Khamis, 20 November 2008

Suka duka nelayan Kolapis

Tags




SUKA DUKA NELAYAN KOLAPIS
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN


SEJAK awal pagi lagi, kami sudah berperahu meredah Kuala Beluran. Destinasi kami yang sebenar ialah Kampung Kolapis, sebuah kampung yang terkenal sebagai sebuah pusat perdagangan di zaman bahari. Kolapis memang tempat pertemuan para pedagang dari seluruh nusantara termasuklah dari Mindanao, Sulu, Sulawesi, Kalimantan, Brunei dan sebagainya.

Kolapis menyimpan lebih banyak rahsia dan misteri kehidupan nelayan, khususnya di Beluran. Terletak di kawasan yang strategik, Kolapis kelihatan sebuah kampung yang mempunyai latar pemandangan yang indah.Dari jauh lagi, kampung Kolapis menggamit pengunjung untuk singgah seketika merasai degup jantung penghuninya.

Tetapi Jaini Ating, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran mengajak kami untuk melihat bagaimana rutin harian yang ditempuhi oleh kaum nelayan setiap pagi mencari rezeki di Kuala Beluran yang luas itu.

Perahu yang dikemudikan oleh Marikole Iba membelah kesunyian pagi. Burung bangau terbang dan hinggap sesekali di daunan nipah. Kelihatan beberapa nelayan sedang sibuk memunggah udang dan ikan dalam perahu.

"Mari kita lihat nelayan meraban," kata Jaini. Meraban atau menugu' adalah kaedah tradisi untuk menangkap ikan dan udang di Kolapis. Kaedah menangkap udang dan ikan ini, mungkin tidak terdapat di tempat lain,katanya. Di Kolapis ia sudah diamalkan sejak turun temurun.

Menurutnya, Tugu' dipasang di beberapa lokasi seperti Sungai Asoi, Sungai Batang, Sungai Kenawan, Point 1 hingga Point 15 iaitu dari Kolapis hingga Tanjung Simawang.

Tidak sampai setengah jam kemudian, kami sudah berada di Sungai Asoi, dan sempat bercakap dengan Haji Mohamad Adat dan Mohamad Tahamir yang sedang sibuk menaikkan ikan dan udang ke dalam perahu. "Hari ini, hasilnya tidak begitu banyak. Hanya ada sedikit udang dan ikan. Lihatlah!," katanya sambil memperlihatkan bakul yang berisi udang.

"Mungkin esok lebih baik daripada hari ini," katanya. Dari Sungai Asoi, Marikole menghidupkan semula enjin perahu untuk ke Sungai Batang.

Di Sungai Batang, kami melihat sekumpulan nelayan sibuk menarik pukat mereka. Kelihatan Tugu' yang kukuh dan panjang. "Tugu' dibina lima orang dalam satu kumpulan secara bergotong royong," kata Hamid Mampa,49, ketika di tugu'nya. Kerja berpasukan menanam kayu bakau sebenarnya tidak memakan masa yang lama kerana ia dikerjakan secara beramai-ramai. Tugu di Sungai Batang panjang kira-kira sembilan depa atau bersamaan 50 kaki. Setiap orang memiliki empat mata.Satu mata bermakna satu pasang raban," katanya menjelaskan.

Kos membina satu tugu' boleh mencecah RM1,000. Nelayan mengumpulkan duit mereka semata-mata untuk memasang tugu' yang menjanjikan pulangan lumayan. Menurut Matusin Kaka, 53, kayu tugu' itu ditukar setiap enam bulan sekali.

"Biasanya setiap orang mampu menangkap sehingga 20 kilogram udang kuning, yang mahal harganya. Ikut air pasang, Kalau air pasang, banyaklah rezeki yang masuk ke dalam raban atau tugu," katanya.

Tradisi ini sudah diamalkan oleh nelayan di Kolapis sejak ratusan tahun yang lalu. "Sejak zaman nenek moyang lagi," kata Haji Tajudin Haji Osman, 49, Ketua Kampung Kolapis. Katanya, kaedah menugu' atau meraban' itu menjadikan kebanggaan masyarakat Kolapis yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti suku kaum Brunei, Bajau, Tidong Sungai, Cina dan sebagainya.

Bagaimanapun, tradisi menugu' itu hampir lesap dan pupus satu ketika dahulu. "Tradisi menugu sempat terhenti beberapa lama pada tahun 80-an dahulu," katanya. Penyebabnya ialah pada waktu itu banyak kayu balak yang dihanyutkan ke Kuala Beluran sambil memusnahkan tugu' yang dipasang oleh nelayan-nelayan kecil. "Apung atau kayu nipah yang hanyut juga mengancam kelangsungan tugu'.

