Sabtu, 1 Februari 2020

YB MA’MUN SULAIMAN, AHLI PARLIMEN YANG MUDAH DIDEKATI

Tags

YB MA’MUN SULAIMAN, AHLI PARLIMEN YANG MUDAH DIDEKATI

ORANGNYA bersahaja.Mudah didekati. Sederhana dalam penampilan, suka membantu  dan sentiasa ingin bersama masyarakat akar umbi untuk mendengar aspirasi mereka. “Saya tidak ingin ada jurang antara saya dan rakyat yang saya wakili,” kata Ahli Parlimen P191  Kalabakan, YB Ma’mun Sulaiman. Bagi bekas pegawai bank ini, perjuangannya adalah untuk membela nasib rakyat. “Saya tidak pernah terfikir menjadi seorang wakil rakyat. Cita-cita masa kecil saya hanyalah ingin menjadi konduktor ladang,” katanya. Namun sudah suratan takdir, suatu hari beliau mendapat panggilan telefon, yang memintanya  untuk menceburkan diri dalam politik dan bertanding dalam pilihanraya. “Kenapa mesti saya yang dipilih,” beliau bertanya dalam hati. Tetapi tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya digalas sebaik mungkin. “Saya ingin memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

MA’MUN SULAIMAN dilahirkan di Kampung Melati, Burut Estate Bal,Jalan Merotai pada 13 September 1965. Anak keempat dari sepuluh adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Melati dari darjah satu hingga enam. Beliau bersekolah di SMJK Abaka dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan empat dan lima di SMK Kuhara Tawau. Selepas itu, beliau memasuki Pusat Latihan Perniagaan Sabah atau Sabah Business Training Centre di Kota Kinabalu. Ma’mun memulakan kerjaya di Lembaga Pelabuhan Sabah atau Sabah Port Authority. Kemudian beliau bekerja di Public Finance di Labuan sebelum berpindah ke Tawau. Jawatan terakhirnya ialah pengurus di Public Bank Tawau. Berkelulusan BBA dari Open University Malaysia, Ma’mun kini adalah Ahli Parlimen P191 Kalabakan.Beliau mendirikan rumah tangga dengan Warti binti Lakatu dan dikurniakan lima orang anak.

Wartawan Kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN ditemani wartawan AMIR ANUAR berpeluang menemubual YB Ma’mun di salah sebuah restoran terkenal di Jalan Gaya.Ikuti petikan temubual berikut ini:

UTUSAN BORNEO: Bolehkah YB ceritakan sedikit latar belakang, mungkin ramai yang belum tahu. Misalnya lahir dimana, anak ke berapa dan sebagainya.
YB MA’MUN SULAIMAN: Saya dilahirkan pada 13 September 1965 Nama kampung itu kampung Melati, Burut Estate, Bal. Saya anak keempat dari sepuluh adik beradik. Bapa saya bernama Sulaiman Kuna, yang lebih dikenali sebagai Mandor Sulaiman di kalangan masyarakat Tawau. Ada juga yang memanggilnya Mandur Suli’. Walaupun kemudian beliau dinaikkan  pangkat sebagai kerani di BAL Plantation, tetapi orang  masih tetap memanggilnya Mandur Sulaiman. Ibu saya Hajah Darmah binti Kamba, seorang suri rumah.

UB: Dimana YB mendapat pendidikan awal?
YB: Saya masuk darjah satu di SRK Burut. Sekarang namanya SK Melati. Bangunan sekolah itu adalah bekas panggung wayang di zaman British. Masih ada sampai sekarang. Saya bersekolah itu dari darjah satu hingga darjah enam.


UB: Kalau boleh tahu, berapa bekal YB ke sekolah?
YB: Sepuluh sen. Dengan sepuluh sen itu boleh beli mee, tapi minum air paip saja. Saya selalu beli mee dari Mama Marik, orang kokos kerana meenya sedap.


UB: Selepas itu, di mana YB bersekolah menengah?
YB: Saya bersekolah di SMJK Abaka dari tahun 1978 hingga 1980. Kemudian saya berpindah ke SMK Kuhara. Kalau tidak berjalan kaki, kami naik pick up saja, bayar bulanan. Jika tidak silap saya RM15 satu bulan. Masa itu hanya ada satu pick up milik kedai Jabar.

UB: Lepas itu bersekolah di mana?
YB: Kami berpindah ke SM Kuhara. Naik kelas ke tingkatan empat. Saya rasa ini adalah antara episod paling susah dalam kehidupan  sebagai pelajar. Kami rasa jadi mangsa keadaan.

UB: Boleh ceritakan lebih lanjut?
YB: Masa itu, semua pelajar dari BAL dan SMJK Wallace Bay ditempatkan di SMK Kuhara. Tetapi waktu itu tidak ada bilik darjah. Kami jadi murid terapung.

