Jumaat, 11 Oktober 2019

KITA HARAP HUBUNGAN BILATERAL MALAYSIA INDONESIA TERJALIN DENGAN BAIK

Tags

KITA HARAP HUBUNGAN BILATERAL MALAYSIA INDONESIA TERJALIN DENGAN BAIK

KETIBAAN bulan Ogos membawa makna istimewa dan tersendiri bagi Malaysia dan Indonesia. “Sebab pada bulan Ogos, seluruh rakyat Indonesia dan Malaysia sama-sama merayakan hari kemerdekaannya,” kata Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krishna Djelani. Republik Indonesia merayakan sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun (HUT)  Kemerdekaan  setiap 17 Ogos manakala Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.

Tahun ini, Indonesia merayakan peringatan Hari Ulang Tahun (HUT)  Kemerdekaan Republik Indonesi  yang ke-74.

 “Kita berharap kerjasama bilateral antara Indonesia dan Malaysia dalam pelbagai bidang terus terjalin dengan baik,” kata Krishna yang mula bertugas sebagai Konsul Jenderal di Kota Kinabalu pada akhir Februari 2018.

Drs Krishna Djelani, M.A, dilahirkan di New Delhi India pada 19 September 1961. Anak kedua dari empat bersaudara. Ayahnya Laksamana Muda (Laksda) Koen Djelani pernah menjadi Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Republik Indonesia di New Delhi. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar di Jakarta Selatan sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Negeri 5, Bandung. Kemudian ketika ayahnya dilantik sebagai Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh untuk Yugoslavia, Krishna bersekolah di Sekolah Indonesia di Beograde, Yugoslavia. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian dalam ilmu sosial dan politik di Fakulti FISIP Universiti Padjajaran Bandung. Kini beliau dilantik sebagai Konsul Jenderal Republik Indonesia di KJRI Kota Kinabalu sejak akhir Februari 2018. Sebelum ini, beliau bertugas sebagai Ketua Perwakilan Indonesia di Konsulat RI Tawau (Oktober 2016-Februari 2018) Direktorat Perlindungan WNI dan Badan Hukum Indonesia (2012 - Oktober 2016). Sebelum itu, Krishna pernah bertugas di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Bangkok (2008-2012) , Kedutaan Besar Indonesia di Kaherah ( 2000- 2004)  dan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Prague Republik Czech (1994 -1998). Beliau mendirikan rumahtangga dengan Cindy Mayrianti dan dikurniakan dua cahayamata, Livia Djelani dan Vania Djelani.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat mewawancara Konsul Jenderal (Konjen) Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krishna Djelani  di ruang kerja di Konsulat Jenderal  Republik Indonesia (KJRI) di Lorong Kemajuan, Karamunsing Kota Kinabalu baru-baru ini. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Pertama sekali, kami ingin mengucapkan Selamat Menyambut HUT Kemerdekaan Indonesia kali yang ke 74. Barangkali Pak Krishna boleh menjelaskan apa aktiviti yang diadakan sempena sambutan HUT ke-74 kali ini?

KONJEN: Seperti tahun-tahun sebelumnya, kita mengadakan upacara menaikkan bendera pada pagi  17 Ogos. Kemudian perayaan HUT RI dilanjutkan dengan tasyakuran, iaitu `penyendokan tumpeng’ sebagai simbol ungkapan rasa syukur atas kemerdekaan Republik Indonesia yang mencapai usia ke-74 tahun. Bagi  memeriahkan lagi HUT RI kali ini, kita mengadakan serangkaian kegiatan dan bakti sosial atau di Malaysia disebut sebagai  kerja amal, antaranya kita mengadakan acara berkhatan beramai-ramai yang diseratai oleh 51 anak TKI atau Tenaga Kerja Indonesia di CLC Kemajuan Insan, Inanam.  Kita juga mengadakan acara   Indonesian Street Fest di Jalan Gaya Kota Kinabalu  pada 16 Ogos 2019, yang mendapat sambutan luar biasa dari masyarakat di sekitar Kota Kinabalu. Acara Indonesia Street Fest ini diisi dengan pertunjukan kebudayaan, pameran dan jualan makanan, pertunjukan budaya dan lagu-lagu.Selain itu, acara perayaan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan ini juga diserikan dengan pertandingan pelbagai jenis sukan yang dimulakan sejak 2 Ogos, iaitu bola keranjang dan pingpong. Pada 17 Ogos juga kita adakan Pesta Rakyat dari jam 11.00 hingga 3.00 petang dengan mendatangkan penyanyi dari Indonesia.

UB: Pasti sibuk sekali sepanjang bulan Ogos ini pak. Apa signifikannya bagi Malaysia dan Indonesia?
KONJEN: Bulan Ogos ini adalah bulan paling berharga bagi Indonesia dan Malaysia.Kerana pada bulan Ogos, seluruh rakyat Indonesia dan Malaysia sama-sama merayakan hari kemerdekaannya. Indonesia menyambut HUT Kemerdekaan pada 17 Ogos manakala Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ada 31 Ogos.

