Jumaat, 1 Mei 2020

HUANG POH LO, TEMUI KEKUATAN DALAM KALIGRAFI

Tags




 HUANG POH LO, TEMUI KEKUATAN DALAM KALIGRAFI


Jangan sesekali putus asa. Kalah menang memang lumrah dalam setiap perjuangan. Tapi setiap orang perlu berjuang lebih dahulu sebelum mencipta kejayaan. Setiap kegagalan adalah langkah ke arah kecemerlangan, kata Huang Poh Lo, seorang pelukis kaligrafi yang terkenal di negeri ini.

Beliau adalah seorang yang unik dan mungkin satu-satunya di dunia. Seorang yang berketurunan India tetapi pakar dalam kaligrafi Cina selain kerana kebolehannya menulis khat jawi dengan gaya tersendiri. Setiap minggu, biasanya di Tamu Ahad Jalan Gaya, Huang Poh Lo sentiasa dikerumuni peminat yang mahukan kaligrafi dan lukisan khatnya.

HUANG POH LO adalah nama pena N. Poolohgasingam. Dilahirkan di Kulai, Johor pada tahun 1950, Huang Poh Lo memperolehi pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Beliau lulus Sarjana Muda Ekonomi pada tahun 1973. Kemudian beliau bertugas sebagai pekerja di Times Distributors. Selepas itu beliau berkhidmat sebagai pengurus di Melaka sebelum dihantar bertugas ke Sabah pengurus Times Publishing di Sabah hingga tahun 1980.
Kemudian beliau membuka syarikat perniagaan sendiri di Kota Kinabalu.Segala-galanya berjalan baik sehinggalah beliau mengalami kerugian pada tahun 1992 dan terpaksa menutup perniagaannya. Selepas berehat sejenak, beliau akhirnya menemui kekuatan dalam bidang kaligrafi.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat menemui beliau ketika mengadakan pameran di salah sebuah kompleks beli belah terkemuka di ibu negeri. Namun janji untuk bertemu semula tidak dapat ditunaikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan mulai 17 hingga 31 Mac dan kini dilanjutkan lagi kepada 14 April. Interviu ini diadakan menggunakan telefon dan aplikasi WhatsApp. Ikuti petikan interviu bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Mengapa tuan memilih kaligrafi Cina?
HUANG POH LI: Kaligrafi Cina adalah salah satu cabang seni halus yang unik dan bukan mudah untuk menguasainya. Setiap calitan dakwatnya harus sempurna bagi memastikan mesej yang ditulis dapat disampaikan kepada pembaca.

UB: Bagaimana tuan dapat menguasai kaligrafi Cina?
HPL: Saya menguasai kaligrafi Cina ini melalui latihan demi latihan. Dengan latihan secara berterusan, saya dapat menguasai seni kaligrafi ini. Walapun saya mengenai seni kaligrafi ini ketika masih menuntut di Universiti Malaya, tetapi minat saya hanya dapat dipupuk beberapa dekad kemudian. Di Universiti Malaya, saya belajar dalam jurusan ekonomi tetapi salah satu subjek yang dipelajari ialah kebudayaan Cina dan dari situlah minat saya timbul dalam kaligrafi. Sehingga sekarang saya masih terus berlatih dalam kaligrafi Cina dan kini  juga dalam seni Khat.






UB: Sudah berapa lama tuan terlibat dalam penulisan kaligrafi?
HPL: Saya mula menulis kaligrafi sekitar 1992-1993. Kini hampir tiga dekad saya melukis kaligrafi dan saya gembira kerananya.

UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?
HUANG POH LO: Saya dilahirkan di Kulai Johor pada tahun 1950. Saya belajar di Maktab Sultan Abu Bakar dan selepas itu saya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan berjaya memperolehi ijazah BA dalam Ekonomi.

