Sabtu, 15 November 2008

Jose Rizal Manua, seolah kami kawan lama

Tags


Sebenarnya saya tidak menyangka dapat bertemu Jose Rizal Manua. Saya tidak menyangka sama sekali. Tetapi selepas pertemuan dengan rakan-rakan penyair di Taman Ismail Marzuki, saya melangkah ke sebuah kedai buku yang terletak di sudut bangunan itu. Saya terkejut melihat gambarnya yang hampir sama dengan Ramli Sarip, penyanyi kita itu. Kedai buku itu, mungkin yang paling banyak menyimpan buku-buku sastera dan non fiksi di Jakarta. Malam sudah tiba ketika saya hampir lupa bahawa saya berada di Indonesia.
Saya melihat gambarnya diapit oleh dua sasterawan negara Pak Samad Said dan Usman Awang di dinding kedai itu. Ketika saya bertanya buku puisi Goenawan Mohammad, Misalkan Kita di Sarajevo, katanya sudah habis. Dan melalui pertanyaan itu beliau menyedari bahawa saya dari Malaysia.
Tokoh teater yang baru saja mempersembahkan teater di Rusia dan akan mempersembahkan teater kanak-kanak Peace di Geneva, sebenarnya sudah lama saya kenal namanya. Beliau seorang deklamator puisi yang terkenal bukan saja di negaranya, malah di Kuala Lumpur.
Saya gembira sekali dapat berjumpa dengannya, dan mengambil kesempatan menemuramahnya untuk rencana sastera. Beliau asyik bercerita mengenai perjalanan kesenimanannya, mengenai bagaimana melatih kanak-kanak berteater dan sebagainya.
Saya tidak ingin melewatkan kesempatan untuk bergambar dengannya.Mujur ada seorang gadis kebetulan datang ke toko buku itu dan sempat saya minta tolong untuk menjepret gambar kami.
"itu cucunya Chairil Anwar," kata Jose Rizal. Dia juga seorang penyair,katanya lagi, tetapi belum sempat kami berkenalan dia sudah menghilang bersama teman-temannya. Jadi, orang yang mengambil gambar foto ini ialah hasil jepretan tangan cucu seorang penyair terkenal.
Saya merasa sudah lama mengenalnya. Pertemuan itu terasa akrab, dan sekali lagi hampir saya lupa bahawa malam sudah jam 11.00, dan saya harus pulang ke hotel Le Meridien Jalan Soedirman.