UB: Jadi bagaimana?
YB:  Kami terpaksa menunggu saja hingga bulan Februari.  Kami terpaksa menumpang ke SMK Vokasional yang baru dibuka. Selama satu minggu kamiterpaksa berkongsi meja kerana belum ada kemudahan lain. Minggu pertama belum ada guru. Mujur ada seorang guru vokasional yang diminta untuk mengajar kami. Jadi kami bersekolah secara santai santai saja. Masuk bulan April, ada tiga guru sampai, Cikgu Ramli Ibrahim, Cikgu Ong dan seorang lagi. Ketika itu, seorang guru mengajar beberapa subjek, sapu rata. Antaranya Cikgu Albert Chia.

UB: Lepas itu?
YB: Ketika naik tingkatan lima, barulah kami pindah sekolah ke SM Kuhara. Kali ini betul betul sekolah di SMK Kuhara dan tidak lagi ditumpanglan ke sekolah vokasional.

UB: Ramai juga yang lulus?
YB: Daripada semua pelajar itu, seingat saya hanya tiga orang yang lulus peperiksaan iatu Masnun Suit,dapat Gred 2, saya sendiri dapat gred 3 dan seorang lagi rakan, tak ingat namanya.
UB: Apa yang YB buat ketika menunggu keputusan SPM?
YB: Ketika menunggu keputusan peperiksaan saya sempat memohon pelbagai jawatan termasuk memohon jadi guru pelatih tapi tidak berjaya. Kemudian saya memohon lagi beberapa kerja lain. Akhirnya saya diterima memasuki Pusat Latihan Perniagaan Sabah atau Sabah Business Training Centre di Kota Kinabalu.

UB: Masa itu YB naik apa ke KK. Bagaimana keadaan jalan raya pada masa itu? Ikut jalan darat?
YB: Kami naik bas Hap Seng, lambang  bunga raya . Masa itu perjalanan ke Kota Kinabalu mengambil masa yang lebih lama kerana jalan masih gravel.

UB: Selepas lulus, YB kerja di mana?
YB: Saya dapat kerja di Sabah Port Authority di Tawau. Tapi saya tidak lama di sana kerana merasa tidak tahan diperlakukan tidak adil. Sebagai orang baru, kami sering ditunggu stand by manakala pekerja senior dapat peluang kerja lebih masa. Saya hanya dua bulan kerja di sana. Saya memohon kerja di Public Finance dan alhamdulillah,saya berjaya.

UB: Di mana YB ditempatkan? Apa peristuwa yang tidak dilupakan  ketika kerja di kk?
YB: Saya ditempatkan di Kota Kinabalu. Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika berlaku  rusuhan politik. Ada bom meletup di belakang pejabat kami. Saya ingat lagi tarikhnya iaitu 1 April 1985. Kami rasa risau dan takut.Semua pekerja perempuan di suruh pulang awal sementara kami tidak dibenarkan. Kami terpaksa bertahan di pejabat masa itu.

UB: Lepas itu, YB kerja di mana?
YB: Selepas bertugas di KK, kKemudian saya dihantar bertugas di Public Finance Labuan sebagai kerani. Selepas dua tahun di sana, saya dipindahkan ke Public Finance Cawangan Tawau sebagai Penolong Pegawai. Masa itu pekerja hanya sembilan orang sahaja. Apabila Public Bank dan Public Finance bergabung saya dilantik sebagai pengurus. Saya bertugas sebagai pengurus  selama lima tahun sebelum saya meletakkan jawatan kerana menceburkan diri dalam bidang politik.

UB: Khabarnya YB juga aktif dalam bolasepak?
YB: Aktif di peringkat daerah saja. Namun, pernah satu  kelab kami Angkatan Pemuda Bombalai atau lebih dikenali sebagai APB adalah sebuah kelab yang disegani. Posisi saya masa itu adalah sebagai striker.

UB: Apa cita cita YB ketika kecil? Pernah bercita cita jadi YB?
YB: Ketika kecil saya tiada cita-cita. Hanya setelah bersekolah, baru timbul cita-cita .Itupun hanya jadi field conductor. Masa itu, tak ada cita-cita lain. Hanya ingin jadi penyelia  ladang. Mungkin kerana masa itu saya sering lihat mereka berpakaian kemas. Sebagai kanak-kanak mungkin tertarik cara mereka berpakaian. Namun kalau orang bertanya, pernahkah saya terfikir saya jadi wakil rakyat, saya ingin nyatakan bahawa tidak pernah sekalipun, saya bercita cita jadi YB.

UB: Bagaimana YB terpilih jadi calon dalam pilihan raya lepas?
YB: Mungkin kerana rezeki saya. Saya tidak  pernah terlibat dalam politik sebelum ini. Pada suatu hari saya ditelefon oleh seorang pemimpin kanan yang mencuba untuk meyakinkan saya mengapa saya perlu bertanding. Beliau memberitahu hasrat memperbaiki Sabah, membanteras korupsi dan sebagainya. Saya bertanya dalam hati kenapa saya yang dipilih. Saya tahu banyak orang yang melobi. Beliau menjelaskan mengapa saya perlu bertanding.Akhirnya saya terima cabaran itu dan alhamdulillah, selebihnya adalah sejarah.


