Jumaat, 1 Mei 2020

HAJI SUID HANAPI, PENGETUA CEMERLANG YANG BERANI BUAT PERUBAHAN

Tags

HAJI SUID HANAPI, PENGETUA CEMERLANG YANG BERANI BUAT PERUBAHAN

Buatlah yang terbaik dan jangan menolak sebarang tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita, itulah antara pesan Tuan Haji Suid Haji Hanapi , Pengetua Cemerlang SMK Taun Gusi yang bersara selepas 36 tahun mencurah bakti dalam bidang pendidikan. Sepanjang kerjayanya sebagai guru dan pentadbir sekolah, beliau seorang yang dedikasi, komited dan berani membuat perubahan. “Saya bersyukur kerana diberi penghargaan  Anugerah Khidmat Cemerlang sebanyak 3 kali iaitu 1990, 1991 dan 2016,” katanya ketika diwawancara melalui whatsapp tidak lama selepas beliau mengakhiri tugasnya.


Haji Suid Haji Hanapi dilahirkan pada  14 April 1960  di Kampung Masjid Tokai, Alor Setar. Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Bukit Raya, Pendang Kedah (1967), SK Tunku Raudzah (1970) SK Simpang Empat Alor Setar (1972). Selepas itu, beliau meneruskan persekolahan ke SMK Simpang Empat, Alor Setar pada 1973. Kemudian berpindah ke SMK Dato Syed Omar, Alor Setar pada tahun 1976 aliran Sains. Beliau  mendapat tawaran ke Tingkatan Enam di SMK Khir Johari, Sungai Petani, Kedah pada tahun 1978 sehingga lulus  STPM pada tahun 1979. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1980 sehingga memperolehi Ijazah Sains dan  Pendidikan (Kepujian) pengkhususan dalam bidang Biokimia dan Mikrobiologi. Beliau memulakan kerjaya sebagai pendidik pada 18 Julai 1984 apabila  ditawarkan sebagai guru Gred D1 di SMK Tenghilan. Selepas 17 tahun bertugas di SMK Tenghilan(1984- 2001) beliau  dinaikkan jawatan sebagai Pengetua di SMK Sungai Damit, Tuaran bermula  Julai 2001. Sekitar Mac 2008 beliau  diarah berkhidmat di SMK Kudat 2. Kemudian beliau ditugaskan di SMK Taun Gusi, Kota Belud bermula Julai  2012 hingga bersara 14 April 2020. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hajah Noor Azwa Abdullah, anak jati Dusun Tenghilan  pada tahun 1986, dan dikurniakan 5 cahaya mata.

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau mengenai pengalamannya sepanjang bertugas sebagai pendidik di beberapa buah sekolah di Sabah menggunakan aplikasi whatsApp. Ikuti petikan wawancara berkenaan:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latarbelakang cikgu. Dimana cikgu dilahirkan? Anak ke berapa dalam keluarga?

HAJI SUID HAJI HANAPI: Nama Saya Tuan Haji Suid Haji Hanapi yang dilahirkan tanggal 14 April 1960  di Kampung Masjid Tokai, Alor Setar. Kedah. Hasil perkahwinan Kedua-dua ibu bapa saya. Saya adalah anak tunggal. Ayah saya Haji Hanapi Man dan ibu saya Aishah Jaafar. Sebelum saya dilahirkan kedua ibu bapa saya bercerai. Selepas itu, mereka berkahwin lain melebihi daripada 2 kali. Justeru, keluarga yang besar ini mencapai seramai 21 orang termasuklah saya. Separuh zaman kanak-kanak saya, saya dibesarkan oleh ibu saya bersama bapa tiri dan adik beradik yang lain daripada hasil pasangan baru. Separuh zaman alam persekolahan saya dipelihara oleh kedua datuk saya, iaitu Jaafar Shaari dan Saayah binti Man.

UB: Di mana cikgu mendapat pendidikan rendah hingga menengah?
HS: Saya mendapat Pendidikan Awal di SK Bukit Raya, Pendang Kedah pada tahun 1967. Kemudian berpindah di beberapa buah sekolah, iaitu SK Tunku Raudzah pada 1970, kemudian pindah di SK Simpang Empat Alor Setar pada 1972. Pada tahun 1973, saya meneruskan persekolahan ke SMK Simpang Empat, Alor Setar. Kemudian berpindah ke SMK Dato Syed Omar, Alor Setar pada tahun 1976 aliran Sains. Akhirnya mendapat tawaran ke Tingkatan Enam di SMK Khir Johari, Sungai Petani, Kedah pada tahun 1978. Tamat STPM pada tahun 1979.

