Isnin, 2 Mei 2022

Dari KK ke Tawau, perjalanan panjang 30 April

Tags

 Ayam baru saja berkokok ketika Aa mengangkat ketupat yang baru selesai dimasak. Sementara itu, burasak masih belum siap diikat untuk kemudian dimasak. Persiapan untuk hari raya kali ini agak kelamkabut ketika ramai meramalkan puasa Ramadan cukup 30 hari dan disambut pada 3 Mei. Tetapi  penyimpan mohor  Besar Raja Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan Hari Raya Aidil Fitri jatuh pada hari Isnin 2 Mei 2022.

Kami balik beraya di Tawau tahun ini . Walaupun terpaksa juga menunggu hingga jam 10.30 malam  sebelum bas tambahan Sairah tiba. Terpaksa membayar tambang bas RM100 seorang kerana tidak ada pilihan. Tiket bas habis. Tetapi kami diminta datang ke terminal bas Inanam lebih awal kalau kalau ada penumpang yang membatalkan perjalanan. Ternyata syarikat-syarikat bas mengambil inisiatif menyewa bas persiaran untuk membolehkan penumpang khususnya perantau balik kampung masing-masing. Tambang yang biasanya cuma kira-kira RM70 atau musim perayaan RM80 naik mendadak RM100 dan ada juga RM120.

Selepas menempuh perjalanan kira-kira 12 jam, kami akhirnya tiba di Terminal Bas Batu 10 menjelang tengahari. Biasanya bas tiba kira-kira jam 5.00 pagi , jika berangkat dari Terminal Inanam jam 8.00 malam. Tapi sudahlah bas lewat tiba, ia pun beberapa kali berhenti sepanjang perjalanan. Pertama kira-kira-kira jam 1.45 untuk menyejukkan enjin dan kami mengambil peluang ke tandas, kali kedua bas berhenti di Restoran Sri Melati dan penumpang terpaksa berbaris panjang kerana pelanggan terlalu ramai. Kami mengambil peluang bersahur. Kali ketiga berhenti di road block berdekatan SK Madai kira-kira jam 10.00 pagi  sebelum kemudian bas menghantar penumpang ke Pekan Kunak . Selepas itu, bas persiaran itu berhenti beberapa kali menurunkan penumpang.

Sebenarnya kami berharap bas akan menurunkan kami di Tabung Haji tempat Sairah selalu berhenti, tetapi bas persiaran itu menyudahkan perjalanan di Terminal Batu 10. Masalah baru timbul kerana  kami semua kehabisan bateri handphone. Mujur ada tempat mengecaj dan sempat menelefon Sam bahawa kami menunggu di Terminal.

Nely -isteri si sam dan mama yang datang mengambil kami. Kami sempat singgah di Bataras untuk mencari Amil kerana di KK saya belum sempat membayar zakat.



Alhamdulillah, setelah segalanya selesai, kami meneruskan perjalanan ke rumah lama di Blok 7, Kampung Titingan Hujung. Kira-kira 12 tahun tidak beraya di sini, sebelumnya di flat Sri Titingan saja. Kali ini juga buat pertama kali, anakanda Sitti Mehran Yasmine beraya di perantauan. Kebetulan, UMK Bachok tempatnya menuntut ilmu, tidak jauh dari Jabi, Terengganu, tempat makcik N dan pakcik Shukrinya menetap.

Berbuka puasa kami kali ini dengan lauk ketam, masakan istimewa resepi mama. Lama tidak makan ketam sebanyak ini. syukurlah , nasi bertambah tambah.

Mama sedang berehat-rehat ketika berita pengumuman hari raya puasa ditetapkan hari Isnin. Tiba tiba hari raya, katanya mengingat lagu Bila Tiba Hari Raya. Kami menjangkakan hari raya 3 Mei, rupanya sehari lebih awal. 

Tidak banyak yang dapat dibuat. Tidak sempat beli apa-apa lagi. Persiapan ala kadarnya. Nasib baiklah mama sempat beli ayam di supermarket sebab pasar kehabisan bekalan ayam. Banyak lagi kisah-kisah lain sepanjang perjalanan kami.

Mata sudah mengantuk..Ketika ini Aa sedang menyanyikan selawat nabi untuk menidurkan Lutfi.