KISAH PERJALANAN KE TARAKAN DAN CABARAN BERDEPAN RISIKO
MEMANG, hari itu saya terpaksa memberanikan diri untuk mengambil keputusan. Saya sedar bahawa tidak mengambil keputusan, juga adalah satu keputusan, tetapi keputusan yang paling buruk. Dalam kehidupan, mengambil keputusan adalah satu proses yang kita lakukan hampir setiap ketika. Waktunya agak singkat dan tidak banyak masa untuk menunggu. Kalau menunggu ertinya ketinggalan pesawat. Kalau pergi, ertinya terpaksa menanggung risiko.
Tidak banyak pilihan, pergi atau sebaliknya. Tapi kerjaya wartawan memang penuh risiko, dan mengambil keputusan adalah satu perkara yang perlu dibuat hampir setiap waktu. Pagi itu, kira-kira jam 4.00 pagi, saya berangkat dari rumah menuju lapangan terbang.
Syukurlah kerana akhirnya saya memperolehi penutup mulut dan hidung. Saya sudah menanyakan hampir semua kedai. Kehabisan stok. Mujurlah adik ipar saya, AA dapat membelinya di sebuah kedai 1Borneo. Pak Widodo juga ada memberikan saya sehelai dan kerana melihat orang memakainya, kami pun memakainya.
Virus Corona atau nama rasminya Covid-19 sangat membimbangkan. Kerana itu, pejabat kami melarang stafnya pergi ke luar negeri jika tidak perlu. Jika terpaksa pergi juga, mereka tidak dibenarkan ke pejabat selama 14 hari. Saya cuba meyakinkan diri bahawa pemergian saya itu adalah kerana panggilan tugas dan Indonesia ketika itu belum ada yang dinyatakan positif terkena infeksi.
Penerbangan menggunakan pesawat MAS dan terbang kira-kira jam 7.40 pagi menuju Tawau. Transit sebentar sebelum beralih ke pesawat Maswings pada jam 10.30 pagi menuju bandara Juwata, Tarakan.
Sebaik tiba di Kota Tarakan, penumpang tidak dibenarkan turun sehingga pegawai kesihatan memeriksa suhu badan setiap orang. Semua diperiksa, tiada yang terkecuali. Saya melihat angka 34.7 ketika jururawat menghalakan alat pemeriksa suhu ke arah kepala.
Mujurlah, tidak ada seorang pun yang mencatat angka 38. Pilot juga merasa lega. Jika ada, sudah tentu penumpang berkenaan akan dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan, katanya. Palis-palis, moga kita dijauhkan Allah dari bala,jika ada yang menunjukkan gejala, semua penumpang terpaksa dikuarantin.
Di Lapangan terbang Juwata, selain mengisi borang imigresen dan kastam, semua penumpang diwajibkan mengisi Health Alert Card atau Kartu Kewaspadaan Kesehatan.
“Bila anda mengalami sakit dalam 14 hari terakhir setelah berpergian dari luar negeri, atau datang dari negara endemis dan atau terjangkit influenza…(H…N…), MERS CoV …. nama Negara……agar segera berobat ke dokter terdekat dan menyerahkan kartu ini”.
Alhamdulillah, selepas segala proses pemeriksaan selesai, kami dibawa ke Restoran Malabar, salah satu restoran terkenal di Tarakan untuk jamuan makan tengahari.
Seramai 24 orang delegasi dari Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menyertai program lawatan dan business matching di Tarakan yang difasiliti oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu pada 17 hingga 19 Februari lepas.
Selepas itu, kami melawat PT Mustika Minanusa Aurora, sebuah syarikat pengeksport makanan laut di Jalan Gajah Mada Kompleks TPI Tarakan. Menurut Pengarahnya, Septiono, syarikat itu mengeksport makanan laut terus ke Jepun.
Pekerjanya hampir 2,500 orang.Syarikat yang ditubuhkan sejak 1995 dan kini diuruskan oleh Dachan Greatwall Group sejak 1998 dan terkenal di seluruh Indonesia.
Ketika memasuki kompleks itu, bas yang kami tumpangi, membawa kami melintasi jalan yang dibina dari kayu ulin atau kayu belian. Ia menandakan satu masa dahulu, dan mungkin sekarang juga, Tarakan makmur kerana hasil hutan. Jalan kayu itu adalah bukti bahawa sumber hutan kalimantan masih sangat besar.
Satu lagi destinasi yang kami kunjungi ialah Pelabuhan Malundung yang dikelola PT Pelindo. Pelabuhan Malandung adalah pelabuhan kota Tarakan yang disinggahi kapal kapal besar. Pengurus Operasi PT Pelindo IV Cabang Tarakan, Sudir Simanjorang memberikan taklimat mengenai peningkatan fasiliti pelabuhan Malundung sebagai pusat dan jalur bongkar muat strategik skala nasional hingga antarabangsa.
Dermaga Malundung memiliki panjang 380 meter, memiliki pelbagai kemudahan dan dua container crane (CC) serta banyak lagi kemudahan lain. Turut memberi taklimat ialah Pak Yorgen Rumbarar dan Pak Suhadi Hamid.
“Jika ada permintaan kami siap mendatangkan kapal ke Tawau,” katanya ketika ditanya mengenai kurangnya konektiviti antara Tawau dan Tarakan padahal ia terletak agak berdekatan.
Seterusnya kami dibawa berkunjung ke Pelabuhan Malundung untuk melihat dari dekat operasi perkapalan di Tarakan.
Semoga dengan kunjungan itu memberi banyak manfaat kepada kalangan perniagaan mereka untuk meningkatkan kegiatan import eksport antara dua negara bertetangga, Malaysia dan Indonesia.
Hari sudah petang ketika kami meninggalkan Pelabuhan Malundung. Kemudian kami bergerak ke Hotel D’calia, dulunya Hotel Milia untuk check-in. Hotel Dcalia adalah sebuah hotel sederhana dan popular di Jalan Yos Sudarso Tarakan.Sebahagian lagi menginap di Swiss-Belhotel Tarakan.
Selepas mandi dan rehat sebentar, kami keluar lagi untuk makan malam.Sementara itu, akhbar-akhbar di Tarakan menyiarkan mengenai pemulangan 19 mahasiswa Kaltara iaitu 8 dari Tarakan, 7 dari Nunukan, 3 dari bulungan dan dua dari Malinau selepas mereka menjalani observasi corona di Natuna. Kesemua mereka belajar dalam bidang perubatan di China. Semua mereka dinyatakan sihat, kata Menteri Kesihatan dan wakil dari WHO, menurut akhbar.
Jangan bercanda mengenai virus corona. Sebelum ini, tiga jururawat di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Tarakan diajukan ke Komite Etik Hukum (Jawatankuasa Etika dan Undang-Undang) kerna bergurau mengenai virus corona dan dianggap menimbulkan keresahan kepada masyarakat. Itu antara berita yang sempat saya baca sebelum meletakkannya semula kerana rakan-rakan sudah menunggu. Malam itu, kami mencari makanan khas Tarakan.