UB: Selepas itu, dimana cikgu melanjutkan pengajian?
HS:  Saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1980, iaitu Ijazah Sains dan Pendidikan (Kepujian) dengan Pengkhususan dalam bidang Biokimia dan Mikrobiologi, opsyen Biologi dan Kimia.

UB: Sebaik tamat universiti, dimana cikgu bertugas?
HS: Tanggal 18 Julai 1984 saya ditawarkan sebagai guru Gred D1 di SMK Tenghilan. Saya telah diarah untuk mengajar Bahasa Melayu Tingkatan 5 yang banyak ketinggalan. Saya mengguna pelbagai insiatif dan kudrat untuk memastikan anak didik saya mendapat pendidikan yang terbaik. Saya tiada pengalaman mengajar mata pelajaran ini kerana bukan opsyen saya. Demi anak didik yang dikasihi dan disayangi saya tidak putus asa. Terdapat seorang pelajar saya, iaitu Abdul Karim Rahman mendera saya dari segi mental kerana pelajar ini membeli buku kerja yang tidak ada panduan jawapan. Tambahan kerajinan dan kekerapan penghantaran latihan menyebabkan saya terpaksa menyemak dengan teliti. Apabila keputusan SPM 1984 diumumkan, ramai pelajar mendapat keputusan yang baik dalam Bahasa Melayu dan melayakkan mereka menjadi guru dan pegawai awam. Malah Abdul Karim mendapat A2 dalam Bahasa Melayu. Beliau kini merupakan seorang guru yang berasal dari Kudat.

UB; Jadi cikgu mengajar BM walaupun opsyen lain?
HS: Tahun 1985 saya tidak mengajar Bahasa Melayu tetapi diarah mengajar Biologi Kemanusiaan dan Kemasyarakatan Tingkatan 4 dan 5. Prestasi SPM Bahasa Melayu 1985 SMK Tenghilan berada di tangga kedua tercorot dengan prestasi BM berada di bawah 20%.Tahun 1986 saya diarah kembali mengajar Bahasa Melayu Tingkatan 5 dan Biologi Kemanusiaan dan Kemasyarakatan Tingkatan 4 dan 5. Kemudian BKK kebanyakan pelajar mendapat keputusan Cemerlang. Selain itu, Prestasi Bahasa Melayu pada 1986 boleh dibanggakan kerana ramai yang mendapat kepujian. Emily Geoffrey mendapat A1 dan Awang Seman Awang Tahir mendapat A2 dalam Bahasa Melayu. Emily Geoffrey kini sebagai Guru Bahasa Melayu dan Encik Awang Seman Awang Tahir kini menjadi seorang Pengetua di sebuah sekolah menengah di daerah Pitas. Encik Awang Seman telah membawa kejayaan kepada Sabah sebagai Johan Pertandingan Debat Hari Guru Kebangsaan Kategori Bahasa Melayu.

 Selepas itu, saya tidak diarah mengajar Bahasa Melayu tetapi diarah mengajar pelbagai mata pelajaran demi membantu anak didik di SMK Tenghilan. Saya terpaksa mengajar bukan subjek opsyen saya seperti Geografi Tingkatan 5, Pengajian Am Tingkatan 6. Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Bagi saya selagi kita buat yang terbaik selagi itu pelajar mampu menguasainya dengan berkesan. Jadi sebagai seorang guru menjadi tanggungjawab untuk membantu sekolah menangani isu terutama dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (P&P).

