Jumaat, 11 Oktober 2019

YB JAFFARI WALIAM, KOMITMEN PERJUANG MASALAH RAKYAT

Tags

YB JAFFARI WALIAM, KOMITMEN PERJUANG MASALAH RAKYAT

KOMITMEN utamanya adalah membantu  dan membela masa depan dan nasib rakyat tanpa pamrih. Jadualnya  agak padat sebagai wakil rakyat, setiap hari turun padang untuk bertemu dengan rakyat untuk mendengar sendiri isu-isu, permasalahan yang mereka hadapi  dan keluh kesah mereka hadapi. Kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik membuatkan  YB Jaffari Waliam sentiasa berusaha menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya. Sebelum menceburi bidang politik, YB Jaffari pernah menjadi pengurus ladang kelapa sawit di Sandakan. Kini beliau menumpukan fokus untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat Libaran.

YB JAFFARI WALIAM dilahirkan pada 15 Disember 1976 di Hospital Duchess of Kent Sandakan. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK Tai Tung, Batu 5 Jalan Sibuga sebelum melanjutkan pelajaran di SM St Mary Sandakan.
Beliau memiliki pelbagai warna  pengalaman, mengalami pasang surut dalam kehidupan, pernah menjadi pengurus ladang kelapa sawit, pernah menjadi kontraktor di ladang sawit dan pelbagai jenis pekerjaan lain sebelum menceburkan diri dalam politik. Beliau adalah Ketua Cabang P184 Libaran dan Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sabah. Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri pada 20 September 2018. Beliau adalah salah seorang dari enam ADUN Lantikan di DUN Negeri Sabah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN yang berkunjung ke Sandakan mengambil  berpeluang menemubual YB Jaffari Waliam di pejabatnya di Batu 8 Sandakan. Dalam temubual itu, YB Jaffari menceritakan cita-cita di masa kecil dan bagaimana beliau berminat menceburkan diri dalam politik. Ikuti sedikit petikan temubual bersama beliau:


UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB?
YB JAFFARI WALIAM: Saya Jaffari bin Waliam, lahir di Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 15 Disember 1976. Saya anak keenam daripada 12 orang adik beradik.

UB: Dimana YB mendapat pendidikan awal ?
YB JAFFARI: Saya mula bersekolah di Sekolah Rendah di SRJK Tai Tung Batu 5 Jalan Sibuga dan kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SM St Mary Sandakan.

UB: Bagaimana caranya YB ke sekolah? Berjalan kaki?
YB JAFFARI: Biasanya saya naik bas ke sekolah. Sekolah terletak hanya kira-kira dua batu dari rumah. Saya naik bas dan tambang ketika itu hanya 0.20 sen, jadi pulang balik atau 0.40 sen.

UB Berapa bekal ke sekolah masa itu, kalau boleh tahu?
YB JAFFARI: Ketika itu bekal ke sekolah RM1 sehari.. Dengan bekal itu, boleh beli mee goreng, air minuman  dan seabagainya.

UB: Apa cita-cita sewaktu kecil?
YB JAFFARI: Waktu kecil dulu cita-cita saya ialah ingin menjadi seorang ahli bomba. Malah saya pernah menjadi Bomba Sekolah.

UB: Kenapa YB ingin menjadi ahli bomba ketika itu?
YB JAFFARI: Saya ingin membantu mangsa kebakaran, yang kehilangan rumah, tempat tinggal, sebatang kara dan sebagainya. Saya pernah menyaksikan kejadian kebakaran, itu sebabnya timbul rasa prihatin ingin menjadi ahli bomba agar dapat membantu mangsa kebakaran.

UB:  Siapa yang paling banyak memberi inspirasi kepada YB?
YB JAFFARI: Antara orang yang paling banyak meginspirasi saya ialah Datuk Thamrun Haji Jaini, mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri. Beliau yang banyak memberi peluang kepada saya, sehinggalah saya menjadi Ketua Cabang P 184 Libaran sejak dua penggal lalu. Beliaulah yang banyak membimbing saya.

UB: Sebelum menceburi bidang politik, dimana YB pernah bertugas?
YB JAFFARI: Saya pernah menjaga ladang sawit. Saya pernah menjadi pengurus ladang sawit. Saya juga pernah menjadi seorang kontrakktor di Ladang sawit IOI.

