Jumaat, 11 Disember 2020

HAJAH TUNGANAI ANAK SABAH PERTAMA JADI PENGARAH JABATAN AKAUNTAN NEGARA SABAH

Tags

 

HAJAH TUNGANAI, ANAK SABAH PERTAMA JADI PENGARAH JABATAN AKAUNTAN NEGARA




SIAPA kata seorang anak kampung dari keluarga petani dan nelayan, tidak mampu berjaya mencapai cita-cita dalam hidupnya. Walaupun  datang dari keluarga yang sederhana dari segi ekonomi, namun Puan Hajah Tunganai binti Datu Alang berusaha setapak demi setapak, sanggup bercuti tanpa gaji semata-mata untuk mengenggam  segulung ijazah. Kegigihan dan perjuangannya wajar dicontohi. Bermula sebagai kerani, beliau berusaha mendaki tangga demi tangga sehingga dilantik sebagai pengarah.Beliau mencatat sejarah sebagai  anak Sabah pertama yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM)  Negeri Sabah bahkan beliau adalah wanita pertama yang dilantik ke jawatan itu. Beliau bersara pada 23 Mac 2020 selepas berkhidmat  di pelbagai jabatan kerajaan negeri dan persekutuan selama 41 tahun 11 bulan.



HAJAH TUNGANAI BINTI DATU ALANG dilahirkan di Kampung Rampayan Laut Kota Belud pada 23 Mac 1960. Mendapat pendidikan awal di SRK Nanamun Kota Belud dari Darjah 1 hingga Darjah 6 (1967-1972) kemudian meneruskan pelajaran menengah di SMK Arshad Kota Belud aliran Bahasa Melayu dari Tingkatan 1 hingga 3 (1973-1975) dan kemudian melanjutkan pelajaran dalam aliran sains di Tingkatan 4-5 (1976-1977).Selepas lulus SPM, beliau bekerja sebagai Kerani  Skel D1,2,3 (C11) di Stor Perubatan Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu pada tahun 1978. Selepas itu,pada 1979  beliau bertukar  di Unit Penyertaan Bumiputra di bawah Jabatan Ketua Menteri. Hajah Tunganai kemudian mengambil Cuti Belajar Tanpa Gaji untuk mendapatkan Diploma in Accountancy di YS-ITM (1981-1984) selama tiga tahun. Selepas tamat diploma, beliau ditempatkan sebagai Pegawai Kira-Kira di Jabatan Bendahari Negeri Sabah. Pada tahun 1985, beliau ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Perubatan, juga sebagai Pegawai Kira-Kira.  Kemudian pada Julai 1986 hingga November 1989, beliau sekali lagi mengambil Cuti Belajar Tanpa Gaji untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam Jurusan Perakaunan di Fakulti Pengurusan Perniagaan. Selepas menamatkan pengajian di UKM, beliau ditempatkan di Jabatan Perhutanan Wilayah Kota Kinabalu sebagai Pegawai Kira-Kira Gred B11. Pada tahun 1990, beliau ditawarkan memangku jawatan Akauntan Gred A16 di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Kira-kira empat tahun kemudian beliau mendapat tawaran dari Jabatan Akauntan Negara Malaysia dengan  jawatan Akauntan Gred  A16 (W41)  dan ditempatkan di  JANM  Cawangan Keningau sebagai Pengarah Cawangan bermula 1 September 1994. Selepas enam tahun di Keningau, beliau ditukarkan sebagai Pengarah Jabatan Akauntan Negara Cawangan WP Labuan namun pada tahun 2001, beliau ditukarkan ke JANM Sabah sebagai Timbalan Pengarah Gred W48. Kemudian beliau dinaikkan pangkat ke Gred W52 pada 2008. Pada tahun 2012, beliau ditukarkan ke JANM  Negeri Kedah  sebagai Timbalan Pengarah. Selepas itu, pada tahun 2014 beliau ditukarkan semula ke JANM  sebagai Timbalan Pengarah dan dinaikkan ke Gred W54 (KUP) dan akhirnya dilantik sebagai Pengarah JANM  Negeri  Sabah pada tahun 2015 dengan Gred W54 sehingga bersara pada 23 Mac 2020.

Sepanjang perkhidmatannya beliau dilantik  Pengerusi Panel Temuduga pengambilan jawatan Pembantu Akauntan W19,sebagai ahli Panel Temuduga Pengambilan jawatan Penolong Akauntan W29-sebagai ahli Panel Temuduga Pengambilan jawatan Akauntan W41,Ahli Malaysian Institute of Accountants as a Chartered Accountant C.A(M) Ahli Jawatan Kuasa Penasihat Program Pengajian Jabatan Perdagangan Politeknik Kota Kinabalu (Tahun 2015-2019) dan  Ahli Jawatankuasa Pendidikan Majlis Penasihat Wanita Sabah (2015 - 2016).

Antara Anugerah yang pernah diterima ialah-Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kewangan (PPC) 2015 , Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Sabah, iaitu Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada tahun 2010 dan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada 2015.



Hajah  Tunganai mendirikan rumahtangga dengan Haji Moktar Haji  Ibrahim (Pengarah Kolej Vokasional Likas) dan dikurniakan seorang putera, Mohd Anwaruddin Moktar lulusan Diploma Perakaunan UiTM dan Ijazah Perakauanan UiTM dan kini bertugas sebagai PTD di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Putrajaya.

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau mengenai pengalaman beliau sewaktu zaman persekolahan, sewaktu menuntut dalam bidang perakaunan bermula di peringkat diploma di YS-ITM dan kemudian Ijazah Perakaunan di UKM seterusnya pengalaman beliau berkhidmat di jabatan kerajaan selama 41 tahun sehingga akhirnya dilantik sebagai Pengarah di Jabatan  Akauntan Negara Malaysia Negeri Sabah. Ikuti petikan wawancara bersama belau yang dijalankan melalui aplikasi whatsApp.

 



UTUSAN BORNEO: Boleh beritahu sedikit mengenai latar belakang puan Hajah? Anak ke berapa dalam keluarga? Tarikh dan tempat lahir?

HAJAH TUNGANAI:  Saya dilahirkan di Kampung Rampayan Laut pada 23 Mac 1960. Saya anak kedua dalam empat adik beradik  seibu sebapa, seorang abang (almarhum Datu Bandira) dan seorang adik lelaki (Mualasan, sepatutnya namanya Datu Mamualas), adik perempuan yang bongsu meninggal semasa masih bayi. Saya juga mempunyai lima adik beradik sebapa , tiga orang abang dan dua orang kakak. Ketika saya lahir, mereka semuanya sudah  berkahwin. Saya  juga ada seorang abang satu ibu iaitu Haji Bakrim.



Bapa saya, Datu Alang @ Haji Mohd Omar bin Datu Samalabang adalah seorang petani dari Kota Peladok. Beliau juga memiliki kemahiran bertukang seperti membuat dan mengukir sarung parang (taguban dan suungan), pelana kuda (paker) dan kerusi rotan. Beliau seorang yang sangat menitikberatkan ajaran agama. Kami anak-anaknya, panggil dia "bapa" bukan "ama' ", masa kami lahir, bapa saya sudah tua, umurnya macam  sudah 60 an.

Ibu saya pula, Hajah Gambar Sawasa binti Datu Imai, yang kami panggil “Ina’” berasal dari Kampung

Pada sebelah malam kami disuruh belajar mengaji di rumah guru mengaji Allayarham Hj Imbad Hj Sulaiman (Al fatihah) , kami guna botol kaca yang diisi minyak tanah bersumbukan kain buruk sebagai lampu suluh ke rumah guru 

Sebaik saja  kami balik dari sekolah dia suruh ulang mengaji dulu baru boleh  keluar bermain.

