Jumaat, 1 Mei 2020

HASYUDA ABADI, SASTERAWAN SABAH YANG TERSOHOR

Tags

HASYUDA ABADI, SASTERAWAN SABAH YANG TERSOHOR

DI persada sastera tanahair, nama Hasyuda Abadi adalah satu nama yang signifikan dan tidak dapat dipisahkan dengan perkembangan sastera Sabah sejak empat dekad lalu. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, iaitu hadiah paling berprestij di negara ini. Karya-karyanya juga sering terpilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Sabah dan pelbagai anugerah dan hadiah yang lain.  Beliau  menghasilkan lebih 1,000 buah puisi, 45 buah cerpen, 100 buah esei sastera dan 5 buah skrip drama pentas/radio.



HASYUDA ABADI atau nama sebenarnya Haji Sukor bin Haji Usin, anak kedua Haji Usin Ripan dan Hajah Subiah Sidek, lahir di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah pada 1960. Ayahnya berasal daripada suku kaum Murut dari daerah Tenom, Sabah (Haji Usin dipelihara oleh datuk sebelah ibu keturunan Banjar dan nenek dari keturunan Dusun). Walaupun keturunan ayahnya Murut tetapi datuknya (bernama Liwas) telah menganut agama Islam lebih awal. Ibu Hasyuda berketurunan suku Jawa, berasal dari daerah Beaufort. Sebab itu Hasyuda sering menggelar sukunya sebagai Murja (gabungan Murut dan Jawa).  Beliau mendapat pendidikan awal  di Sekolah Kebangsaan Lumadan, Beaufort (1967-1972) dan melanjutkan pelajaran sehingga tingkatan Lima beraliran bahasa Inggeris di Sekolah Menengah St John Beaufort (1973-1978). Selamat tamat persekolahan, beliau bekerja sebagai Pembantu Siaran di Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah pada tahun 1979.  Pada tahun 1985, beliau berpindah ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Penerangan/Pilihan Raya.Sepanjang  30 tahun berkhidmat di SPR, beliau  melalui 7 PRU dan puluhan PRK.Beliau bersara daripada perkhidmatan kerajaan secara pilihan pada usia 55 tahun pada tahun 2015.

Hasyuda berkahwin dengan Yau Tham Ying @ Yazidah Abdullah (meninggal dunia pada 2010) dan penyair Sahara Jais. Dikurniakan empat orang puteri. (Syahzierah, Syahfierah, Syahierah Insyirah dan Sumayyah Zhufairah).


Beliau pernah menerima Hadiah Sastera Malaysia bagi genre puisi pada tahun 1985, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004/2005, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2017/2018 dan Hadiah Sastera Sabah pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007, 2008, 2012, 2014 dan 2016 bagi genre puisi dan cerpen. Hasyuda juga adalah pemenang Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011 anjuran DBP Cawangan Sabah melalui kumpulan puisinya berjudul 'Perlimbahan Cinta'. Hasyuda juga turut memenangi Hadiah Menulis Cerpen (Juara) dan Puisi (Naib Juara) berunsur Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri sempena Karnival Kesenian Islam 2011. Hasyuda pernah mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1987 di bawah asuhan penyair Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta pada tahun 1997 di bawah pimpinan Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail.

Di samping aktif sebagai penulis, Hasyuda juga pernah terlibat sebagai fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) Khidmat Negara di Sabah di bawah kelolaan DBP. Program ini kini diberhentikan. Hasyuda adalah ahli Ikatan Penulis Sabah sejak 1992, menjadi ahli sepanjang hayat Persatuan Penulis Nasional (PENA), ahli sepanjang hayat Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan  Pengarah Urusan Institut Penilaian Sastera (INPES). Pada masa ini Hasyuda sedang mengikuti pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (UNITEM), Negeri Sabah dalam pengkhususan Pengajian Melayu dengan Kepujian. Kini mengurus Akademi RupHA dan Rumah Ngaji Baitul Muqaddam. Pernah memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS) selama 2 dekad sebelum menjadi Ketua Majlis Penasihat IPS.


Dalam aktiviti antarabangsa Hasyuda pernah menyertai KL Poetry Reading 2000 di Kuala Lumpur, Korean-Asean Poet and Literature Festival di Riau, Indonesia (2011), Baca Puisi Dunia Numera di Kuala Lumpur (2014), Temu Sastra Indonesia-Malaysia (2015) dan Perhimpunan Budayawan Sastrawan Negara Serumpun di Jogjakarta (2016).