UB: Selepas tamat universiti, di mana tuan bekerja? Boleh ceritakan sedikit?
HPL: Saya bekerja sebagai Times Distributors di Johor Bahru. Selepas itu, berkhidmat sebagai pengurus di Melaka dan kemudian  saya dihantar bertugas di Sabah  sebagai pengurus Cawangan  di Times Publishing pada tahun 1976.

UB: Kemudian?
HPL: Segalanya bermula pada tahun 1976 apabila saya berhijrah ke Sabah sebagai Pengurus Cawangan Times Publishing Singapore. Saya bekerja di sana hingga tahun 1980. Kemudian saya mulakan syarikat sendiri dengan beberapa orang rakan. Perniagaan boleh dikatakan berjalan baik walaupun belum boleh  dikatakan bahawa saya berjaya. Sehinggalah seorang lelaki dari Eropah menghubungi saya mengenai hasratnya membuka syarikat penyelam skuba di Sabat. Saya agak tertarik tetapi wang saya tidak mencukupi.Kemudian rakan saya pulang ke Eropah dan meninggal dalam satu kemalangan jalan raya. Saya tidak mempunyai wang yang mencukupi.Duit yang ada hanya untuk syarikat saya sedia ada. Sehingga ada orang dari KL datang untuk membantu tetapi enam bulan kemudian keadaan menjadi lebih teruk lagi.

UB: Lepas itu?
HPL: Saya tidak mengurus syarikat saya dengan baik. Sepatutnya saya berhenti sejak awal lagi.Saya mungkin pengurus paling teruk di dunia. Sehinggalah saya terpaksa tinggalkan syarikat pada 1992. Kehidupan saya berubah secara drastik selepas itu.

UB: Apa yang terjadi selepas itu?
HPL: Saya hanya duduk di rumah. Buntu dan tidak melakukan apa apa. Rasa tertekan Saya jadi seorang peminum. Saya tidak dapat terima hakikat bahawa saya sudah mengalami kegagalan. Padahal seminggu sebelum itu saya masih memakai sut. Kini saya jadi seorang yang tidak punya apa apa. Saya hilang segala-galanya.
UB: Kenapa tidak balik kampung saja?
HPL: Saya tidak mampu berhadapan dengan ibu saya. Saya malu berhadapan dengan beliau. Bagaimana saya memberitahunya bahawa saya tidak lagi bernilai.Syarikat saya mempunyai hutang yang banyak dan tidak dapat diselamatkan lagi. Di sekolah, saya adalah seorang pelajar yang baik. Bahkan saya memiliki ijazah dalam bidang ekonomi. Keluarga dan rakan-rakan saya ada yang jadi presiden bank dan berpangkat tinggi dalam tentera. Saya tidak ingin buat perbandingan tapi itulah hakikatnya. Saya hilang keyakinan diri. Itu sebabnya saya tidak pulang kepada keluarga. Itulah faktanya. Saya tidak malu mengakui apa yang saya lalui.

Kemudian saya dihalau dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa. Saya pindah rumah. Saya cari rumah lain. Berjalan kaki kira-kira lima kilometer dari rumah asal. Saya hanya bawa beg, anjing saya dan sebuah buku sajak bertajuk `don’t quit’.Jangan berputus asa. Sajak itu membuat saya bertahan hingga sekarang.

UB: Ya betul. Jangan berputus asa. Apa yang berlaku selepas itu?
HPL: Selepas pindah rumah itu, saya fikir saya mahu mencapai sesuatu yang baru dalam hidup saya. Saya beli berus.Harga 50 sen dan dakwat harga 50 sen. Saya berlatih setiap hari. Kadang-kadang 10 hingga 15 jam sehari. Sehingga satu hari, saya telefon rakan wartawan di akhbar tempatan, mereka datang dan tulis kisah saya dalam satu halaman. Ia banyak mendorong saya untuk maju lagi.

UB: Pernah terfikir menjadi seorang ahli kaligrafi?
HPL: Tidak pernah.Saya tidak pernah terfikir menjadi ahli kaligrafi. Tapi selepas saya berlatih melukis kaligrafi itu, berlatih dan berlatih, saya beritahu diri saya bahawa saya menyukainya dan seronok melakukannya.