Semasa sekolah rendah lagi saya dan abang sudah khatam Quran, Guru kami buat berjanzi (Maulidul Rasul) dan khatamkan kami anak muridnya beramai-ramai  sungguh meriah, kami dipakaikan cantik-cantik dan naik "usunan" lagi.



Uniform sekolah rendah saya, bapa suruh buat panjang sampai ke buku lali, sedangkan peraturan masa tu panjang baju dua inci atas lutut, malunya masa tu, lain dari pelajar lain. Kebetulan pula kakak sepupu saya tukang jahit, senanglah bapa suruh jahit bagi panjang-panjang.

Bapa sangat marah (pantangnya) kalau kami sebut perkataan "bodoh" atau perkataan memaki (bpaninta). Dimana kanak-kanak dulu-dulu kalau bergaduh keluarlah perkataan "bpaninta" sagit abpangadi su sinta yan (contohnya nyatibpud a umur yan, nyangaring a otek yan, nyamber a parti, nyamanik sanunuk  dan lain). Kalau dia dengar kami sebut, dapatlah habuan rotan.



Ibu saya pula, Hajah Gambar Sawasa binti Datu Imai, yang kami panggil “Ina’” berasal dari Kampung Rampayan Laut. Pekerjaan dan kemahirannya adalah nelayan, memukat bilis dan udang bubuk (pangansau), menangkap ketam (Nggintor) mencari lokan dan siput. Beliau juga mahir dalam membuat kraftangan seperti menenun tubau (pagaul) , bplaup, dan anyaman tikar dan macam-macam anyaman, bpanipeluk (buat atap) dan bercucuk tanam.  Itu sebabnya sejak kecil lagi saya sudah menguasai bidang kemahiran anyaman seprti tikar, menganyam bakul, pandai menenun “pidlas “lace tubau yang benang emas. Bahkan ketika di sekolah rendah, emak sudah boleh menjual hasil anyaman saya seperti tikar di Tamu Kota Belud.

Ina' saya adalah sorang yang serba boleh dan rajin. Pagi dia ke laut/sungai, petang dia bercucuk tanam. Sekeliling rumah kami ditanam dengan pokok kelapa, pokok mangga manila, tembikai, ubi kayu, ubi rambat dan sayur-sayuaran dan pelihara ayam kampung jugaWalaupun kami miskin duit tapi kami masih boleh makan makanan yang berkhasiat.

Ibu atau ina’ saya juga seorang yg berwawasan, dia selalu menasihati kami supaya belajar bersungguh-sunguh kerana dia kata hanya pelajaran yang boleh mengubah kehidupan masa depan kami, dia tiada harta untuk diwariskan dan dia tidak mahu anak-anaknya mewarisi pekerjaannya "nggintor"/nelayan/petani.

Kebiasaan orang Iranun dulu-dulu  yang  saya kurang bersetuju ialah, anak-anakperempuan diajar kerja-kerja kemahiran dan diajar buat semua kerja rumah, tapi anak lelaki dibiarkan bermain sahaja.

Anak perempuan tidak perlu sekolah tinggi-tinggi.Nanti pandai tulis surat cinta. Tamat Darjah 6 atau paling tibggi Tingkatan 3, terus disuruh cari kerja, biasanya jadi guru.

Saya sentiasa memotivasikan diri denfan kata-kata dimana Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, di mana ada usaha di situ ada kejayaan, yakin boleh, ,Berusaha, berdoa dan bertawaqal kepada  Allah.

UB:   Dimana puan Hajah mendapat pendidikan awal?

HT: Saya mendapat pendidikan awal di SRK Nanamun Kota Belud dari darjah 1 hingga darjah 6 (1967-1972).Dulu tiada peraturan masuk sekolah  atau mendaftar terlebih dahulu. Jadi saya masuk sekolah ikut abang saya yang berada dalam   Darjah 3 pada masa tu. Sepatutnya nama saya yang  bapa saya bagi ialah: "Amas Tunganai A Baie" tapi yang cikgu  tulis Tunganai saja, sebab dulu tiada surat beranak. Sudah masuk sekolah baru buat surat sumpah dan surat beranak.

UB: Siapa rakan sekolah puan hajah ketika itu? Masih ingat?

HT: -Hanya 3 orang  rakan sekelas masa itu  yang saya ingat, iaitu puan Sirongan Haji Sulaiman, yang  kedua Abd Muar Haji  Mulia dan yang  ketiga Tabligh Anggab.

Cikgu yang masih saya ingat ialah  cikgu Rasdin cikgu Ilmu Hisab,saya  ingat dia sebab selalu suruh saya buat jawapan di papan hitam. Yang kedua cikgu Ali Sunggang, cikgu Bahasa Melayu, saya ingat dia sebab saya pernah tertinggal buku sekolah, tidak dapat  menulis sebab  tiada buku dan pensil,

Sebelum cikgu ambil buku kosong dan pensil dari bilik guru, dia singgah di kelas abang saya dan marahkan abang saya kerana tidak bawa buku saya.

UB:      Ke sekolah naik apa puan hajah?

HT:       Ke sekolah  berjalan kaki, kadang-kadang  tumpang kapal penunda kayu balak yang  lalu di sungai di belakang sekolah. Naik perahu dulu baru naik atas kapal, pernah sekali ketika seorang pelajar senior di atas kapal yang sedang menarik saya dia terlepas tangan saya, apa lagi gedebuklah ke dalam sungai, abang  saya yang di belakang  Nampak saya jatuh dalam sungai, diapun terus terjun juga dengan  beg sekolahnya sekali, dahlah dua-duanya nya tidak pandai berenang, syukur alhamdulillah "serang kapal " dan awak-awak  kapal cepat terjun  menyelamatkan kami, sempat juga terminum air masin.

Kadang-kadang kami jalan  ikut pantai, main pantai mandi laut, tangkap kayukus (ketam kecil bloleh dimakan, kalau kayagkag tidak  boleh dimakan), tangkap anak ikan kabpalad-palad (ikan sebelah). Lewatlah sampai rumah dengan  basah kuyup, dari jauh lagi sudah  disambut oleh Ina’ dengan  badas (rotan) terhunus di tangan, dapatlah habuan satu dua rotan di paha. Tapi tidak juga serik.

 

UB: Berapa bekal ke sekolah?

HT: Kebiasaannya tiada bawa bekal duit ke sekolah, hanya kadang-kadanag kalau ada tamu, adalah bekal 10 sen untuk  beli pecal (pecal si Tiarai, palinglah sedap  masa tu) . Ina' hanya bekalkan minuman kopi dan ubi atau pais ubi atau jagung.

Pernah masa darjah satu ketika berjalan  kaki pulang dari sekolah, saya kelaparan sangat tak larat berjalan, sepanjang jalan  abang pimpin tangan  sambil disuapkannya buah-buah  hutan seperti  karamunsing/senduduk dan buah sepaan a samar . Masa tu kami lalu hutan sebab kami tinggal di kawasan padi huma kami di kampung Tapukan.

UB: Bagaimana keadaan sekolah pada masa itu?

HT: Kelas darjah 1beratap nipah, dinding bambu (salasa), meja dan bangku memanjang, lantai tanah, kami biasa tiup "momoi" semasa rehat. Tapi kelas darjah 2-darjah 6, baik  sikit, lantai semen, dinding papan tapi separuh saja atas tiada dinding, atap zink, bangku kongsi 2 orang, sebelum balik angkat kerusi letak atas meja.

Kadang-kadang  masa mata pelajaran Bahasa Melayu cikgu bawa duduk bawah pokok Kandarupis belajar bacaan.