UB: Boleh ceritakan sedikit gambaran personaliti ayahanda YB?
YB: Bapa  saya seorang yang rajin bekerja. Siang dia bekerja sebagai kerani ladang, sebelah malam beliau jadi pemandu teksi. Kerana tidak memiliki teksi, ayah saya menyewa teksi milik seorang tionghua namanya Ah Choy.  Selepas bawa teksi, biasanya jam 12.00 malam, bapa pulang rumah. Selalunya beliau bangunkan kami untuk bantu membasuh kereta sebelum dipulangkan kepada pemiliknya. Walaupun menguap dan mengantuk, kami terpaksa membantu bapa cuci kereta. Suatu waktu, ketika sudah bekerja, saya pernah bertanya, mengapa beliau tidak menerima tawaran kerja pengurus dengan gaji yang lebih tinggi. Apa jawapan bapa? Jawapan yang saya masih ingat  sampai sekarang. “Saya mahu nampak kamu sekolah,” katanya. Menurut bapa, jika pindah ke tempat lain atau ladang yang yang tidak ada sekolah, itu akan menyukarkan kami, dan itulah yang beliau fikirkan. Bapa saya sangat mementingkan pendidikan.

UB: Menarik sekali. Bagaimana pula dengan ibu?
YB: Ibu tidak pernah marahkan kami. Beliau seorang yang sabar dan senyum selalu walaupun  membesarkan kami sepuluh orang, namun beliau sentiasa sabar dan tenang.

UB: Mungkin YB boleh cerita sedikit pengalaman ketika berkempen dalam pilihan raya PRU-ke14?
YB: Banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika berkempen dalam pilihanraya. Sejak penamaan calon lagi hinggalah diumumkan memenangi kerusi Parlimen Kalabakan, banyak pengalaman yang saya lalui. Namun saya ingin menyebut nama Tuan Haji Aziz Kalatasan, dan Banyunyongi Lasua yang menjadi pencadang dan penyokong saya ketika penamaan calon. Masa berkempen itu juga memberikan kami satu pengalaman.Kami pernah berkempen di bawah kolong, di restoran, dan sebagainya kerana kami tidak dibenarkan menggunakan dewan. Selain itu, kami berhadapan dengan jentera parti lawan, yang memiliki sumber kewangan yang lebih besar, sementara kami berkempen hanya bersalam salaman dengan orang ramai. Kami tawakal saja.

 Selepas hari pengundian, kami diminta agar ke Kota Kinabalu. Sebelum bertolak ke ibu negeri, saya berjumpa mama dahulu untuk meminta restu. Mama beritahu bahawa beliau merasakan bahawa saya boleh menang. Selepas itu saya menziarahi  kuburan bapa sebelum berangkat ke KK.

UB: Sebelum keputusan diumumkan?
YB: Ya. Sebelum keputusan diumumkan, kami diarahkan untuk ke KK. Dalam perjalanan ke KK, seingat saya ketika kami sampai di Sandakan, kami diberitahu bahawa saya kalah. Ada muncul berita  di media penyiaran  yang mengatakan saya kalah padahal ketika itu peti undi belum dikira lagi. Setelah dikira, saya kalah di saluran satu dan dua tetapi saya menang saluran tiga, empat dan lima .Rakyat ternyata mahu berubah.

UB: Saya perhatikan YB tidak pentingkan protokol ketika berjumpa rakyat. Boleh cerita sikit?
YB: Saya seorang yang bersahaja. Senang orang jumpa.Saya tidak mahu ada jurang antara saya dengan rakyat. Mereka boleh berjumpa saya di mana-mana, tanpa protokol, tanpa pemisah. Saya ingin dengar aspirasi masyarakat,apa yang mereka inginkan.  
UB: Kalau ada sidang parlimen, bagaimana YB membahagikan masa antara Parlimen dan bertemu rakyat di akar umbi?
YB: Saya bertolak penerbangan akhir pada hari Ahad dari Tawau. Saya berada di ibu negara dari Isnin hingga Khamis. Kalau ada sidang parlimen, saya tidak pernah tidak hadir.Saya sentiasa hadir. Saya juga adalah Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Manusia dan Ahli Kaukus Reformasi dan Urustadbir Parlimen. Setiap Jumaat saya pulang ke Tawau.

UB: Sebelum kita mengakhiri temubual ini, saya ingin bertanya apa azam YB sebagai Ahli Parlimen Kalabakan?
YB: Kita telah merancang pelbagai projek pembangunan di Kalabakan. Antaranya pembinaan Kompleks CIQS yang menelan belanja kira-kira RM600 juta. Ini akan menghubungkan Kalimantan dengan Sabah. Kita jangka dengan pemindahan ibu kota Indonesia ke Penajam di Kalimantan Timur ia akan memberikan banyak manfaat kepada Sabah dari banyak aspek. Saya berazam agar tiada warga yang harus dipinggirkan,  tidak mengira bangsa agama dan ideologi politik mereka.