Khamis, 20 November 2008

Sarigan, pertahankan budaya selagi terdaya

Tags


SARIGAN, PERTAHANKAN BUDAYA SELAGI TERDAYA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

Dialah seniman rakyat.Orang biasa yang luar biasa.Bakat kesenimanan yang dimiliki Sarigan Haji Renda jarang dimiliki oleh orang lain. Dalam masyarakat Iranun, umpamanya, Sarigan mungkin satu-satu kaum lelaki yang berbakat mencipta hasil seni, mereka corak-corak pakaian dan kain perhiasan, melatih tarian tradisi, kompang, mengukir dan menjahit kraftangan dan banyak lagi kebolehan yang dimiliki oleh seniman berusia 53 tahun ini.

Di rumahnya yang terletak di kampung Cenderamata Dua, Likas, Sarigan merupakan seorang yang `low profile'. Tetapi sesuai dengan namanya sarigan dalam bahasa Iranun, yang bermakna sandaran atau orang harapan, Sarigan sentiasa menjadi pengharapan setiap kali ada majlis keramaian seperti perkahwinan, sambutan ulang tahun, acara-acara rasmi dan sebagainya di kampung itu.

Beliaulah yang dijadikan sandaran untuk menghias dewan atau rumah dengan kain perhiasan Iranun yang dipanggil `sambira' atau lemba', iaitu kain yang direntangkan sebagai perhiasan di sekeliling dinding bahagian atas rumah, yang boleh juga diletakkan di tempat-tempat yang bersesuaian.

Selain itu, Sarigan juga melatih para penari Iranun untuk menari tarian tradisi Sumaranun, iaitu sebuah tarian yang menjadi kebanggaan masyarakat Iranun di negeri ini. Selain melatih mereka menari, Sarigan sendiri menjahit pakaian mereka sesuai dengan budaya Iranun yang dipelajarinya sejak zaman nenek moyang.

Siapakah Sarigan, seniman rakyat yang terus menerus menumpahkan kecintaannya terhadap seni budaya Iranun ini. Sarigan berasal dari keluarga petani di Kampung Nanamun, Kota Belud Kini bertugas di Pelabuhan Sabah sejak 80-an, Sarigan merupakan anak sulung daripada empat adik beradik . Di celah-celah kesibukan kerjanya itu, beliau menyempatkan diri untuk mereka dan menjahit kain perhiasan dan pakaian Iranun, sejak lima tahun yang lalu.

Perca-perca kain berwarni warni itu dijahit mengikut motif seni Iranun. Sarigan sanggup bersengkang mata hingga jam 12.00 atau kadang-kadang hingga ke pagi untuk menyiapkan kain lemba' atau sambira' jika ada acara. Mujurlah beliau dibantu isterinya yang setia, Rukizah bte Sekah.

"Saya buat semua ini supaya seni budaya Iranun tidak pupus. Generasi kita kini semakin melupakannya. Suatu kali, saya terfikir, jika tiada orang yang meneruskan budaya Iranun yang satu ketika dahulu,mempunyai khazanah yang kaya, siapa lagi yang dapat kita harapkan.

"Saya berfikir alangkah baiknya jika seni budaya Iranun yang tinggi mutunya dapat dipertahankan. Saya mulai mengingat-ingat waktu kecil kami dahulu melihat perhiasan seperti lemba' yang dihias setiap kali ada majlis keramaian. Kain perhiasan yang dahulu sudah semakin jarang diperolehi. Kalau adapun kain-kain itu sudah buruk dan lusuh.

"Jadi mulailah saya mengumpulkan perca-perca kain untuk dijahit kalau ada masa kelapangan. Saya juga mula membeli kain semeter dua meter untuk dijahit sebagai pakaian tradisi, untuk lelaki dan wanita. Saya gunakan imaginasi saya berdasarkan ingatan saya terhadap seni budaya Iranun dahulu.

"Saya gunakan duit saya sendiri, mungkin sudah puluhan ribu juga. Mula-mula ramai yang tidak memahami kenapa saya buat begini. Tetapi lama kelamaan banyak sudah yang membantu. Amai Murni (Mulkaseh) juga banyak membantu dalam memastikan usaha mengembalikan keunggulan seni budaya Iranun itu tercapai.

Usaha begini memang mencabar, kata Sarigan. "Kalau bukan kerana minat, mungkin kerja sebegini tak boleh siap. ia memerlukan ketekunan dan pengorbanan," katanya.

"Pakar-pakar yang mahir seni budaya, sudah tiada. Bila mereka meninggal, budaya turut hilang. Kini perhiasan lemba' Iranun, sudah jarang orang memakainya. Kalau tiada generasi penerus, budaya Iranun, tidak lama lagi akan pupus," kata Sarigan kepada Utusan Borneo.

"Dengan harapan, supaya budaya Iranun boleh dipulihara, saya akan meneruskan usaha ini selagi hayat dikandung badan,' kata Sarigan.

Menurutnya, setiap lemba' itu panjangnya 25 kaki. Ia mengambil masa sebulan untuk dijahit kerana beliau hanya boleh menjahit sepulangnya dari bekerja.

Sekarang, kain hiasan yang telah saya jahit mungkin boleh menghias dua buah dewan atau panjangnya 500 kaki. Katanya, ramai juga yang tekah menyewa kain lemba' itu dan lemba' yang panjangnya 25 kaki itu dijual RM500. "Kalau disewa, satu set kain itu boleh disewakan dengan harga RM400.

Katanya, memang sejak kecil dahulu beliau minat untuk mencipta rekaan-rekaan seni Iranun. "Tetapi bila melihat seni budaya kini terancam, saya berasa bimbang. Oleh sebab itu, saya berusaha untuk mempertahankan seni budaya yang masih tersisa," katanya.

Selain lemba', Sarigan juga turut mencipta bandan, iaitu kain seperti selendang yang dipasangkan kepada orang-orang kenamaan. Bandan merupakan pakaian golongan bangsawan. Bandan ini dipasang kepada tetamu yang dihormati dalam sesuatu majlis.

Bercerita mengenai tarian tradisi, Sarigan telah mengambil inisatif untuk melatih para belia untuk mencintai tarian tradisional. Para penari tardisi itu sering dijemput membuat persembahan di sekitar ibu negeri dan beberapa daerah lain di negeri ini.

"Tarian Sumaranun merupakan tari tradisi suku kaum Iranun. Saya mahukan agar generasi muda supaya menghayati setiap langkah tari tradisi ini. Gerak tari yang ditarikan itu melambangkan masyarakat kerana seni melambangkan ketinggian sesuatu masyarakat.

Kumpulan kompang yang ditubuhkan, Sri Rebana Jati Kampung Cenderamata 2, pernah meraih gelaran naib juara dalam pertandingan di peringkat DBKK. Sarigan berkata, seni kompang juga patut dihidupkan kerana ia merupakan warisan budaya Melayu yang kaya.

Usaha dan kejayaan Sarigan itu tidak lepas dari perhatian dan sokongan yang diberikan oleh tokoh-tokoh masyarakat di kampung Cenderamata Dua seperti JKKK, Micro Enterprise, Kaum Ibu dan lain-lain.

Sarigan kini menumpukan baktinya untuk membimbing generasi belia di Kampung Cenderamata Dua Likas untuk mencintai seni budaya tradisi yang kaya. Semoga seni budaya kita pupus dan generasi muda menjadi penerus supaya bangsa kita mempunyai identiti dan jati diri.