Rabu, 20 April 2022

cerita kecil ketika berbuka puasa di Masjid Kampung Taburan

Tags

 Apabila Saudara Zakaria Barabag, Presiden Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA) mengajak saya turut serta dalam program berbuka puasa di Kampung Taburan, saya agak teruja. Seingat saya, paling jauh tempat yang saya pergi ialah pantai Sarang, itupun ketika di bangku sekolah menengah pada pertengahan 80-an. Walau bagaimanapun,Sarang, Dudar dan Taburan adalah tiga kampung di Kota Belud  yang akrab dengan masa kecil saya kerana arwah ayah saya pernah bertugas di sana, punya beberapa keluarga angkat dan pernah pula mengajar mengaji orang orang di sana. Meskipun saya dapat rasakan  kemajuan dan perubahan di kiri kanan jalan yang kami lalui, namun infrastruktur seperti jalan raya masih gravel  dan  ketinggalan.  Baru beberapa hari lalu pula, ada papan tanda dinaikkan menunjukkan bahawa jalan Dudar Mandawang akan dinaik taraf. 

Kami bertolak dari Kota Kinabalu kira-kira jam 2.30 dan selepas itu singgah ke Serusup, ambil Ruslin di rumah. Kami bertiga satu kereta. Di Kota Belud, kami disertai lagi oleh beberapa AJK Pagisa seperti Dr Budiman yang pernah bertugas di SK Dudar hampir sepuluh tahun hampir sepuluh tahun (1979-19880 dan aktif dalam sukan seperti bolasepak. Selain itu, ada juga Dr Maspi Peran, yang juga akrab dengan kampung kampung itu kerana isterinya orang sana, ada Dr Saizal Pinjaman, pensyarah ekonomi kewangan UMS yang juga orang kuat Pagisa.
Majlis berbuka puasa itu juga mempertemukan Zakaria dengan Sikar Datin, kawan lamanya yang hampir 30 tahun tidak bertemu. Mereka sama-sama bekas pelajar SMK Taun Gusi, rakan bermain bola. Sungguh tidak disangka, mereka dapat bertemu di Taburan. Sikar, adalah tenaga penting di Masjid Taburan.

Sikar memberitahu, terdapat kira-kira 25 keluarga Islam yang menetap di Kampung Taburan. Jumlah masyarakat Islam di kampung itu sebenarnya jauh lebih ramai, tetapi mereka kebanyakan tidak berada di kampung.

Sambutan masyarakat Islam di kampung itu agak membanggakan meskipun majlis berbuka puasa itu diadakan secara sederhana saja. Jamuan dan juadah berbuka puasa juga agak menyelerakan. Selepas berbuka, kami menunaikan solat maghrib diimamkan Ustaz Matning sebelum meneruskan dengan jamuan makan dan kemudian tazkirah yang disampaikan Ustaz Jefri.
Sementara anggota rombongan yang lain bergegas pulang kerana perjalanan pulang masih jauh, kami memutuskan untuk menunggu hingga selesai solat Isyak.
Sewaktu pulang kami salah jalan dan tersesat hingga hujung kampung. Mujur ada orang yang sempat ditanya arah jalan  dan mujur selepas itu aplikasi waze dapat digunakan hingga akhirnya kami menemukan jalan pulang.