UB: Boleh cerita pengalaman berkhidmat di SMK Tenghilan ?
HS: Tenghilan merupakan pekan kecil yang mojoriti penduduknya dari kaum Dusun, iaitu melebihi 75% ketika itu. Itu bukan masalah utama. Masalah utama ialah terpaksa menyedia dan memasak makanan untuk sarapan, makan tengah hari dan malam. Pada masa ini kebanyakan guru-guru bujang tinggal bersama-sama bagi setiap unit dengan 3 orang setiap unit. Maka giliran memasak  ditetapkan, tetapi bagi yang tiada pengalaman kerap jadi budak suruhan. Diarah siang ikan, dipotong ayam dan daging, kukur kelapa, masak nasi, basuh pinggan selepas makan dan sediakan minuman.
Pengalaman ini menyebabkan tiada yang mahu kekal sebagai budak suruhan. Akhirnya saya mampu memasak pelbagai lauk pauk yang enak sehingga sekarang. Isunya keadaan menyebabkan kita berusaha untuk mengubah kehidupan yang lebih baik.
Masa itu Flat guru baru dibina tetapi masalah air menjadi punca kesengsaraan penghuni flat termasuklah saya. Setiap pagi dan petang terpaksa mandi di tangki yang ada air di padang bola yang berada dibawah dan mendaki anak tangga antara 50 hingga 70. Menjadi masalah untuk mengangkat air ke flat tingkat 3 demi untuk masak dan kegunaan tandas sahaja sekitar 1984 hingga 1986.

UB: Mungkin ada peristiwa pahit manis?
HS: Peristiwa melucukan berlaku pada suatu pagi di mana kami semua turun mandi di bawah. Tiba-tiba saya agak terlewat naik ke flat. Bila saya sampai di flat semua kawan saya telah ke sekolah. Saya tidak dapat masuk kerana kunci telah dibawa oleh rakan seunit. Masa itu saya terpaksa mengajar waktu pertama. Demi pelajar saya dengan berbaju kemeja tanpa tali leher, berselipar, berkain pelikat dengan rambut tidak bersikat terus masuk mengajar tanpa memikir rasa malu. Setakat selesai mengajar Matematik 2 waktu baru saya pulang ke flat menukarkan pakaian yang sempurna. Keadaan ini tidak berlaku ketika ini. Tetapi komitmen saya sebagai guru perlu saya utamakan.

UB:  Pernahkah cikgu membayangkan untuk bertugas di Sabah?
HS: Saya tidak menduga sama sekali akan bertugas di Sabah. Dalam fikiran saya tiada terfikir Sabah menjadi destinasi pilihan saya, tetapi Allah Maha Mengetahui. Yang penting di mana ditempatkan bertugas di situ perkhidmatan yang terbaik wajar diberikan.

UB: Mungkin cikgu masih ingat kali pertama datang ke Sabah?
HS: Sepanjang perjalanan pertama ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur saya di tempat di Hotel Eden, Kampung Air. Keesokannya ke Bangunan Persekutuan mendengar taklimat. Perkataan pertama yang dengar dari Orang Sabah ketika mereka ingin keluar dari lift iaitu limpas. Saya tidak faham saya ingat lipas. Seterusnya saya dihantar ke Terminal untuk ke Tenghilan. Saya ingat perjalanannya tenang dan menyeronokkan. Tetapi bila memasuki Tamparuli ke Tenghilan melalui jalan lama Topokon yang berbukit bukau dengan jalan yang berbelok-belok. Saya sangka dekat, tetapi pukulannya amat perit dan mencabar. Maka saya mula terfikir keadaan fizikal di sini mencabar dan memerlukan kekuatan dan keazaman serta kesabaran yang tinggi.

UB:  Apa cita cita cikgu sewaktu masih zaman kanak kanak? Pernah terfikir jadi cikgu?
HS:  Cita-cita saya sewaktu zaman kanak kanak untuk menjadi Pegawai Penjara, Doktor dan Cikgu. Justeru, Pendidik sudah tidak asing dalam diri saya. Tiada dorongan, tetapi persekitaran dan perbualan masyarakat menjadikan pilihan itu lebih realiti.

UB: Apa pengalaman lain di SMK Tenghilan?
HS: Pengalaman menarik di SMK Tenghilan yang menjadi kenangan saya, iaitu guru Semenanjung akan rasa bosan kalau tiada aktiviti hendak dilakukan terutama di hujung minggu dan pada waktu petang. Justeru, pilihan yang paling sesuai dengan menceburi diri dalam bidang sukan dan permainan. Jadi saya aktif dalam Hoki, Bola Tampar, Catur, Sepak Takraw serta kerap mewakili daerah Tamparuli. Dalam sekitar tahun 1990-an sama bermain hoki mewakili Tamparuli dalam PSKPP. Semasa kejohanan itu tangan kanan saya dipukul. Akhirnya bertambah teruk dan saya tidak boleh menulis. Kecekalan saya sebagai seorang guru menjadikan saya hadir ke kelas tetap mengajar tanpa menjejaskan P&P pelajar dengan menggunakan tangan kiri yang tulisan tidak berapa baik, tetapi masih difahami termasuklan pendekatan yang pelbagai. Alasan sakit sedikit bukan alasan yang munasabah tetapi Allah guna pelbagai pancaindera. Semuanya dapat ditangani dengan berkesan.Pada tahun 1999 saya dilantik sebagai Penolong Kanan Pentadbiran. Semasa saya menjawat jawatan tersebut saya mengajar melebihi 24 waktu seminggu.

