Jumaat, 1 Mei 2020

YB SARIFUDDIN, SENTIASA UTAMAKAN KEIKHLASAN DALAM KERJA

Tags

YB SARIFUDDIN, SENTIASA UTAMAKAN KEIKHLASAN DALAM KERJA

Ibu selalu berpesan agar sentiasa mengutamakan keikhlasan dan kejujuran dalam setiap apa yang dilakukan, kata YB Sarifuddin Hata ketika ditanya apa pesanan ibunya, Wale binti Bandu. Bagi Sarifuddin, ibunya adalah wanita yang tabah dan hebat. Melalui pengorbanan ibunya, mereka enam adik beradik dapat mengecapi pendidikan. Ayahnya, Hata bin Mallu, meninggal dunia ketika Sarifuddin berusia lima tahun.  “Apa yang kamu janjikan, harus kamu tunaikan,” pesan ibunya kepada Sarifuddin yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai. Beliau adalah seorang akauntan sebelum menceburkan diri dalam bidang politik dan kini menjawat Pembantu Menteri Kewangan Sabah.

YB Sarifuddin Hata dilahirkan di Merotai Kecil pada 11 Mac 1974. Beliau adalah anak kelima daripada enam adik beradik. Mendapat pendidikan awal di SRK Merotai Kecil dari darjah satu hingga darjah enam (1981-1985). Ketika itu mereka sekeluarga tinggal di Bal Plantation, kini milik Sime Darby. Selepas itu, beliau bersekolah di SMK Merotai Besar dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga (1986-1988). Kejayaannya mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SRP, melayakkan beliau untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh Lahad Datu dari tingkatan empat hingga tingkatan lima (1990-1991). Kemudian beliau terpilih memasuki tingkatan enam di Sekolah Menengah Sains Muar Johor( 1992-1993). Selepas itu, Sarifuddin mendapat biasiswa Kerajaan Negeri untuk melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok  pada 1994 dalam bidang perakaunan. Sebaik lulus pengajian, beliau bekerja sebagai pegawai eksekutif di Bank Rakyat mulai 1999 hingga 2003. Bagaimanapun, pada tahun 2004, Sarifuddin melepaskan jawatan untuk menceburi bidang keusahawanan. Beliau pernah bertugas bersama Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. Walaupun tidak pernah terfikir menjadi seorang wakil rakyat, Sarifuddin mengambil keputusan nekad untuk bergiat sepenuh masa dalam politik. Dalam pilihan raya umum ke-14, Sarifuddin menang kerusi DUN Merotai dan dan seterusnya menjadi sebahagian dari sejarah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN bersama AMIR ANUAR berpeluang mewawancara YB SARIFUDDIN HATA di pejabatnya di Tingkat 7, Blok C, Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah baru-baru ini. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB?
YB SARIFUDDIN HATA: Saya dilahirkan di Merotai Kecil pada 11 Mac 1974. Anak kelima daripada enam adik beradik. Ayah saya, Hata bin Mallu, bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia ketika saya berumur lima tahun. Ibu saya, Wale binti Bandu, seorang suri rumah. Beliau yang banyak berkorban untuk memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan yang baik.

UB: Di mana YB mendapat pendidikan awal?
YB: Saya mula bersekolah di SRK Merotai Kecil Tawau dari darjah satu hingga darjah enam. Sekolah terletak tidak jauh dari rumah. Kami tinggal di Bal Plantation, kini Sime Darby. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran di SMK Merotai Besar dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Kemudian saya terpilih untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh Lahad Datu dari tingkatan empat hingga lima. Selepas mendapat keputusan yang baik dalam SPM, saya dihantar bersekolah dalam tingkatan enam di Sekolah Menengah Sains Muar.

UB: Selepas itu, di mana YB melanjutkan pengajian?
YB: Saya ditawarkan untuk memasuki Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok pada tahun 1994 dalam bidang perakuanan dengan biasiswa Kerajaan Negeri.

