Sahabat blogger, Sdr Mohd Yusuf Ahmad Shukri atau dikenali Mohd Yusuf Kupang di kalangan rakannya, sempat bertanya mengenai satu posting pada yang disiar dalam blog ini pada 31 Mei 2021.
Apakah ia satu postngan juga? tanyanya. Posting itu terdiri daripada enam perkataan saja.
"Salam terakhir, kata Sudirman, salam teristimewa".
Saya memberitahunya bahawa itu adalah satu postingan juga. Ia menandakan satu peristiwa penting dalam hidup saya. Cuma pada ketika posting blog itu dibuat, saya sebenarnya masih agak sibuk sehingga tidak dapat berpanjang panjang menulis. Tapi bagi saya peristiwa itu harus ditandai.
Salam terakhir itu ditujukan kepada satu episod dalam kehidupan yang segera berlalu. Tepat pada 31 Mei itu, adalah hari terakhir saya berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Borneo. Sebelumnya, setelah melalui beberapa perbincangan saya memilih tarikh 16 April 2021 untuk menulis surat pengunduran diri, iaitu tepat 27 tahun saya berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Borneo, sesuatu kerjaya yang sudah mendarah daging dalam hidup saya.
Syarikat mengalami sedikit goncangan ekonomi kerana berhadapan dengan cabaran digital sehingga terpaksa distruktur semula. Kami yang terdiri kalangan senior diberikan pilihan, dan kerana ruang gerak yang makin terbatas, dimana suratkhabar Utusan Borneo kembali ke asalnya, iaitu menjadi akhbar sisipan di The Borneo Post, kami dengan berat hati terpaksa memberi salam terakhir.
Memanglah banyak kenangan bersama akhbar dimana kami menumpahkan seluruh komirmen dan kesetiaan. Sehingga kemudian saya diberi tanggungjawab untuk menangani beberapa kolum, antaranya Sastera Budaya, yang masih saya tangani, lebih kepada satu obligasi moral dan sosial.
Selain itu, saya menangani ruangan Sembang Sabtu, temuramah dengan tokoh-tokoh dari pelbagai kalangan yang disiarkan setiap Sabtu. Saya juga menangani ada kolum Nota Hujung Minggu yang disiarkan setiap Ahad dan kemudiannya Sabtu.
Selain itu, saya juga menulis untuk ruangan Nusantaraku Berkisahlah, travelogue perjalanan ke seluruh alam Nusantara setiap hari Khamis. Hari Jumaat saya mengelola Ruangan Jejak Perpaduan manakala hari Khamis, saya mengelola ruang dari Kampus, berisi berita-berita dari UMS.
Saya sangat bersyukur kerana bos saya, Sdr Lichong Angkui, yang juga mentor saya, memberikan banyak kebebasan dan kepercayaan penuh untuk saya menulis dan berkarya . Saya sangat menghargainya. Bahkan itulah sebabnya saya menolak beberapa tawaran lain di tempat lain. Saya berasa cukup selesa dan sangat berterima kasih atas kebebasan yang diberikan itu.
Tetapi waktu bergerak. Cabaran baru tiba. Mahu tidak mahu kita terpaksa berubah. Yang kekal hanyalah perubahan. Saya yakin bila satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk kita. Kini bersama beberapa rakan kami mengasas portal berita Sabah360online.com. Sekali menjadi wartawan, terus dan tetap jadi wartawan.
Itulah sebabnya, kata Sudirman, Salam terakhir salam teristimewa..
Salam takzim