UB: Berapa lama cikgu bertugas di SMK Tenghilan?
HS: Saya  bertugas selama lebih kurang 17 tahun di SMK Tenghilan dari 1984 hingga 2001 saya dinaikkan jawatan sebagai Pengetua di SMK Sungai Damit, Tuaran sekitar Julai 2001.

UB: Bagaimana prestasi  SMK Sungai Damit ketika itu?
HS: SMK Sungai Damit adalah sekolah yang prestasi SRP dan PMR sekitar purata bawah 30%. Malah prestasi SPM menyalurkan pelajar ke Tingkatan 6 purata sekitar kurang 10%. Faktor keputusan dipengaruhi oleh prestasi UPSR sekolah saluran. Pelajar terbaik SRP atau PMR sekitar 4A ke bawah. Tetapi dalam tempoh 3 tahun prestasi PMR  menunjukkan peningkatan sehingga melebihi 50%. Malah prestasi PMR setiap tahun sudah mencapai straight A. Akhirnya dalam SPM pelajar terbaik sudah memperoleh 9A. Keberhasilan ini berlaku akibat kerjasama dan komitmen ibu bapa, mereka yakin sekolah boleh cemerlangkan anak mereka. Guru sudah proaktif dan tidak dilabel guru Tamu dan pelajar sedar mereka berpotensi cemerlang andainya Guru Mengajar Pelajar Belajar.

UB: Pengalaman pahit dan manis di SMK Sungai Damit ?
HS: Apabila saya ditukarkan ke sana sekitar Julai 2001. Kantin yang disediakan oleh Pengusaha Kantin dan pengurusan sekolah terletak di belakang blok B yang merupakan tandas pelajar. Alhamdulillah pada hujung tahun sekolah mendapat peruntukan membina kantin baharu. Justeru saya telah ke lokasi baru bersebelahan dengan bilik Pengetua dan disebelah lain merupakan laluan keluar masuk ke sekolah. Bila persekolahan 2002 dibuka maka banyak kritikan daripada pihak guru. Akhirnya dalam mesyuarat saya memaklumkan rasional lokasi baharu. Saya maklumkan itulah minda pelajar dan guru banyak negatif sebab kesan keracunan bau dan udara daripada tandas. Saya memaklumkan,guru siapa yang kamu takut, semua pelajar tahu di mana kamu berada. Pengetua pun tahu di mana kamu berada dan rakan sejawatan pun tahu di mana kamu berada. Yang terbaik perlu malu pada diri sendiri, perlu tunai amanah Allah. Kelebihan kantin di lokasi menjadikan kamu prihatin dan mengetahui siapa yang datang. Akhirnya budaya kerja bertambah baik. Selesai masalah dengan berkesan.
Tindakan secara berhemah dengan kebijaksanaan membuat keputusan yang tinggi boleh merubah seseorang individu.

UB: Bagaimana pula hubungan dengan pihak ibu bapa?
HS: Hubungan saya dan ibu bapa amat baik. Saban tahun dalam saya bertugas di sana menghadiri pelbagai aktiviti termasuk kahwin dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Pada suatu ketika saya dijemput menghadiri Majlis perkahwinan di Kampung Sungai Damit. Tetapi kesilapan tarikh dan bila saya melalui Kampung itu kebetulan ada majlis yang sama. Nama panggilan saya disebut, iaitu ketibaan Pengetua SMK Sungai Damit. Ini menjadikan saya dihormati masyarakat setempat.

