Isnin, 22 Februari 2021

YB HASSAN A GANI PG AMIR, DARI PENGURUS LADANG KINI WAKIL RAKYAT

Tags

 

HASSAN A GANI PG AMIR, DULU PENGURUS LADANG KINI WAKIL RAKYAT

 

KALAU kita berada di pihak yang benar, jangan pernah mengalah, walaupun kita ditindas. Itu antara pesan arwah ayahnya. “Tapi sebaliknya, kalau kita merasa berada di pihak yang salah, tidak perlu kita pertahankan” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Yang Berhormat Tuan Hassan A Gani Pg Amir sambil mengingati pesan orang tua yang sentiasa menjadi pedomannya dalam menjalani kehidupan.





HASSAN A GANI PG AMIR dilahirkan di Luasong pada 22 Februari 1970. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK Luasong dari darjah satu hingga enam (1977-1982)  sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Merotai dari tingkatan satu hingga tingkatan lima (1983-1987). Beliau sempat mengambil kursus A Level di Sabah Institute of Management (SIM)  tetapi tidak selesai kerana beliau melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM) Melaka hingga lulus Diploma Pentadbiran Awam.

Selepas itu beliau bekerja dalam sektor perladangan, bermula semula Cadet Planter, Penolong Pengurus Ladang dan kemudian menjadi Pengurus ladang sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan kemudian aktif dalam bidang politik. Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda PBS Bahagian Tawau sebelum menyertai UMNO dan menjadi Ahli UMNO di Kampung Titingan Tawau. Selepas itu, beliau kurang aktif tetapi kembali semula ke arena politik dan menjadi Setiausaha Bahagian Parti Warisan Sabah Kalabakan. Dalam pilihanraya 2018, beliau bertanding DUN Sebatik tetapi kalah tipis namun dalam PRN ke-16, beliau menang dengan majoriti meyakinkan untuk kerusi Sebatik. Beliau mendirikan rumah tangga bersama paun Adizah Matusop dan dikurniakan lima cahaya mata.





Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau di ibu negeri untuk berkongsi pengalamannya sehingga menjadi wakil rakyat. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:



UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB. Lahir dimana? Anak ke berapa dalam keluarga?

YB HASSAN A GANI PG AMIR: Saya dilahirkan di Luasong pada 22 Februari 1970. Saya anak pertama daripada sepuluh orang adik beradik. Ayah saya A Gani Pengiran Amir bekerja di NBT manakala ibu saya, Saidah Abdul Hamid seorang suri rumah.





UB:     Di mana YB mendapat pendidikan rendah dan menengah?

YB:     Saya mendapat pendidikan awal di SRJK Luasong pada 1977 hingga 1982. Kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Merotai dari tahun 1983 hingga 1987 hingga tamat tingkatan lima.

UB:     Selepas itu, di mana YB melanjutkan pelajaran?

YB:     Selepas itu saya sempat memasuki  Sabah Institute Of Management untuk mengambil kursus A Level tetapi tidak selesai.

Saya tidak menghabiskan kursus A Level kerana kebetulan menerima tawaran untuk bersekolah di Institut Teknologi Mara (ITM) Melaka. Saya kuliah di sana hingga lulus Diploma Pentadbiran Awam (DPA).

UB:  Dimana YB bekerja selepas itu?

YB:  Selepas lulus Diploma Pentadbiran Awam (DPA), saya bekerja di sebuah syarikat konsultan untuk Kerajaan Negeri yang bergiat dalam kajian sosial ekonomi, masa itu di bawah pimpinan Datuk Claudius Sundang Alex. Kemudian saya bekerja di Sapi Plantation Sdn Bhd,selama satu tahun, berpindah lagi IOI (Lee Pang Estate), Hap Seng (Jeroco Estate) dan pernah bekerja di Payamas Estate di Beaufort,Kenso (Kemabong Estate Bukit Garam) dan Merotai Estate (Sungai Burung)

Saya bermula sebagai Kadet Planter, Penolong Pengurus dan kemudian bertugas sebagai pengurus ladang di Merotai. Saya mungkin antara lulusan pentadbiran awam yang menceburkan diri dalam dunia perladangan.

UB:     Tentu banyak cabaran yang dilalui ketika bertugas di ladang.Boleh ceritakan sedikit?

YB:     Sebagai pengurus, sudah pasti antara cabarannya ialah cabaran mengurus pekerja ladang yang terdiri dari pelbagai kerenah dan  latar belakang. Namun itulah antara asam garam sebagai pengurus di ladang.

Selain itu, ketika bekerja di Merotai Estate, saya sempat mengikuti kursus dalam bidang bioteknologi selama dua bulan di National Agriculture Workshop di Chantanaburi Thailand.



UB: Bila YB mula berjinak dalam bidang politik?

YB: Saya berjinak dalam politik kira-kira pada tahun 1994. Masa itu saya terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda PBS Bahagian Tawau. Ketika itu, saya menjalankan perniagaan dan berpolitik secara tidak serius.

Kemudian saya menyertai UMNO tetapi di peringkat cawangan. Cawangan saya di UMNO Cawangan Titingan bersama Syed Idrus, arwah Omar Jamal dan banyak lagi.  Saya sentiasa ikut perkembangan politik meskipun tidak terlalu aktif.

Ketika  Parti Warisan Sabah (PWS) ditubuhkan, saya menjadi Jawatankuasa Penaja Bahagian dan kemudian menjadi Setiausaha Penaja Bahagian Kalabakan. Dalam PRU ke-14, saya pernah bertanding di DUN Sebatik tetapi sebanyak 193 undi sahaja.

