Jumaat, 1 Mei 2020

SITTI HADIAH, GRADUAN WANITA PERTAMA DARI SEMPORNA, CIPTA NAMA DI PERSADA SASTERA

Tags

SITTI HADIAH, GRADUAN WANITA PERTAMA DARI SEMPORNA, CIPTA NAMA DI PERSADA SASTERA

Nama Sitti Hadiah mulai dikenali masyarakat sastera di negeri ini sekitar tahun 1985 apabila beliau  bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Tetapi beberapa tahun sebelum itu, Sitti Hadiah mencipta nama sebagai wanita pertama dari  Semporna  yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, Meskipun terpaksa berpisah jauh dari keluarga, tetapi demi sebuah cita-cita, beliau sanggup menempuhinya hingga berjaya.


Sitti Hadiah Haji Abdul Mutalib dilahirkan di Kampung Bum Bum pada tahun 5 Mac 1961. Anak pertama dari dua adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Bum Bum dari darjah satu hingga darjah enam. Kemudian beliau meneruskan pelajaran menengah di SMK Abdullah dari tingkatan satu hingga lima pada tahun 1974 hingga 1978. Selepas lulus SPM dengan cemerlang, beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SMK Menggatal Kota Kinabalu pada tahun 1979 hingga 1980. Sitti Hadiah melanjutkan pengajian di Universiti Malaya pada 1982 hingga 1984 dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera  (Kepujian)   dalam bidang Pengajian Melayu. Selepas tamat kuliah, beliau sempat bertugas sebagai guru di Yayasan Budi  sebelum berkhidmat sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah bermula 1985 hinggalah beliau bersara awal pada 2018.  Dalam bidang sastera, nama Sitti Hadiah terkenal sebagai penyair, cerpenis, pengumpul cerita rakyat.Cerpen beliau bertajuk Daling-Daling memenangi Hadiah Sastera Sabah (HSS) pada 1996.

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang mewawancara SITTI HADIAH HAJI ABDUL MUTALIB  mengenai riwayat hidup beliau sejak masih bersekolah rendah di kampung halamannya hinggalah beliau bersara dari perkhidmatan kerajaan pada 2018. Wawancara terpaksa dilakukan melalui aplikasi WhatsApp berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah COVID-19 pada 18 Mac hingga 14 April. Ikuti petikan wawancara berkenaan:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang puan?
SITTI HADIAH HAJI ABDUL MUTALIB: Saya dilahirkan pada tahun 5 Mac 1961 di Kampung Bum-Bum , Pulau Bum Bum Semporna. Saya anak pertama dari dua adik beradik.

UB: Dimana puan mendapat pendidikan rendah?
SHHAM: Saya bersekolah di Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Bum Bum dari darjah satu hingga enam.

UB:  Bagaimana puan  ke sekolah?  Berapa jauh sekolah dari rumah?
SHHAM:  Dari rumah, terpaksa berjalan kaki saja ke sekolah. Tak ada bas sekolah pada masa itu.

UB: Berapa bekal ke sekolah?
SHHAM: 20 sen sehari.
UB: Apa yang dapat dbeli dengan duit 20 sen?
SHHAM: Boleh beli bubur kacang, sepuluh sen secawan dan mee hoon goreng sepinggan 10 sen.

UB: Masih ingat nama-nama cikgu sekolah rendah yang mengajar di SRK Bum Bum masa itu?
SHHAM: Antaranya Cikgu Amirul, Cikgu Asmad Jalajali, Cikgu Jahariah Ajirul,Cikgu Abdillah Mullang, Cikgu Sayadi Mangkarawi...semua tu sekarang sudah bergelar haji dan hajah.

UB: Selepas sekolah rendah , dimana puan meneruskan persekolahan di peringkat menengah?
SHHAM: Saya bersekolah di SMK Abdullah Semporna pada tahun 1974 hingga 1978 iaitu dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Antara cikgu yang saya ingat ialah  Cikgu Mislimah Tokijan, Cikgu Sulaiman, Cikgu Tasman Ahmad, Cikgu Osman dan lain lain lagi.



UB: Berulang alik dari Pulau Bum-Bum ke SMK Abdullah?
SHHAM:  Tidak. Saya tinggal di rumah guru SMK Abdullah menumpang di rumah pakcik  Haji Abdawah Asaruddin.

UB: Berapa tambang bot dari pulau ke pekan Semporna?
SHHAM: Dari pulau seringgit saja tambang bot ke Pekan Semporna.