UB: Mungkin cikgu boleh cerita antara pengalaman menarik di SMK Sungai Damit?
HS: Banyak.Salah satunya, seorang guru merayu pada saya supaya beliau diberi APC di SMK Sungai Damit. Secara jujur saya menyatakan perkara itu mudah, tetapi ia memberi gambaran negatif kemudian pada dirinya akibat kritikan rakan sejawat. Saya memaklumkan kepadanya supaya beliau buat sesuatu yang terbaik hingga tiada siapa boleh mempertikai APC yang beliau terima. Beliau membuat kejutan yang biasa, iaitu wujudnya peningkatan mata pelajaran yang diajarnya dalam SPM dengan lonjakan yang besar dari sekitar 30% ke 70% ke atas. Akhirnya, saya menganugerah APC kepada guru berkenaan.
Selain itu, seorang ibu datang berbincang isu disiplin anaknya. Beliau mengesahkan anak memang seorang perokok dan sering membawa rokok ke sekolah. Beliau memaklumkan sudah berusaha dengan pelbagai cara tetapi tidak berhasil. Akhirnya ibu dan anak, menerima nasihat saya. Saya menyatakan saya hanya inginkan anaknya mengetahui di mana kawasan boleh merokok dan tidak boleh, supaya pelajar ini dapat mendisiplin dirinya dan tidak menyusahkan ibu bapa. Alhamdulillah, pelajar tu  mematuhi disiplin sekolah dan menjadi pelajar yang diteladani dengan prestasi SPM yang baik.

UB: Selepas berkhidmat di Sungai Damit, dimana cikgu dipindahkan?
HS: Sekitar Mac 2008 saya telah diarah berkhidmat di SMK Kudat 2, Kudat. Pelajar di sini rata-rata dari golongan sosioekonomi yang rendah dan sederhana. Prestasi akademik agak sederhana. Tetapi guru berprestasi tinggi dan boleh melonjak imej sekolah. Akhirnya prestasi individu bagi pelajar tertentu  digarap oleh warga sekolah, di mana dalam setiap peperiksaan PMR sentiasa terdapat pelajar yang berjaya memperoleh straight A. Dalam SPM sudah terdapat pelajar yang berjaya memperoleh 7A ke atas dan STPM sudah ada pelajar yang memperoleh NGPK 3.50 ke atas. Sebagai galakkan pelajar yang berjaya memperoleh Gred 3.50 ke atas dalam STPM akan dianugerahkan sebuah laptop dengan harga sekitar RM 1500 yang mana pemberian ini merupakan sumbangan dan inisiatif Pengetua. Dalam tahun 2010 seramai 3 pelajar memperoleh Gred melebihi 3.50 ke atas. Jadi bermakna 3 buah laptop diusahakan. Alhamdulillah. Semuanya membuahkan hasil.

UB: Apa tindakan yang cikgu laksanakan untuk mendorong pelajar?
HS:  Salah satu tindakan drastik dan luar kotak yang berani saya laku tanpa kebenaran JPN Sabah. Saya memohon maaf kepada JPN Sabah atas tindakan tersebut. Demi mendorong lebih ramai pelajar aliran Perdana berusaha gigih memperoleh gred lebih baik dalam SPM dan melayakkan mereka ditawarkan ke Tingkatan 6, saya jangka saya telah mulai cara pemakaian sekarang lebih awal di SMK Kudat 2. Saya  mengarah pelajar Tingkatan 6 berpakaian kemas seperti sekarang pada 2011. Saya hanya melihat beberapa perubahan kerana guru-guru akan tercabar. Yang saya inginkan , pertama, Pelajar ceria, berketrampilan, membiasakan lebih awal apabila mendapat tawaran melanjutkan pelajaran atau pekerjaan.Kedua; mereka dapat menjimatkan wang dan pakaian ini boleh digunakan terus. Ini bermaksud tiada pembaziran.Ketiga; Membaiki kehadiran sekolah.Keempat; Mengubah ketrampilan guru terutama dari segi pemakaian tali leher dan kelima, Wujud persaingan positif sesama pelajar dan antara pelajar dengan guru.
Akhirnya mencapai hasrat saya ingin demi melahirkan insan berilmu, berdisiplin, berdaya saing, ketrampilan. Beberapa tahun kemudian saya dipindahkan ke SMK Taun Gusi sistem pemakaian baru bagi pelajar Tingkatan 6 telah diluluskan.

UB: Dari SMK Kudat, cikgu pindah ke SMK Taun Gusi?
HS:  Saya memperoleh Gred DG 52 Pengetua Cemerlang di SMK Kudat 2. Kemudian saya ditempatkan ke SMK Taun Gusi, Kota Belud pada 2012. Saya memulakan tugas sekitar Julai 2012 hingga berakhir 14 April 2020.


