DARI GENTALA ARASY, KE MUZIUM SIGINJEI, MENELUSURI SEJARAH JAMBI
Kunjungan ke Kota Jambi tidak lengkap tanpa berkunjung ke Gentala Arasy, menara setinggi 80 meter di pinggir Sungai Batanghari. Untuk ke sana, pengunjung perlu berjalan kaki di jambatan Titian Arasy sepanjang 530 meter, lebar 4.5 meter dengan dua tiang pancang setinggi 60 meter. Mungkin Titian Arasy, satu-satunya jambatan di dunia yang dibuat khas untuk pejalan kaki.
Jambatan yang dibina dalam masa tiga tahun itu, dirasmikan pada 28 Mac 2015 oleh Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla. Kini menjadi ikon Kota Jambi. Itulah sebabnya ia dipilih sebagai lokasi pertama kunjungan kami pada hari terakhir di Jambi.
Rombongan 12 orang peserta Program Ziarah Iranun-Melayu Timur anjuran Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Sabah menyempurnakan misi lawatan ke Tanjung Jabung Timur pada 14 hingga 17 Ogos. Jadi, sebelum meninggalkan Kota Jambi, kami mengambil peluang untuk berkunjung ke beberapa ikon wisata atau pelancongan di kota itu.
Tetapi yang paling penting ialah berkunjung Ke Gentala Arasy. Mujurlah, kami tiba awal pagi ketika pemandangan masih boleh dinikmati sebelum dilitupi kabut asap tidak berapa lama kemudian.
Selepas melintasi sungai Batanghari,, sungai terpanjang di Sumatera, saya teringat sebuah pantun lama dalam bahasa melayu Jambi. “Batanghari aeknyo tenang,sungguhpun tenang deras ke tepi, Anak Jambi jangan dikenang, Kalo dikenang merusak hati.
Masyarakat Melayu Jambi memang kaya dengan pantun. Membaca pantung mereka, dengan cepat kita dapat melihat ciri-ciri bahasa Melayu Jambi, yang cenderung menggunakan o di hujung pengucapannya.
“Bederai hujan di rimbo, tibo di padi bederai jangan, becerai kito di muko, namun di hati becerai jangan”.
“Seberapo rimbun kayu di Jambi, Rimbunlah jugo kayu di Tungkal, seberapo rindu kau nan pegi, rindulah jugo kami nan tinggal”.
Di Menara Gentala Arasy, pengunjung dapat melihat jejak-jejak peninggalan budaya Islam di Provinsi Jambi.
Penyebaran agama Islam di Jambi berkembang dengan pesat pada abad ke-15 Masihi iaitu sejak munculnya Akhmad Salim atau Akhmad Barus II yang bergelar Datuk Paduko Berhalo yang dikatakan sebagai awal bertapaknya Kerajaan Melayu Islam. Antara keturunannya yang menjadi penguasa di Jambi, termasuklah Sultan Thaha Saifuddin, keturunan ke 17 dari Putri Selaro Pinang Masak dan Datuk Paduko Berhalo, yang terkenal kerana melawan penjajahan Belanda.
Muzium itu menyimpan banyak arsitektur Islam. Sejarah kedatangan Islam di Jambi dan banyak lagi koleksi peninggalan budaya Islam dipamerkan di Gentala Arasy.
Namun kita tidak boleh berlama-lama lagi di sana. Selepas itu, kami berkunjung pula ke Museum Siginjei.
Muzium Siginjei mula dibina pada 18 Februari 1981 oleh Gubernur Jambi, Bapak Masjchun Syofwan SH dan dirasmikan ada 6 Jun 1988 oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Prof Dr Fuad Hassan.
Dengan berkunjung ke Muzium Siginjei, kita dapat menyaksikan warisan budaya dan kehidupan masyarakat Jambi.Banyak koleksi sejarah dan budaya yang boleh disaksikan di muzium yang terletak di Jalan Jenderal Urip Sumoharjo.
Kami mengambil masa yang agak lama di Museum Jambi. Tetapi hari itu hari Jumaat dan selepas itu, kami bercadang menunaikan solat di Masjid Nurdin Hamzah, salah seorang tokoh Melayu Timur yang paling terkemuka. Seorang ahli perniagaan yang berjaya dan banyak berjasa kepada Kota Jambi.
Kota Jambi seluas 205.38 kilometer persegi mempunyai penduduk berjumlah 610,854 orang. Kota yang dibelah oleh Sungai Batanghari itu dihubung dengan Jambatan Aur Duri adalah ibu kota Wilayah Jambi.
Menurut sejarah, Kota Jambi didirikan pada 28 Mei 1401 dan dibentuk sebagai sebuah kota madya pada 17 Mei 1946 dan diiktiraf sebagai ibu kota Provinsi Jambi pada 6 Januari 1957.
Selepas berkunjung ke Muzium dan selepas menunaikan solat Jumaat, kami ke Kompleks Muaro Jambi. Dari sana kami sempat berziarah ke Makam Nurdin Hamzah. Allahyarham Nurdin Hamzah adalah tokoh Melayu Timur, sukubangsa yang memiliki pertalian sejarah dan budaya dan generasi kelima atau keenam angkatan Iranun yang pernah berperang menentang Belanda pada 1787 di Tanjung Pinang.
Sayang sekali kami tidak dapat berkunjung ke rumah mantan Abdullah Hick, mantan Bupati Tanjung Jabung Timur di Kota Jambi.Khabarnya beliau kurang sihat. Beliaulah yang meletakkan senjata Kampilan sebagai lambang Tanjung Jabung Timur, yang kemudian mendorong kami untuk membuat kajian dan penelitian mengenai hubungan sejarah yang terjalin sejak beberapa abad antara Borneo khususnya Iranun di Tempasuk dan MelayuTimur Sumatera khususnya Riau dan Jambi.