UB: Selepas lulus SPM, dimana puan bersekolah?
SHHAM: Selepas lulus SPM, saya mendapat tawaran belajar dalam tingkatan enam di SMK Menggatal Kota Kinabalu dari tahun 1979 hingga 1980.




UB: Masih ingat rakan-rakan sekolah di SMK Menggatal.
SHHAM: Datuk Almain Ajirul sama sama dengan saya belajar di SMK Menggatal. Dia senior setahun. Datuk Almain sepupu saya juga dan sama sama bersekolah dari SRK hingga SMK Menggatal. Pelajar dari Semporna yang lebih dahulu bersekolah di SMK Menggatal ialah Datuk Haji Mohd Said Hinayat (Mantan Pengarah Arkib Sabah) Diikuti oleh Datuk Haji Almain Ajirul (Mantan Pengarah Penerangan Sabah) dan Datuk Omar Mammah (mantan Ketua Polis Sabah). Saya batch yang ketiga. Adik saya, Datuk Hajam Lajah Alam (Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri) adalah junior kami tetapi beliau aliran sains.

Antara nama guru yang saya masih ingat ialah Cikgu Abdul Aziz Abas dan Cikgu Murni.

UB: Apa perasaan puan mula mula berpisah dengan keluarga?
SHHAM: Memang sedih tapi saya memiliki kemahuan yang keras.Memang rasa sedih terpaksa tahan saja demi sebuah cita-cita.

UB: Di mana puan melanjutkan pelajaran selepas itu?
SHHAM: Selepas lulus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), saya diterima memasuki Universiti Malaya pada tahun 1982 hingga lulus Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Bidang Pengajian Melayu pada 1984.

UB:  Masa itu ramaikah pelajar dari Semporna yang menjejakkan kaki ke menara gading?
SHHAM:  Mungkin sekitar enam orang saja. Saya wanita  pertama dari Semporna yang memasuki Universiti ketika itu.

UB: Oh ya, ambil bidang apa di UM?
SHHAM: Saya mengambil bidang sains sosial dengan penkhususan pengajian Melayu. Antara pensyarah kami ketika itu ialah Prof Dr Taib Osman, Prof Datuk Zainal Abidin Borhan, Prof Datuk Dr Abdul Latif Bakar dan ramai lagi.




UB: Siapa rakan-rakan puan dari Sabah yang berpeluang belajar di Universiti Malaya ketika itu?
SHHAM: Abang Musli Haji Oli, senior kami masa di UM.Datuk Bahari Hassan, Puan Aidah Ali Osman, Halimah Pg Fauzi, Saidah Osman.

UB: : Apa pengalaman pahit manis sepanjang berada di universiti?
SHHAM: Masa itu bukan seperti sekarang. Ketika belajar di UM, kami hanya berpeluang balik setahun sekali. Penerbangan dari KLIA ke KK dan seterusnya ke Tawau Masa itu belum ada bas dari KK. Sesampainya di Pekan Semporna dari Tawau, kami terpaksa naik bot ke Kampung Bum Bum.

UB: Keluarga tidak menghalang belajar jauh jauh di KL?
SHHAM: Masa saya  mahu belajar jauh memang sukar nak dilepaskan.Tapi saya berdegil nak juga. Masa itu, datang KK dan KL macam rusa masuk kampung.Itulah yang dapat saya gambarkan. .

UB:  Selepas tamat universiti, dimana puan bekerja?
SHHAM: Selepas tamat universiti, saya bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dari tahun 1985 hingga bersara awal pada 2018.

UB: Apakah itu pengalaman pertama puan dalam bidang kerjaya?
SHHAM: Semasa belajar di Universiti Malaya, saya menjadi guru sambilan ketika cuti semester di SMK Bum Bum.  Sebelum bekerja di DBP saya juga pernah menjadi guru di Yayasan Budi milik ABIM. Masa itu, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Mutlimedia, seangkatan saya di Yayasan Budi ABIM. Kami sama-sama selia Yayasan Budi bersama Cikgu Haji Abdul Rahim Beruhok


UB: Bila pertama kali puan berkarya?
SHHAM: Saya menulis kali pertama ialah pada tahun 1984.

UB: Apa nama pena yang puan gunakan dalam bidang penulisan?
SHHAM: Dalam penulisan saya menggunakan nama pena Heidi A.M dan Izani Sham.



UB: Genre apa yang diminati?
SHHAM: Saya meminati bidang cerpen, puisi dan esei sastera.

