Jumaat, 11 Oktober 2019

CERITA PERTEMUAN DENGAN BANG MAFIRION DI KUNANTI KOPI

Tags

CERITA PERTEMUAN DENGAN BANG MAFIRION DI KUNANTI KOPI



“Api-api terebang malam, inggap di ujung jagung mudo, biar tujuh kali dunia karam, balik ke dusun jugo,” demikian kata orang Jambi. Peribahasa yang bererti kunang-kunang terbang malam, hinggap di ujung jagung muda, biar tujuh kali dunia kiamat, kembali ke kampung halaman juga.

Selepas tiga hari berada di Jambi, akhirnya tibalah masanya kami pulang. Memang, kami sengaja memilih penerbangan awal pagi dari Bandara Sultan Thaha. Cuaca biasanya lebih cerah dan asap masih belum begitu tebal sehingga menyukarkan pesawat terbang di angkasa.

Penerbangan Lion Air JT601 berangkat jam 7.10 pagi dan tiba kira-kira jam 8.25 pagi di Bandara Soekarno Hatta. Kami berharap dapat menyaksikan perayaan Sambutan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-74 sewaktu tiba di Jakarta.

Bagaimanapun, kami terpaksa ke Hotel Neo, di Mangga Dua untuk `check in’ terlebih dahulu. Sebahagian anggota rombongan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) yang mengadakan Ziarah Budaya ke Jambi-Tanjung Jabung Timur-Jakarta sudah menempah lebih awal. Oleh sebab, hotel penuh, kami ke Hotel Amaris, yang terletak tidak jauh dari Mangga Dua.

Jam 11.00 pagi, paling lewat kami perlu berangkat ke Bintaro, Jakarta Selatan. Di sana, kami ditunggu oleh H Mafirion Syamsudin, anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Temujanji kira-kira jam 12.00. Kami terpaksa berangkat lebih awal khuatir akan terlambat kerana kesesakan lalu lintas di Jakarta.

Bang H Mafirion Syamsudin adalah salah seorang tokoh Melayu Timur dari Riau yang disegani. Beliau pernah bertugas sebagai wartawan ,40 tahun dalam bidang media, empat tahun di Kompas dan tujuh tahun di Jawa Pos.

Kini beliau menjadi ahli parlimen yang banyak memperjuangkan masalah rakyat. Namun kunjungan kami bertujuan untuk mengukuhkan lagi ikatan silaturrahim antara Iranun dan saudaranya, Melayu Timur di Riau dan Jambi.

Kami sudah berkenalan kira-kira tiga tahun lalu tetapi inilah kali pertama kami bertemu. Terima kasih kepada Bang Kazzaini KS dan Mosthamir Talib, Pak Armawi dan Ujang Zulfiqa, yang memperkenalkan dan menyebut nama Bang Mafirion ketika itu. Alhamdulillah, bang Mafirion memberi respon yang sangat baik, sehingga terasa kami seperi sudah lama berkenalan.

Pertemuan tengahari itu amat mengujakan sekali. Bang Mafirion sudah menunggu ketibaan kami di kedai kopinya, Kunanti Kopi.  Kunanti Kopi yang biasanya dibuka  mulai jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam itu terletak di Jalan Murai Raya, Blok J1 Pesanggrahan, Bintaro Sektor 1 Jakarta Selatan.

Kunanti Kopi memang agak terkenal khususnya kepada penikmat kopi. Di sana, anda boleh menikmati pelbagai jenis kopi.

“Ada kopi gunung halu, gayo goela rempah, ijen, solok, gur gur aek raja,” kata Fitri Asada, yang membantu Bang Mafirion dalam hal kopi.

Bang Mafirion sendiri adalah seorang penikmat kopi. Beliau membuat sendiri kopinya dan mampu bercerita panjang mengenai kopi.

Itu yang menarik. Beliau memberitahu, kopi yang ditanam di atas ketinggian 1,000 meter, biasanya dari jenis kopi Arabica. Manakala ketinggian di bawah 1,000 meter, dari jenis kopi Robusta, Kopi yang tumbuh di lembah atau tanah rendah dari jenis kopi Liberica, katanya kepada Haji Masrin Haji Hassin, ketua rombongan kami dan Saudara Marawan Haji Yassin. Selain itu, antara rombongan yang sempat berkunjung ke Kunanti Kopi ialah Haji Zainal Abidin Ahmad, Ustaz Musli Main, Mabulmaddin Shaiddin, seorang penyair dan dan Dr Datu Masjidin Datu Moksan dan isteri.

Kunanti Kopi juga kini sudah menjadi ahli anggota SCA atau Specialty Cofee Association dan  SCAI, Specialty Cofee Association of Indonesia sejak 2018.

Sebenarnya Kunanti Kopi dibuka pada tahun 2015. Terkenal kerana kopi, Kunanti Kopi juga menyuguhkan kopi dengan aroma klasik. Ada rasa kopi Caramel, Slice of Banana, Jack Fruit, dark chocolate dan medium acidity.

“Itu rasa yang ada  di kopi yang saya seduhkan. Secara alami tanpa tambahan apapun. Kopi gunung Hali mengeluarkan rasa seperti itu, “ kata Fitri, berasal dari Jakarta  yang terjun ke dunia industri kopi sejak 2012.
Kopi termahal paling mahal di dunia sekarang ialah Kopi Geisha. Satu kilo berharga Rp 130 juta (RM38,527 untuk 1 kg).

Dulu kopi termahal Rp 6 juta 1 kilogram iaitu  kopi sisha dari Panama dan Guateamala. Indonesia juga terkenal dengan pelbagai jenis kopi.


Sambil bercerita mengenai Iranun dan Melayu Timur di Indragiri Hilir Riau dan Jambi, kami menikmati rasa kopi yang disediakan oleh Bang Mafirion. Beliau merasa gembira kerana pertemuan itu. Ada beza antara peminum kopi dan penikmat kopi, katanya.

Bagi penikmat kopi, dia datang sendiri mencari kopi yang digemari, katanya.
Banyak yang dibincangkan dalam pertemuan itu. Bagaimana cara dan langkah yang perlu dilakukan dalam mengukuhkan lagi hubungan antara suku Melayu Timur di Indonesia khususnya Riau dan Jambi dengan sukubangsa Iranun, rakan seketurunan  mereka di Sabah, Malaysia. Juga bagaimana mengembangkan hubungan budaya dan meningkatan hubungan ekonomi antara dua bangsa serumpun.

Kemudian beliau meminta Syifa,  stafnya agar menghidangkan Ayam Kunanti, menu terkenal di Kunanti Kopi.

Pertemuan dengan H Mafirion Syamsudin adalah acara terakhir kami di Indonesia sebelum berlepas pulang ke tanahair. Program Ziarah Budaya Iranun-Melayu Timur di Kota Jambi, Tanjung Jabung Timur dan Jakarta pada 14 hingga 17 Ogos 2019, boleh dikatakan berjaya dan mencapai matlamat seperti yang diharapkan.

Perjalanan kami, kata orang Jambi, seperti mengayuh perahu ke hilir.Segalanya dipermudahkan. Cuma setelah sampai ke hilir, akan ke mana pula selepas ini?.