UB: Cikgu pernah memohon pertukaran?
HS: Sebenarnya dalam perkhidmatan saya, saya tidak pernah memohon pertukaran, tetapi berlaku perpindahan. Saya hanya menerima hakikat bahawa perkhidmatan saya lebih diperlukan sahaja. Bukan istilah selesa menjadi keutamaan saya, tetapi perkhidmatan yang dituntut ke atas saya. Pernah saya bertanya Pegawai di JPN Sabah, kenapa saya tidak di tukar ke daerah Tuaran atau Kota Kinabalu di mana kediaman saya lebih dekat. Malah dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kerana keluarga lebih dekat dan penjagaan pada dirinya lebih terjamin. Alasan yang diberikan kepada saya, pihak JPN Sabah akan meluluskan permohonan yang dipohon. Saya memaklumkan kepada saya ditukarkan dari sebuah sekolah ke sebuah sekolah lain. Jawapannya, tuan tidak memohon pertukaran dan perkhidmatan tuan diperlukan, tetapi saya menyatakan kepadanya kenapa tidak boleh memindahkan saya ke daerah yang lebih dekat dengan alasan yang sama, iaitu perkhidmatan diperlukan. Saya bukan pertikai keputusan yang dibuat oleh JPN Sabah, tetapi alasan sepatutnya munasabah.

UB: Boleh ceritakan pengalaman bertugas di SMK Taun Gusi ?
 HS:  Sebut sahaja sekolah ini, dalam kebanyakan minda masyarakat terutama masyarakat Kota Belud menyatakan sekolah ini bermasalah, banyak pergaduhan, kegagalan dalam peperiksaan tinggi dan pelbagai respon yang negatif. Itulah realiti sekolah tersebut, tetapi siapa wajar dipersalahkan. Sebenarnya tiada siapa yang perlu dipersalahkan, tetapi perubahan minda terutama di kalangan pegawai-pegawai di PPD Kota Belud terlebih dahulu wajar dineutralkan  kerana ia memberi gambaran yang lebih adil bagi setiap sekolah dalam pentadbiran PPDnya. Sebab maklumat yang sama akan diketengahkan oleh PPD ke JPN Sabah serta memaklumkan kepada masyarakat tentang kekuatan dan kelemahan setiap sekolah serta menyusun strategi dan membantu sepenuhnya sekolah yang dianggap kurang menyerlah.
Akhirnya imej semua sekolah di PPD mencapai satu standard yang boleh dibanggakan.

Sebenarnya SMK Taun Gusi dalam era kepimpinan pengetua tertentu  jauh kebih baik. Contohnya di era mantan Pengarah Datuk Jame Alip dan mantan Pengetua Muhammad Yew Abdullah saya kira SMK Taun Gusi mencapai era kecemerlangannya, tetapi perubahan pertambahan bilangan sekolah baru dan kegagalan sekolah tertentu menerima ambilan kedua STPM serta sikap sekolah tertentu meletakkan keutamaan kepada matlamat tiada kosong tetapi ada kekosongan kepada pelajar bagi perpindahan masuk. Justeru, dalam kebanyakan daerah ada sekolah tertentu dijadikan kambing hitam untuk menerima pelajar yang prestasi lemah.