Hasyuda ialah penerima darjah kebesaran Negeri Sabah 'Bintang Kinabalu' (B.K.) pada tahun 2005, 'Bintang Setia Kinabalu' (BSK) pada tahun 2013 dan daripada kerajaan Persekutuan Malaysia 'Pingat Pangkuan Negara (P.P.N)' daripada DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 2008. Hasyuda juga  penerima Anugerah Penyair Islam Sabah bagi tahun 2008 daripada Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah.


Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN  HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau melalui aplikasi WhatsApp dan emel akibat kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di negara ini hingga 14 April bagi mencegah COVID-19. Ikuti petikan wawancara seperti berikut:


UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang saudara? Dilahirkan dimana? Anak keberapa dalam keluarga?

HASYUDA ABADI: Saya dilahirkan di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah pada 1 September 1960. Ayah berasal daripada suku kaum Murut dari daerah Tenom, Sabah (ayah dipelihara oleh datuk sebelah ibu keturunan Banjar dan nenek dari keturunan Dusun). Walaupun keturunan ayah Murut tetapi datuknya (bernama Liwas) telah menganut agama Islam lebih awal. Ibu saya  berketurunan suku Jawa, berasal dari daerah Beaufort. Adik beradik saya seramai 6 orang terdiri daripada seorang abang (meninggal sejurus lahir) dan lima orang adik terdiri daripada seorang lelaki dan empat orang perempuan (Hassimah, Hamidah, Rosly, Melati dan Melor). Saya anak kedua dalam keluarga,  Saya berkahwin dengan Yau Tham Ying @ Yazidah Abdullah (meninggal dunia pada 2010) dan kini berumah tangga bersama Hajah Sahara Jais. Dikurniakan empat orang puteri. (Syahzierah, Syahfierah, Syahierah Insyirah dan Sumayyah Zhufairah). Kami kini menetap di Kampung Gudon Manggatal.

UB: Sekolah dimana?

HA: Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lumadan, Beaufort (1967-1972) dan melanjutkan pelajaran sehingga tingkatan Lima beraliran bahasa Inggeris di Sekolah Menengah St John Beaufort (1973-1978).

UB: Selepas tamat sekolah, saudara bekerja dimana?

HA: Pada bulan Mac 1979, saya menerima tawaran bekerja sebagai Pembantu Siaran di Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah.

UB: Apa pengalaman saudara ketika mula mula tiba di KK?

HA: Pada tahun 1979 yang disebutkan tadi adalah kali kedua saya menjejakkan kaki di Kota Kinabalu. Kali pertama pada 1977 ketika menyertai kursus Bulan Sabit Merah di Sembulan. Sebagai remaja ketika itu dan mungkin kebanyakan remaja yang lain memang merasa suatu keterujaan bila berada di ibu negeri. Apatah lagi kali ini saya harus tinggal di sini kerana bekerja. Dalam usia yang 18 tahun 6 bulan saya sudah mendapat kerja tetap saya berasa terlalu muda sebenarnya. Tidak pernah terfikir saya harus bekerja di usia begitu kerana cita-cita saya ingin menjadi guru.

UB: Apa keadaan kota kinabalu ketika itu?

HA: Kalau dibanding dengan tempat asal saya di Beaufort, bandar Kota Kinabalu memang jauh bezanya. Kota Kinabalu saya ingat baharu sahaja menjalani era pembangunannya. Jalan raya terlalu terhad sehingga trafik sering menjadi masalah kepada pengguna jalan raya.

UB: Apa pengalaman kerja saudara? Boleh cerita sikit?

HA: Saya diberikan tawaran bekerja oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah di Jabatan Penyiaran Negeri Sabah. Saya ditempatkan di Unit Urusan Rancangan Radio. Tugas saya antaranya mengendalikan urusan penyediaan pita-pita rakaman yang digunakan oleh para penerbit rancangan radio. Selain itu, unit ini juga menyelaras penggunaan studio-studio untuk tujuan rakaman rancangan-racangan para penerbit. Dua tahun kemudaian saya dipindahkan ke Unit Seranta. Unit ini saya terlibat dengan dua pengalaman tersendiri. Pertama pengurusan perpustakaan bahan-bahan bacaan dan rujukan. Kedua, menyelaras jadual-jadual rancangan radio Sabah untuk tujuan siaran di surat khabar tempatan.