UB: Apa tema peringatan HUT ke-74?
KONJEN: Tema peringatan tahun ini ialah “SDM Unggul, Indonesia Maju” . tema HUT ke-74 Republik Indonesia tahun ini terinspirasi dari visi pemerintahan Presiden Joko Widodo periode 2019-2024, yang berfokus kepada pembangunan sumber daya manusia atau kalau di Malaysia disebut sebagai modal insan. SDM akan menjadi fokus utama pembangunan, yang memiliki erti bahawa Republik Indonesia memiliki semangat untuk membangun Sumber Daya Manusia (SDM) yang unggul. Apabila SDM Unggul, kita dapat memajukan kesejahteraan Indonesia ke dalam persaingan global. Tema ini mudah difahami dan relevan untuk warga Indonesia.

UB: Apa pesan pak Konjen kepada Warga Indonesia di Sabah?
KONJEN: Saya mengajak seluruh warga Negara Indonesia dii Sabah agar dapat menghayati HUT ke-74 Kemerdekaan Indonesia dengan cara mengembangkan kebersamaan, gotong-royong dan kerjasama untuk mencapai kemajuan SDM yang unggul menuju Indonesia yang maju.

Kami berpesan kepada seluruh warga Indonesia yang ada di di seluruh Sabah, apa pun profesinya untuk menunjukkan keunggulan kerana bangsa kita adalah bangsa yang unggul dan dengan keunggulan itu bangsa kita akan maju.

UB: Oh ya.Bagaimana pak melihat hubungan kerjasama bilateral antara Indonesia dan Malaysia khususnya di Sabah?
KONJEN: Kita berharap kerjasama bilateral Indonesia dan Malaysia khususnya Sabah dalam semua  bidang dapat terus terjalin dengan baik. Kita adakan banyak kegiatan untuk mengeratkan hubungan antaranya membina kerjasama mengenai pembiakan badak Sumatera. Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Christina Liew berkunjung ke Indonesia untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama dalam bidang lingkungan hidup atau alam sekitar dan sebagainya.

UB: Apa antara kegiatan atau program yang pernah disertai?
KONJEN: Kita sering menyertai  pelbagai program anjuran agensi-agensi kerajaan antaranya  Matta fair, Tugu Budaya, Pesta Labuan (Hot Air Baloon Labuan) dan sebagainya. Ini memberikan banyak manfaat dan sepanjang penyertaan kita, kita diberikan sambutan yang luar biasa dari masyarakat.
UB: Mungkin pak Konjen boleh mengulas sedikit mengenai laluan antara Serudong Simanggaris yang akan menghubungkan Sabah dan Kalimantan Utara?
KONJEN: Jika laluan ini siap kelak ia akan memudahkan hubungan antara rakyat di kedua negara. Ia juga pasti akan meningkatkan kerjasama Sosek Malindo.Kita juga berharap pembangunan  laluan  Serudong Simanggaris yang menempatkan  CIQS (Custom, Imigration, Qurantine dan Security), mudah-mudahan akan terlaksana pada tahun ini. Sekiranya ini terlaksana,hubungan antara Sabah dan Kalimantan Utara  akan meningkat dan memberi manfaat kepada rakyat kedua negara. Sebelum ini, sudah ada hubungan jalur udara dari Tawau ke Tarakan dan Jalur laut antara Tawau dan Nunukan dan antara  Tawau dan Tarakan. Hubungan antara Sabah dan Indonesia khususnya Kalimantan akan bertambah intens dari segi ekonomi, sosial dan budaya.
UB: Beralih kepada soal pendidikan. Kita lihat banyak CLC dibuka untuk anak-anak pekerja Indoonesia di Sabah. Apa komen bapak?

KONJEN: Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri yang memberikan keizinan untuk kami membuka CLC atau Community Learning Centre di ladang-ladang sawit di seluruh Sabah. Masih banyak lagi warga Indonesia terutamanya di ladang-ladang yang belum mempunyai akses pendidikan.

UB: Berapa jumlah CLC di Sabah dan jumlah murid atau pelajar warga Indonesia di Sabah?
KONJEN: Terdapat sejumlah 229 CLC di seluruh Sabah dengan jumlah pelajar sebanyak kira-kira 14,000 orang.

UB: Berapa kira-kira jumlah warga Indonesia yang belum memiliki akses terhadap pendidikan?
KONJEN: Masih ramai lagi iaitu kira-kira 10,000 orang yang belum mempunyai akses terhadap pendidikan.
UB: Apa harapan pak konjen terhadap hubungan antara Malaysia dan Indonesia pada masa akan datang?
KONJEN: Kita berharap kerjasama bilateral Indonesia dan Malaysia khususnya Sabah dalam semua  bidang akan  terus terjalin dengan baik pada masa depan.


UB: Terima kasih pak kerana sudi memberikan ruang untuk wawancara ini. Selamat Menyambut HUT Kemerdekaan RI yang ke 74.
KONJEN: Terima kasih.