Salah satu aktiviti latihan jasmani ialah cabut rumput kemuncup di padang sekolah, sampai blaster tapak tangan dan jari-jari  di buli oleh pelajar senior, tidak boleh  berhentiselagi tidak dapat sebesar betis ikatan kemuncup.

Masa rehat biasanya kami bermain njijarambuta, main tinting, bplambunga, bpridi, main rondos, tukar bendera.

Teringat pula, dulu kalau main njijarambuta tu susah mau lawan  Bahiwata Sayangan, kuat genggamannya susah di buka dan ligat badannya, permainan ini bergelut macam main ragbi, cuma bolanya kecil digenggam "buah kalamunggi atau guli", kemudian dimasukkan ke dalam lubang kecil. Peraturannya tidak boleh kuku panjang, takut terluka jari kawan- masa bergelut dan berebut bola. Seronok permainan ini, menguatkan stamina.

UB: Selepas itu, dimana puan Hajah bersekolah menengah?

HT: Saya bersekolah menengah di SMK Kota Belud/Arshad, aliran Bahasa Melayu dari  Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 (1973-1975), dan kemudian melanjutkan sekolah aliran sains di Tingkatan 4 - 5 tahun (1976-1977) .

Ketika ini bekal  duit sekolah biasanya 20 sen dan sekali sekala 50 sen.

Semasa Tingkatan 1 penggal pertama saya dan abang tinggal di rumah abang sebapa yang  bongsu (cikgu Moksan) di Kampung  Sembirai. Kami berjln kaki dari Kg Sembirai meniti jambatan gantung dan meredah hutan dan mendaki bukit ke SMK Arshad.  Sekolah sesi petang, pagi sebelum ke sekolah, tolong cari kayu api, angkat air dari sungai dan ikut juga mengetam padi atau mengasuh anak abang, balik dari sekolah petang dan sampai rumah sudah gelap.

Pada penggal Kedua kami pindah pula ke rumah abang yang tengah (Imam Hj Banggala) di Kg Lebak Engad, kami berjalan kaki juga ke sekolah mengharungi sungai berbatu, kalau musim hujan tidak  dapat  ke sekolah sebab air dalam. Kadang-kadang kami ikut tidur di sawah padi semasa musim "panarad" (potong pokok padi dari pangkalnya, kemudian dihempas untuk  meleraikan buah padi).

Terima kasih juga pada jiran sebelah rumah abang (maaf lupa namanya) yang  kadang-kadang  jemput kami makan malam bila tiada makanan kami di rumah.

Pada  Penggal Ketiga pula, kami pindah lagi di rumah abang sulung (pesara polis- Datu Masangkai) di Kampung  Kota Peladok, kami berbasikal ke sekolah, saya membonceng basikal abang, kami lalu ikut laluan tali air kemudian  sampai pekan, tambat basikal di bawah pokok dekat pasar, kami sambung lagi meredah hutan dan bukit jalan pintas ke sekolah).

 Basikal kami basikal lama, selalu rosak, jadi kadang  tumpang pickup ke sekolah, kalau kebetulan ada.Terima kasih kepada  abang-abang yang sanggup menumpangkan kami tempat tinggal dan memberi makan minum sepanjang menumpang di rumah mereka. Terima kasih juga kepada  kakak sepupu arwah Hajah  Bailah dan suami yang  selalu memberi kami tidur dan makan malam di rumahnya.

Ketika saya naik ke Tingkatan 2, abang pula sudah dapat masuk asrama, kemudian abang dapat tajaan Yayasan Sabah uuntuk  bersekolah di Semenanjung.

Sayapun duduk di kampung, syukurlah ada pickup dari kg Rampayan Laut yang sanggup hantar pelajar-pelajar dari kampung ke SMK Arshad, terima kasih kepada Allahyarham Hj Daur (Al Fatihah) pemilik pickup, dia sangat baik hati dan banyak membantu kami. Kami bayar bulanan tapi kalau musim hujan susah nak ke sekolah sebab  banjir tidak dapat melalui  jambatan di batu 7.

Semasa Tingkatan 3,  alhamdulillah asrama perempuan di SMK Arshad baru dibuka, jadi dapatlah kami semua pelajar perempuan dari Kampung  Rampayan Laut tinggal di asrama. Saya tinggal di asrama dari Tingkatan 3 (1975) hingga Tingkatan 5 (1977).

Rakan dari kampung yang saya ingat sama-sama Tingkatan 3 ialah puan Sirungan Haji Sulaiman, tapi  kami berlainan kelas, yang lain antara yang saya ingat seperti Hajah Salmah, Hajah  Bekenan, manakala aliran Bahasa Inggeris pula Hajah Dayang Kandung, Puan  Dg Hairan, dan Puan Purnama

Semasa keputusan Peperiksaan SRP diumumkan, saya mendapat Pangkat A, rakan-rakan  sekampung pula ada beberapa orang yang dapar  Pangkat C dan yang lain-lain dapat  S. Dulu kalau gagal Sains, keputusan dpt C, dan kalau gagal metamatik dpt S (gagal) tapi diberi peluang lagi mengulang Tingkatan 3.

Semasa Tingkatan 4 dan 5 Sains, rakan satu kelas yang  Iranun ada empat orang , iaitu Haji Abd Gari Hj Itam dan Laliman Kemad dari Kota Peladok, arwah Md Saidin dari Merabau dan Pua Hashimah Maludin dari kg Payas-payas.





Teringin sangat masuk pasukan beruniform seperti Pandu Puteri atau Bulan Sabit, tapi tiada duit untuk beli uniform, jadi saya ikut Kelab Sains dan Kelab Senifoto saja. Untung juga  ikut Kelab Senifoto, cikgu kami Cikgu Steve orang  Amerika, selain ambil gambar dia ajar kami cuci gambar, jadi kami boleh ambil upah cuci gambar kawan-kawan  dan saudara di kampung mereka bagi hantu gambar (negatif) saja, dapatlah  duit sedikit. Saya juga suka ikut hiking masuk hutan dan mendaki bukit di bawah bimbingan cikgu Wyne cikgu Sains, asal Amerika juga. Pernah juga  saya ikut pertandingan kuiz sains dan metamatik di SMK Mat Salleh Ranau dan Kuiz Keselamatan Jalanraya di Kudat.

Kenangan yang  tidak dapat  dilupakan, pada masa tu pelajar perlu membayar yuran untuk menduduki Peperiksaan SPM, ibubapa saya tidak cukup duit.

 Selepas Keputusan SPM,  Keputusan SPM saya lulus dengan  mendapat Pangkat 3 (dulu-dulu, dapat pangkat 3 sudah dikira pandai, sebab masa itu tiada yang dapat  pangkat 1 dan jarang yang dapat pangkat 2, majoriti gagal).

Memandangkan ibubapa saya menghadapi masalah Kewangan, sebagai anak perempuan, sayalah yang disuruh berkorban untuk berhenti sekolah dan cari kerja, bagi laluan pada abang yang  sedang belajar di Tingkatan 6 di Semenanjung dan juga adik lelaki saya sedang belajar dalam  Tingkatan 3.

Pada pandangan ibubapa masa tu, anak perempuan cukuplah jadi cikgu atau jururawat. Walhal saya tidak minat Justeru itu selang beberapa hari selepas dapat keputusan SPM, umur sayapun genap 18 tahun, maka sayapun memohon kerja kerani dengan bantuan abang sepupu Datu Hj Adik yang sedang bekerja di Jabatan Pendidikan Kota Kinabalu, beliau tolong menyerahkan Borang permohonan kerja saya kepada Allayarham  Talikop Lamsin (pangkat saudara sebelah bapa) Yang bertugas di Jabatan Ketua Menteri pada masa itu, (terima kasih dan Al Fatihah untuknya) dia banyak membantu anak-anak  Iranun mendapatkan pekerjaan pada masa itu.