UB: Apa karya terkini yang diterbitkan?
SHHAM: Kumpulan cerpen Bunang-Bunang. Kebanyakan cerpen yang terkandung dalam kumpulan cerpen berkenaan mengisahkan cerita berlatarkan budaya etnik dan masyarakat Bajau Semporna.

UB: Karya-karya lain pernah termuat dimana?
SHHAM: Karya-karya saya pernah termuat dalam antologi puisi Islam terbitan DBP Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) seperti Kekasih (1987),Ujana Laut Ujana Hati (1989),Hadiah Hari Lahir (1990) Jalan ke Hujung Taman (1991), Al Kahfi (1992), Kiswah Rindu (1993), Mujaddid (1997), Rindu Ilahi (1994), Antologi puisi sempena Hari Puisi Nasional iaitu Titian Rindu (1987) Gema Membelah Gema (1989), Antologi Puisi bersama Dialog Borneo iaitu Perkasihan Musim (1992). Nafas Utara Borneo (1994) dan Peta Seniman (1998).Karya puisi beliau juga termuat dalam antologi Mestika Diri (DBP 1994).

Selain itu, cerpen-cerpen saya termuat dalam Angin Dari Timur (DBP 1993) , Fenomena (DBP 1992), Mimpi Resah (Fajar Baki 1995),Hikmah (DBP 1995), Merening (Fajar Bakti 1994). Karya saya juga tersiar di suratkhabar tempatan seperti Sabah Times, Harian Ekspres, Borneo Mail,Harian Mercu, Majalah Wadah, Bahana dan Fantasi.  Kumpulan Cerita Rakyat Sabah juga diterbitkan DBP pada 1991.

UB: Apa cita cita waktu kecil?
SHHAM: Dari kecil saya bercita-cita belajar hingga ke menara gading.
UB: Siapa yang paling banyak  bagi dorongan?
SHHAM: Keluarga saya memberi dorongan dan sokongan terutama ibu bapa saya. Ramai keluarga, pakcik dan makcik yang menjadi guru jadi sumber inspirasi. Antara Pakcik cikgu yang jadi inspirasi ialah Cikgu Haji Abdawah Asaruddin, Haji Wahab Janjani. Datuk Haji Melali Mali ,Haji Melanji Mali.Hajah  Rahmah Haji Abu Bakar. Kakak Datuk Almain, Hajah Jahariah Ajirul juga guru sekolah. Ini antara yang banyak memberi inspirasi.
Inspirasi untuk saya belajar dan terus belajar.Sejak sekolah rendah saya sering menjadi pelajar terbaik, fokus dan serius masa belajar.




Keluarga sentiasa memberikan sokongan.Waktu mula nak pergi tu, memang keluarga susah melepaskan. Tapi saya berdegil juga. Nenek tak bagi tapi emak berpesan agar menjaga diri, ingat keluarga moga berjaya. Mak bapa memang bangga dan yakin percaya saya boleh berjaya. Alhamdulillah.

UB: Nama ibu bapa?
SHHAM: Nama ayah saya Haji  Lajah Alam@ Abd. Mutalib manakala ibu saya Hajah  Kamliah Haji  Othman

UB: Mungkin ada pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas di DBP Sabah?
SHHAM: Kerja di DBP sangat menyeronokkan. Ramai kawan yang `sporting’ dan sesuai dengan minat. Saya suka dengan aktiviti sastera, mengadakan seminar dan bengkel. Saya seronok menjalankan tugas luar seperti pengumpulan cerita rakyat.

UB: Siapa pengarah DBP ketika puan bekerja di DBP?
SHHAM: Masa itu Pengarah DBP ialah Haji Hamdan Yahya. Sebenarnya saya dipanggil  untuk menjadi pengganti Datu Bandira yang berhenti pada hari Jumaat kerana mendapat tawaran kerja di Felda. Saya masuk kerja pada hari Isnin tanpa temuduga. Jadi pegawai sementara. Selepas kira-kira dua tiga bulan selepas itu, barulah ada sesi temuduga dan saya terus mendapat kerja tetap.

UB:  Mengikut pendapat puan, bagaimana usaha pengumpulan cerita rakyat di kalangan generasi baru?
SHHAM: Setakat ini, hanya DBP yang membuat kerja-kerja pengumpulan cerita rakyat. Tidak dinafikan mungkin ada juga IPT dan NGO yang membuat pengumpulan cerita rakyat, tapi hanya DBP yang konsisten membuat kerja pengumpulan sastera rakyat sejak dahulu.

UB: Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk Ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.
SHHAM: Terima kasih kembali.

Tersiar di ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo 11 April 2020

Artikel Terkait