Jumaat, 11 Disember 2020

IR SHAHELMEY PILIH KEJURUTERAAN AWAM KERANA MINAT BUAT STRUKTUR

Tags


IR SHAHELMEY PILIH KEJURUTERAAN AWAM KERANA MINAT BUAT STRUKTUR

SAYA minat bina struktur, infrastruktur, katanya. Sebab itu,beliau memilih bidang kejuruteraan awam walaupun ada di antara rakan-rakannya merasa pesimis mengenai masa depan bidang itu. “Apakah kejuruteraan awan mempunyai pasaran kerja? Nanti habis sekolah jadi penganggur, begitulah antara komentar kawan-kawannya yang kebanyakannya  cenderung kepada  bidang kejuruteraan mekanikal  dan kejuruteraan elektrikal. Bahkan beliau adalah satu-satunya pelajar dari Malaysia yang mengambil jurusan kejuruteran awam di Universiti Bristol pada masa itu Pilihannya terbukti tepat. Ketika  ekonomi dunia merudum 1998, ramai di antara rakannya menjadi  mangsa kegawatan ekonomi dan kehilangan kerja sementara rakan mereka yang memilih bidang kejuruteraan awam masih dapat bertahan.




Itulah antara kata-kata   Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, YB Ir Shahelmey  Yahya mengenang masa lalunya sebagai pelajar universiti Ibu bapanya selalu berpesan agar belajar rajin-rajin untuk masa depan yang lebih baik.

IR SHAHELMEY BIN YAHYA, 47, dilahirkan di Labuan pada 20 Februari 1973 dan membesar dari keluarga penjawat awam. Anak kedua dari lima beradik ini adalah  anak lelaki sulung . Ayahnya OKK Yahya Ahmad Shah (Allahyarham)  adalah mantan Ketua Daerah Putatan, sebelum pernah menjadi pegawai daerah di beberapa buah daerah manakala ibunya, Halimah bte Mohd Yusop (Allahyarhamah) adalah seorang pesara guru.




Beliau pernah mendapat pendidikan awal di SK Pekan Beluran, SRJK St John Tuaran dan kemudian SK Tansau, Putatan. Seterusnya beliau menempuh pendidikan menengah di Maktab Sabah (1985-1989). Ir Shahelmey memperolehi Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, BEng (Hons) University of Bristol,, United Kingdom (1992-1995) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan MBA dari UiTM (2002-2004).

Antara pengalaman kerjayanya ialah Jurutera di Sabah Urban Development Corporation (SUDC) Ahli Majlis Daerah Putatan (2009-2018) Ahli Perbadanan Sabah Credit  Corporation (2005-2017), Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Borneo  Highway PDP Sabah Sdn Bhd (2016-2018 dan Pengarah Urusan PS Consulting Engineers Sdn Bhd.

Dalam bidang politik, Jurutera Awam Profesional ini pernah menjadi Ketua Pemuda UMN0 Bahagian Putatan (2004-2008) dan Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah (2013-2018).

Beliau juga adalah Jawatankuasa Eksekutif, Institut Jurutera Malaysia, Cawangan Sabah (2006-2007) dan Pengerusi SAFA Daerah Putatan (2009-2007). Dalam  Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, Ir Shahelmey  memenangi kerusi Tanjung Keramat dalam pertandingan lima penjuru  dengan majoriti 1,124 undi. Pada 8 Oktober 2020, beliau  mengangkat sumpah sebagai Menteri Pembangunan Masyararakat dan Kesejahteraan Rakyat.




Beliau mendirikan rumah tangga dengan Dayang Siti Nur Hayyat Ag Mohd Saufi dan dikurniakan empat orang cahaya mata.




Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Ir Shahelmey Yahya yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat di rumahnya di Kampung Sipanggil, Putatan. Ikuti petikan wawancara bersama beliau;

 

UTUSAN BORNEO:  Boleh beritahu sedikit latar belakang YB? Tarikh dan tempat lahir

YB IR SHAHELMEY YAHYA:        Saya lahir di Labuan pada 20 Februari 1973 dan membesar dari keluarga penjawat awam. Anak kedua dari lima beradik dan merupakan anak lelaki sulung .