Selepas tamat SPM 1978, saya ditawarkan jawatan sebagai kerani Skel D1, 2,3 (C11) dengan gaji pokok RM220.00 di Stor Perubatan Pusat Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu. Bangunannya bersebelahan dengan Jabatan Kastam lama. Saya melapor diri pada 7 April 1978 dengan  ditemani oleh saudara sepupu Haji  Binitik yang bekerja di Jabatan Belia dan Sukan di Bangunan Wisma Sabah, kebetulan tidak jauh dari pejabat saya. Kami naik bas dari Sembulan ke stesen bas dekat Pejabat DBKK, kemudian jalan kaki ke pejabat.

Tidak lama selepas itu saya dapat  tawaran melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 di SMK Manggatal, sedih  jugalah sebab tidak dapat melanjutkan pelajaran. Tulis suratlah konon kepada  bekas cikgu, mengadu kekecewaan terlepas peluang ke menara gading. Namun cikgu tersebut menasihatkan, dengan berkata, jangan  putus asa "kalau tidak  dapat  dengan  jalan singkat, cubalah nanti dengan  jalan panjang" kata-kata  inilah yang  saya pegang.

Ibubapa sayapun turut sama berhijrah menemani saya di Kota Kinabalu, maklumlah, risau juga membiarkan anak gadis yang  baru berumur 18 tahun, anak kampung pula tu, duduk di bandar yang banyak pancaroba dan dugaan.

Kami menyewa bilik di sebuah rumah  di Kampung  Sembulan Tengah bersama abang saya yang seibu iaitu Hj Bakrim dan abang  sepupu Datu Tukalan. Masa tu abang Bakrim bertugas sebagai Pengawal Keselamatan.

 Duduk di bandar dengan tiada duit, terpaksalah berhutang dulu, buka akaun hutang di kedai runcit Cina di Sembulan untuk  beli barang makanan dan akaun Buku 555 di pasar Sembulan untuk  beli sayur dan ikan, hujung bulan dapat gaji baru bayar, abang sepupu (Datu Tukalan) sebagai penjamin.

Kebetulan di pejabat masa tu hanya saya sorang pekerja wanita Islam, yang lain-lain semua Cina, Kadazan dan Dusun. Tiada kedai makan Islam yang berdekatan, syukurlah ada ina' saya yang setiap hari masak untuk  bekal saya.

-Sebagai staff yang termuda, saya selalu menjadi bahan usikan staff lelaki yang senior, kadang-kadang macam kena buli, disuruh itu ini. Saya pula suka belajar, nampak mesin taip, menyibuk juga belajar menaip. Jawatan ketua pejabat kami di panggil Ahli Kimia Ubat Kanan (Mr Y. K. Lee). Satu hari jurutaip berbangsa Cina bercuti, sayalah yang disuruh ganti menaip, sekali tulisan boss tu, susah mau dibaca macam  cacing, sudahlah dalam bahasa Inggeris, saya pula tidak mahir bahasa Inggeris, apa lagi bila dia baca banyak kesilapan, dia keluar lempar fail tu depan saya dengan  berkata, "apa ni semua salah, lain kali jangan pandai makan nasi saja, belajarlah makan bread". Bila dia masuk sayapun mengomel sendiri "ingat saya begini selamanya, suatu hari nnti saya akan jadi Pegawai juga"

Tidak lama selepas itu adalah seorang staf baru sebagai operator, perempuan namanya Sharifah Zaiton, kebetulan dari Kota Belud juga, barulah saya gembira, tapi tidak lama diapun berhenti.

Akhirnya dalam tahun 1979 saya telah memohon tukar dan telah di tukarkan ke Unit Penyertaan Bumiputera, di bawah Jabatan Ketua Menteri, tapi pejabatnya di bangunan Kompleks Sedco. Di antara fungsi jabatan ini ialah memberi latihan dan kursus Kewangan kepada usahawan Bumiputera.

-Di pejabat ini ada juga Pegawai Iranun yang lain, iaitu allahyarham Haji  Madri Akong dan Dr Kibin Hj Samad, kebanyakan staf di sini suku kaum Bajau dan Berunai dari Kawang dan Papar, Pengarah kami Datuk Yahya Lampong pun dari Kawang.

 Walaupun ada kedai Melayu tapi saya masih lagi membawa bekal sebab jimat, saya tidak sampai hati makan sedap-sedap ayam dan daging tapi ibubapa saya di rumah makan ikan basung, ikan anjang-anjang, ikan kerisi saja. Kebetulan pada masa ini kami sudah pindah rumah setinggan di kampung Likas, luaslah sikit, ada satu bilik, satu ruang tamu, dapur kecil dan pentaran, abang Haji Bakrim yang buat rumah ini. Ramailah ana-anak2 saudara dari kampung yang  dapat menumpang sementara mencari pekerjaan dan yang baru dapat kerja di bandar, antaranya puan  Norhayati Abd Majid, Puan Airanah Bandari, Norhashimah dan arwah Megatahui.

Masa tu kami hanya mampu beli ikan basung, ikan anjang-anjang , ikan kerisi saja untuk kami makan ramai-ramai  itupun ina' saya catu, satu ekor saja setiap seorang. Ina' saya selalu cakap, biar sedikit asal semua merasa. Selain itu Ina' tanam ubi kayu, tebu

Selain itu Ina' tanam ubi kayu, tebu dan pisang di belakang rumah. Ina' sangat baik hati, dialah yang  tukang pergi pasar dan memasak untuk kami semua, arwah bapa masa tu sudah tua, sudah tidak cekap untuk ke sana kemari.

Saya seronok di pejabat ini kerana selalu outstation di seluruh Sabah, menganjurkan Kursus Kewangan dengan kerjasama Pusat Daya Pengeluaran Negara dan Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan dan juga kursus memandu lori (lesen F) , salah seorang tenaga pengajar memandu Lori ialah arwah Hj Jali Turogan.

Kami outstation ke Labuan, itulah pertama kali naik kapal terbang, ke Tawau, Sandakan, Keningau dan Kudat. Kalau saya outstation ina' saya hantar sampai kereta, tengok satu-satu siapa kawan saya. Itulah bila sampai di tempat yanf dituju boss saya (Encik  Abd Karim) pula jaga saya, dia kata "jangan kau pandai-pandai keluar jalan malam nanti  saya yang  dicari oleh ibumu.

Pernah satu hari Timbalan Pengarah (Jalumin) panggil kami beberapa orang masuk ke biliknya, bila dia memberi arahan, baru kami sibuk mencari pen dan kertas untuk menulis, tadi kami masuk lenggang kangkung saja, terus dia cakap "kalau pergi tebasan mesti bawa parang, begitu juga di pejabat, hendaklah sentiasa bawa pen dan kertas" Dia ni suka berpribahasa, salah satu peribahasa yang  selalu diungkapnya apabila ada perjumpaan,  ialah, "berakit rakit ke hulu berenang renang ke tepian, bersakit sakit dahulu bersenang-senang  kemudian", sampai dia mendapat gelaran "si berakit" macam manapun peribahasa ini juga sentiasa menjadi ingatan dan pengajaran bagi saya sehingga sekarang. Pada awal 80'an ramai penjawat awam kerajaan Negeri yang mendapat biasiswa Kerajaan Negeri untum melanjutkan pelajaran di luar negara, termasuklah rakan-rakan  sepejabat saya seperti Dayang  Maimunah Adanan,  Mohiden Majin dan ramai lagi. Maka sayapun teringin juga untuk memohon melanjutkan pelajaran ke luar negara , namun demikian, ina' saya tidak benarkan sebab dia risau tiada seorangpun saudara yang belajar di luar negara dan keadaan kewangan juga tidak mengizinkan, walaupun ada biasiswa, tapi tiada pula yang menanggung ibubapa saya, memandangkan abang saya baru juga masuk universiti (USM) dan adik saya berada di Tingkatan 5, jadi terpaksalah saya pendamkan dulu keinginan tersebut, walaupun ramai rakan-rakan  sepejabat yang  telah berangkat ke luar negara.

