BASHIR AHMAD SUKARMAN, JURUFOTO YANG BANYAK BERJASA
HAMPIR semua peristiwa penting yang tercatat dalam sejarah negeri ini tidak terlepas dari tangan dan peranan seorang jurufoto. Jurufoto merakamkan peristiwa peristiwa sejarah negeri ini dalam ribuan gambar. Tanpa jurufoto, peristiwa peristiwa yang berlaku, berlalu begitu saja, mungkin dikenang, mungkin dilupakan.Kerana itu, peranan dan tanggungjawab seorang jurufoto tidak boleh dianggap remeh. Mereka adalah perakam peristiwa sejarah yang setia. Salah seorang jurufoto yang banyak berjasa ialah Bashir Ahmad Sukarman yang bertugas sebagai Ahli Fotografi dari tahun 1976 hingga 1996 di Jabatan Penerangan Sabah. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Ahli Fotografi Kanan dan seterusnya menjawat jawatan Ketua Unit Fotografi Jabatan Penerangan Malaysia hingga bersara pada 2006.
Bashir Ahmad bin Sukarman dilahirkan pada 4 Mei 1952 di Pulau Labuan. Beliau mendapat pendidikan awal di Government English School (GES) Labuan hingga lulus Senior Cambridge tahun 1972. Anak bungsu dari 12 adik beradik ini pernah bekerja di Jabatan Telekom Malaysia pada 1973 hingga 1976. Selepas itu, beliau bertugas sebagai Ahli Fotografi di Jabatan Penerangan Malaysia dari tahun 1976 hingga 1996. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Ahli Fotografi Kanan dan berpindah ke ibu pejabat penerangan pada tahun 1996. Beliau bersara pada tahun 2006, sebagai Ketua Unit Fotografi Jabatan Penerangan Malaysia. Melalui kerjayanya sebagai jurufoto, beliau merakamkan banyak peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah negara. Beliau juga berpeluang berkunjung ke beberapa negara di di dunia kerana penugasan sebagai juru foto.
Wartawan UTUSAN BORNEO. ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual mantan Ketua Unit Fotografi Jabatan Penerangan Malaysia, BASHIR AHMAD BIN SUKARMAN yang kebetulan berkunjung ke Kota Kinabalu, baru-baru ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau di salah sebuah restoran di Kampung Air baru-baru ini:
UTUSAN BORNEO: Sedikit mengenai latar belakang tuan?
BASHIR AHMAD BIN SUKARMAN (BAS): Saya dilahirkan pada 4 Mei 1952 di pulau Labuan. Saya mendapat pendidikan awal di Government English School (GES) Labuan hingga tingkatan lima. Saya lulus peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1972.Saya belajar dalam aliran Inggeris. Semua mata pelajaran diajarkan dalam bahasa Inggeris. Seingat saya, pelajaran Bahasa Melayu hanya mula diajarkan sewaktu kami tingkatan tiga.
UB: Anak ke berapa dalam keluarga?
BAS: Saya anak bungsu dari 12 adik beradik. Ayah saya, Sukarman Ahmad Nasran bekerja sebagai Malaria Assistant Tehnician di Labuan untuk membasmi pembiakan nyamuk bersama Donald Collus. Sebelum itu, beliau bekerja di Singapura sebelum ditugaskan oleh Straits Settlement ke Labuan. Sebenarnya beliau dilahirkan di Blitar Jawa Timur pada tahun 1903, hampir sezaman dengan Soekarno. Beliau lulusan Diploma Pertanian. Entah kerana apa, mungkin sedikit salah faham dalam keluarga, beliau pindah ke Batavia, nama Jakarta ketika itu. Beliau bekerja sebagai Sea Man atau kelasi kapal dan kerana pekerjaannya itulah yang membawanya ke Singapura seterusnya ke Labuan. Di sanalah, ayah saya berjumpa dengan ibu saya, Rosmaine Sukirman, berasal dari Kampung Serkam Melaka, yang dibawa keluarganya berpindah ke Labuan. Nenek saya pernah mengikut makciknya ke Afrika, kemudian dapat balik semula. Namanya Safiah. Kalau nenek saya tidak balik dari Afrika Selatan, mungkin saya dilahirkan di Afrika Selatan. Bahkan nenek saya masih boleh berbahasa Afrika.