UB: Di mana YB mendapat pendidikan di peringkat awal? Dimana YB meneruskan persekolahan?

IR SHAHELMEY:     Disebabkan pekerjaan bapa saya sebagai Pegawai Daerah (1976-1984), saya banyak berpindah tempat dan membesar di luar kawasan Kota Kinabalu. Antara sekolah awal saya ialah SK Pekan Beluran, SRJK ST. John dan SRK Tansau Putatan. Untuk sekolah menengah pula, saya bersekolah di Maktab Sabah (1985-1989).

UB:     Mungkin boleh ceritakan sedikit pengalaman melanjutkan pelajaran di luar negeri?

IR SHAHELMEY: Saya Menuntut di Pusat Pendidikan Persediaan (PPP) Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam untuk A-Level di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan melanjutkan pendidikan Sarjana Muda di University of Bristol, United Kingdom (1992-1995) dalam jurusan Kejuruteraan Awam.

UB:     Berapa ramai pelajar dari Malaysia yang menuntut di Universiti yang sama dengan Ada dari Sabah?

IR SHAHELMEY:     Seingat saya, lebih kurang 150 orang pelajar Malaysia menuntut di Bristol University pada waktu saya menuntut di situ. Kurang daripada 10 pelajar dari sabah ketika itu. Saya merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia yang mengambil jurusan Kejuruteraan Awam pada masa itu.




UB:     Apa yang mendorong YB untuk memilih kejuruteraan awam?

IR SHAHELMEY: Saya  minat bina struktur, infrastruktur.Walaupun ada di antara rakan-rakan saya  merasa pesimis mengenai masa depan bidang itu. Apakah kejuruteraan awan mempunyai pasaran kerja? Nanti habis sekolah jadi penganggur, antara komentar rakan-rakan  yang kebanyakannya  cenderung kepada  bidang kejuruteraan mekanikal  dan kejuruteraan elektrikal. Bahkan panel penemuduga biasiswa JPA ketika itu sempat bertanya mengapa saya tertarik kepada kejuruteraan awam. Sebenarnya saya dipanggil temuduga untuk bidang kejuruteraan yang lain. Saya beritahu bahawa saya  minat bina struktur, minat membina  infrastruktur dan sebagainya. Kejuruteraan awam mempunyai bidang yang agak luas. Akhirnya saya terpilih  dan menjadi  satu-satunya pelajar dari Malaysia yang mengambil jurusan kejuruteran awam di Universiti Bristol pada masa itu.

UB:     Sekembalinya dari luar negeri, di mana YB bekerja?

IR SHAHELMEY:     Saya menamatkan pelajaran untuk peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan pada bulan Jun 1995. Selepas tamat pengajian, saya terus kembali ke Sabah dan mula bekerja di Sabah Urban Development Corporation  Sdn. Bhd sebagai jurutera pada September 1995.



 

UB:     Apa yang mendorong YB menceburi bidang politik?

IR SHAHELMEY:     Penglibatan politik saya dipengaruhi oleh penglibatan politik ibubapa saya dan kaum keluarga yang lain. Selain dari itu, menyedari dan menghargai sumbangan Dasar Ekonomi Baru kepada diri saya (i.e dapat tajaan belajar keluar negara dan peluang-peluang kerja), saya ingin berkongsi kelebihan dengan generasi muda.




UB:     Bagaimana respon keluarga? Apakah mereka memberi halangan? Siapa yang paling banyak memberi dorongan?

IR SHAHELMEY:     Ahli keluarga sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam penglibatan politik saya di dunia politik.

UB:     Apa nasihat atau pesan ibubapa yang masih diingati sampai sekarang? Siapa yang paling banyak mempengaruhi YB?