Kehadiran semasa tinjauan pertama sebelum memulakan tugas  memberi isyarat kepada saya untuk membuat sesuatu yang jauh lebih baik daripada sekolah lain yang pernah saya berkhidmat. Ini bermakna apa yang berlaku dalam tempoh terdekat ini sudah diduga sama sekali. Kes pergaduhan pelajar dalam dan luar sekolah berterusan. Letupan mercun menyebabkan ikan peliharaan di kolam terdampar di permukaan. Pelajar berkeliaran dan kurang minat belajar suatu kebiasaan. Justeru, pelbagai pendekatan dan program mesra pelajar di ketengahkan. Pada tahun 2012 dimaklumkan bahawa lebih 75 kes pergaduhan  berlaku. Terkejut saya. Akhirnya 2013  menunjukkan penurunan kes pergaduhan hanya sekitar 20 kes. Kini, pergaduhan bukan isu SMK Taun Gusi, isu utama ialah kurang minat belajar menyebabkan keberadaan di kelas amat ketara terutama bagi 3 kes tercorot daripada 7 kes. Apabila dianalisis prestasi gagal semua mata pelajaran dalam SPM semakin meningkat, iaitu dari 15 pada tahun 2015, 17 tahun 2016, 21 tahun 2017 dan menurun kepada 6 pada tahun 2018.
 Ini menunjukkan bahawa prestasi SPM semakin baik dan SMK Taun Gusi tak pernah gagal mengeluarkan pelajar yang mendapat 7A ke atas dalam peperiksaan SPM saban tahun walaupun kebanyakan pelajar adalah pelajar yang sederhana dan lemah serta pelajar yang pindah masuk dengan lemah dan bermasalah disiplin. Rata-rata pelajar cemerlang dan mendapat keputusan yang baik dalam UPSR yang ditempatkan ke SMK Taun Gusi  ditawarkan ke SMK Pekan 2, Kota Belud bagi memasuki kelas KRK (Kelas Rancangan Khas) dan setengahnya  ke SMKA Tun Said, iaitu kira-kira hampir melebihi 20 pelajar yang terbaik  keluar setiap tahun. Jadi, apa lagi nak diharapkan untuk hasil yang luar biasa. Malah perubahan guru dan warga sekolah membawa sinaran baru. Saya menyatakan mudah sahaja untuk menanam keyakinan ibu bapa untuk memindah atau mengekalkan anak mereka, iaitu sebagai guru kita bertanggungjawab mencemerlangkan anak mereka. Akhirnya kejayaan demi kejayaan  meyakinkan ibu bapa, malah ada di kalangan guru-guru memindahkan anak mereka ke SMK Taun Gusi. Hasilnya kebanyakan anak mereka memperoleh bilangan A terbaik dalam SPM.
Dalam bidang Hoki dan Tarian, sekolah  berada tahap tersendiri. Tarian lebih daripada 4 tahun menyertai World Dance di peringkat antarabangsa seperti Greece, Sepanyol, Portugal, Romania, Arab Saudi hasil kerjasama dengan kelab TOBISA, Kota Belud. Tahniah kepada Encik Mohd Aqsha Saubin, iaitu guru tari SMK Taun Gusi yang banyak berkorban untuk sekolah dan negara dengan kilauan emas. Dalam hoki, sekolah disegani dan kerap mencapai Johan berganda bagi Lelaki dan Perempuan. Malah, sekolah  berjaya melahirkan pemain hoki terutama perempuan seramai 2 orang mewakili Sabah ke Peringkat kebangsaan hanya biasanya diwakili dari Sekolah Sukan. Syabas dan tahniah kepada Encik Rajeli Ligun atas inisiatif dan kegigihan membentuk dan melahirkan pemain hoki berterusan.









UB: Bagaimana tahap penerimaan masyarakat terhadap cikgu?
HS:  Secara keseluruhan masyarakat Kota Belud sama ada Bajau, Iranun dan Dusun menerima saya dengan baik. Hubungan kekeluargaan secara tidak langsung memberi sedikit kelebihan dan kepercayaan serta kerjasama kepada saya mengurus SMK Taun Gusi. Terima kasih semua warga Kota Belud.

UB: Bagaimana pula kerjasama pemimpin terhadap usaha membangunkan pendidikan di SMK Taun Gusi?
HS: Antara pemimpin yang paling hormati YB Datuk Musbah Hj Jamli yang sentiasa membantu merealisasikan hasrat dan impian saya dalam pelbagai program sekolah. Justeru itu, YB Datuk Musbah menghulurkan peruntukan RM 10,000 kepada SMK Taun Gusi untuk satu tempoh yang lama hingga tahun 2020 dan dijangka diteruskan demi merealisasikan pendidikan dan masa depan masyarakat Tempasuk dan Kota Belud. Syabas dan tahniah YB. Tidak lupa sumbangan mantan YB  Datuk Seri Panglima Muhammad Salleh, Datuk Abdul Rahman Dahlan, YB Isnaraisah Munirah Majilis dan Haji Mustapha Sakmad.
Selain itu,  mantan Pengarah, iaitu Datuk Jame Alip dan Datuk Hajah Maimunah Suhaibul turut memberi semangat supaya warga SEMTASI terus cemerlang dan  Mantan PPD dan pemimpin masyarakat banyak membantu saya merealisasikan impian.