Malah seorang rakan dari KL pernah datang menawarkan kerja. Gaji RM10,000, satu rumah banglo dan boleh berikan saya kereta juga tapi saya menolaknya. Saya beritahu saya gembira jadi ahli kaligrafi. Mereka katakan saya gila tapi saya sudah menemukan kekuatan dengan menulis kaligrafi.Saya beritahu saya seronok jadi ahli kaligrafi. Kaligrafi yang saya hasilkan mulai mendapat sambutan yang sangat baik. Saya melukis kaligrafi Cina, kaligraf Arab,malah kaligrafi Korea dan sebagainya mengikut stail saya sendiri.





UB: Di mana tuan memasarkan karya kaligrafi tuan?
HPL: Saya memasarkan karya saya di Tamu Jalan Gaya, di hotel-hotel dan sebagainya. Seni kaligrafi adalah seni yang tinggi. Sekarang selain kaligrafi Cina, saya juga menulis khat.

UB: Bagaimana sambutan terhadap kaligrafi di kalangan masyarakat?
HPL: Seperti yang saya katakan tadi, sambutan yang diberikan sangat baik sekali.Lagipun saya seorang yang suka berkawan dan berpandangan terbuka.Oleh itu, saya punya ramai kawan dari pelbagai latar belakang. Melalui pergaulan inilah yang membantu saya mempelajari budaya mereka.Setiap kali pelanggan datang, saya suka menyapa mereka.
Akhirnya mereka jadi sahabat saya. Malah ada yang saya untuk berkunjung ke tempat mereka. Semuanya kerana seni kaligrafi. Mereka suka kaligrafi saya yang punya identiti dan stail sendiri. Mungkin juga kerana mereka melihat bagaimana seorang keturunan India melukis dalam kaligrafi Cina dan Arab. Itu mungkin menarik perhatian mereka.Ada orang yang menyukainya ada yang tidak.Keindahan berbeza dari sudut pandangan orang.

UB: Bangga dengan nama Huang Poh Lo?
HPL:  Saya berbangga dengan nama Huang Poh Lo dan kini semua orang mengenalinya.

UB: Kisah yang menarik saya fikir. Ada pengalaman lain?
HPL: Mungkin perlu juga saya beritahu bahawa saya pernah tinggalkan KK dan tinggal dalam hutan. Seorang sahabat saya, sahabat lama lebih kurang 40 tahun, menawarkan kenapa tidak saya datang ke tempatnya dan tinggal dalam hutan. Jadi saya pun datang ke Lawas, tinggal dalam hutan tebal Borneo. Saya fikir itu adalah antara perkara terbaik saya pernah buat. Enam bulan di sana terasa sangat damai.Pagi-pagi saya bersenam, berlari dan kemudian berlatih. Saya buat rumah sendiri . Saya menulis kaligrafi. Saya melukis di bawah cahaya lilin, atau lampu minyak tanah kerana di sana tidak ada bekalan elektrik.

UB: Menarik sekali pengalaman tuan?
HPL:Saya ingin membuat satu laluan.Saya ingin melaluinya hingga ke garisan penamat. Walaupun bukan sebagai pemenang tapi saya ingin melalui garis penamat itu. Saya ingin berjuang.


UB: Apa pesan tuan kepada generasi muda?
HPL: Saya ingin berpesan, jangan sesekali menyerah, jangan sesekali putus asa. Dalam satu perjalanan, boleh berehat sebentar, refleksi, tapi jangan mengaku kalah.Walaupun hakikatnya hanya seorang saja boleh menang dalam satu pertarungan tetapi setiap orang perlu berjuang..Cuba dulu. Perlu ada semangat juang dan fikirkan kemenangan. Mesti bertarung dahulu.Tapi kalau kalah, terimalah dengan baik. Seorang pemenang yang unggul biasanya pernah mengalami kekalahan berkali-kali. Setiap kegagalan adalah langkah kepada kejayaan.