Setahun selepas itu, saya dipindahkan pula di Unit Rancangan Radio Bahagian Pembangunan dan Pelbagai Bahasa. Di unit ini saya digalas tugas sebagai penerbit rancangan radio. Pengalaman pertama saya mencari bahan untuk rancangan radio membuat rakaman ucapan sebuah majlis pelancaran penggunaan bulb lampu. Saya diarah oleh penyelia, untuk menemuramah pihak pengurusan syarikat berkenaan. Pengalaman ini sungguh bermakna sekali walaupun banyak yang kurang. Mungkin penglibatan saya dalam dunia penulisan kreatif ketika itu memberikan anjakan yang memberikan inspirasi untuk melakukan yang terbaik dalam tugasan yang diberikan. Berlaku juga sesuatu yang lucu saya alami semasa bertugas di Bahagian Pembangunan ini kerana saya hanya diberikan tugas sebagai penerbit dan menulis skrip tetapi suatu hari saya menyampaikan secara ‘live’ sebuah rancangan radio, selepas itu saya dipanggil oleh Pengelola Rancangan Radio dan menegur kesalahan saya itu. Sebenarnya rasa ingin mencuba saya sungguh tinggi walaupun saya tahu suara saya tidak sesuai untuk digunakan di udara. Kalau dibandingkan dengan penyampai radio sekarang saya fikir lebih suara kami kurang lebih.

Pada tahun 1985 saya meninggalkan Jabatan Penyiaran kerana menerima tawaran bekerja di Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Sabah. Di jabatan ini saya menggalas tugas sebagai Penolong Pegawai Penerangan/Pilihan Raya. Jawatan ini digalas oleh dua orang sahaja bagi setiap negeri di seluruh Malaysia. Tugasnya agar mencabar kerana sentiasa berhadapan dengan orang awam terurama pengundi dan ahli-ahli politik. Saya diberikan peranan memberikan penerangan mengenai urusan-urusan penting berkaitan pilihan raya seperti urusan pendaftaran pemilih, urusan penjalanan pilihan raya dan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya. Bagaimana pun tanggungjawab yang sentiasa menguji ketahanan fiizikal dan mental setiap kakitangan di SPR ialah semasa berlangsungmya proses Pilihan raya Umum (PRU) atau Pilihan raya Kecil (PRK). Sepanjang berkhidmat di SPR selama 30 tahun, saya telah melalui 7 PRU dan puluhan PRK.Saya juga terlibat dalam mencipta logo SPR.

Pada 2015, saya bersara daripada perkhidmatan kerajaan secara pilihan pada usia 55 tahun.



UB: Apa yang menyebabkan saudara tertarik kepada puisi?

HA: Puisi saya dimulai dengan pemikiran pada suatu ketika di tahun 1979. Saya membaca sikap orang sekeliling yang mengganggu jiwa saya ketika itu hingga terlahir sebuah puisi pertama saya berjudul ‘Mengapa o Mengapa’. Puisi ini tersiar di Sabah Times. Ramai penulis puisi teruja untuk menulis kerana sesuatu yang menggugat jiwanya, begitulah apa yang sering saya rasai setiap hari ketika berhadapan dengan tingkat laku manusia baik yang ada di hadapan, di belakang, melalui pembacaan dan sebagainya. Puisi bagi saya alat yang penuh kesunyian dan kediaman yang memberikan impaknya yang tersendiri. Hanya dengan kata-kata yang kemudiannya menzahirkan bunyi serta warna mampu membentuk sebuah pemikiran, ilham untuk mengundang orang lain menikmatinya bersama-sama. Saya amat setia dengan puisi kerana di situlah bahasa nurani kita terus terbina dan terjaga. Puisi tanpa kata-kata dan bahasanya saya fikir manusia tidak akan ada sejenis rasa yang membawa kebahagiaan dan keindahan. Namun mungkin ada yang berpendapat tanpa puisi pun orang boleh bahagia, boleh kaya, boleh gembira dan sebagainya. Namun pada saya dengan puisi akan membina tamadun jiwa yang luar biasa. Kita tak berasa tua kerana bahasa puisi boleh membawa kita sentiasa tenang.