Namun saya tidak berputus asa,  setelah adik saya selesai SPM dan diapun tidak berminat melanjutkan pelajaran sebaliknya mahu mencari kerja, dan alhamdulillah dia berjaya mendapat kerja kerani juga

 Justeru itu semangat saya untuk  melanjutkan pelajaran menyinar kembali, saya dapatkan persetujuan adik saya untuk ambil alih tugas saya menanggung ibubapa dan keluarga, sementara saya akan bercuti belajar tanpa gaji. Alhamdulillah, adik saya setuju, tapi kali ini demi menuruti kehendak emak, maka saya memohon belajar dalam negeri sahaja, iaitu memohon Diploma di YS- ITM (ini sahaja institusi pengajian tinggi yang ada di Sabah pada ketika itu). Saya memohon Diploma In Accountancy, setelah mendapat pandangan PA Pengarah (puan Zahatul Akmal) yang  kebetulan masa tu dia mengikuti pengajian luar kampus kursus DPA, dia kata, kalau saya minat menghafal, pilihlah DPA (Diploma Pentadbiran Awam), tapi kalau saya minat mengira, pilihlah DIA (Diploma In Accountancy), maka saya pilihlah Accountancy, walaupun baru pertama kali mendengar perkataan perakaunan

Saya belajar  Diploma In Accountancy di YS-ITM (1981-1984)-Cuti Belajar Tanpa Gaji

Alhamdulillah pada Julai 1981 saya berjaya ditawarkan Diploma In Accountancy, di YS-ITM untuk tempoh pengajian 3 tahun sehingga 1984, namun demikian Kerajaan Negeri tidak menawarkan biasiswa untuk pengajian Diploma, maka terpaksalah saya memohon Cuti Belajar Tanpa Gaji dan Tanpa Biasiswa selama 3 tahun.

Alhamdulillah YS-ITM memberi elaun RM7 sehari untuk perbelanjaan makan dan minum. Tahun pertama kami di Bangunan YS-ITM Sembulan.Bermulalah kehidupan yang begitu mencabar, kebanyakan subjek diajar dalam bahasa Inggeris, sedangkan saya kurang faham bahasa Inggeris

Saya pergi ke jabatan lama mengadu masalah kepada  bekas boss sambil menangis (bekas boss saya Encik  Abd Karim) , dia bagi semangat dan nasihatkan untuk janfan  cepat mengalah sebaliknya lipat gandakan usaha.

Risau sangat, takut terkandas (dismiss) , kawan-kawan sekelas semuanya pandai BI, terutama yang kadazan dusun, yang dari semenanjungpun pandai-pandai juga kebanyakan SPM Gred 1 dan Gred 2 sedangkan saya Gred 3 sahaja.Saya ada kawan baik satu kelas iaitu Lily Medriana Siregar dan Mariam Amatzen, kedua-duanya dari Tawau. Syukurlah senior-senior banyak membantu, mereka mengadakan kelas tambahan untuk  kami pada sebelah malam.

Akhirnya setelah keputusan peperiksaan Semester pertama keluar dan saya mendapat keputusan yang agak baik, lebih kurang sama saja dengan rakan-rakan  sekelas yang  saya anggap pandai. Selepas itu barulah saya dapat  keyakinan diri bahawa saya boleh  bersaing jika ditempatkan dalam  situasi yang  sama dan kemudahan yang  sama. Terus naik semangat "kalau diaorang boleh, sayapun pasti boleh".

Tahun Kedua pada tahun 1982/83 kami berpindah ke bangunan YS-ITM yang baru siap di puncak bukit Kuala Menggatal, pemandangannya memang cantik, terutamanya ketika matahari terbenam, di bawah ada laut. Tetapi cabaran utama kami di sini, tiada bekalan air paip, jalan masuk masih tanah merah dan tiada pengangkutan awam. Lori tangki jabatan Air yang kadang-kadang  menghantar air, dapatlah kami seorang sebaldi air, itulah yg dibuat mandi, dibuat bercebuk, dibuat wudhu', dibuat masak air, setitik air amat bermakna. Memang amat sengsara masa ini, lebih-lebih lagi kalau sakit perut. Sampai timbul istilah "tandas terbang". Terima kasih kepada salah seorang kawan kami, Puan Maslinah Othman yang  kadang-kadang  bawa kami balik kerumahnya di quarters Penjara Kepayan untuk tumpang mandi. Sejak dari itu saya jadi penjimat air dan semasa di ITM Shah Alam, bila nampak kawan-kawan  membasuh baju sambil membiarkan air mengalir terus saya jadi tidak selesa, terasa sangat betapa sayangnya air yang  terbazir tu.

Tahun Ketiga (tahun akhir) 1983/84,  berpindah pula ke ITM Shah Alam sebab tahun akhir Kursus DIA tiada di Sabah. Mulanya susah juga memujuk ina' melepaskan saya ke Semenanjung, dia kata saya tipu dia, "konon belajar di Sabah saja, tapi ujung-ujung  pigi Malaya juga. Ina' risau saya tersangkut orang Malaya. Jadi masa ini saya janji pada  dia, tidak akan tersangkut.

 Sepatutnya saya tamat pengajian Jun 1984, tetapi saya dan kawan baik saya Lily Medriana dan Mariam Amatzen masih ada dua paper subjek bahasa Inggeris yang belum habis, jadi untuk menjaga CGPA kami supaya tidak jatuh teruk, maka kami mengambil keputusan untuk extend satu semester. Memandangkan semester akhir ini kami ada dua paper BI sahaja  jadi banyak masa ang  terluang, jadi saya dan Lily ikut kelas belajar menjahit di Klang, sempatlah pandai jahit baju kurung asli dan kurung modern.

Alhamdulillah pada November tahun 1984 kami telah berjaya menamatkan pengajian dan kembali ke Sabah.

UB: Sebaik tamat diploma, dimana puan hajah bekerja?

HT: Setelah menamatkan pengajian Diploma pada November 1984, saya melapor diri semula di Bahagian Perkhidmatan Jabatan Ketua Menteri,  dan alhamdulillah, pada masa itu banyak kekosongan jawatan Pegawai Kira-kira di Jabatan Bendahari Negeri, yang memerlukan kelulusan Diploma Perakaunan.

Saya diminta terus melaporkan diri pada keesokan harinya di Jabatan Bendahari Negeri Sabah di Bangunan Sekretariat. Saya diminta juga  oleh jabatan menghubungi kawan-kawan  yang  lain untuk mohon jawatan Pegawai Kira-kira, jadi saya pujuk kawan baik saya Lily dan Mariam untuk memohon, merekapun memohon dan dapat, dan pada peringkat awal mereka juga  menumpang di rumah saya di "sting garden" sementara mendapat rumah sewa. Kami bertiga tidur sekatil, suatu malam kami terjaga dan terkejut mengapa kepala kami tertunggang, rupa-rupana nya katil kami roboh. Kawan saya itu Lily, memang dari dulu tidak pandai makan nasi, dia makan lauk saja, itu yang membuatkan ina' dan bapa saya sedih, sebab lauk yg kami ada hanya ikan dan sayur saja, tiada daging dan ayam, dia risau Lily tidak cukup makan, tapi alhamdulillah Lily baik baik  saja.