UB: Bagaimana YB mula tertarik dalam politik? Siapa yang beri galakan?
YB JAFFARI: Saya pertama kali berkecimpung dalam politik bersama ipar saya Kamsah Haji Tassim, yang bertanding dalam pilihan raya pada PRU 13. Saya membantu ipar saya berkempen dalam pilihan raya. Bagaimanapun, beliau kurang bernasib baik pada masa itu. Itulah mulanya saya berkecimpung dalam politik. Dari situ, saya belajar melihat orang berpolitik. Sebenarnya ada juga darah politik mengalir dalam tubuh saya. Sepupu arwah bapa, Datuk Salleh Sulong adalah seorang tokoh politik terkenal di negeri ini sebelum beliau terkorban dalam tragedi double six yang turut mengorbankan Allahyarham Tun Fuad Stephen dan beberapa menteri kabinet lain.

Dalam 12 kami adik beradik, hanya saya seorang yang ikut berpolitik.

UB: Bagaimana YB melihat situasi masyarakat ketika ini. Apa isu-isu yang mereka hadapi?
YB JAFFARI: Selepas PRU ke-14, kita nampak rakyat inginkan perubahan, seperti menolak GST. Mereka juga mahukan kenaikan harga runcit dapat dikawal.

UB: Apa yang YB perjuangkan dalam politik?
YB JAFFARI: Saya memperjuangkan rakyat di Sabah agar dapat menikmati kehidupan yang selesa seperti rumah kos rendah jalan raya yang bersih, bekalan elektrik dan kos sara hidup agar dapat diturunkan.

UB: Boleh ceritakan penglibatan YB dalam politik?
YB JAFFARI: Parti pertama yang saya ceburi ialah parti Bersekutu yang dipimpin Tan Sri Harris Salleh.  Kemudian saya menceburkan diri dalam Parti Keadlan Rakyat hinggalah ke hari ini.

UB: Apa perasaan YB apabila dilantik sebagai salah seorang Ahli Dewan Undangan (ADUN) di Lantik?
YB JAFFARI: Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dilantik sebagai salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) dilantik. Saya bersyukur dilantik sebagai ADUN biarpun tidak bertanding dalam pilihan raya lepas. Terima kasih kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail , mantan Presiden Keadilan yang memberi sokongan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang memberi tunjuk ajar, Datuk Christina Liew yang memberi kepercayaan kepada untuk mengetuai PKR Zon 5 dan seterusnya  memberi kepercayaan kepada saya sebagai ADUN lantikan.
Saya tidak memegang apa-apa jawatan dalam mana mana kementerian. Dan ini memudahkan Saya banyak menumpukan masa  di bawah jagaan saya, membantu masyarakat menyelesaikan permasalahan pengundi di kawasan saya

UB: Apa perkara-perkara yang menjadi keutamaan YB sebagai ADUN dilantik?
YB JAFFARI: Keutamaan saya dapat menolong orang yang terus memerlukan bantuan khususnya di kawasan Libaran.Saya sentiasa turun padang, sentiasa mendengar aduan rakyat untuk dicarikan jalan penyelesaian.

UB: Biasanya jam berapa jadual kerja YB bermula?
YB JAFFARI: Biasanya sejak awal pagi lagi saya sudah berada di pejabat. Hari ini selepas sesi interview ini, saya akan membuat lawatan ke pusat penternakan lebah kelulut, kemudian melawat penternakan itik di Kampung Sungai Manila. Selepas itu melawat sekolah Sungai Manila untuk menyampaikan sumbangan. Kemudian melawat mangsa kebakaran di Sungai Manila melibatkan tiga buah rumah, Selepas itu, saya akan membuat lawatan ke Kampung Sebait menziarahi Orang Kurang Upaya.

UB: Apa hobi yang di masa lapang?
YB JAFFARI: saya bermain bola sepak jika ada masa lapang.

UB: Apa buku yang menarik pernah YB Baca?
YB JAFFAR: Buku sejarah. Saya suka baca buku sejarah.

UB: Apa impian YB yang belum tercapai
YB JAFFARI: Impian saya yang belum tercapai ialah ingin menjadi seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

UB: Mungkin ada pesan atau nasihat orang tua yang masih dipegang?
YB JAFFARI: Jangan suka berjanji apa yang kamu tidak boleh tunaikan. Itulah pesan ayah yang saya masih ingat. Janjikan apa yang boleh ditunaikan