UB: Selepas lulus Senior Cambridge, dimana tuan bekerja?
BAS: Sebaik lulus Senior Cambridge, saya ikut kakak saya ke Kota Kinabalu untuk cari kerja. Kira-kira setahun selepas itu, saya dapat kerja di Jabatan Telekom Malaysia Cawangan Sabah dari tahun 1973 hingga awal 1976.
UB: Apa yang terjadi pada 1976?
BAS: Pada awal 1976, saya melihat iklan kekosongan jawatan yang disiarkan di Sabah Times. Selepas itu, saya diinterviu, dua sesi praktikal dan lisan. Saya ingat ketika sesi praktikal, saya diinterviu oleh Allahyarham Ali Hassan Omar. Beliau beri saya kamera, filem dan suruh ambil gambar di KK. Selepas itu, balik ke pejabat, proses gambar dan cetak. Beliau nampaknya berpuas hati dengan hasil kerja saya. Very good, katanya. Masa itu ada tujuh calon yang ditemuduga tapi ambil seorang saja. Ketika sesi lisan, panel penemuduga ialah Allahyarham Datuk Zakaria Gunn sebagai pengerusi, dan Datuk Justin Miol mewakili penerangan. Alhamdulillah, saya lulus dalam interviu itu.
UB: Ingat lagi apa tugasan pertama selepas lapor diri?
BAS: Saya diminta untuk ikut rakan yang lebih senior untuk membiasakan diri, kemudian dilihat hasilnya. Ketua Bahagian Akhbar dan Perhubungan, masa itu ialah Datuk Justin Miol. Tidak lama kemudian saya diberikan assignment dan dibenarkan untuk membuat liputan tanpa perlu ditemani.
UB: Mungkin ada perkara yang tidak dapat dilupakan ketika bertugas?
BAS: Antaranya ialah ketika membuat liputan majlis meraikan kemenangan Parti Berjaya. Berjaya menaang mengalahkan Perikatan pada tahun 1976. Satu majlis keraian diadakan di rumah Datuk Darius Boniun di kawasannya di Penampang. Keesokan harinya, beliau komplen kerana tidak banyak gambar disiarkan di suratkhabar. Beliau fikir, jurugambar penerangan tidak ambil gambar. Beliau mengadu kepada pengarah Penerangan masa itu , Datuk Thomas Willie. Kemudian saya dipanggil untuk memberikan penjelasan. Saya beritahu dan perlihatkan gambar-gambar yang diambil. Tapi bukan bidang kuasa kita untuk menentukan gambar gambar yang disiarkan di suratkhabar, Beyond our control, kata saya.Penjelasan saya diterima
UB: Berapa tahun bertugas di Jabatan Penerangan Sabah?
BAS: Dari tahun 1976 hingga tahun 1996 sebagai Ahli Fotografi. Kemudian saya dipindahkan ke Kuala Lumpur kerana kenaikan pangkat sebagai Ahli Fotografi Kanan. Saya bersara sebagai Ketua Unit Fotografi Jabatan Penerangan Malaysia tahun 2006.
UB: Mula-mula pindah dulu, apa perkara yang selalu dirindui di Sabah?
BAS: Sebut pasal rindu Sabah ni, rasanya tak ada juga. Sebab saya sering balik ke Sabah juga bila ada assignment atau tugasan. Lagipun , keluarga semua ikut pindah ke KL. Anak bini. Kakak saya juga, kak long ada di KL. Jadi pindah ke KL itu saya anggap sebagai hijrah. Hijrah digalakkan untuk memperolehi pengalaman baru. Nabi besar kita, Nabi Muhammad SAW juga berhijrah untuk kebaikan.
UB: Mungkin ada pengalaman menarik ketika bertugas di Sabah?
BAS: Saya bertugas hampir ke seluruh ceruk negeri Sabah. Antara yang menarik ialah pengalaman mula-mula naik helikopter Bell 212 Sabah Air ke Menumbok yang saya gelar Boxing Town. Ketika itu saya buat liputan lawatan Ketua Menteri Sabah, Tun Said Keruak. Jika tidak silap , sama sama saya naik helikopter ialah Hamzah Yassin dari dari Daily Express dan Haji Salim Haji Ibrahim dari RTM.