UB: Pengalaman dalam seni? Boleh ceritakan?Mungkin menarik untuk pembaca.
HA: Semasa kecil saya sering didedahkan dengan aktiviti berkaitan seni persembahan seperti bangsawan, sandiwara dan pertunjukan kugiran di tempat kelahirannya. Penggiat seni ketika itu terdiri daripada para guru yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Lumadan dan pekerja-pekerja Estet Lumadan. Setiap bulan semasa 'hari gaji' estet ini mengadakan persembahan seni dan pelbagai aktiviti yang diminati masyarakat ladang. Estet Lumadan (kini Ladang Sawit Lumadan, getah diganti dengan penanaman sawit) memang amat terkenal dengan aktiviti seni dan kebudayaan di kalangan masyarakat estet-estet getah di Sabah. Ada sebuah panggung di ladang itu; di situlah saya pernah beraksi membaca sajak ketika dalam tahun tiga sekolah rendah (berusia sembilan tahun).


UB: Sejak bila saudara ikut kegiatan seni?

HA: Sejak 1979. Pada awalnya saya terlibat sebagai penari tarian kebudayaan di bawah Kumpulan Anak Seni.


UB: Berapa karya yang dihasilkan sehingga kini?

HA: Karya eceran puisi lebih 1,000 buah. Saya juga menulis cerpen dan puluhan esei sastera. Karya-karya ini tersiat dalam majalah Dewan Sastera, Wadah, Majalah Tamadun, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Harian Sinar, New Sabah Times dan Utusan Borneo.

Penerbitan buku pula 13 buah buku saya diterbitkan oleh DBP, ITBM, INPES, IRIS dan penerbit-penerbit lain. 11 buah daripadanya merupakan buku-buku puisi, sebuah buku pantuh, sebuah kumpulan cerpen. Karya-karya saya juga banyak dimuatkan dalam 58 buah buku antologi puisi sejak tahun 1984 hingga kini.


UB: Apa aktiviti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

HA: Sepanjang PKP ini saya tidak banyak menulis, ada beberapa buah puisi tetapi saya membaca buku dan banyak membaca al-quran. Selain daripada itu, saya melibatkan diri melalui Baitul Muqadaam dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) membantu menyampaikan bantuan kepada penduduk kampung yang terjejas akibat Convid-19.

UB: Bagaimana mula tertarik buat perpustakaan?

HA: Sebenarnya sejak bersekolah lagi. Saya terlibat sebagai pustakawan. Kebetulan saya memang gemar pada buku. Atuk saya banyak kitab dalam tulisan jawi. Ada sebuah saya sempat bawa ke pustaka saya iaitu Syair Dandan Setia. Setelah bekerja saya rajin membeli buku namun banyak yang musnah kerana terkena hujan dan sebagainya akibat berpindah randah semasa hidup bujang dulu. Namun setelah berkahwin saya mula menyimpan dengan sebaiknya. Sehinggalah pada tahun-tahun kebelakangan apabila membina rumah di Kampung Gudon. Inspirasi sebuah perpustakaan juga terilham daripada mentor-mentor saya seperti Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun Yussuf dan Datuk Haji Hussain Qasau. Ini ditambahi lagi apabila saya menyertai lawatan ke Sumatera dan Jakarta terutama di Rumah Puisi Taufik Ismail dan Fadli Zon Library.


Maka terjadilah sebuah koleksi buku bermula di sebuah sudut kecil yang saya ubah suai selepas bersara dari perkhidmatan kerajaan, malah kini diperluaskan lagi apabila menempatkan buku-buku yang semakin bertambah di ruang rumah kami. Rumah saya lebih dikenali sebagai Rumah Puisi Hasyuda Abadi kini menjadi sebutan untuk dikunjungi terutama dalam kalangan kawan-kawan penulis dan sukarelawan.


UB: Apa aktiviti selepas bersara awal?

HA: Saya lebih banyak membaca buku dan menulis. Meneruskan aktiviti bersama Ikatan Penulis Sabah dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah yang saya anggotai. Saya juga bergiat secara sederhana dengan parti politik sekadar membantu berdasarkan pengalaman saya semasa bekerja di SPR.






UB: Selain NGO, apakah terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti masjid dan MPKK.

HA: Selain persatuan penulis dan parti siasah, saya merupakan Timbalan Pengerusi Masjid al-Mujahidin Kampung Gudon dan berkhdimat sebagai Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung bagai Kampung Gudon.

UB: Terima kasih saudara kerana sudi diwawancara untuk Sembang Sabtu Utusan Borneo.
HA: Terima kasih kembali. Moga ada manfaatnya.