Pada permulaannya saya ditempatkan di Bahagian Audit Dalam. Memang seronok bekerja di sini, selain selalu outstation membuat auditan ke jabatan-jabatan kerajan negeri di daerah-daerah , ramai juga rakan dari ITM yang sama-sama  bertugas di unit ini, termasuklah kawan baik saya Lily dan Mariam.

Awal tahun 1985, saya telah berjaya mendapat pinjaman kenderaan kerajaan sejumlah RM14,000 dan saya membeli kereta second hand jenama TOYOTA DX, alhamdulillah dapatlah ibubapa saya merasa naik kereta. Kami tiga beradik juga telah berkongsi bersama abang Haji  Bakrim membesarkan rumah kami di 'sting garden', bolehlah buat beberapa bilik, dapat memberi keselesaan sedikit kepada  ibubapa kami, walaupun masih rumah papan.

-Dalam pertengahan tahun 1985 saya telah di tukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Perubatan di Bangunan Rumah Persekutuan. Sedih sangat kerana terasa di keluarkan dari Jabatan  Bendahari Negeri. Saya di tempatkan di Bahagian Pembangunan, tapi lama kelamaan terasa seronok juga, salah satu fungsi Bahagian ini ialah menyediakan cadangan pembinaan klinik-klinik desa untuk dimasukkan dalam  bajet tahunan, jadi saya berpeluang untuk mencadangkan membina klinik desa kampung Rampayan Laut/Nanamun dimasukkan dalam  permohonan bajet. -

Tidak lama dalam  penghujung tahun ini 1985 bapa saya jatuh sakit, dia tidak mahu masuk hospital dan dia minta hantar di rumah kakak saya Hajah  Salegan di Kampung Kota Peladok, ina' saya ikut juga menemaninya di sana. Pada 11/11/1985, bapa saya meninggal dunia, sedih sangat sebab baru kami merasa keselesaan hidup, dia sudah pergi meninggalkan kami. Tidak sempat kami memberi dia kemewahan hidup.

Dan saya pula cita-cita untuk memiliki ijazah belum lagi terpadam. Setelah disahkan dalam jawatan Pegawai Kira-kira  dan abang saya telahpun menamatkan pengajiannya di USM dan telah mendapat pekerjaan di DBP, maka pada tahun 1986 saya mengajak kawan saya Mariam Jahwi yang pada  ketika itu Pegawai Kira-kira  di Jabatan Pendidikan untuk kami sama2 membuat permohonan  kemasukan ke Universiti dan memilih Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Ijazah Perakaunan Fakulti Pengurusan Perniagaan.

Permohonan saya dan kawan ke UKM telah diluluskan Mulai Julai 1986 hinga November 1989 dan kamipun memohon Biasiswa Kerajaan Negeri dan juga sekali lagi memohon Cuti Belajar Tanpa Gaji sepanjang tempoh pengajian.  

Alhamdulillah permohonan basiswa Kerajaan Negeri saya diluluskan kerana Ijazah Perakaunan yang  saya ambil memenuhi syarat, terima kasih juga kepada Datuk Dr Yusof Yakub yang banyak membantu dan menjadi penjamin basiswa saya, masa tu  kami sama-sama berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Perubatan, dia sebagai Doktor. Terima kasih juga pada  Datu Haji  Adek sebagai penjamin kedua biasiswa saya.

Namun demikian terdapat satu cabaran utama ialah, saya mempunyai pinjaman kenderaan dari kerajaan dan bayaran bulanan tidak boleh ditangguhkan. Jadi Bendahari Negeri pada  ketika itu tidak mahu menyokong permohonan Cuti Belajar Tanpa Gaji saya, kecuali saya menjelaskan keseluruhan baki pinjaman tersebut. Saya membuat rayuan dan sebagai jalan penyelesaiannya, semua elaun sara hidup dari biasiswa saya akan dipotong untuk membayar pinjaman kenderaan tersebut, sepanjang tempoh pengajian, bermakna tiada se senpun yang tinggal untuk perbelanjaan makan minum dan membayar sewa kediaman saya sepanjang tempoh pengajian , hanya yuran pengajian sahaja yang kerajaan negeri terus bayar kepada Universiti dan selain dari itu diperlukan juga seorang penjamin, Pada  mulanya agak sukar mendapat penjamin, maklumlah bukan mudah orang yakin pada orang yang pergi bercuti belajar, tidak bergaji pula tu. Tapu kalau kita berusaha dan berdoa, Allah itu sentiasa memberikan pertolongan, alhamdulillah Timbalan Bendahari Negeri pada  ketika itu allahyarham Tuan Haji Shaharin (Al fatihah)  amat menyokong dan sentiasa memberi galakan kepada pegawai-pegawainya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah, beliau telah bersetuju untuk menjadi penjamin pinjaman kenderaan saya.



Sementara adik saya pula sanggup menghantar duit perbelanjaan bulanan saya sebanyak RM210 sebulan (amaun inipun sudah separuh dari gajinya) dan kereta tersebut akan dipakai oleh adik saya. Akhirnya dapatlah saya melanjutkan pelajaran ke UKM Bangi. Semasa pergi mendaftar, bersyukur juga ada kawan semenanjung yang sama2 belajar di YS-ITM Sabah dulu tinggal di Sg Buloh, Puan Rahayati Kamarulzaman, dia sudi ambil saya dan Mariam Jahwi di lapangan Terbang Subang, bawa kami tidur di rumahnya dan pada keesokan harinya, hantar kami mendaftar di UKM Bangi, banyak kali juga kami sesat jalan, maklumlah dulu bukan ada Google, terima kasih Puan  Rahayati.

Syukur kepada  Allah juga  sepanjang pengajian saya di UKM saya dapat tinggal di asrama dan flat kampus Aminuddin Baki, jadi bayaran sewanya tidaklah semahal menyewa kediaman di luar kampus. Untuk penjimatan, saya juga memasak sendiri bersama kawan-kawan.

Saya berdua saja dengan Mariam Hj Jahwi  dari Sabah yang ambil Ijazah Perakaunan, dan memandangkan kami ada Diploma perakaunan maka kami diberi beberapa pengecualian subjek, jadi kami boleh menghabiskan pengajian dalam tempoh tiga setengah dimana sepatutnya 4 tahun. Junior kami satu semester ada dua orang dari Sabah dan kedua-keduanya perempuan iaitu Puan  Patimah Ramuji- Pengarah Jab Audit Negara Negeri Sabah sekarang ni dan seorang lagi puan  Aspalela - Pegawai Penguasa Kastam.

Saya juga mempunyai rakan-rakan "group study" iaitu Dr Siti Haliza Asat, puan Rosnah Hashim, puan Zaitun Yahya, puan  Salmah Ahmad, cikgu Zakiah Jalun,  Suzaidi Mohd Shaukat, dan  Abd Razak Mat Wahie, mereka semuapun ex ITM juga  seperti saya, kami juga berkawan baik dengan pembantu makmal  Hussain Jahit, jadi mudahlah bagi kami membuat kerja-kerja  di makmal komputer, dulu komputer terhad sangat, jadi pelajar terpaksa berebut komputer dan tiada yang memiliki komputer sendiri. Dengan adanya group study ini, kami sentiasa mengadakan perbincangan dan ini dapat memudahkan kami memahami subjek yang susah.