UB: Menarik sekali. Tentu banyak lagi pengalaman yang boleh diceritakan?
BAS: Saya berpeluang membuat liputan Upacara Angkat Sumpah Tun Mohd Fuad Stephens sebagai Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri pada tahun 1976, iaitu sejurus selepas kemenangan parti Berjaya. Selain itu, banyak lagi peristwa sejarah yang saya sempat rakamkan. Selepas itu, Ketika Tan Sri Harris Mohd Salleh menjadi Ketua Menteri, saya sering ditugaskan untuk membuat liputan. Beliau sentiasa memastikab agar saya datang mengambil gambar. Beliau minta Datuk Fauzi Patel untuk membawa saya ke tempat-tempat yang beliau lawati.
UB: Siapa antara rakan sekerja di Jabatan Penerangan ketika itu?
BAS: Antaranya Ali Hassan Omar, David Chia, Frankie Chiam, Ahmad Leong dan beberapa orang lagi.
UB: Selepas pindah ke KL, apa perubahan yang berlaku dalam tugasan?
BAS: Tidak seperti di Sabah, di Kuala Lumpur, kami ditugaskan hanya mengambil gambar dalam acara-acara rasmi sahaja. Untuk liputan berita, kebanyakan dibuat oleh Bernama. Kami membuat liputan untuk tujuan dokumentasi misalnya Persidangan Parlimen, lawatan dan program ke bawah DYMM Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan sebagainya. Gambar untuk acara-acara rasmi, kami yang ambil. Gambar DYMM Sultan, Menteri Besar ,Gambar Menteri Menteri Kabinet dan lain-lain lagi.
Kita tidak membuat liputan di KL, hanya diminta untuk mengambil gambar program program rasmi. Pejabat Penerangan terletak di Wisma Bernama.
UB: Pernah bertugas keluar negara?
BAS: Pengalaman bertugas di luar negara kebanyakannya ketika dtugaskan membuat liputan untuk album lawatan DYMM Yang Di Pertuan Agung ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ke luar negara.
UB: Apa negara yang pernah dikunjungi?
BAS: Antaranya Itali, England, Republik Rakyat China, Jordan, India, Emiriah Arab Bersatu (UEA), Bahrain, Bosnia. Saya bersyukur kerana berpeluang berkunjung ke luar negara ketika membuat liputan. Masa itu DYMM Yang Di Pertuan Agong ialah Raja Perlis. Saya juga pernah ke Jepun, bersama rombongan Menteri Belia dan Sukan, Datu Hamid Tun Datu Mustapha untuk melawat Oisca.
UB: Sepanjang bertugas, mungkin tuan pernah dapat pingat atau penghargaan?
BAS: Alhamdulillah. Saya pernah mendapat pingat AMP (Ahli Mahkota Pahang) dari Pahang, PJK dari Selangor, PPN dari DYMM YDPA dan sebagainya. Hanya pingat dari Sabah saja yang belum.
UB: Masa kanak-kanak dulu, apa cita-cita tuan?
BAS: Saya bercita-cita kerja sebagai anggota tentera.Ada jiran sebelah rumah kami masa itu jadi pegawai tentera. Kolonel Kasim. Itulah yang menarik saya untuk menjadi pegawai tentera. Tetapi hasrat menjadi tentera tidak kesampaian. Namun begitu, keinginan memakai uniform tentera akhirnya tercapai juga apabila saya menyertai Tentera Wataniah unit MP atau polis tentera.
UB: Khabarnya pandai menyanyi juga? Apa penyanyi yang diminati?
BAS: Menyanyi sekadar hobi. Saya meminati lagu Tom Jones, Rod Stewart,
Broery Marantika dan sebagainya. Bab menyanyi ini juga memberikan banyak kenangan manis buat saya. Saya pernah menyanyi di Kombo PDRM, Kombo RTM. Malah saya pernah diminta untuk menyanyi untuk majlis-majlis tertentu.
UB; Apa pesan orang tua yang masih tuan ingat?
BAS: Beliau sentiasa berpesan, kalau bekerja, bekerja lah dengan tekun, buat kerja betul-betul. Kerja bagus-bagus.
UB: Terima kasih banyak kerana sudi ditemuramah untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.
BAS: Sama-sama. Terima kasih kembali.