 Beberapa peristiwa di SMK Taun Gusi antara berita-berita sensasi yang dikeluarkan dan mendapat reaksi pelbagai daripada masyarakat. Sebenarnya setengah berita yang diwar-war ada unsur penambahan seperti berita tergempar pihak pentadbiran merotan pelajar hingga berdarah dan sebagainya. Setengahnya betul, di SMK Taun Gusi saya masih merotan pelajar mengikut garis panduan yang betul iaitu di tapak tangan hanya ke atas pelajar lelaki. Sebenarnya apabila kita berdepan dengan pelbagai cabaran yang menguji kudrat maka kadangkala hasil tindakan itu dimanipulasikan. Sehubungan itu, saya merakam jutaan kemaafan atas tindakan saya demi kemenjadian modal insan yang terbaik.


UB: Apa yang cikgu lakukan selepas bersara?
HS: Era persaraan saya belum menentukan hala tuju, tetapi kecenderungan saya untuk memperbaiki diri dan keluarga serta memenuhi permintaan rakan-rakan demi kelangsungan pendidikan dengan izin Allah.

UB: Apa nasihat cikgu kepada warga pendidikan?
HS: Di sini saya menasihati semua warga Pendidikan mematuhi semua SOP yang berkuatkuasa dan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan amanah. Sempurnakan tugas secara berkualiti kerana ini tuntutan agama. Buatlah yang terbaik dan jangan menolak sebarang tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Contohnya, apabila saya diarah mengajar Bahasa Melayu, kelebihan yang Allah berikan,Antaranya,,Surat yang saya sediakan tidak pernah diarah diperbaiki, kedua Cara berfikir, berhujah lebih baik, Saya juga  pernah menjadi  Johan Pertandingan Menulis Esei, DBP Sabah sebanyak 6 tahun dan sentiasa memperoleh anugerah setiap tahun, saya melibatkan diri dari 1990 hingga 2001. Banyak pencapaian penulisan bagi kategori dan tajaan badan lain peringkat negeri dan kebangsaan.
Di samping itu, beberapa legasi kepimpinan yang kini menjadi Pengetua, antaranya Dr Justin Rumpod dan Puan. Alizizah Hj Sipil merupakan PK di SMK Sungai Damit, Puan Faridah Raimin dan Encik Abd Ghani Haiyun merupakan PK di SMK Kudat 2,Haji  Injan Malul, Encik Peter Semudin dan Encik Johari Hayat merupakan PK di SMK Taun Gusi.

UB: Apa pesan cikgu kepada guru-guru?
HS:  Elakkan beberapa perkara yang tidak disukai, antaranya elakkan ,Mesyuarat yang lama sehingga melebihi 2 jam. Yang penting adalah tindakan daripada keputusan mesyuarat.
 Cuba permudahkan segala urusan. Saya tandatangan dimana saja staf perlukan dalam kadar segera dan jangan asingkan diri. Jadikan semua warga adalah kawan. Di sini kita akan mendapat maklumat tambahan secara tidak langsung terutama daripada pelajar.
Selain itu. Jangan respon dalam WhatsApp atau Telegram kecuali arahan. Biarlah mereka berbicara seolah mereka tidak sedar kita berada group itu. Penting maklumat perbincangan mereka kita gunakan sebagai sumber cetusan idea bersama.

 Akhir kata, maaf Zahir dan Batin. Saya insan yang banyak kelemahan, anda kebanyakan jauh lebih baik. Ini merupakan sedikit pandangan dan pengalaman saya selama lebih kurang 36 tahun dalam dunia pendidikan. Pengkongsian ini mungkin membuka minda dan cara berfikir. Isteri saya memahami saya. Saya tidak pernah mengambil cuti sempena 5 kelahiran anak saya. Saya tidak mengambil cuti selama 2 minggu sempena 2 kali APC. Saya tidak pernah ambil cuti sakit sewaktu bukan menjawat jawatan sebagai Pengetua, iaitu sejak 1984 hingga 2001.
Letakkan diri sebagai insan yang berpotensi memberi perkhidmatan yang terbaik kecuali tiada lagi pilihan. Perancangan yang baik membantu kita dan organisasi.

UB: Tahniah dan selama bersara cikgu.
HS: Terima kasih kerana beli peluang kepada saya. Hanya Allah mempermudahkan segala urusan tuan sekeluarga, dimurahkan rezeki serta diberkati dan dirahmati Allah selalu. Amin

Artikel Terkait