Sabtu, 1 Februari 2020

TANJUNG KELAYANG DAN TANJUNG TINGGI, TARIKAN UTAMA PULAU BELITUNG

Tags

TANJUNG KELAYANG DAN TANJUNG TINGGI, TARIKAN UTAMA PULAU BELITUNG

TUJUH keajaiban dunia sudah sering diperkatakan. Tetapi Belitung mungkin keajaiban dunia yang kelapan. Jika ditanya kepada  rombongan Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang berkunjung ke bumi Laskar Pelangi pada Disember lepas, manakah tempat yang paling cantik di pulau itu, jawapannya mungkin Tanjung Kelayang atau Tanjung Tinggi.

Sebabnya kerana hanya dua tempat itu yang sempat disinggahi dalam kunjungan tiga hari ke Belitung. Lagipula, kunjungan mereka lebih kepada ziarah kepada penulis dan Budayawan Belitung, melihat Museum Kata dan Replika SD Muhammadiyah di Gantung, yang menjadi tempat syuting filem Laskar Pelangi.

Sebelum ke Tanjung Tinggi, salah satu pantai yang mejadi lokasi syuting filem yang diadaptasi dari novel dengan judul yang sama karya Andrea Hirata itu, rombongan sempat di bawah ke Tanjung Kelayang.

Pak Mawel, pemandu pelancong kami memberitahu Tanjung Kelayang yang terdapat di daerah Sijuk adalah salah satu tempat paling popular dan menjadi destinasi pelancong di Belitung. Katanya, pantai yang cantik itu boleh mewakili kira-kira 70 peratus kecantikan pantai di Pulau Belitung. Di sanaa kita dapat melihat, batu yang menyerupai kepala helang, yang menjadi Maskot pantai Kelayang.

Struktur batu-batuan itu kelihatan unik dan cantik. Bentuk batuan seperti ini mungkin hanya terdapat di Pulau Belitung, dan di pulau Natuna, bagi orang yang pernah ke sana.

Setiap bulan Oktober, Pantai Kelayang menjadi tumpuan pelayar dari seluruh dunia untuk mengadakan aktiviti pelayaran di sana.

Memang tempatnya menarik. Tetapi kami harus ke Tanjung Tinggi, melihat tempat penggambaran filem Laskar Pelangi dan Sang pemimpi, yang diangkat dari novel yang menjadi fonemena. Novel karya Andrea Hirata itu berjaya mengangkat Belitung ke peta dunia, dan kini pelancongan adalah antara sumber utama ekonomi pulau Belitung.

Tanjung Tinggi terletak hanya 30 km dari Tanjung Pandan. Keindahan pantai dengan air yang jernih, serta batu batu besar, lebih besar dari rumah, yang terstruktur secara semulajadi adalah tarikan utama di pulau itu. Bagi yang tidak membawa kamera, mensyukuri nikmat membawa handphone untuk berselfie. Sementara Jurufoto, Hussein Mohammad yang ikut dalam rombongan merakamkan banyak gambar-gambar cantik, penuh dengan kenangan indah.

Menakjubkan. Mungkin itu adalah satu kata yang tepat untuk menggambarkan pulau Belitung. Tidak semua tempat dapat  sempat dikunjungi. Padahal masih banyak lagi yang menarik.Misalnya Tanjung Pendam di Tanjung Pandan, Tanjung Lancur di Selat Nasik, Pulau Lebong, Batu Belayar, Pulau Burung, Pulau Pasir, Pulau Lengkuas, Bukit Peramun, Batu Mentas, Pantai Penyabong, Kepala Kawai, Gunung Tajam dan sebagainya.

Pak Haryadi dari Dinas Pariwisata Belitung memberikan buku kecil mengenai tempat menarik di Belitung Selain itu, beliau juga menghantar kalendar pelancongan Belitung yang kini boleh dikunjungi dengan penerbangan terus dari Kuala Lumpur. Selama di Belitung, beliau juga turut bersama  mengiringi rombongan kami. Malah sempat menjamu kami di sebuah restoran terkenal di sana.

Dari Jakarta ke Belitung memakan masa kira-kira satu jam, hampir sama dengan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Belitung.

Bagi yang tidak tahu dimana letaknya Belitung, Belitung adalah sebuah pulau yang terletak di antara Pulau Jawa, Sumatera dan Kalimantan. Belitung bersama pulau Bangka membentuk sebuah wilayah yang dikenali sebagai Propinsi Bangka Belitung.

Penduduknya terdiri dari pelbagai etnik. Namun dialek bahasa Melayu Belitung, sering dituturkan di kalangan masyarakatnya selain bahasa Indonesia. Ia dianugerahi kekayaan alam dan penduduk yang ramah.

Di Tanjung Tinggi, kami sempat menikmati kelapa muda, buah mangga dan tentu saja menikmati durian Belitung. Di sana juga ada gerai dan restoran yang menyediakan makanan laut seperti ketam, sotong, kepala ikan ketarap, ikan bakar dan sebagainya. Namun kami tidak sempat menikmatinya malah tidak sempat melihat warna langit senja kerana terpaksa bergegas pulang ke hotel untuk bersiap siap ke acara yang selanjutnya.

Jangan hanye uma bepager, cakap pun nak bepager, lurus hidup, bengkok mati. Saya teringat sebuah pepatah orang tua-tua di Bangka Belitung,  yang ertinya “jangan hanya rumah yang berpagar, dalam bicara pun harus berpagar, lurus hidup bengkok mati. Pepatah berupa kata-kata nasihat bahawa kalau seseorang yang berbuat jujur akan selamat sebaliknya jika tidak jujur akan celaka.

Tapi jujur, Belitung memang pulau yang cantik dan menarik.

Artikel Terkait