramai juga orang yang saya temui, yang mengaku sebagai pejuang tetapi tidak tahu apa yang diperjuangkannya. Seorang kenalan saya menyatakan bahawa dia berjuang untuk anak negeri ini tetapi dari tindak tanduknya, dia sebenarnya berjuang untuk kepentingan koceknya.
Saya fikir dia terhumban dalam kegelapan sehingga tidak tahu dimana arah tujuan perjuangannya. Kini pilihanraya makin hampir, maka makin ramai jugalah yang menubuhkan dan mewujudkan parti baru yang dengan mudah boleh dibaca di surat khabar. Semua orang, saya fikir, ada misi perjuangannya. Tidak dapat tidak, mereka memang memperjuangkan sesuatu.
iii. Janganlah pula menjadi seseorang seperti yang diceritakan oleh seorang kenalan saya yang baru balik dari Kuala Lumpur. Katanya, ketika mahu check in di salah sebuah hotel di KL, mereka disapa oleh pengurus hotel itu. Dari Sabah? Iya.Maka berceritalah pengurus hotel yang peramah itu kepada tamu barunya. Akhirnya dia bertanya, kamu kenal orang ini, katanya mahu menubuhkan parti baru di Sabah?
"Oh kenal" kata kenalan saya itu. "Oh bagus kalau kamu kenal," kata pengurus hotel. "Baru-baru ini, mereka menginap di hotel ini. Jadi ketika akan tiba waktu check out, mereka berkata belum mahu check out lagi." Untuk lebih meyakinkan mereka masih meninggalkan beg dalam bilik hotel. Oklah. Tetapi tunggu punya tunggu, sampai keesokan harinya, orang-orang itu yang katanya ahli jawatankuasa parti baru itu, tidak sampai-sampai. Sehinggalah bilik itu terpaksa dibuka dan beg yang ditinggalkan bila dibuka kuncinya , rupa-rupanya hanya berisi batu-batu.
Mereka ketawa terbahak bahak, separuh lucu, separuh malu.
11 Mei 2007
Rabu, 19 November 2008
Tentang Haji J, Perjuangan dan misteri beg berisi batu
✔
abd naddin
Diterbitkan 10:41 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)