 


Sejak itu saya terus aktif dalam politik . Walaupun kalah tetapi saya terus bekerja untuk parti. Bahkan dalam PRN-16 yang lalu, saya tidak menyangka dipilih sebagai calon lagi. Saya tidak melobi. Saya terus bergiat saja untuk menambahkan sokongan kepada parti. Bagaimanapun,Presiden Datuk Seri Panglima Shafie Haji Apdal, soal calon biarlah beliau yang menentukan.  Serahkan soal calon kepada pucuk pimpinan.Beliau cuma minta tolong pastikan agar calon yang dipilih menang di kawasan itu.

UB: Apa perasaan YB ketika dipilih semula sebagai calon?

YB: Saya tidak menyangka. Tapi saya memang bertekad untuk menang.Saya berdepan cabaran yang sukar. Apatahlagi, saya terlibat dalam pertandingan tujuh penjuru. Akhirnya, dengan izin Allah, saya menang dengan majoriti 522 undi.  Walaupun menang, saya menang dalam pembangkang.



UB:     Tentu cabarannya lebih sukar?

YB:     Saya diberi mandat sebagai wakil rakyat di kawasan DUN Sebatik. Sebagai wakil kepada rakyat, saya akan bawa apa saja permasalahan dan keperluan rakyat untuk diketengahkan  kepada pihak kerajaan.  Kita berharap kerajaan tidak melihat siapa wakil rakyat, kerana bukan soal siapa wakil rakyat tetapi apa permasalahan dan keperluan rakyat, itu yang patut diutamakan.

UB:     Tapi banyak masa terbuang kerana politiking?

YB:     Masa kita berpolitik ialah sewaktu kita ambil kuasa. Sudah dapat kuasa, tibalah masanya pula kita bekhidmat dan mengetepikan fahaman politik demi untuk rakyat. Kita pastikan rakyat tetap dapat pembelaan tan mengira fahaman politik. Apa apa perancangan dan idea yang perlu diteruskan.



UB:     Apa antara isu rakyat di kawasan Sebatik?

YB:     Kawasan DUN Sebatik kini semakin besar. Ada kawasan yang dulu masuk dalam kawasan DUN Tanjung Batu kini masuk dalam DUN Sebatik seperti Kalabakan, Luasong dan Felda Ums..  DUN Sebatik merangkumi Daerah Mengundi Sungai Udin, Berantian, Felda Umas, Kalabakan, Luasong dan Serudin Laut. Dulu kawasan Jumlah pengundi seramai 10,218 pengundi.

Masalah utama yang dihadapi penduduk ialah masalah air. Penduduk Sebatik memerlukan perhatian yang serius daripada kerajaan. Pernah berlaku masalah air pada tahun 2018. Penduduk terpaksa bergantung bekalan air mineral yang walaupun banyak yag dihantar berlori-lori, masih tidak dapat menampung keperluan rakyat.

Ketika masa pemerintahan kerajaan lalu, kerja mendalamkan kawasan takungan air sudah diluluskan di kawasan Wallace Bay tetapi belum sempat dilaksanakan.



Ketika sidang DUN yang lalu, saya ada bangkitkan mengenai apa kaedah alternatif  perlu dibuat bagi mengatasi masalah bekalan air bersih ini.

Selain itu, peruntukan untuk membina Klinik Kesihatan di Pulau Sebatik sudah diluluskan sebanyak RM20 juta tetapi ada masalah teknikal hingga menyebabkan ia tertangguh.



UB: Selain itu apa masalah dan peluang  yang YB lihat?

YB: Sebatik adalah kawasan yang penting di Sabah. Ia memiliki dua kawasan persempadan antarabangsa iaitu di Sungai Haji Kuning dan di kawasan Serudong-Simanggaris. Terdapat beberapa pos kawalan iaitu Sungai Melayu, Wallace Bay, Bergusong .

Isu lain adalah isu penyeludupan yang selalu dikaitkan dengan kawasan sempadan. Untuk mengatasi masalah ini, memerlukan kerjasama semua pihak. Kita harap setiap JKKK yang dilantik kerajaan perlu memainkan peranan masing masing dan mendaftar penduduk dan senaraikan keperluan mereka. Berapa kepala keluarga, berapa keperluan setiap bulan. Ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan penyeludupan gas. Kawasan sempadan Malaysia Indonesia adalah sangat panjang kira-kira 36 km dan menyukarkan untuk membanteras penyeludupan secara tuntas.

Kawasan infrastruktur juga perlu dibaiki seperti jalan utama dan sebagainya. Keperluan dan permasalahan rakyat perlu diitangani.

UB:     Sekadar ingin tahu, apa cita-cita YB di masa kecil?

YB:     Sebenarnya saya bercita-cita menjadi peguam tetapi terhalang kerana kemiskinan.Sebab itulah saya belajar hingga A Level. Apabila ada tawaran dari ITM, saya terus menerimanya.

UB:     Oh ya, apa hobi YB di kala ada kelapangan?

YB::    Saya suka berburu dan memancing. Dengan memancing kita belajar kesabaran dan ketenangan. Dengan memancing, kita berjaya memperdayakan ikan, terutama bila guna umpan palsu seperti casting jigging dan trolling.

UB: Selalunya memancing di laut dalam?

YB:     Saya suka memancing di kawasan muara, kerana lebih seronok.

UB:     Soalan akhir. Apa pesanan orang tua yang masih diingati?

YB: Kalau kita berada di pihak yang benar, jangan pernah mengalah, walaupun kita ditindas. Itu antara pesan arwah ayah saya.Tapi sebaliknya, kalau kita merasa berada di pihak yang salah, tidak perlu kita pertahankan