Jumaat, 1 Mei 2020

KISAH DI JAKARTA DAN KUNJUNGAN KE PDS HB JASSIN

Tags

KISAH DI JAKARTA DAN KUNJUNGAN KE PDS HB JASSIN

Mungkin kami penumpang paling akhir menaiki pesawat Lion Air JT121 dari Tanjung Pandan menuju Jakarta pada pagi itu, 5 Disember 2019. Ketika rakan-rakan penumpang yang lain berbaris untuk pemeriksaan tiket dan bergerak ke pesawat di Bandara H.A.S Hanandjoeddin, kami sengaja masuk paling belakang. Berkunjung tiga hari ke Belitung, nyata tidak mencukupi. Perlu waktu yang lebih lama untuk dapat menghayati dan menikmati keindahan dan kecantikan alam, kekayaan budaya masyarakat di bumi Laskar Pelangi itu.

Pesawat berlepas kira-kira 10.30 pagi dan dijangka tiba di Jakarta kira-kira jam 11.30 Perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam jika langit tidak diselimuti awan tebal. Cuaca cerah pada hari itu. Penerbangan lancar dan tiba di destinasi tepat pada waktunya.

Selepas mengambil bagasi dan menunggu bas sewa, kami terus bergerak ke Smesco, untuk melihat aneka barangan atau produk terbaik dari 34 provinsi seluruh Indonesia. Smesco terletak di Jalan Jenderal Gatot Subroto Kab 94, Jakarta Selatan.

Sebenarnya ada niat kami untuk ke Taman Mini Indonesia Indah, tetapi waktu kelihatan tidak bersahabat. Kami terus saja ke Smesco untuk memberi peluang kepada anggota rombongan Kembara Sastera IPS untuk membeli belah barangan kraftangan dan pelbagai produk lain dari seluruh Indonesia.

Kira-kira dua jam kemudian, kami bergegas menuju  Hotel Picasso di Jalan Kebon Kacang 9 No 4. Kami menempah hotel di sana kerana tempatnya sangat dekat dengan Thamrin City, kompleks membeli belah yang menawarkan pelbagai barangan jualan, sebut saja apa yang dikehendaki pasti boleh didapati dengan harga yang murah.

Malam 5 Disember itu, tidak ada program khas yang dirangka. Masing-masing diberi ruang kebebasan untuk membeli belah, ke Thamrin City atau Tanah Abang atau bertemu rakan rakan penyair dan penulis di Jakarta.

Kali ini saya sengaja tidak menghubungi rakan-rakan penulis untuk sekadar `kupi-kupi’ menikmati rasa kopi bersama, kerana kesuntukan masa. Selepas menyimpan beg, kami terus ke Thamrin City untuk mencari barangan, kemudian singgah di restoran nasi padang  yang terletak tidak jauh dari hotel.

Program ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terpaksa dibatalkan kerana masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Kami terus saja ke Pusat Dokumentasi Sastra  HB Jassin di Taman Ismail Marzuki , di Jalan Cikini. Pusat Dokumentasi Sastra HB Jassin adalah tempat pendokumentasian arkib kesusasteraan nasional Indonesia yang dikumpulkaan dari berbagai sumber. Ia didirikan oleh Paus Sastera Indonesia, H B Jassin pada 28 Jun 1976.

Ketika itu, PDS HB Jassin sedang sibuk untuk mengalihkan dan menyalin dokumentasi dalam bentuk digital. Digitalisasi PDS HB Jassin itu dikelola oleh Dinas Perpustakaan dan Kearsipan (Dispusip) Provinsi DKI Jakarta.

Kami beruntung kerana bertemu Pak Diki Lukman, Kepala Satuan Pelaksana PDS HB Jassin. Beliau memberikan taklimat kepada rombongan kami mengenai PDS HB Jassin, yang dirasmikan pada 24 Januari 2018 oleh Gubernur DKI Jakarta, Anies Baswedan.

Sebelumnya, PDS HB Jassin dikelola oleh Yayasan HB Jassin. Koleksi berupa buku fiksyen, non fiksyen, naskah asli sasterawan, naskah drama, biografi, rakaman suara,video  foto-foto pengarang , yang semuanya dikumpulkan oleh HB Jassin sejak 1933.

Kini jumlah koleksi yang dimiliki ialah 134,177 judul,165,214 salinan yang dikelola Dispusip Jakarta, yang diharapkan terus menjadi rujukan  mahasiswa dan penyelidik sastera.

Dalam kunjungan itu kami sempat menghadiahkan beberapa naskah buku karya penulis Sabah untuk simpanan PDS HB Jassin, dengan harapan satu ketika nanti ada penyelidik atau mahasiswa yang mudah memperolehi karya penulis Malaysia sekiranya mereka berminat untuk membuat penyelidikan.

Kunjungan ke PDS HB Jassin itu sangat berharga dan menambahkan lagi pengetahuan dan informasi mengenai karya-karya dan khazanah sastera Indonesia yang tersimpan di sana. Kami sempat melihat tulisan tangan, dan manuskrip asal beberapa karya terkenal seperti novel Bumi Manusia karya Pram. Kami sempat melihat Al-Quran yang diterjemahkan oleh HB Jassin dalam bentuk puisi, yang kemudian menuai pro dan kontra, menerima ole ole Ibu Ritawati Jassin, dan banyak lagi pengalaman yang mungkin tak dapat ditulis semuanya.

Kami harus segera berangkat kerana sudah berjanji untuk ke rumah Bundo Dr Free hearty di Cempaka Putih.Itulah sebabnya selepas sesi foto bersama, kami terus menaiki bas ke rumah bunda dan berdoa supaya tidak menjadi mangsa kesesakan lalulintas. Kami tiba kira-kira 20 minit sebelum bilal melaungkan azan Jumaat.