Ketika mengambil subjek management Accounting, lecturer kami (Dr Adam) suruh kami buat belanjawan berubah dengan menggunakan perisian Lotus 123, tapi dia  suruh kami belajar sendiri perisian Lotus tersebut dia tidak mahu ajar, sebab  dia kata dulupun dia belajar dia belajar sendiri. Jadi terpaksalah kami minta tolong dengan senior. Bermulalah perkenalan dengan  senior-senior. Hari hari ada saja masa terluang kami duduk di makmal komputer belajar Lotus 123 dan membuat belanjawan berubah, kadang-kadanf sehingga ke malam, lama kelamaan wujudlah beberapa pasangan junior dan senior, termasuklah saya sendiri

Di sinilah kami berkenalan,  dia senior saya sama-sama  ijazah perakaunan, dia berasal dari Kelantan, dan alhamdulillah dialah yang  menjadi suami saya sekarang ini.



 Satu lagi peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika suami saya (masa tu boyfriendlah) menghadiri konvokesyennya pada tahun 1988, dia bawa ibubapanya, dia dan ayahnya tidur di bilik kawan-kawannya sementara ibunya, dia minta tolong saya tumpangkan tidur di bilik saya di flat UKM. Punyalah berdebar-debar  masa tu, sudahlah ibunya cakap Kelantan saja, tidak pandai cakap Melayu, saya pula tidak seberapa faham bahasa Kelantan. Syukurlah kawan-kawan saya yang  satu flat banyak membantu dan memberi kerjasama, semuanya menunjukkan sikap ramah tamah dan memasak beramai-ramai , keadaan jadi ceria, tidaklah saya bersendirian melayan ibunya,  tidaklah kami jadi kekok. Saya rasa ini betul-betul  satu ujian yg amat mencabar. Mula-mula  tu ibunya rasa pelik juga  kenapa anaknya tumpangkan dia di bilik orang Sabah, sedangkan ramai juga siswi-siswi Kelantan di situ. Rupanya tulah peluangnya memperkenalkan saya kepada  ibubapanya.

Pada November 1989, alhamdulillah saya berjaya menamatkan pengajian saya dalam tempoh tiga setengah tahun (7 semester). Tapi saya konvo pada hujung tahun 1990 serentak dengan yang tempoh pengajian 4 tahun, sebab dulu hanya ada satu majlis konvokesyen dalam   setahun. Syukur alhamdulillah saya dapat membawa ibu saya menghadiri majlis konvokesyen tersebut.

UB: Dimana Puan  hajah bekerja selepas tamat ijazah?

HT:       Setelah tamat pengajian Ijazah Perakaunan pada penghujung tahun 1989, saya melapor diri semula di Jabatan Bendahari Negeri dan saya ditempatkan di Jabatan Perhutanan Wilayah Kota Kinabalu di Bangunan Wisma MUIS menyandang jawatan lama Pegawai Kira-kira Gred B11.

Pada 17 Februari 1990 saya telah melangsungkan perkahwinan dengan jejaka dari Kelantan tersebut. Mulanya mendapat tentangan dari ina', tapi abang saya allahyarham Datu Bandira banyak membantu memujuk dan meyakinkan emak, akhirnya emak memberi restu. Tetapi selepas tu kami pasangan jarak jauh, dia bertugas sebagai Pensyarah Politeknik di Kota Bharu Kelantan. Akhirnya setelah  2 tahun berjauhan, dia dapat bertukar ke Sabah jadi cikgu di Sek Menengah Vokasional sebab masa itu belum ada Politeknik di Sabah.

Dalam bulan Mac 1990 alhamdulillah saya telah di tawarkan jawatan memangku Akauntan Gred A16 di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan di Bangunan Wisma Tun Fuad. Seronok kerja di Kementerian, dapat berkawan dengan berbagai profession, kawaan-kawan  baik saya masa tu seorang Pegawai Undang-undang Datuk Zaleha Rose, seorang Jurutera puam  Erica dan seorang Pegawai Tadbir Puan Norlijah Danin. Salah satu tugas saya adalah membuat audit dalaman kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan, jadi saya melawat semua Majlis Daerah di Sabah ini.

Tetapi setelah hampir 4 tahun saya dan rakan-rakan yang  lain masih juga memangku, belum  diberi jawatan hakiki, maka kami terfikir untuk mencari pekerjaan di luar, ada yang ke CELCOM, ke Telekom dan lain-lain, sementara saya pula telah mencuba memohon jawatan Akauntan di Jabatan Akauntan Negara Malaysia, walaupun pada masa itu ramai yang kurang berminat bekerja di Jabatan Persekutuan kerana risau dihantar bertugas di Semenanjung.

UB: Bagaimana permohonan puan hajah di Jabatan Akauntan Negara Malaysia? Berjaya?

HT: Alhamdulillah ketika sedang cuti bersalin saya telah mendapat surat tawaran dari Jabatan Akauntan Negara Malaysia dengan  mendapat jawatan Akauntan Gred A16 (W41) dan ditempatkan di Jabatan Akauntan Negara Malaysia Cawangan Keningau sebagai Pengarah Cawangan. Sebaik saja selesai cuti bersalin, saya melapor diri pada 1 September 1994. Ketika melapor diri, tidak sempat dengan  Pengarah Lama sebab dia sudah balik ke Semenanjung, jadi saya membaca nota-nota  yang  di tinggalkannya di atas meja, saya terbaca satu nota yang  berbunyi "jika menghadapi masalah BAS, tolong hubungi pegawaipegawai  berikut di ibupejabat, terus saya termenung, masalah bas di Keningau, kenapa pula perlu hubungi org ibupejabat, rupa-rupanya  BAS itu merujuk kepada  Branch Accounting System bukannya bas pengangkutan

Pada mulanya memang amat mencabar, dengan sistem yang baru, dengan tiada sorangpun pegawai atasan atau rakan yang dikenali ditambah lagi dengan  saya masuk dekat akhir tahun. Pada kebiasaannya setiap suku tahun terakhir, setiap pejabat Jabatan Akauntan Negara menghadapi bebanan kerja (dokumen Kewangan seperti baucar bayaran, jurnal, penyata pemungut dan waran peruntukan) yang berlipat lipat kali ganda bilangannya berbanding dengan bulan-bulan  sebelumnya, memang terlalu sibuk dengan urusan pembayaran Kerajaan. Semua pegawai perlu bekerja sehingga lewat malam (kerja lebih masa) untuk menyelesaikan pembayaran sebelum penutupan akaun akhir tahun. Kebetulan pula saya baru masuk, ada baby lagi yang baru berusia 2 bulan dan masih menyusu, memang amat mencabar dengan bekerja sehingga lewat malam. Tetapi sebagai Pengarah Cawangan, saya perlu sabar dan bijak menghadapi semua itu, terutama sekali dlm memberi sokongan moral kepada staf yang  sudah keletihan. Kadang-kadang  pula sistem komputer dan perkakasan bermasalah, sudahlah tiada juruteknik komputer di pejabat, adalah seorang jurutera syarikat yang jaga perkakasan komputer, tapi hanya dia seorang menjaga sistem di 5 Cawangan JANM di Sabah dan 2 cawangan di Sarawak, sudah tentulah mengambil masa yang agak lama untuk dia menyelesaikan masalah. Kadang-kadang  jika ada masalah, dia hanya akan"guide" kita melalui telefon saja uunruk buka dan pasang itu ini. Jika ada masalah sistem pula, terpaksa call pegawai bahagian teknologi maklumat di ibu pejabat, mereka hanya akan guide kita melalui telefon sahaja, sudahlah masih banyak lagi istilah yang belum difahami.