IR SHAHELMEY: Ibubapa sering menasihatkan kami agar belajar rajin-rajin untuk masa depan yang lebih baik.  Bapa selalu memberi dorongan dan disiplin sebagai seorang pemimpin manakala ibu sering memberi dorongan  untuk belajar dan capai kejayaan.

UB: Bila YB menceburi politik? Apa jawatan yang pernah dipegang?

IR SHAHELMEY: Saya mula aktif pada 2001 sebagai  AJK Pemuda UMNO Bahagian Penampang dan bila ada persempadanan semula, saya dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putatan dari 2004 sehingga 2018.

UB:     Apa perasaan YB terpilih sebagai calon dan seterusnya menang pilihanraya?

IR SHAHELMEY:     Saya bersyukur, terharu dan bersedia menang pilihanraya  kerana ianya memang sudah dijangka berdasarkan pembabitan politik yang telah lama aktif semasa dalam Pemuda UMNO dan sentimen semasa.



UB:     Menurut YB apa permasalahan utama yang dihadapi masyarakat Tanjung Keramat?

IR SHAHELMEY:     Antaranya masyarakat di Tanjung Keramat memiliki Sistem perkhidmatan yang lebih baik dan Keperluan perumahan yang lebih teratur dan selesa.

UB: Sebagai wakil rakyat di kawasan yang baru diwujudkan, apa misi dan visi YB memajukan kawasan Tanjung Keramat?

IR SHAHELMEY:     Aspirasi saya untuk DUN Tanjung Keramat ialah  meningkatkan kualiti hidup masyarakat, mengutamakan pembangunan sumber manusia berasaskan ilmu pengetahuan dan menggiatkan aktiviti ekonomi dan perniagaan.

UB:     Selepas dilantik sebagai ahli jemaah menteri, bagaimana YB membahagikan masa antara tugas sebagai wakil rakyat, menteri dan ketua keluarga?

IR SHAHELMEY:     Selepas dilantik sebagai jemaah menteri, pengurusan masa adalah perkara yang penting dan perlu dijaga. Lebih separuh masa bekerja bertumpu kepada tanggungjawab sebagai menteri, manakala peranan tugas sebagai wakil rakyat diselitkan dengan tugas sebagai menteri. Meluangkan masa sebelah lewat petang dan hari sabtu untuk aktiviti di kawasan, manakala untuk keluarga diperuntukkan padal sebelah malam dan hujung minggu. Walaubagaimanapun, kelebihan telekomunikasi membuatkan saya sentiasa boleh berhubung dengan rakyat dan keluarga pada bila-bila masa.

UB:     Apa cita-cita YB sewaktu masih kanak-kanak? Pernah terfikir jadi YB?

IR SHAHELMEY:     Cita-cita saya memang untuk menjadi jurutera dan teknokrat yang berjaya. Saya memang terfikir untuk menjadi seorang YB sejak di peringkat A-Level lagi.

UB:     YB suka dengar muzik?

IR SHAHELMEY:     Saya suka mendengar muzik dan lagu yang popular 1985 hingga 1995. Ini yang selalu saya mainkan bila rasa ingin dengar muzik.

UB:     Minat sukan? Apa jenis sukan yang diminati?

IR SHAHELMEY:     Sebelum ini saya suka bermain futsal bersama rakan-rakan. Saya juga minat berbasikal. Tapi semenjak dua tahun lalu, saya kekurangan masa untuk bermain kerana kerja yang semakin sibuk.

UB:  Apa hobi YB?

IR SHAHELMEY:     Saya suka membaca, melancong bersama keluarga dan sebagainya.

UB:     Apa tajuk buku yang baru YB habis baca?

IR SHAHELMEY: The 5 AM Club: Own Your Morning.Elevate Your Life oleh Robin Sharma.

UB:     Terima kasih banyak YB kerana sudi diwawancara untuk ruangan Sembang Sabtu UTUSAN BORNEO.

IR SHAHELMEY:     Terima kasih banyak.Moga bermanfaat.

 

 





Artikel Terkait