UB: Di mana YB bekerja selepas tamat universiti?
YB: Sebenarnya, jika menurut syarat biasiswa, kami perlu bekerja di jabatan dan agensi kerajaan negeri. Tapi oleh kerana tidak ada kekosongan dan peluang pekerjaan ketika itu, kami dibenarkan untuk bekerja di tempat lain.Saya mendapat kerja di Bank Rakyat pada 1999. Saya bekerja di Bank Rakyat sehinggalah saya berhenti pada 2003 untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

UB: Apa perniagaan yang YB ceburi?
YB: Saya menceburi berbagai jenis perniagaan. Pada masa itulah, saya berjinak-jinak dalam politik. Saya pernah ikut bekerja dengan Datuk Haji Tawfiq Abu Bakar Titingan (kini Allahyarham). Saya pernah jadi ketua pemuda cawangan UMNO.

UB: Bila YB menyertai politik secara total?
YB: Saya menyertai politik secara total sejak Parti Warisan Sabah (PWS) ditubuhkan. Ketika itu PWS masih parti pembangkang. Saya sempat dua tahun menjadi pembangkang. Saya dapat merasai pahitnya menjadi pembangkang dan saya bersedia menghadapi segala risiko yang datang bersama keputusan saya menyertai parti pembangkang.

UB: Apa yang menyebabkan YB mengambil keputusan menyertai politik?
YB: Saya melihat masa itu rakyat mahukan perubahan. Saya melihat apa yang berlaku kepada Tun Dr Mahathir, tokoh yang menjadi idola saya. Saya melihat pergolakan besar berlaku apabila masa itu Tan Sri Muhyiddin Yasin dipecat, Datuk Seri Shafie Apdal juga dikenakan tindakan. Kita melihat korupsi, skandal politik , penyelewengan dan sebagainya. Ini yang menyebabkan saya mengambil keputusan bergerak sepenuh masa dalam politik.  Saya melihat perlu ada perubahan dalam kepimpinan negara. Saya fikir jika awal awal lagi Dato Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai perdana menteri, senario yang berlaku pada hari ini mungkin tidak berlaku. Apa yang berlaku, akhirnya kerajaan bertukar kerana kepimpinan tidak mahu dengar golongan akar umbi. Banyak salah laku politik berlaku di kalangan pemimpin sehingga kerajaan hilang integriti. Di negara maju, sudah pasti pemimpinnya akan meletakkan jawatan jika terdapat salah laku atau penyelewengan. Tetapi di negara kita tidak berlaku sehingga rakyat menghukum mereka.

UB: Pernah terfikir menjadi calon dalam pilihan raya?
YB: Saya tidak bermimpi jadi calon pada PRU yang lalu. Saya hanya bekerja sahaja. Tidak terfikir jadi calon. Saya terus berkempen agar lebih ramai orang masuk Warisan.Masa itu tidak ada orang yang mahu masuk parti Warisan kerana ia adalah parti pembangkang. Dalam pilihan raya umum yang lepas, pucuk pimpinan mahu saya bertanding di parlimen, tapi saya beritahu, saya lebih suka bekerja di peringkat negeri. Akhirnya saya dipilih bertanding bertanding di DUN Merotai.

UB: YB yakin menang dalam pilihan raya itu?
YB: Kalau kita lihat dari siri jelajah yang kita adakan di seluruh negeri, kita dapat kesan bahawa akan ada gelombang perubahan. Di DUN Merotai, terutama di kalangan anak muda. Walaupun begitu, kita melihat peluang 50-50 kerana kita adalah parti pembangkang yang serba kekurangan. Namun kita dapat rasakan bahawa arus kuat di kalangan rakyat yang memilih untuk berubah.

UB: Apa cara kempen yang dilaksanakan masa itu?
YB: Kempen dari rumah ke rumah. Setiap rumah kami naiki, mendengar dan mencatat permasalahan mereka. Apa yang mereka mahukan? Apa yang mereka harapkan jika kerajaan berubah. Melalui cara ini, kami dapat mendengar aspirasi mereka.

UB: Kalau di DUN Merotai, apa permasalahan rakyat di sana?
YB: Permasalahan rakyat lebih kepada infrastruktur. Mereka perlu jalan raya yang baik, mereka perlu bekalan air, perlu bekalan elektrik. Selain itu, anak-anak yang tidak mempunyai peluang pekerjaan hingga wujud masalah pengangguran.