Masa tu sebagai Pengarah agak tertekan jugalah, sebab bukan saja pandai perlu pandai ilmu Perakaunan tapi kena pandai jadi juruteknik sistem, kena pandai jadi jurutera komputer.

Tapi saya amat bersyukur kerana suami sentiasa memberi sokongan dan sumbangan idea, kebetulan diapun ijazah Perakaunan, walaupun dia jadi cikgu tapi dia memahami sedikit sebanyak tugas saya. Masa tu suami saya bertugas sebagai guru Penolong Kanan di Sek Menengah Vokasional Keningau.

Rupa-rupanya sayalah anak Sabah yang pertama dilantik sebagai akauntan di Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Ketika saya memohon pelepasan dengan izin bertukar dari jabatan  kerajaan negeri kepada jabatan kerajaan Persekutuan, boss saya Setiausaha Tetap KKTP dan juga Bendahari Negeri pada ketika itu bertanya, " sudahkah fikir masak-masak?? ",

Saya kata, sudah, demi kemajuan kerjaya saya.

UB: Dari Keningau, dimana puan ditugaskan?

HT: Setelah 6 tahun berkhidmat di JANM Caw Keningau, pada penghujung Tahun 2000 saya ditukarkan sebagai Pengarah di Jab Akauntan Negara Malaysia Cawangan WP Labuan, namun demikian pada tahun 2001 saya  di tukarkan sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Sabah, kemudian selepas itu dinaikkan pangkat ke Gred W48.

Pada tahun 2008 grade jawatan Timbalan Pengarah telah di "upgrade dari W48 ke W52" dan alhamdulillah saya juga dinaikkan pangkat ke Gred W52.

Pada tahun 2012 saya  ditukarkan ke Jab Akauntan Negara Malaysia Negeri Kedah sebagai Timbalan Pengarah jg. Masa inipun saya menghadapi cabaran yangg besar, di mana ibu (ina') saya tidak sihat, ada masalah paru-paru, kadang-kadang  terpaksa dipasangkan oksigen di rumah. Jadi terpaksalah saya seorang sahaja yang pindah ke Kedah, suami saya tinggal untuk menjaga ibu saya, syukurlah kami dapat mengupah pembantu untuk menguruskan ina' saya dan juga makan pakai suami saya. Saya amat berterima kasih pada suami saya yang begitu prihatin. Semasa di Kedah, terpaksalah saya bercuti setiap dua bulan sekali, untuk melawat keluarga dan ina' di Sabah. Syukur jugalah boss saya amat memahami keadaan saya.

Dan akhirnya pada tahun 2014 saya  ditukarkan semula ke Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Sabah sebagai Timbalan Pengarah dan kemudian di naikkan ke Gred W54(KUP), dan akhirnya pada tahun 2015 saya telah dilantik menjadi Pengarah JANM Negeri Sabah dengan Gred W54  hakiki, sehinggalah saya bersara pada 23 Mac 2020.



Alhamdulillah, sayalah anak Sabah yang pertama menjadi Pengarah Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Sabah, yang sebelum ini semua Pengarah didatangkan dari Semenanjung. Saya jugalah wanita pertama yang menjadi Pengarah JANM Sabah.

UB: Agaknya apa cabaran sebagai pengarah?

HT: Cabaran sebagai Pengarah memang banyak, terutamanya, ketika peralihan dari sistem Perakaunan dan sistem Pembayaran Manual ke sistem elektronik ,  peralihan dari Sistem Tunai Ubahsuai ke  Sistem Perakaunan Akruan. Namun hasil kerjasama semua staf dan pegawai-pegawai  atasan di semua peringkat yang  bekerja sebagai satu pasukan, alhamdulillah segala yang sukar dapat diatasi dan dipermudahkan.

Satu lagi sumbangan saya ialah kejayaan mensiswazahkan pegawai-pegawai  yang ada diploma dan berminat untuk belajar, iaitu dengan kerja sama UiTM Sabah dengan JANM Sabah, mengadakan kelas Program Ijazah Perakaunan, kelas di adakan pada hujung minggu di Pejabat JANM Sabah, dibuka kepada pegawai-pegawai  Jabatan Akauntan Negara yang ada Diploma Perakaunan dan Diploma Pengurusan Perniagaan, diberi peluang juga kepada staf di lain-lain Jabatan Persekutuan dan staff Jabatan Bendahari Negeri yang telah merayu untuk turut serta. Alhamdulillah sudah ramai yang telah berjaya jadi akauntan. Ada lagi satu sumbangan saya kepada penjawat awam iaitu kejayaan cadangan  saya kepada Menteri Kewangan ketika itu, Ybhg  Tan Sri  Dato Seri Utama  Nor Mohamed Yakcop  semasa mesyuarat di Kota Kinabalu dulu untuk menggugurkan cukai yang dikenakan kepada bayaran insentif Wilayah Penjawat Awam dan hendaklah disamakan dengan COLA yang tidak dikenakan cukai dan cadangan tersebut diluluskan. Setiausaha Persekutuan Sabah dan Pengarah Kastam pada masa itu amat berterima kasih kepada saya kerana cadangan itu.Maksud saya beliau bersetuju untuk pertimbangkan dan selepas itu baru keluar surat edaran kelulusan tidak dikenakan cukai. Jika tidak silap saya tahun 2007.

UB: Kalau boleh tahu, apa agaknya impian yang masih belum tercapai?

HT:Impian yang tidak tercapai ialah Cadangan untuk membina cawangan Institut Perakaunan Negara di Sabah tidak diluluskan walaupun pada mulanya telah berjaya mendapat  tanah sebagai tapak pembinaan. Selain itu, saya Tidak sempat belajar mengambil kelayakan professional akauntan, sebab kemudahan ditawarkan ketika sudah berada di hujung perkhidmatan

UB: Apa hobi puan Hajah selepas bersara?

HT: Antaranya memasak, menanam bunga, berjogging,membuat kerja-kerja kebajikan,mempertingkatkan ilmu agama seperti mengikuti kelas memahami Bahasa Al Quran Kaedah Pusar dan mengikuti kelas online menghafaz Al Quran.

UB: Apa nasihat atau pesan orang tua yang puan hajah ingat sampai sekarang?

Nasihat dari bapa Jjangan sekali kali guna perkataan bodoh kepada sesiapapun, jangan suka bersumpah (edsapa) dan jangan sekali2 memaki/sumpah orang manakala nasihat dari emak ialah -sentiasa jaga nama baik keluarga,jangan tinggal solat,sentiasa bantu membantu di kalangan adik beradik, sentiasa bertolak ansur.

Dulu adalah orang di kampung tu yang  menegur anaknya, katanya "bapa ni habis jual kerbau membiayai persekolahan kamu, tapi tidak juga kamu menjadi, tengok anak-tengok  si anu tu, hanya dibiayai dengan  'kerabu sungai' (ketam) tapi semuanya menjadi"




Jadi ina' jawab macam  ni, ini yang  anak saya Anwar masih ingat cerita neneknya yang dia panggil ina' juga.Macam  ada kata-kata  si ina' tu. Anwar tidak berapa ingat sangat. Kan ina' tangkap ketam. So dia cakap.

 Kita ni hari-hari makan  ketam. Hidup pun boleh macam  ketam. Di darat boleh hidup, di laut pun boleh hidup. Mana-mana  boleh hidup .Ina' juga ada satu pantun khas, selalu diungkapnya kalau berjauhan dengan anak-anak nya yang berbunyi

Encik Katip menjala udang

Udanglah dapat satu perahu

Anak ku sakit di rantau orang,

Dimana ibu dibukan tahu.

Bahasa melayunya tu ikut suka saja.

 

 

Artikel Terkait