"Bila terlanggar apung, para nelayan di Kolapis menangis tak berair mata", katanya. Bagaimanapun, kaedah menugu' itu dihidupkan semula sebagai kaedah menangkap udang dan ikan yang paling efektif. Lagi pula Kolapis memang terkenal dengan udang kuning dan ikannya.

"Sekarang lesen meraban atau menugu' tidak dikeluarkan lagi," katanya. "Lesen meraban sudah dibekukan," jelasnya sambil menambah, ini menyebabkan tradisi meraban mungkin tidak dapat dipertahankan oleh generasi seterusnya.

Penduduk Kolapis mencecah 1,000 orang. Jumlah ini mungkin lebih ramai jika penduduk-penduduk di Kolapis Seberang yang kebanyakannya penghijrah dari Brunei tidak pulang ke tempat asal mereka. Semuanya kerana kehidupan mereka terancam pada tahun 80-an kerana mereka tidak dapat lagi menugu' akibat industri pembalakan ketika itu.

Kira-kira 500 nelayan dari Brunei berpindah semula ke Brunei meninggalkan Kolapis, kata Zabidi Haji Pakar,yang telah bermastautin di Kolapis sejak 1959 lagi.Beliau memberitahu, dahulunya penduduk Kolapis agak ramai. Tetapi nelayan terpaksa balik ke Brunei apabila tradisi meraban mereka terancam dihanyutkan oleh balak sehingga mereka menanggung kerugian.

Namun demikian, penduduk Kolapis sebenarnya tidak bergantung kepada kaedah menugu' sahaja. Ramai penduduknya yang memiliki bot pukat tunda.Ratusan jumlahnya walaupun, yang aktif mungkin hanya 50 bot pukat tunda sahaja ekoran kenaikan harga minyak.

"Setiap jam 5.00 pagi hingga jam 10.00 pagi , kami keluar menangkap ikan menggunakan bot pukat tunda," katanya Awang bin Mail, 49 tahun.

Beliau mampu menangkap udang kuning yang berharga 13.00 sekilo. Udang No 2 dijual dengan harga Rm6.00 sekilo manakala udang gred tiga hanya dijadikan udang kering. Jenis ikan yang ditangkap sebenarnya bergantung kepada jenis pukat yang digunakan oleh nelayan. Jika menggunakan pukat tunda, bermacam-macam jenis ikan yang boleh ditangkap. Jika menggunakan pukat tahan, hanya ikan kurau, senangin dan selunsung yang boleh ditangkap. Jika pukat hanyut dan pukat timbul, ikan bawal yang boleh ditangkap.Musim angin utara biasanya banyak ikan.Musim udang Oktober hingga April.

Para nelayan di Kolapis juga mengeluh kerana walaupun mereka sudah memiliki kad diesel sejak 2006 tetapi sehingga kini belum digunakan. "Kami minta agar ia dipercepatkan," katanya."Harga minyak kini semakin mahal. Harganya kini RM1.63 bagi satu leter," katanya lagi.

Lain orang lain pengalamannya. Ketika bercerita dengan tekong perahu kami, Marikole Iba, rupanya ia memiliki pengalaman yang tersendiri dan agak jarang dimiliki orang lain. Selain sebagai nelayan, beliau merupakan seorang penangkap buaya yang mahir. Marikole boleh menagkap kira-kira 50 ekar buaya sehari.

"Kalau bertelur, biasanya buaya naik ke tebing.Buaya bertelur kira-kira bulan Oktober. Selepas telurnya menetas, banjir kemudian menghanyutkan ke sungai.

"Anak-anak buaya yang hanyut itulah yang saya tangkap dan kemudian di jual ke Jabatan Hidupan Liar atau Taman Buaya. Harganya boleh mencecah RM50 ringgit seekor.

"Saya sebenarnya menyelamatkan buaya. Anak-anak buaya yang hanyut itu. Saya hanya dibenarkan menangkap buaya yang tidak melebihi 20 inci," katanya. "50 ekor sekali tangkap. Kalau dahulu saya banyak menangkap buaya besar, tetapi kini tidak dibenarkan lagi,' katanya lagi.

Banyak pantangnya menangkap buaya. Antaranya jika kita tidak boleh mengaut nasi menggunakan tangan. Kita tidak boleh simpan sudu dalam periuk," katanya yang sudah menangkap ratusan ekor buaya sejak 1974 lagi.

Kaum nelayan memang perlukan perhatian dan bantuan daripada kerajaan, kata Mohamad bin Haji Jalil, yang juga seorang Ahli Lembaga Pengarah PNK Beluran. Banyak masalah yang dihadapi oleh nelayan yang menyukarkan kehidupan mereka termasuk tidak mendapat subsidi diesel yang diberikan oleh kerajaan.

Sebab itulah, Jaini Ating, Pengerusi PNK Beluran, sampai sekarang tidak boleh lena tidur kerana hasratnya untuk memperjuangkan nasib masyarakat nelayan di Beluran masih belum kesampaian.