UB: Apa yang menjadi fokus YB di Merotai?
YB: Fokus utama saya ialah menyelesaikan masalah infra seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya. Jika ini dapat diselesaikan, rakyat tidak akan bising lagi. Masalah ini , ada banyak sudah yang kita laksanakan dan kini mencapai kira-kira 80 peratus. Ia tidak boleh diselesaikan secara drastik tapi kita yakin menjelang PRU ke-15, semuanya akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Bagi saya rakyat ini mudah diurus, sediakan saja infra yang bagus, pasti tidak ada masalah. Tinggal sedikit sedikit saja yang perlu ditangani.

UB: Oh ya YB. Tadi ada YB sebutkan bahawa ibu memainkan peranan cukup penting dalam menentukan kejayaan anak-anak dalam pendidikan. Apa nasihat atau pesan ibu yang tidak dapat dilupakan?
YB: Ibu selalu berpesan agar sentiasa mengutamakan keikhlasan dan kejujuran dalam setiap apa yang dilakukan.Apa yang kamu janjikan, harus kamu tunaikan. Itulah antara pesanan dan nasihat yang ibu berikan. Kami datang dari keluarga yang susah. Jadi saya dapat merasai kehidupan keluarga yang susah kerana saya sendiri datang dari keluarga yang susah. Ayah saya meninggal sewaktu umur saya kira-kira lima tahun. Ibu sayalah yang menyara hidup kami sekeluarga. Dengan duit upah RM120 yang beliau perolehi itulah, beliau menyekolahkan kami. Ibu saya fokus soal pendidikan. Beliau mahu kami mendapat pendidikan.

UB: Apa cita-cita YB ketika kecil dahulu?
YB: Ketika kecil, kebanyakan kanak-kanak mahu jadi cikgu, polis atau askar. Saya tidak ada cita-cita tertentu. Tetapi ketika masuk sekolah menengah, saya sangat suka matematik. Saya sentiasa mendapat keputusan cemerlang dalam subjek matematik. Kalau ada salah walaupun satu, saya selalu menangis. Saya suka matematik mungkin kerana abang saya seorang kerani akaun. Saya selalu tengok beliau bekerja. Mungkin dari sana, saya suka subjek matematik.

UB: Sejak jadi wakil rakyat, mungkin YB boleh cerita sedikit rutin harian?
YB: Biasanya jam 7.30 pagi saya sudah bergerak dari rumah ke pejabat. Biasanya hari Khamis atau Jumaat saya balik ke Tawau dan balik semula ke KK pada hari Ahad. Biasanya kalau di Tawau, saya melawat kawasan, menghadiri program dan sebagainya. Kadang-kadang empat hingga lima program dalam sehari. Saya berkunjung ke rumah-rumah, jumpa orang susah,bertemu rakyat yang perlu dibantu dan sebagainya.

UB: Apa slogan YB di Merotai?
YB: Merotaiku membangun bersama yang berfokus kepada pembangunan di Merotai, sentiasa peduli rakyat, mendengar aduan rakyat, terus berkhidmat, dari rakyat untuk rakyat.

UB: Oh ya. Sebagai seorang pemimpin yang sempat bersama Datuk Taufiq, mungkin ada kesan tertentu terhadap kepimpinannya?
YB: Arwah Datuk Tawfiq seorang pemimpin yang sangat baik. Beliau seorang yang sangat suka membantu,syurgalah tempatnya. Beliau seorang pemimpin yang disenangi dan dihormati kawan dan lawan. Kalau ditanya kepada 10 orang, 11 orang akan menjawab, beliau seorang pemimpin yang sangat baik.

UB: Akhir sekali, apa harapan YB dalam misi Merotaiku Membangun Bersama?
YB: Saya berharap tanggungjawab dan amanah yang diberikan,dapat dilaksanakan sebaik mungkin tanpa pilih kasih. Saya selalu ingat pesan ibu saya, supaya membuat kerja dengan jujur dan ikhlas.